Tuesday, August 09, 2016

Paul Pogba Sah Milik Manchester United, Rekod Baru Termahal Dunia!


Manchester United mengumumkan telah memeterai perjanjian membawa masuk Paul Pogba dari Juventus dengan rekod perpindahan dunia sebanyak £90 juta (RM471.9 juta).

Paul Pogba

Pemain tengah Perancis itu bersetuju dengan perjanjian selama lima tahun untuk kembali ke Old Trafford, dengan pilihan untuk menyambung setahun lagi, selepas empat tahun meninggalkan England untuk ke Turin.

"Saya gembira dapat menyertai semula United. Ia sebuah kelab yang sentiasa mempunyai keistimewaan dalam hati saya, dan saya tidak sabar untuk bekerja di bawah Jose Mourinho.

"Saya menikmati musim saya di Juventus dan mempunyai kenangan indah di sebuah kelab hebat dengan pemain yang boleh saya anggap sebagai kawan. Saya rasa ia waktu tepat untuk kembali ke Old Trafford.

"Saya sentiasa gembira untuk beraksi di depan peminatnya dan sudah tidak sabar untuk memberi sumbangan kepada pasukan. Ini sebuah kelab yang tepat untuk saya mencapai segala-galanya," ujar Pogba.

Pogba merupakan pemain keempat yang diikat Jose Mourinho, selepas kehadiran Eric Bailly, Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan.

Mourinho berkata, Pogba merupakan antara pemain terbaik di dunia dan bakal menjadi nadi buat United. Saya mahu membina sebuah pasukan untuk masa depan.

"Dia pantas, tegap, menjaringkan banyak gol dan membaca permainan lebih baik daripada pemain seusianya.

Pada usia 23 tahun, dia memiliki peluang untuk mengukuhkan posisinya dalam tempoh yang lama.

"Dia pemain muda dan akan terus meningkat; dia berpeluang untuk menjadi nadi buat pasukan ini untuk dekad seterusnya dan lebih lama lagi," ulasnya.

Pogba telah membuktikan keupayaannya ketika membantu Juventus dengan memenangi empat kejuaraan Serie A, dua gelaran Coppa Italia.

'Saya mempunyai beberapa tahun terbaik lagi' - Rooney

Wayne Rooney

Sementara itu, Kapten Manchester United, Wayne Rooney, bertegas dia belum menghampiri penghujung tempoh bermainnya menjelang musimnya yang ke-15 sebagai seorang pemain profesional.

Penyerang England berusia 30 tahun itu berdepan bekas kelabnya, Everton, dalam perlawanan penghargaan buatnya pada Rabu, tapi dia menyasarkan beberapa musim mendatang yang sarat dengan trofi berbanding menimbangkan persaraan.

Walaupun kejayaan memenangi Piala FA musim lalu adalah trofi pertama United sejak Alex Ferguson meninggalkan kelab itu pada 2013, Rooney berkata kemungkinan untuk terus meraih kegemilangan membuatnya mahu terus beraksi.

“Apabila anda bermain sebagai seorang kanak-kanak, anda tidak pun memikirkan kejayaan, sebaliknya anda hanya mahu bermain.

"Ia hanya apabila anda mula bermain secara profesional, anda mula sedar sasaran dan cita-cita anda – dan ia harus untuk memenangi trofi-trofi," ujarnya.

Tambah Rooney, dia telah melakukannya bersama Manchester United tapi mahu menang lebih daripada itu.

"Saya masih mempunyai beberapa tahun untuk beraksi. Harap-harap saya masih mampu melakukan itu dan masih berada di sini selepas 20 musim, bercakap mengenai lebih banyak trofi yang kami telah menangi.

“Masa berlalu dengan pantas. Saya menikmatinya, detik-detik gembira mahupun duka, jadi diharapkan musim ke-15 akan memberikan kejayaan.

Menurutnya, bola sepak kini sudah berubah, dan pemain harus menjaga diri sendiri dan memastikan diri cergas untuk bermain.

"Saya mahu terus melakukan itu dan terus beraksi," ujarnya.

BACA INI JUGA: Zlatan Ibrahimovic 'Datang Seperti Raja, Pergi Sebagai Lagenda'

Sumber: Astroawani

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon