Saturday, September 12, 2015

10 Selebriti Hollywood Yang Ketagih Berkahwin!


Stigma perkahwinan di Hollywood sering berdepan tanggapan negatif kerana selalu berakhir dengan penceraian. Perkahwinan di sana seumpama menukar baju. 'Wabak' itu tidak pernah ada penawarnya dan terus berjangkit.

Populariti dan kesibukan menjadi antara faktor penceraian mereka. Namun apabila jumlah perkahwinan seseorang artis meningkat lebih daripada tiga kali, ia mula jadi bualan.

Sejak era 1940-an lagi, kahwin cerai bintang Hollywood sudah dilihat. Nama besar seperti Elizabeth Taylor dan Marilyn Monroe sudah sinonim dengan kahwin cerai. Kita imbas kembali beberapa selebriti yang menjadi perhatian kali ini.

Joan Collins

Joan Collins

Lima kali perkahwinan adalah rekod bagi aktres sensasi yang juga pelakon siri popular Dynasty, Joan Collins. Joan mulanya berkahwin dengan Maxwell Reed pada 1952 dan bercerai pada 1956. Selepas itu beliau berkahwin dengan Anthony Newley pada 1963 dan bercerai pada 1970.

Kemudian dia berkahwin pula dengan Ron Kass pada 1972 dan bercerai pada 1983. Kemudiannya Joan berkahwin dengan pemuzik dari Sweden bernama Peter Holm pada 1985 dan rumah tangga mereka hancur pada 1987. Kini beliau bersuamikan Percy Gibson yang 32 tahun lebih muda daripadanya, sejak 2002.

Billy Bob Thornton

Billy Bob Thornton

Wanita sentiasa menjadi subjek utama bagi Billy Bob Thornton tetapi dia dianggap suka dengan perkahwinan yang tergesa-gesa. Tidak hairanlah lima wanita pernah bersetuju untuk berkahwin dengannya termasuk yang paling terkenal, aktres jelita Angelina Jolie.

Billy berkahwin dengan Angelina pada 2000 sehingga 2003 namun sebelumnya dengan Pietra Dawn Cherniak (1993-1997), Cynda Williams (1990-1992), Toni Lawrence (1986-1988) dan Melissa Lee Gatlin (1978-1980).

Ketika bertunang dengan pelakon Laura Dern, Billy mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Angelina Jolie. Jurang usia 20 tahun tidak pernah menjadi tembok penghalang.

Malah perkahwinan bersama Angelina menjadi bualan kerana pasangan itu sentiasa bangga memaparkan percintaan serta ikatan kesetiaan yang aneh apabila memakai 'loket darah' masing-masing di leher mereka.

Elizabeth Taylor

Elizabeth Taylor

Lapan perkahwinan termasuk dua perkahwinan dengan individu yang sama-itulah kehebatan Elizabeth Taylor. Elizabeth mulanya berkahwin dengan Nicky Hilton pada 1950 selama setahun dah kemudiannya berkahwin dengan Michael Wilding pada 1952. Seterusnya berkahwin pula dengan Michael Todd juga dalam tempoh setahun sebelum bercerai.

Cinta agung Elizabeth Taylor nyata lebih kepada Richard Burton dan mereka berkahwin pada 1964 selepas berkenalan dalam sebuah filem. Mereka bertahan selama 10 tahun sebelum bercerai pada 1974.

Selepas 16 bulan bercerai, Richard dan Elizabeth berkahwin semula. Dia kemudian berkahwin pula dengan John Warner tetapi bercerai pada 1982. Akhir sekali Elizabeth berkahwin dengan Larry Fortensky, seorang pekerja binaan pada 1991 dan bercerai pada 1996.

Selain daripada perkahwinan, Elizabeth juga dikatakan mempunyai banyak hubungan sulit dengan lelaki lain ketika berkahwin.

Pamela Anderson

Pamela Anderson

Siapa yang tidak terkenal pelakon siri Baywatch, Pamela Anderson. Susuk tubuhnya jelas mencetuskan satu fenomena dalam dunia selebriti di Hollywood. Selain kerjaya lakonannya, Pamela juga seorang model, penerbit, penulis dan aktivis. Selain Baywatch, dia turut dikenali menerusi siri Home Improvement dan VIP.

Pamela kemudian dikenali sebagai Pamela Anderson Lee selepas berkahwin dengan pemain dram kumpulan Motley Crue, Tommy Lee pada 1995. Namun mereka akhirnya bercerai tiga tahun kemudian.

Sepanjang bersama, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Brandon Lee dan Thomas Dylan Jagger Lee.

Pamela juga pernah bertunang dengan model Marcus Schenkenberg dan kemudian berkahwin dengan Kid Rock pada 2006. Mereka bagaimanapun bercerai dan cinta Pamela beralih pula kepada produser filem Rick Solomon.

Mereka berkahwin dalam satu majlis di Las Vegas pada 2007. Bagaimanapun, perkahwinan itu dibatalkan dua bulan kemudian atas sebab tertentu sebelum mereka berkahwin semula kemudiannya.

Marilyn Monroe

Marilyn Monroe

Perkahwinan bintang legenda Marilyn Monroe atau Norma Jeane Mortenson juga pernah menjadi bualan hangat. Pun begitu dia dilihat seiring mengalami depresi dan kesedihan atas kegagalan tiga-tiga perkahwinannya. Ini ditambah dengan skandalnya dengan pemimpin tersohor John F Kennedy (JFK).

Perkahwinan pertama Marilyn terbina pada 1942 dengan James Dougherty. Ketika itu dia baru berusia 16 belas tahun. Mereka bagaimanapun bercerai empat tahun kemudian.

Perkahwinan kedua Marilyn terjadi pada 1954 dengan Joe DiMaggio, namun berakhir pula dalam tempoh setahun. Seterusnya muncul perkahwinan ketiga Marilyn dengan Arthur Miller selama lima tahun bermula 1956. Ia dikatakan memberi kesan negatif yang merosakkan tingkah laku dan diri Marilyn.

Umum juga pernah bergosip Marilyn pernah berkahwin dengan penulis Robert Slatzer. Pelakon legenda Marlon Brando juga pernah dikaitkan ada hubungan sulit dengan Marilyn. Khabar angin turut mengatakan Marilyn dan DiMaggio sebenarnya sedang berdamai kembali apabila Marilyn tiba-tiba ditemui mati.

Bonnie Lee Bakley

Bonnie Lee Bakley

Nasib penyanyi dan pelakon Bonnie Lee Bakley tidak seindah diimpikan. Sejak kecil lagi dia ingin berkahwin dengan selebriti terkenal. Bonnie yang dilahirkan di New Jersey berhenti sekolah pada usia 16 tahun. Ketika berusia 21 tahun, dia berkahwin dengan sepupunya, Paul Gawron dan mendapat dua anak.

Bonnie pernah berkahwin dengan Evangelos Paulakis pada 1971, Robert Moon (1984-1987), DeMart C Besly (1988), Joseph Brooksher (1992), William Webber (1993), E Robert Telufson (1994), Glynn H Wolfe (1995), John Ray (1996) dan Robert Blake (2000).

Pada tahun 2001, tragedi menimpa apabila Bonnie dijumpai terbunuh dalam sebuah kereta dengan tembakan di kepala di Studio City selepas makan malam. Suaminya, Blake mendakwa dia meninggalkan Bonnie dalam kereta kerana mahu kembali ke restoran itu selepas tertinggal sesuatu.

Zsa Zsa Gabor

Zsa Zsa Gabor

Seniwati Zsa Zsa Gabor juga jaguh dalam kahwin cerai. Dia pernah berkahwin dengan Fredric Prinz von Anhalt (1986-kini), Felipe de Alba (1983-1983), Michael O'Hara (1976-1983), Jack Ryan (1975-1976), Joshua S. Cosden Jr (1966-1967), Herbert Hutner (1962-1966), George Sanders (1949-1954), Conrad Hilton (1942-1947) dan Burhan Asaf Belge (1937-1941).

Zsa Zsa lahir pada 1917 adalah sosialit kelahiran Hungary yang terkenal dengan gaya lakonan seksi dan manja dalam filem, di pentas Broadway dan TV. Beliau memulakan kerjaya seni di peringkat Vienna selain pernah dinobatkan sebagai ratu cantik Miss Hungary 1936.

Dengan gaya menggoda dan penuh dengan tarikan beliau sentiasa menjadi rebutan ramai selebriti lelaki Barat.

Selain filem dan televisyen penampilan, dia paling dikenali kerana kerap berkahwin termasuk hartawan hotel Conrad Hilton (moyang kepada Paris Hilton) dan pelakon George Sanders.

Kenny Rogers

Kenny Rogers

Penyanyi muzik country & western, Kenny Rogers pernah digelar The Gambler apabila disentuh mengenai sejarah perkahwinannya. Beliau pernah berkahwin lima kali. Beliau kini berkahwin dengan Wanda Miller sejak 1997 tetapi sebelum itu mendirikan rumah tangga dengan Marianne Gordon (1977-1993), Margo Anderson (1964-1976), Jean Rogers (1960-1963), Janice Gordon (1958-1960).

Dalam kerjayanya, Kenneth Donald 'Kenny' Rogers cukup dikenali sebagai seorang penyanyi, komposer, jurugambar, produser, pelakon dan usahawan hanadalan.

Beliau antara penyanyi Amerika Syarikat yang berjaya dengan mencatatkan lebih daripada 120 single hit dalam pelbagai genre muzik, mengungguli carta album pop lebih daripada 200 minggu individu di Amerika Syarikat dan mampu menjual lebih 165 juta unit album di seluruh dunia.

Mickey Rooney

Mickey Rooney

Mickey Rooney antara pelakon yang paling lama bertahan dalam sejarah 'showbiz'. Beliau pernah muncul dalam lebih 300 filem dan bermula sejak era filem bisu.

Mickey penah berkahwin dengan lapan wanita tetapi isterinya yang terakhir bernama Jan berjaya mengekalkan perkahwinan selama 35 tahun.

Antara wanita yang pernah hadir dalam hidup Mickey Rooney adalah Jan Chamberlin (1978-2014), Carolyn Hockett (1969-1975), Marge Lane (1966-1967), Carolyn Mitchell (1958-1966), Elaine DeVry (1952-1958), Martha Vickers (1949-1951), BJ Baker (1944-1949) dan Ava Gardner (1942-1943).

Kehidupan peribadi Mickey seumpama puting beliung. Beliau berjuang dengan alkohol dan ketagihan pil dan berkahwin lapan kali.

Walaupun pendapatan yang diterimanya berjuta dolar tetapi beliau memfailkan muflis pada 1962.

Larry King

Larry King

Terkenal sebagai seorang playboy, Larry King adalah 'Raja Talkshow' yang lahir pada 1933. Dia sering menerima pelbagai anugerah dalam bidangnya dan Larry King Live adalah programnya yang amat sinonim dengan CNN.

Larry pernah berkahwin dengan tujuh wanita iaitu Shawn Southwick (1997 hingga sekarang), Julie Alexander (1989-1992), Sharon Lepore (1976-1983), Alene Akins (1967-1972), Mickey Sutphin (1963-1967), Alene Akins (1961-1963), Annette Kaye (1960-1961), Freda Miller (1952-1953).

BACA INI JUGA: 5 Ibu Mertua Paling Menakutkan Di Dunia

Sumber: Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon