Tuesday, December 08, 2015

'Sudahkah Najib Serah Duit RM2.6 Bilion Kepada UMNO?'


Terkini dalam isu wang derma berbilion-bilion, Tun Mahathir mengemukakan soalan terbaharu kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion.

Tun Dr Mahathir

Menurut Mahathir, selagi soalannya itu tidak dijawab, beliau tidak akan puas hati kerana suaranya mewakili rakyat.

"Sudahkah Datuk Seri Najib menyerahkan RM2.6 bilion ini kepada UMNO? Saya nak tanyalah. Ini saya rasa bukan jenayah. Saya tanya sahaja.

"Kalau tak serah lagi, duit itu ada di mana? Untuk apa? Buat apa? Selagi tidak boleh terangkan kepada saya, saya tak puas hati. Rakyat semua nak tahu," ujarnya ketika berucap pada Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno di Kelab Sultan Sulaiman, minggu ini.

Turut hadir pada majlis itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Malah Mahathir turut memberitahu kehadirannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan itu.

"Sepatutnya dalam Mesyuarat Agung Umno dalam penyata kewangan tahun lepas dan tahun sebelumnya disebut di dalamnya Umno telah menerima derma dari DS Najib sebanyak RM2.6 bilion. Siapa yang ingat ada dinyatakan dalam penyata kewangan (sebelum ini)?

"Kali ini pun saya nak dengarlah.‎ Sebab itu saya nak pergi ke mesyuarat agung Umno," katanya.

Menurutnya lagi, Bendahari Umno perlu menjelaskan kedudukan kewangan parti.

"Mengikut peraturan, bendahari Umno mesti jelaskan kedudukan kewangan Umno.

"Saya nak tahu ada tak RM2.6 bilion (dalam penyata kewangan Umno). Kalau tak ada, di mana wang itu?," tanyanya lapor Sinar Online.

Penderma mahu masukkan RM2.6b ke akaun peribadi

Najib

Sementara itu, Perdana Menteri Najib Tun Abdul Razak menegaskan bahawa derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bukan dari dana awam atau syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berkata perkara itu telah pun disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menemui para penderma dana itu.

"Saya tidak melakukan sesuatu kesalahan dari segi undang-undang atau pun dari segi amalan, perkara ini telah pun dijelaskan dalam dewan Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Penderma-penderma telah pun disahkan dan telah pun ditemui oleh SPRM dan SPRM telah pun mendapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka," kata Najib dalam temubual bersama stesen televisyen TV3.

Temubual itu dikendalikan oleh Editor Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Bhd Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Editor Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid; dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak.

Video temubual itu turut dimuatnaik di laman web www.newsplus.my/live-tv.

Ditanya mengapa dana itu dimasukkan ke akaun peribadinya, Perdana Menteri menjelaskan ia adalah kehendak penderma itu sendiri dan derma itu dilakukan secara peribadi.

Beliau berkata, sewaktu akaun itu diwujudkan Bank Negara telah dimaklumkan.

"Jadi tidak ada niat sama sekali untuk menipu atau untuk melakukan sesuatu perkara sebab Bank Negara telah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun ini.

"Tapi jangan salah ertikan, akaun itu atas nama saya tetapi tidaklah ibarat macam akaun peribadi kita sendiri. Dan saya yakin bahawa setelah siasatan berjalan sepenuhnya, bahawa kebenaran akan timbul pada kesudahannya," katanya.

SPRM mengesahkan pihaknya telah menghantar pegawai ke Timur Tengah bagi mengadakan pertemuan dengan penderma dana RM2.6 bilion.

Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan.

SPRM bagaimanapun tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu kerana siasatan masih berjalan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu dari semasa ke semasa. -Bernama

BACA INI JUGA: Pakatan Misteri Disebalik Sumbangan RM2.6 Bilion?‎

2 comments

  1. isu yang hangat ni SP masih dalam p=bualan manusia, saya membaca ja

    ReplyDelete
    Replies
    1. Entah apa yang najib fikir. Sangat ganjil 2.6 bilion hanya diberi percuma..huhu

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon