Saturday, May 13, 2017

14 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Kota Kinabalu


Sabah adalah sebuah negeri yang memiliki begitu banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati dan lokasi terbaik sebagai percutian bersama keluarga. Terlalu banyak produk pelancongan untuk diterokai, baik daratan, lautan dan gunungnya, sangat mengagumkam. Bawah lautnya lagilah, tak terkata indahnya. Subhanallah.

Nak pergi seluruh Sabah dalam masa seminggu jenuh! Kami senaraikan beberapa tempat dan lokasi menarik untuk dilawati semasa percutian di Kota Kinabalu.

1. Pulau Manukan, Sapi dan Mamutik

Pulau Manukan, Sapi dan Mamutik

Pulau Manukan adalah salah satu pulau-pulau menarik yang terdapat di Tunku Abdul Rahman Marine Park.

Pulau-pulau lain adalah Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Sulug and Pulau Mamutik. Dari segi kecantikan pantai, boleh dikatakan bahawa Pulau Sapi lebih cantik.

Akan tetapi bagi yang berminat dengan snorkling dan sebagainya, anda digalakkan ke pulau ini kerana hidupan dan dasar laut yang lebih menarik dan berwarna warni.

Anda boleh akses ke Pulau Manukan dari jeti bot di Jesselton Point. Caj bayaran dalam lingkungan RM 100 hingga RM 200. Nikmati pemandangan laut yang indah serata tiupan angin yang menyegarkan sepanjang perjalanan ke pulau ini.

Terdapat resort di pulau ini iaitu Manukan Island Resort. Selain dari kemudahan tempat tidur, resort ini turut menyediakan aktiviti seperti sewaan kayak, kelengkapan snorkling dan jaket keselamatan.

2. Tamu Gaya di Gaya Street

Tamu Gaya di Gaya Street

Sekiranya anda tiba di Kota Kinabalu di waktu hujung minggu dan tinggal di kawasan bandar, jangan lepaskan peluang untuk ke pasar minggu yang amat ‘popular’ dan menarik negeri di bawah bayu ini dan di bandaraya ‘Nature Resort City’.

Saksikan pelbagai kraftangan tempatan, produk tempatan dan gelagat pengunjung di sini yang sangat menarik. Jika berminat, belilah juga kopi Borneo, Sabah Snake Grass dan Mangga King.

Tempat ini agak sesak dan panas menjelang tengahari. Pastikan anda tiba awal.

3. Tanjung Aru Beach

Tanjung Aru Beach

Tidak jauh dari Perdana Park, terletak pula pantai Tanjung Aru yang indah, menarik dan nyaman udaranya. Pemandangan di tepi pantai amat cantik terutama ketika matahari mula terbenam (sunset).

Bagi berminat dengan fotografi, mungkin anda patut ke sini.

Terdapat banyak aktiviti di kawasan ini. Selain dari tempat mandi manda dan bermain bolasepak pantai, terdapat juga kapal-kapal layar di pantai ini.

Ada juga padang golf berhampiran pantai. Ini kerana Pantai Tanjung Aru ini adalah kediaman buat Kinabalu Golf Club dan Kinabalu Yacht Club.

Di sebelah malam, suasana agak meriah dan menarik. Ramai yang berkunjung di sini untuk makan di gerai-gerai sambil menikmati keindahan pantai.

Terdapat juga restoren seafood dan kelab malam buat pelancong yang mahu berhibur. Jangan lupa makan ‘sayap ayam panggang’ dan ‘jagung rebus’.

4. Bermalam Di Bukit Kokol

Bukit Kokol

Bagi mereka yang sukakan tempat menarik dengan suasana aman dan udara nyaman, anda tidak perlu pergi jauh hingga ke Kundasang bagi merasai persekitaran sebegini.

Anda hanya perlu ke Bukit Kokol yang tidak jauh dari pekan Menggatal Kota Kinabalu.

Ada banyak resort menarik yang selesa pada harga yang berpatutan sebagai tempat tinggal di sana.

Nikmati pemandangan indah dari atas Bukit Kokol dan udara yang segar lagi menyegarkan.

5. Tempat-Tempat Bersejarah Dan Mercu Tanda

Mercu Tanda

Bandaraya Kota Kinabalu punyai banyak tinggalan sejarah buat mereka yang berminat dengan subjek ini. Ia juga punyai pelbagai mercu tanda yang ada baiknya anda kenali.

Antara yang menarik anda mungkin berminat untuk kunjungi termasuklah:
  • Menara Tun Mustapha
  • Tugu Peringatan ‘Double Six’
  • Atkinson Clock Tower
  • Petagas War Memorial
  • Tugu Pahlawan
  • Padang Merdeka
  • Menara Tun Mustapha

Selain dari itu, anda boleh menziarahi Muzium Negeri Sabah. Ia amat luas dan punyai isi yang agak menarik.

6. Membeli-Belah di Pasar Filipina

Pasar Filipina

Pusat Kraftangan atau lebih dikenali sebagai Pasar Filipina (sebut pilipin) ini memang amat popular dan merupakan lokasi menarik wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Sabah.

Mana-mana agensi pelancongan yang anda gunakan pun, pastinya akan membawa anda ke sini untuk membeli ‘souvenir‘ atau buah tangan untuk di bawa balik nanti.

Saya rasa barangan yang paling menarik yang kerap dibeli dan punyai permintaan paling tinggi di tempat ini adalah mutiara.

Apabila membeli, pastikan anda menawar serendah yang boleh dan cuba survey beberapa tempat sebelum membuat pembelian.
7. Lok Kawi Wildlife Park

Lok Kawi Wildlife Park

Waktu beroperasi: 9.30am - 5.30pm. Tempat ini terletak di jalan lama Penampang-Papar dan dibahagikan kepada dua komponen iaitu zoologi dan botani.

Dengan menjadikannya taman untuk keluarga, zoo kanak-kanak telah diberikan keutamaan.

Antara binatang yang menarik di sini ialah Borneo Pygmy elephants, monyet Proboscis yang menjadi maskot Tourism Malaysia, harimau Malaya dan juga beberapa spesis rusa.

Nak jungle trekking sejauh 1.4km pun boleh. Berjalan dengan anak-anak di sini sampai belajar secara santai memang seronok.

8. Masjid Likas

Masjid Likas

Masjid ini terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Kota Kinabalu, jalan yang sama menuju ke Universiti Malaysia Sabah.

Masjid ini mampu memuatkan sekitar 9,000-12,000 jemaah dalam satu-satu masa melebihi kapasiti yang mampu ditanggung oleh Masjid Negeri.

Lokasi tempat berhampiran laut, masjid ini kelihatan terapung diatas lagun yang dibina di sekelilingnya. Bila bulan mengambang penuh lagi cantik. Sangat menarik dan memukau mata.

Untuk pengetahuan semua, Masjid Bandaraya adalah masjid terbesar di negeri Sabah.

9. Coral Flyer (Flying Fox)

Coral Flyer (Flying Fox) Pulau Gaya

Seronoknya ziplining dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi sejauh 250 meter. Cuba bayangkan excitement, thrill dan keindahan laut yang sungguh menarik di Taman Tuanku Abdul Rahman dan hutan!

10. Rumah Terbalik Borneo

Rumah Terbalik Borneo

Rumah ini semakin popular sebagai lokasi pelancongan menarik di Sabah sejak ia diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Bagi mereka yang tidak pernah merasai masuk ke rumah yang silingnya di bawah dan lantainya di atas, silakan ke Rumah Terbalik Borneo.

Semasa di sana jangan lepaskan peluang untuk menjamu selera di Mango Garden Restaurant.

Bertempat di Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli, daerah Tuaran, nak pergi ke Gunung Kinabalu kita kena lalu Rumah Terbalik ini yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Merupakan sebuah rumah kampung yang serba lengkap serta menarik hiasan dalamannya tetapi dipasang secara terbalik termasuklah kereta. Jangan risau nak bawa ahli keluarga yang berkerusi roda kerana ianya wheelchair friendly.

11. Perdana Park

Perdana Park

Bagi mereka yang tiba di Kota Kinabalu menerusi terminal 2, anda akan melewati taman menarik ini sebaik sahaja keluar dari kawasan terminal.

Taman Ujana Perdana Park (Perdana Park) telah rasmikan oleh Perdana Menteri pada 28hb Januari 2011 dan kini menjadi antara tempat riadah, rekreasi buat penduduk tempatan.

Di sebelah siang, ia lebih kepada tempat berehat, berjogging dan bersenam. Namun, di sebelah malam ia bertukar kepada satu pusat tarikan pelancong dan aktiviti kekeluargaan.

Dua aktiviti utama di sebelah malam, makan-makan di cafe dan menyaksikan pertunjukkan air pancut berwarna-warni (tarikan utama).

Jika anda datang bersama keluarga atau anak-anak kecil, Perdana Park di Tanjung Aru adalah sesuai dimasukkan dalam itinerary anda.

12. Pemandangan Bandaraya Kota Kinabalu Dari Signal Hill

Kota Kinabalu Signal Hill

Signal Hill atau Bukit Bendera adalah lokasi tertinggi di tengah bandaraya Kota Kinabalu. Oleh itu, ia adalah satu tempat yang paling menarik untuk anda meninjau dan melihat sendiri bandaraya ini.

Di atas bukit ini, anda boleh dapat melihat dengan jelas bangunan-bangunan utama seperti Suria Sabah, Hyatt Regency Hotel, Wisma Merdeka dan lain-lain lagi.

Tempat yang menarik dan sesuai untuk berehat, mengambil udara segar dan fotografi.

13. Bird Watching Di Kota Kinabalu Wetlands Centre

Kota Kinabalu Wetlands Centre

Minat dengan aktiviti ‘bird watching‘? Di Kota Kinabalu ada tempat menarik dan sesuai untuk aktiviti ini, jika anda berkesempatan singgahlah ke Kota Kinabalu Wetlands Centre, yang terletak di kaki Bukit Bendera dan tidak jauh dari Kompleks Sukan Likas.

Terdapat kira-kira 80 spesis burung di sini.

Anda juga boleh lihat hutang paya bakau dan hidupan lain di kawasan ini yang seluas 24 hektar.

14. Melihat Ikan Kerapu Hibrid Gergasi

Ikan Kerapu Hibrid

Suka makan ikan kerapu? Bagaimana pula dengan ikan kerapu hibrid bersaiz gergasi? Sanggupkah anda makan?

Ikan kerapu hibrid ini adalah antara tarikan menarik yang terdapat di Muzium Hidupan Laut di Universiti Malaysia Sabah. Ada pelbagai hidupan laut lain juga yang di letakkan dalam akuarium di sini. Ia pasti mengembirakan si kecil anda.

Oleh kerana lokasi ini tidak besar, maka lawatan anda di sini mungkin hanya mengambil masa setengah jam sahaja.

Selamat datang ke Kota Kinabalu, Sabah.

BACA INI JUGA:

sumber: dululainsekaranglain

1 comment

  1. SP ada beberapa tempat ja pernah pergi tempat tu. Tanjung Aru, Masjid Likas,Menara S Hil, Pusat Kraftangan, Gaya Street,W Park Lok kawi,Mercu Tanda Bersejarah, tempat lain plan nak juga pergi sana..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon