Wednesday, April 19, 2017

Hukum Makruh Jual Beli Kucing Menurut Fatwa


Assalamualaikum ustaz. Saya nak dapatkan pencerahan daripada ustaz, apakah hukum membela kucing dan menjual kucing? Adakah hasil penjualan kucing tersebut haram? Terima kasih ustaz.

Hukum Jual Beli Kucing

JAWAPAN:

Para ulama khilaf dalam masalah ini.

Pertama:

Pendapat bahawa kucing ini haram dijualbeli secara mutlak berdasarkan hadis daripada Abu Zubair RA:

Maksudnya: Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu. Riwayat Muslim (1569)

Dalam hadis lain riwayat Jabir bin Abdullah - R.Anhuma -juga bahawa dia berkata:

Maksudnya, "Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing." Hadis Riwayat Abu Daud (3479) dan Tirmidzi (1279)

Al-Imam al-Syaukani mengatakan, “Al-Sinnaur adalah kucing dan padanya (hadith Jabir) menunjukkan dalil haram menjual kucing. Ini adalah pendapat Abu Hurairah, Mujahid, Jabir bin Zaid dan Tawus.” (Lihat Nayl al-Awtar, 5/172)

Kedua:

Pendapat jumhur termasuk Mazhab syafie membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli.

Begitu juga jika ia merupakan haiwan liar, maka tidak dibenarkan. Ada juga yang mengatakan bahawa kucing ini diharamkan jual beli kerana pada awal Islam ia dianggap najis, kemudian setelah tsabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci maka dibenarkan jual beli kucing.

Al-Imam al-Nawawi mengatakan, “Menjual kucing dibenarkan tanpa khilaf di sisi kami kecuali apa yang dihikayatkan oleh Al-Baghawi di dalam kitabnya Syarh Mukhtasar al-Muzani dari Ibn al-‘As yang mana berkata, “Tidak harus”, maka pendapat ini syaz, batil dan tertolak dan masyhur adalah dibolehkan dan inilah pendapat jumhur ulama’.

Seterusnya al-Imam al-Nawawi mengatakan, “Jumhur ulama mengatakan boleh dan kebolehan ini juga pada menjualnya (kucing) dan ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas, Ibn Sirin, Hamad, Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad, Ishak, Abu Hanifah dan ashab al-Ra’yi…” (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/229)

Adapun hadis berkenaan melarang jual-beli kucing maka menjawab larangan tersebut adalah seperti berikut:
  • Larangan ditujukan kepada kucing hutan yang tiada manfaatnya.
  • Larangan adalah larangan tanzih (makruh).

Seterusnya kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Adapun sekiranya terdapat manfaat, maka menjualnya sah dan halal nilai harganya dan ini adalah mazhab kami (mazhab al-Syafi’e) dan mazhab keseluruhan (jumhur).” (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/233)

Tarjih:

Kami lebih cenderung kepada hukum makruh perniagaan kucing berdasarkan larangan dalam nas.

Wallahu aĘżlam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon