Thursday, January 07, 2016

Apa Sebenarnya Bauksit?

Apa itu bauksit dan apa sebenarnya manfaat serta kegunaan bauksit ini? Bauksit adalah bijih utama bagi menghasilkan aluminium yang mengandungi sebatian oksida aluminium dan hidroksida boehmit dan gibsit, bersama dengan silika selain oksida besi serta mineral tambahan seperti goetit, hematit, kaolini dan anatase atau rutil.

Bauksit


Sejarah dan Asal-usul Penemuan Bauksit

Bauksit merupakan sisa-sisa mendapan lempung yang lazim terdapat di kawasan tropika dan subtropika dan nama "bauksit" diambil bersempena dengan sebuah kampung di selatan Perancis yang dikenali sebagai Les Baux, tempat bauksit mula-mula ditemui pada tahun 1821 oleh seorang ahli geologi bernama Pierre Berthier.

Pada tahun 1861, ahli kimia dari Perancis, Henri Sainte-Claire Deville menamakan bijih ini bauksit.

Bauksit di Tanah Melayu pula hanya mula dikenali dan dijalankan perlombongannya pada tahun 1936 di Bukit Pasir berhampiran dengan Batu Pahat.

Sebelum Perang Dunia II, dua lombong bauksit telah dibuka iaitu di Perigi Acheh dan Sri Medan.

Namun kedua-dua lombong bauksit tersebut telah ditutup pada tahun 1941 apabila meletusnya Perang Dunia II.

Kebanyakan hasil bauksit Tanah Melayu dieksport ke negara Jepun dan hanya sebahagian kecil sahaja bauksit dieksport ke Australia dan Taiwan.

Selepas Perang Dunia II, industri aluminium atau perlombongan bauksit ini bermula di Teluk Ramunia, Penggerang di Johor sekitar tahun 1955.

Sekarang industri bauksit Teluk Ramunia sudah menjadi sejarah dan kini hanya industri pengambilan pasir silika untuk kegunaan industri tempatan dan juga eksport ke Singapura.

Selain itu terdapat juga industri keluli dan beberapa industri berkaitan petroleum dan gas di sana.

Bagaimana Bauksit terhasil?

Bauksit terbentuk hasil daripada batuan sedimen yang mempunyai kadar Al nisbi yang tinggi, kadar Fe yang rendah dan kadar kuarsa (SiO2) yang kurang atau langsung tiada.

Batuan tersebut, misalnya sienit dan nefelin berasal daripada batuan beku, batu lempung, lempung dan serpih. Batuan-batuan ini akan mengalami proses lateritisasi, yang kemudiannya melalui proses dehidrasi lalu mengeras menjadi bauksit.

Bauksit boleh ditemui di dalam lapisan mendatar tetapi kedudukannya pada kedalaman tertentu.

Potensi dan cadangan endapan bauksit terdapat di Pulau Bintan, Kepulauan Riau, Pulau Bangka dan Pulau Kalimantan serta Kuantan, Malaysia.

Apa sebenarnya kegunaan utama dan bahaya bauksit?

Apabila bauksit diproses, ia akan menghasilkan alumina, yang boleh digunakan sendiri atau digunakan untuk menghasilkan aluminium.

Aluminium adalah logam yang digunakan secara meluas yang dapat dilihat dalam aplikasi pembuatan pesawat dan peralatan rumah, menjadikan bauksit sebagai sumber selamat logam yang sangat penting.

Malah, terdapat sesetengah kes, hasil pemprosesan bauksit merupakan komponen utama untuk membuat dinding kapal terbang, feri dan beberapa barangan lain yang ada hubung kait dengan pembentukan aluminium.

Namun, disebalik penghasilan yang memberi manfaat kepada manusia, impak daripada perlombongan bauksit ini, jika tidak dikawal dan diselia dengan sempurna, ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius.

Penghasilan debu merah yang berterbangan dan ditambah pula dengan keadaan musim panas tropika di negara tertentu mampu memburukkan keadaan.

Terdapat satu kajian yang dilakukan menunjukkan, jika seseorang itu terdedah kepada bauksit sepanjang masa, potensi untuk mereka mendapat penyakit alzheimer adalah cukup tinggi.

Negara-negara pengeluar utama Bauksit

Bauksit

Pada tahun 2009, Australia ialah pengeluar bauksit terbesar dengan satu pertiga daripada pengeluaran dunia, diikuti dengan China, Brazil, India, dan Guinea.

Walaupun permintaan terhadap aluminium bertambah dengan cepat, simpanan bijih bauksit yang diketahui cukup untuk memenuhi permintaan dunia untuk aluminium selama beberapa abad.

Pertambahan dalam pengitaran semula aluminium, dengan manfaat mengurangkan kos kuasa elektrik dalam penghasilan aluminium, akan menambahkan simpanan bauksit dunia.

Kegunaan Bauksit

Bauksit terbentuk hasil kesan pemendapan dan pemampatan batu batuan yang memakan masa tempoh lama (mungkin berjuta tahun), dicampur dengan elemen dehidrasi (pengeringan) oleh suhu panas.

Kebiasaannya mineral bauksit mudah ditemui di kawasan tanah berbanding minyak dan gas serta sesetengah bijih besi dan bijih timah tertentu yang memerlukan penggalian tanah yang sangat dalam.

Bauksit kebanyakkannya digunakan dalam industri penghasilan seramik, penghasilan jentera mesin dan kenderaan terutama badan kapal terbang, industri pembungkusan khususnya pembungkusan makanan dalam tin, serta pembinaan bangunan seperti struktur bumbung dan atap.

Bauksit dikatakan mampu bertahan pada suhu rintangan dan pembakaran yang sangat tinggi. Selain itu, bauksit juga digunakan dalam bahan kimia untuk menyahkan kotoran berupa minyak, gas nitrogen dan sulfur.

Mengapa Bauksit Bewarna Merah?

Selain mengandungi mineral gibsit [Al(OH)3], bohmit [AlO(OH)] dan diaspor [HAl2O3] yang diekstrak aluminiumnya untuk kegunaan komersil, tanah bauksit juga mengandungi mineral sampingan seperti kuarza, kaolinit, kalsit, rutil dan mineral-mineral besi, terutama hematit dan goetit.
Ketiga-tiga mineral yang kaya Aluminium ini (gibsit, bohmit, diaspor) sebenarnya berwarna PUTIH, seakan-akan kaolin.

Mineral yang menghasilkan warna merah kepada tanah bauksit ialah hematit [Fe2O3] dan goetit [Fe2O3.H2O].

Menurut pakar, apa-apa mineral pun sekiranya tinggi kandungan besi ferik, Fe2O3, ini akan membawa kepada penghasilan warna merah.

Secara purata, kandungan bauksit yang dilombong secara besar-besaran terdapat di lima negara iaitu Greece, Brazil, Australia, India dan Indonesia dan mendapati kandungan hematit ialah 10% dan goetit 5% daripada keseluruhan tanah bauksit yang dilombong.

Peratusan jumlah mineral bauksit juga boleh ditentukan dalam masa DUA JAM sahaja melalui peralatan Sinar-X dan Scanning Electron Microscopy (XRF, XRD, SEM) dan tidak perlu menunggu sehingga dua tiga minggu seperti didakwa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Debu Bauksit Boleh Menyebabkan Alzheimer!

Sumber: Facebook Profesor Dr Hamzah Mohamad/majalahsains

5 comments

Asalam SP..hebat SP buat kajian..tahnia..blog ni sumber rujukan..bloggernya hebat kaya ilmu..tahnia

Bauksit oh bauksit. Bilalah nak selesai masalah ni. Diharap permintaan rakyat dipenuhi

semalam bapa saya baru tanya, bauksit ni sama dengan bijih timah ke? saya jawab tak. artikel ni sangat sangat membantu.

Asyik duk kecoh isu bauksit nih! tapi tak tahu apa itu bauksit huhuuu...
Thanks for sharing ya... :-)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon

Loading...