Tuesday, March 08, 2016

Gempar Ayat Al-Qur'an ‘Ghaib’ Di Masjid Hijau!


Seorang naib kadi Pejabat Agama Islam Parit Buntar tidak menyangka dua muka surat ayat suci al-Qur'an milik Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini, lenyap sewaktu hendak membacanya pada waktu pagi.

Ayat Al-Qur'an ‘Ghaib’

Mohamad Khori Junus berkata, lebih kurang jam 11.05 pagi, dia menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan berhajat membacakan Surah Al-Waqi’ah sementara menunggu kehadiran pasangan pengantin untuk dijalankan upacara akad nikah.

Menurutnya, dia segera mengambil salah satu naskhah al-Qur'an yang diletakkan di bahagian mimbar masjid dan terkejut mendapati sebahagian besar ayat Surah Ar-Rahman dan permulaan ayat Surah Al-Waqi’ah yang ingin dibaca ‘hilang’ ketika membukanya.

“Saya sangat terkejut dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kebetulan turut berada di situ bagi menjadi saksi nikah.

“Beliau (imam masjid) memaklumkan tidak pernah mengetahui terdapat sebarang naskhah al-Qur'an tidak sempurna disimpan pihak masjid dan meminta saya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk),” katanya kepada media.

Mohamad Khori berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebahagian ayat dari Surah Ar-Rahman yang hilang bermula ayat 41 hingga ayat 78, manakala ayat dari Surah Al-Waqi’ah pula bermula ayat pertama sehingga ayat 16.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap mungkin berlaku kesilapan cetakan pada naskhah al-Qur'an Resam Uthmani yang merupakan cetakan keempat sembilan tahun lalu.

“Namun, apabila memikirkan proses pencetakan al-Qur'an perlu melalui prosedur amat ketat oleh panel pemeriksaan dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), saya memutuskan penemuan ayat al-Qur'an hilang mungkin merupakan satu peringatan kepada umat Islam,” katanya.

Lebih mengejutkan, Mohamad Khori mendedahkan intipati sebahagian ayat al-Qur'an hilang terutama ayat permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang kejadian-kejadian besar pada hari kiamat.

"Dewasa kini, amalan membaca al-Qur'an dalam kalangan umat Islam di negara ini dilihat semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berharap penemuan ini tidak disalah tafsir, sebaliknya dijadikan iktibar dan pedoman buat diri saya dan seluruh umat Islam untuk kembali taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulnya,” katanya.

Mohamad Khori turut mendedahkan pengalaman ini pertama kali dialaminya dan berharap perkongsian pengalaman itu dapat mengingatkan umat Islam supaya kembali mengimarahkan bacaan al-Qur'an setiap masa.

BACA INI JUGA: Akhirnya Telah Lengkap Tanda-tanda Kiamat Kecil

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon