Wednesday, October 28, 2015

Kenapa Bintang Berkelip?


Kata orang, kalau rindu si dia pandanglah langit dan lihatlah bintang yang paling kuat berkelip kerana si dia juga sedang melihat bintang itu.

Bintang Berkelip

Itu ungkapan orang yang sedang dilamun cinta. Bagi orang yang tidak bercinta pula, mari kita fikir kenapa bintang tidak berkelip-kelip?

Cuba perhatikan langit ketika cuaca tenang tanpa awan tebal. Pasti anda dapat melihat taburan bintang bergemerlapan seperti lampu 'lip-lap'.

Kadang-kadang ia seolah-olah berubah warna dari kuning ke merah atau biru dan sebagainya.

Sebenarnya, bintang tidak berkelip atau bertukar warna jika dilihat dari angkasa lepas atau dilihat dari bulan.

Setiap masa, cahaya bintang akan memancar secara stabil dan konsisten, tetapi disebabkan oleh beberapa faktor lain, ia kelihatan berkelip.

Perkara ini terjadi kerana bumi memiliki atmosfera dan dalam lapisan atmosfera, terdapat molekul udara yang bergerak bebas.

Suhu serta ketumpatan atmosfera juga berbeza-beza menyebabkan ia kadangkala bergelora seperti ombak.

Apabila cahaya bintang menyusut masuk melalui lapisan atmosfera yang sedang bergelora, ia akan terbias dan membengkok secara zig-zag. Perkara inilah yang menyebabkan bintang seakan-akan bergerak-gerak. Lalu, mata kita mentafsirkannya sebagai bintang sedang berkelip-kelip.

Dalam bahasa saintifiknya, keadaan ini dipanggil Stella Scintillation atau Astronomical Scintillation.

Contohnya, cuba campakkan sekeping duit syiling kedasar kolam dan perhatikan dari tebing. Anda akan melihat pergerakan duit syiling seakan-akan 'menari' dari dasar kolam. Padahal, duit syiling tersebut tidak berubah bentuk sedikit pun.

Menurut hukum fizik, ketika cahaya melalui dua medium dengan pembiasan berbeza, cahaya akan menjadi bengkok atau terbias.

Bagi duit syiling yang dicampak kedalam kolam, cahaya yang dipantulkan akan melalui dua medium iaitu air dan udara sebelum sampai kepada penglihatan kita.

Oleh kerana permukaan air tidak tenang, kedudukan duit syiling yang sebenarnya tidak berubah, akan kelihatan berubah-ubah.

Begitulah juga yang terjadi kepada cahaya bintang apabila melewati atmosfera. Ketika cahayanya melalui atmosfera bumi, cahaya bintang akan dibiaskan oleh lapisan udara yang bergerak-gerak. Hasilnya, posisi bintang akan kelihatan seakan-akan meliuk-lentuk.

Bagaimanapun, oleh kerana formasi pembiasan cahaya bintang sangat kecil untuk dilihat dari Bumi, maka kita hanya dapat melihat kerdipan sahaja.

Bagaimana pula dengan planet?

Jika diperhatikan, kedudukan bintang sebenarnya sangat jauh dari bumi dan hanya kelihatan seperti satu noktah cahaya sahaja daripada penglihatan mata kasar mahupun ketika menggunakan teleskop berteknologi tinggi.

Oleh itu, apabila cahaya melalui atmosfera, proses pembiasan boleh dilakukan dengan baik. Bagaimanapun, tidak bagi planet yang berada sangat hampir dengan bumi.

Planet yang memiliki ukuran jauh lebih kecil daripada bintang, akan kelihatan lebih besar apabila berjarak sangat dekat dengan bumi.

Sekalipun melihat planet dengan menggunakan teleskop, ia tetap kelihatan seperti piring dan bukan titik cahaya.

Oleh kerana saiz planet yang besar, maka ia tidak mempengaruhi proses pembiasan apabila melalui atmosfera.

Oleh itu, jika dilihat dengan mata kasar sekalipun, planet tidak kelihatan berkelip-kelip sebaliknya bersinar secara tetap.

Namun, adakalanya bintang juga boleh kelihatan tidak berkelip. Contohnya, apabila kita berada disatu lokasi bersuhu sejuk, maka keadaan molekul udara lebih stabil.

Dalam keadaan itu, anda akan dapat menyaksikan bintang-bintang yang tidak berkelip sama seperti sebuah planet.

Anda suka melihat bintang dilangit?

BACA INI JUGA: NML Cygni, Bintang Paling Besar Di Alam Semesta

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

  1. kalau rindu si dia pandanglah langit dan lihatlah bintang yang paling kuat berkelip kerana si dia juga sedang melihat bintang itu.

    Ayat tu.....gerimis mengundang..haha

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon