Thursday, September 29, 2016

Kronologi Tragedi Pesawat MH17 Ditembak Misil BUK9838!


Berikut adalah kronologi penerbangan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 hingga penemuan peluru yang digunakan untuk menembak pesawat tersebut.

MH17

17 Julai 2014. Pada 10.15 malam (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT), di kedudukan 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.

Berita antarabangsa melaporkan penemuan bangkai pesawat berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine di wilayah dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia apabila imej menunjukkan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer.

18 Julai 2014. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan siasatan segera berhubung tragedi itu. Masyarakat antarabangsa menggesa siasatan antarabangsa yang menyeluruh dan telus dibuat serta melaksanakan'gencatan senjata segera' di Ukraine.

19 Julai 2014. Pasukan siasatan khas Malaysia membabitkan 131 anggota tiba di Kiev, Ukraine namun tidak dibenar memasuki kawasan nahas ekoran perang saudara yang menyebabkan pertempuran sengit antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

21 Julai 2014. 12 anggota pasukan perunding Malaysia diketuai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lt Kol Mohd Sukri Hussain memperoleh kotak hitam MH17 dan jasad mangsa selepas tiga hari berunding dengan ketua pemisah pro-Rusia Alexander Borodai di Donestk, Ukraine.

23 Julai 2014. Malaysia mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat pesawat MAS MH17.

1 Ogos 2014. Najib tiba di Amsterdam. Malaysia dan Belanda menggesa pertempuran dihentikan di kawasan nahas.

22 Ogos 2014. Hari Perkabungan Negara diadakan di Malaysia yang mengadakan upacara khas bagi memberi penghormatan kepada 20 mangsa tragedi MH17 apabila jenazah mangsa dibawa pulang ke tanah air.

9 September 2014. Laporan siasatan awal nahas dikeluarkan pihak berkuasa Belanda membuat kesimpulan pesawat dan anak-anak kapal tidak menghantar isyarat kecemasan dan tidak melaporkan sebarang kegagalan teknikal pesawat.

Pemerhatian terhadap kerosakan mendapati terdapat kesan objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat dari luar.

1 Disember 2014. Malaysia diterima sebagai anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang tertumpu kepada siasatan jenayah susulan penembakan pesawat itu. Sebahagian daripada bangkai MH17 diangkut dengan trak dari Ukraine, penyiasat memulakan penandaan dan pemasangan semula bahagian pesawat.

18 Februari 2015. Draf resolusi terbaharu Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Ukraine mengulangi semula desakannya bagi kebertanggungjawaban pihak yang menembak pesawat Penerbangan MH17.

19 Mei 2015. Pasukan penyiasatan antarabangsa Lembaga Keselamatan Belanda kini memberi fokus terhadap analisis berhubung kesahihan fakta yang dibekalkan media berhubung kelengahan dalam penyiasatan nahas pesawat MH17.

10 Julai 2015. Malaysia menerima laporan hasil siasatan terhadap nahas udara pesawat MH17 daripada pihak berkuasa Belanda. Kerajaan memerlukan masa kira-kira 60 hari bagi meneliti laporan itu secara menyeluruh dan terperinci sebelum mengemukakan maklum balas kepada pihak berkuasa Belanda.

11 Julai 2015. Malaysia mengadakan majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi pesawat MH17.

14 Julai 2015. Negara-negara yang menjalankan siasatan jenayah bebas terhadap nahas MH17 menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menubuhkan tribunal jenayah bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah itu yang mengorbankan 298 nyawa.

17 Julai 2015. Di Belanda dan negara-negara lain, anggota keluarga mangsa MH17 menyertai upacara memperingati yang berlangsung dalam suasana penuh beremosi. Britain menggesa penubuhan tribunal antarabangsa untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

30 Julai 2015. Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang cadangan lima negara, yang dirintis Malaysia, untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

24 Ogos 2015. Malaysia menyerahkan maklum balas berkaitan laporan nahas pesawat MH17 kepada pasukan penyiasat Belanda, menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

13 Ogos 2015. Malaysia menerima laporan akhir nahas MH17 yang disediakan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu.

13 Okt 2015. Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhir itu mengesahkan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu daratan ke udara Buk dan peluru berpandu itu meletup di sebelah kiri kokpit pesawat itu.

2 Jun 2016. Seramai 11 waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) atas dakwaan cuai dan melanggar syarat penerbangan sehingga menyebabkan mereka kehilangan ahli keluarga dalam penerbangan itu.

28 September 2016. Laporan Siasatan MH17 mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai, 2014 telah ditembak oleh peluru BUK9838-Series yang dibawa dari Rusia, Kumpulan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team) yang diketuai oleh Belanda mendedahkan maklumat tersebut.

Perdana Menteri Malaysia mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.

BACA INI JUGA: Tragedi MH370, MH17 Dan QZ8501 Angkara Siapa?

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon