Monday, July 04, 2016

Euro 2016, Perancis Akhiri ‘Cerita Dongeng’ Iceland


Perancis ternyata terlalu sukar untuk ditundukkan Iceland yang tewas dengan jaringan besar 5-2 pada pertembungan suku akhir Euro 2016 di Stade De France.

Perancis vs Iceland

Hakikat itu terpaksa diakui Iceland yang melangkah ke suku akhir dengan menyingkirkan England di peringkat 16 terakhir apabila gawang mereka dirobek sebanyak empat kali pada babak pertama.

Perancis jelas enggan membiarkan kebangkitan Iceland yang meledak gol pertama pada babak kedua dengan menambah gol kelima, tiga minit kemudian.

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud cemerlang pada perlawanan terbabit dengan menyumbangkan gol pada setiap babak permainan.

Selepas membuka tirai jaringan seawal minit ke-13, Giroud meledak gol kedua peribadinya pada perlawanan itu pada minit ke-59 sebelum dikeluarkan, seminit kemudian.

Tidak mahu mimpi ngeri yang melanda England berulang, Perancis menambah gol kedua menerusi pemain sensasinya, Paul Pogba pada minit ke-20 diikuti gol ketiga Dimitri Payet pada minit ke-43.

Penyerang berbisa Perancis, Antoine Griezmann kemudian menambah gol keempat pada minit ke-45 untuk tuan rumah menuju ke bilik persalinan dengan tenang.

Berbeza dengan aksi separuh masa pertama yang jelas dikuasai Perancis, Iceland berjaya mengimbangi permainan pada babak kedua dengan Kolbeinn Sigthorsson merapatkan kedudukan pada minit ke-58.

Tetapi, Perancis pantas melebarkan kembali jurang kedudukan menerusi jaringan Giroud yang juga gol terakhir tuan rumah pada perlawanan itu.

Ketika permainan hampir ke penghujung, Iceland sekali lagi melakukan kejutan dengan meledak gol kedua menerusi Birkir Bjarnason pada minit ke-84.

Gol itu begitupun sudah terlambat buat Iceland yang mencipta rekod penampilan terbaik sehingga ke suku akhir pada kempen Euro 2016.–Agensi

BACA INI JUGA: Rahsia Kejayaan Bola Sepak Iceland Di Peringkat Dunia!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon