Thursday, August 20, 2015

Britain Cadang e-Rokok Ganti Rokok


Pakar-pakar kesihatan awam Britain melalui satu kajian semalam mencadangkan rokok elektronik (e-rokok) wajar diperkenalkan kepada perokok untuk membantu mereka menghentikan tabiat buruk itu.

Gadis hisap vapor
Gambar hiasan.

Kajian oleh pihak berkuasa Kesihatan Awam England (PHE) mendapati e-rokok yang dikenali sebagai vapor adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding rokok konvensional.

Penulis bersama kajian itu, Profesor Ann McNeill dari King’s College London berkata, peranti berkuasa bateri itu dapat mensimulasikan perasaan merokok tetapi tanpa kandungan nikotin yang membahayakan kesihatan perokok.

Tabiat merokok merupakan punca utama kematian boleh dicegah di England berjumlah lebih 80,000 setahun, menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan.

Populasi rakyat Britain yang me­rokok pula ialah satu dalam setiap lima penduduk.

“Merokok masih menjadi pembunuh nombor satu di England dan perkara terbaik yang boleh dilakukan perokok ialah berhenti terus,” kata Pengarah Kesihatan dan Ke­sejahteraan Hidup PHE, Profesor Kevin Fenton.

“E-rokok bukan bebas risiko sepenuhnya tetapi jika dibandingkan dengan rokok konvensional, bukti menunjukkan ia hanya membawa sebahagian kecil daripada kemudaratan rokok.”

Vapor kurang popular berbanding rokok konvensional, manakala dianggarkan hanya 2.6 juta rakyat Britain menggunakan e-rokok.

Ketika ini, tiada satu pun peranti e-rokok mempunyai lesen bagi tujuan perubatan di Britain. Ini bermakna doktor tidak boleh mencadangkan penggunaannya kepada pesakit.

Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa bertentangan dengan persepsi awam, e-rokok tidak membahayakan kesihatan dalam cara yang sama seperti rokok konvensional.

“Kajian mendapati penggunaan e-rokok melupuskan hampir semua risiko kesihatan yang dikaitkan dengan rokok konvensional,” kata seorang lagi penulis bersama, Profesor Peter Hajek daripada Universiti Queen Mary.

Pakar-pakar juga mengatakan bahawa tiada bukti setakat ini yang menunjukkan e-rokok menjadi penyebab kepada tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak atau bukan perokok. –AFP

BACA INI JUGA: Motif Tersirat Disebalik Larangan Penggunaan Rokok Elektronik

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon