Thursday, August 24, 2017

Kisah Sebenar Kemelut Rumah Tangga Hafiz Hamidun Dan Joy Revfa


Ada bidalan berbunyi, air yang tenang jangan disangka tiada buaya dan barangkali, peribahasa itu sesuai menggambarkan kemelut kisah rumah tangga penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun dan pengasas kosmetik Merve, Siti Arifah Mohd. Amin, 30, atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa.

Hafiz Hamidun Dan Joy Revfa

Setelah bertalu-talu serangan provokasi yang dibuat oleh Joy demi memancing perhatian si lelaki, akhirnya Hafiz tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan.

Ramai yang ingin tahu apa sebenarnya isu antara Hafiz dan Joy, yang rumahtangga mereka baru sahaja dibina tidak sampai empat bulan.

Malah, permasalahan mereka bukannya cuba dikorek pihak media, sebaliknya, tindakan Joy yang sentiasa mengemaskini statusnya dalam laman sosial seperti Facebook dan Instagram sedikit sebanyak telah membuka ruang untuk media dan khalayak mengetahui perkembangan rumah tangga mereka.

Joy sering memuat naik status sedih, malah pernah meluahkan perasaan tentang peranan seorang suami secara umum sehingga menimbulkan persepsi negatif tentang perkahwinan mereka.

Kemuncaknya, Joy telah memfailkan pembubaran pernikahannya dengan Hafiz di Mahkamah Rendah Shah Alam, Selangor, pada 18 Ogos lalu, sekaligus membuat Hafiz terkejut kerana dia yang sepatutnya melakukan perkara itu pada 21 Ogos 2017.

Saat Hafiz tiba untuk memulakan sidang media khas, dia kelihatan sangat tenang malah, masih ramah bertegur sapa dengan wakil media yang hadir. Tiada sekelumit rasa gusar yang terlihat pada air mukanya.

Saat bicara bermula, bertubi-tubi soalan menghujani lelaki kelahiran Teluk Intan, Perak itu tentang mengapa soal ‘kain dalam’ perlu diuar-uarkan. Mengapa dia seperti mahu membuka aib sendiri.

“Ini ‘pernikahan’ saya, jadi memang saya kena bercakap tentangnya terutama apabila ia sudah menjadi tidak terkawal seperti ini.

“Selama ini, saya tidak pernah membuat kenyataan balas terhadap semua status-status laman sosial Joy yang cuba membuat provokasi kerana tidak mahu hal ini menjadi lebih rumit apabila sudah membabitkan emosi,” terangnya panjang lebar.

Dalam pada itu, Hafiz turut tidak mengakui Joy sebagai isterinya memandangkan perceraian pertama wanita itu berlaku selepas majlis pernikahan mereka.

“Jika mengikut undang-undang Islam, Joy bukan isteri saya kerana kami bernikah sewaktu dia masih memegang status isteri orang.

“Saya bersamanya telah ke Songkhla, Thailand pada 1 Jun lalu untuk mendapatkan surat cerai taklik kerana Joy gagal mengemukakan surat tersebut sebelum dan selepas majlis perkahwinan kami berlangsung,” katanya yang memburaikan kisah sebenar punca polemik ‘rumah tangga’ mereka.

Percaya

Diselar mengapa dirinya meneruskan juga pernikahan andai sudah timbul keraguan, Hafiz berkata pada waktu itu, dia mempercayai aku janji Joy yang diberikan kepada Pejabat Agama Daerah Petaling dan dirinya bahawa surat itu akan dikemukakan sebaik sahaja mereka disatukan.

Meskipun begitu, lelaki berusia 33 tahun tersebut masih mengambil langkah berjaga-jaga selagi isu surat cerai itu tidak diselesaikan dengan tinggal berasingan bermula pada hari pertama perkahwinan.

“Saya tidak pernah berkahwin, tidak pernah bernikah atau bercerai di Siam. Jadi saya memang tidak tahu bagaimanakah prosedur yang perlu dijalani untuk mendapatkan pengesahan yang diperlukan.

“Oleh sebab itu, saya menggunakan ruang berjauhan itu untuk bertanya pada mereka yang lebih arif. Saya bukan orang alim, tetapi masih ada asas agama untuk memikirkan baik buruk sesuatu tindakan itu,” katanya yang bertunang dengan Joy pada 22 Mac tahun 2017.

Hafiz kemudian memanaskan ruang sidang media dengan pengakuannya yang tidak pernah menjalin hubungan kelamin selepas berkahwin.

“Sejak hari pertama kami tidak pernah tinggal bersama, sekali gus tidak pernah melakukan sebarang hubungan kelamin seperti pasangan suami isteri yang lain,” katanya.

Kata Hafiz lagi, jika pihak di sebelah sana mengatakan dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dari segi nafkah zahir dan batin, maka ia perlu dibuktikan di mahkamah kelak.

Hal ini kerana setiap kenyataan yang diberi oleh Joy mempunyai fakta yang disembunyikan dan dia perlu bertanggungjawab dengan setiap apa yang keluar daripada mulutnya.

Kesal

Ketika ditanya adakah tindakan melibatkan media ialah satu jalan tepat dalam menyelesaikan masalah peribadi seperti ini, Hafiz berkata hal ini tidak bermula daripada pihaknya.

Malah, pihak Joy sebenarnya telah berjanji dengan Hafiz untuk sama-sama duduk berbincang dan mencari ruang bagaimana hendak menyelamatkan masjid yang baru dibina dalam keadaan paling berhemah dan secara tertutup.

Pelantun lagu Zikir Terapi itu turut mengakui dia pada mulanya bersungguh-sungguh untuk mempertahankan mahligai yang dibina sejak tanggal 1 Mei lalu sehingga Joy membuat perancangan lain di belakang pengetahuannya.

“Pada 8 Ogos, saya dan Joy bersama keluarganya telah hadir ke Pejabat Agama Daerah Petaling untuk menyerahkan dokumen perceraian yang jelas tertulis bahawa jatuh talak untuk perkahwinan pertama Joy ialah pada 13 Julai, dua bulan selepas kami bernikah.

“Keluarga Joy memohon saya merahsiakan hal ini daripada pengetahuan umum dan kami bersetuju bahawa saya yang akan failkan permohonan farraq (pembubaran perkahwinan) pada Isnin lepas (21 Ogos).

“Bayangkan perasaan saya apabila tiba di Pejabat Agama Daerah Petaling dan diberitahu Joy telah membuat permohonan sama di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor dua hari sebelumnya,” ujarnya dengan suara yang sedikit ditekankan.

Tambah Hafiz, tiada sebarang tekanan yang timbul dalam dirinya dengan apa yang berlaku, namun dia akui sedikit kesal kerana perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara mudah telah dihebahkan seperti ini.

Tatkala ditanya adakah masih ada ruang dalam hati untuk menerima Joy kembali sekali gus menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sah, dia kelihatan termenung sebentar sambil mengukir senyuman hambar.

Jawabnya ringkas: “Soal hati dan perasaan itu, biarlah ia dibicarakan sebaik sahaja kes ini diselesaikan selepas sebutan semula pada 14 September depan. Saya tidak mahu mencari siapa salah atau benar, sebaliknya cuma mahu kekecohan ini tamat.

“Pada awal dahulu, saya beria untuk dia tetapi sekarang, saya mohon Allah berikan pengakhiran yang terbaik untuk kami berdua. Bersatu kembali atau tidak, hanya Dia sahaja yang tahu.”

Trauma

Tiada siapa yang berumah tangga mengharapkan pengakhiran yang kecewa namun bagi Hafiz, ia bukanlah menjadi sebab untuk dirinya takut kepada institusi perkahwinan.

Sama seperti alunan lagu-lagu nyanyiannya, lelaki berlesung pipit ini cukup positif dalam menerima semua dugaan yang berlaku malah melihat ia sebagai tanda Tuhan menyayangi dirinya.

“Mengapa perlu trauma untuk berkahwin lagi sedangkan pernikahan itu satu ibadah dalam Islam. Saya telah mencuba sedaya-upaya bagi menjalankan amanah untuk perkahwinan pertama.

“Selain memberi pengajaran kepada saya, semoga orang lain di luar sana juga memperoleh sesuatu untuk dijadikan sempadan dalam kehidupan kita,” ujarnya menyimpul perbualan.

BACA INI JUGA: Kisah Perceraian Dan Kontroversi Selebriti Malaysia 2016

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon