Tuesday, October 04, 2016

'Diajar Ribuan Ayat Suci Oleh Lelaki Berjanggut Putih'


Dinihari itu, seperti biasa Aimanul Hakim bin Kamaruddin bangun daripada tidur. Sudah rutin dia akan bangun sebelum waktu Subuh.

Aimanul Hakim Kamaruddin

Sedang dia bersiap untuk solat, tiba-tiba dia terdengar suara laungan azan. Hakim berasa pelik.

Sebelum ini, kawasan rumahnya tidak pernah sekalipun terdengar laungan azan. Bukan apa, rumahnya agak jauh dari masjid.

Memang bunyi azan tidak sampai ke rumahnya, tapi pagi itu bunyi laungan azan sangat jelas dan agak kuat kedengaran.

"Mak, dengar tak bunyi azan?" soal Hakim.

"Mana ada. Tak dengar apa-apa pun," balas ibunya.

Hakim hairan. Kenapa hanya dia seorang yang mendengarnya. Malah, adik perempuannya juga tidak mendengar suara azan itu.

Bila sudah sibuk dengan aktiviti harian, Hakim terlupa seketika bunyi azan itu.

Malam itu lebih kurang pukul 2 pagi, ibunya selesai berniaga dan sebaik ibunya membelok masuk ke simpang rumah, dia nampak Hakim sedang membaiki motosikal.

Tiba-tiba ibunya ternampak ada seorang lelaki berjubah putih keluar daripada semak depan ditepi rumahnya lalu memegang Hakim dari belakang. Ibunya segera menjerit.

"Siapa yang pegang kau tu Hakim?" jerit ibunya.

"Mana? Tak ada siapa pun," balas Hakim sambil tercari-cari disekelilingnya.

Hakim langsung tidak nampak sesiapa disitu. Ibunya pula yang kehairanan. Memang dia nampak dengan jelas seorang lelaki memegang Hakim dan lelaki itu hilang sekelip mata bila dia menjerit.

"Emak salah nampak agaknya," kata Hakim sambil tersengih.

Seleasi mengangkat barang berniaga ibunya masuk ke dalam rumah, Hakim masuk ke bilik untuk tidur.

Sewaktu dia sedang berbaring sebelum melelapkan mata, dia terdengar suara orang sedang membaca Al-Qur'an dan juga berzikir.

Bunyi suara itu seperti jumlah orang yang ramai, walhal tiada sesiapa disitu. Hakim bingkas bangun dari katil dan tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Ia seolah-olah berada di dalam bilik tidur Hakim.

Disebabkan kepenatan, Hakim terlelap. Malam itu jugalah dia didatangi satu mimpi di mana dia sedang berada di sebuah kawasan asing.

Tempat itu cantik. Kawasan itu dilengkapi dengan perabot serta dinding berwarna putih. Hakim dapat mendengar dengan jelas suara orang sedang membaca Al-Qur'an.

Tiba-tiba dari jauh ada seorang lelaki tua berjubah putih dan berjanggut putih yang sangat panjang datang menghampiri Hakim. Wajahnya berseri-seri.

"Wahai anak muda, kau akan dilantik Allah untuk menjadi tabib," kata lelaki itu membuatkan Hakim terpinga-pinga.

Dia tidak mengerti apa yang lelaki tua itu maksudkan.

"Tabib? Apa tu?" soal Hakim.

"Tabib adalah pengubat atau perawat. Kau juga perlu bersiap sedia untuk melihat alam kubur dan benda ghaib," balas lelaki itu lagi.

HHakim semakin bingung. Dia masih tidak faham. Dia kemudian dibawa oleh lelaki itu melihat kawasan sekitar. Kawasan di situ sangat cantik dan menenangkan.

Keesokkannya, Hakim bangun seperti biasa untuk solat Subuh. Walaupun hairan dengan mimpinya, namun Hakim menganggapnya sekadar mainan tidur.

Sebaik mandi dan selesai solat, Hakim keluar untuk mengambil angin diluar rumah.

Apabila membuka pintu, Hakim terperanjat. Diluar rumah dia melihat ada bermacam-macam makhluk pelik.

Ada yang lidahnya sampai ke lantai jalan. Ada yang mukanya hancur dan sangat hodoh. Ada yang hanya berbadan separuh. Ada pula separuh haiwan dan separuh manusia. Kebanyakannya mengerikan.

Serta-merta Hakim berasa takut. Dia terus menekup mukanya dan berlari mendapatkan ibunya.

Ibunya pelik melihat Hakim dalam keadaan menggigil ketakutan.

"Betul ke tidak kau ni?" soal ibunya antara percaya dengan tidak apabila Hakim menceritakan apa yang dilihatnya.

Ibunya berasa hairan. Lagipun sebelum ini Hakim memang tidak pernah berbohong. Cuma kali ini sukar diterima kerana ia di luar logik akal.

Perkara itu berlarutan selama seminggu. Hakim menjadi takut untuk keluar rumah. Dia banyak duduk berkurung di dalam bilik dan lebih banyak mendiamkan diri. Ibunya menjadi risau dengan keadaan Hakim.

Genap seminggu, satu lagi perkara pelik berlaku. Satu malam, selepas Isyak sedang mereka duduk berehat, tiba-tiba komputer adik perempuan Hakim di atas meja terpasang sendiri.

Ibu dan adik Hakim juga melihat sendiri kejadian pelik itu.

Komputer adiknya dengan tiba-tiba sahaja tertaip sendiri, bagaikan ada orang sedang menaip, tapi mereka tidak nampak sesiapa pun sedang menaip.

Pada skrin komputer, tertera cara-cara untuk berubat. Apa yang perlu dilakukan untuk mengesan penyakit, kaedah itu dan kaedah ini.

Semuanya pelik. Tidak terjangkau dek akal waras. Bagaimana komputer itu boleh bergerak sendiri? Seolah-olah ada orang sedang menaipnya.

Malam itu juga Hakim didatangi satu lagi mimpi. Dalam mimpi itu dia diajarkan oleh seorang lelaki tua berjanggut putih yang ditemui dahulu beribu-ribu ayat Al-Qur'an.

Lelaki tua itu meminta Hakim membaca ayat sambil lelaki tua itu membetulkan bacaannya. Sekiranya salah, diulangnya sehingga betul sebutannya.

Bangun keesokan paginya, Hakim masih boleh ingat kesemua ayat-ayat itu dan membacanya dengan jelas. Ayat itu memang ayat Al-Qur'an.

Hakim dapat memastikannya kerana dia juga bekas pelajar sekolah tahfiz di Pasir Pekan, Kelantan.

Bagi mendapatkan lebih kepastian, Hakim bersama ibunya pergi bertemu dengan imam kampung. Dia membaca ayat-ayat itu dengan jelas dan fasih.

"Benar! Ia ayat Al-Qur'an. Bacaan awak juga jelas dan baik," kata imam di kampungnya.

Selepas itu, Hakim pergi pula bertemu dengan tok guru yang mengajarnya di tahfiz dahulu.

Tok gurunya kagum dengan bacaan yang Hakim alunkan. Fasih dan baik. Hakim menceritakan apa yang berlaku kepada tok gurunya.

"Ini rezeki awak. Gunalah kelebihan ini untuk kebaikan," pesan gurunya.

Penyakit Fibroid Sembuh

Pada mulanya, Hakim berasa pelik. Benarkah dia boleh mengubat? Waktu itu, ibunya memang sedang menghidap sakit fibroid. Seringkali mendapatkan rawatan tetapi belum sembuh.

Orang pertama Hakim ubatkan ibunya. Matanya seolah-olah nampak dimana punca sakit itu.

Dengan izin Allah, dia dapat membedah fibroid ibunya tanpa menitiskan setitik darah pun. Lebih kurang seminggu selepas itu, ibunya sembuh.

Cerita kesembuhan ibu Hakim menjadi heboh di kawasan sekeliling. Ramai yang tidak percaya, malah tidak kurang yang mencemuh.

Semua ini terjadi secara mendadak. Apabila Hakim berada di kedai makan, ada saja yang mahu mengusiknya.

"Kalau betul boleh berubat, cakap apa sakit saya," kata salah seorang pakcik di kampungnya.

Dengan izin Allah, satu persatu Hakim beritahu masalah pakcik itu, termasuk parut dimana pakcik itu pernah melakukan pembedahan.

Walhal sebelum ini Hakim tidak pernah tahu. Terkejut pakcik itu mendengar jawapan Hakim. Selepas itulah kecoh di kawasan Lubok Jong ada seorang 'bomoh budak'.

Penduduk kampung memanggil Hakim dengan nama 'bomoh budak' kerana usia Hakim baru 17 tahun.

Ramai yang datang untuk meminta bantuan Hakim. Kebanyakannya adalah orang setempat. Alhamdulillah, ramai yang sembuh.

Bukan hanya sakit berunsur spiritual seperti sihir, saka, santau dan sebagainya, bahkan sakit seperti buah pinggang, jantung, strok dan bermacam-macam lagi pun diubati oleh Hakim.

Malah, ada beberapa orang pesakit HIV pernah sembuh dengan bantuan Hakim. Orang yang sakit saraf tidak boleh berjalan juga sembuh dengan izin Allah, dapat berjalan semula.

Perkara yang paling membuatkan orang kampung kagum bila seorang lelaki yang sudah bertahun-tahun buta kerana matanya rosak dalam kemalangan, akhirnya boleh melihat semula setelah dirawat oleh Hakim.

Setelah kecoh nama 'bomoh budak', seorang ustaz di kampung Hakim meminta supaya nama itu ditukar. Bunyinya kurang enak.

Akhirnya, ustaz itu memberikan gelaran Ustaz Al-Hakim. Nama itu lebih sedap dipanggil dan didengar.

Kini, setiap hari Hakim menerima kunjungan daripada orang ramai dengan pelbagai jenis penyakit yang berbeza-beza.

Dari situlah dia mengumpul pengalaman dan belajar bagaimana cara untuk untuk mengubati setiap penyakit itu.

Kesembuhan semua milik Allah, Hakim sekadar membantu sahaja. Pada Hakim, Allah menurunkan penyakit dan mesti ada penawarnya. Disebabkan itulah, Allah menyuruh kita berikhtiar untuk menyembuhkannya.

Lagi satu, Hakim menganggap tugas ini juga sebagai satu ibadah untuk membantu sesama manusia.

Nota editor: Atas kelebihan yang dimiliki, Hakim mengasaskan Pusat Perubatan Al-Hakim di Lubuk Jong, Pasir Mas, Kelantan. Sesiapa yang memerlukan bantuannya boleh menghubunginya di talian 014-2938100.

*Dipetik daripada majalah mastika September 2016.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon