Jul 23, 2015

Manuskrip Al-Quran Tertua Di Dunia Berusia 1,370 Tahun!

Universiti Birmingham dipercayai memiliki manuskrip al-Quran tertua di dunia dipercayai berusia 1,370 tahun.

Manuskrip Al-Quran Tertua
Manuskrip ditulis atas kulit.

Analisis radiokarbon menunjukkan naskhah itu dari sekitar 568 hingga 645 Masihi dengan ketepatan 95.4 peratus.

Hasil ujian itu yang dilakukan di Universiti Oxford mencadangkan manuskrip berkenaan ditulis kurang 20 tahun selepas Nabi Muhammad SAW wafat.

Profesor Agama Kristian dan Islam universiti berkenaan David Thomas berkata, “Ujian itu memang penemuan mengejutkan di dalam koleksi universiti kami, malah manuskrip ini tidak mustahil dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun pengasasan Islam.

“Nabi Muhammad menerima wahyu antara 610 hingga 632 Masihi bererti kemungkinan besar orang yang merekodkan manuskrip ini juga hidup pada masa itu, malah mungkin turut mengenalinya.

“Tulisan ini mampu menyokong pandangan bahawa teks al-Quran tidak diubah dan ditulis tidak lama selepas diwahyukan.”

Manuskrip berkenaan sebahagian daripada koleksi Mingana bagi manuskrip Asia Barat merangkumi dua kekulit serta ditulis menggunakan bentuk tulisan ‘Hijazi’ Arab lama.

Manuskrip itu akan dipamerkan di Institut Seni Halus Barbaer universiti terbabit, Oktober (2015) depan. –Agensi

UPDATE
Jul 28, 2015

‘Al-Quran Tertua Dunia’ Diragui Kesahihannya

Ahli sejarawan dan pakar manuskrip menyatakan keraguan mereka mengenai penemuan manuskrip al-Quran yang didakwa tertua di dunia oleh Universiti Birmigham, minggu lalu.

Universiti itu baru-baru ini mendedahkan dua kekulit yang ditulis menggunakan bentuk tulisan ‘Hijazi’ Arab lama yang dipercayai ditulis sekitar 568 hingga 645 Masihi.

Universiti itu mendakwa manuskrip berkenaan mungkin ditulis sekitar waktu kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, akhbar Makkah melaporkan kelmarin bahawa beberapa faktor membuktikan manuskrip itu kemungkinan besar ditulis selepas kewafatannya.

Pakar berpendapat bahawa ketika zaman Nabi Muhammad SAW, tiada pemisah antara surah menggunakan warna merah, selain tiada dakwat merah digunakan untuk menulis kalimah Bismillah pada awal surah.

Tambahan faktor bahawa surah di dalam al-Quran tidak disusun seperti mana keadaannya pada zaman ini.

Pakar manuskrip, Abdul Sattar Al-Halouji menuduh universiti itu sekadar berhelah untuk mendapatkan publisiti.

“Sukar untuk mengenal pasti sama ada manuskrip berkenaan ditulis ketika hayat Nabi Muhammad SAW. Pihak universiti sepatutnya mengkaji dakwat dan bukan kekulit digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang pakar arkeologi berkata: “Manuskrip itu mungkin ditulis pada zaman Othman bin Affan, yang menjadi khalifah beberapa tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.”

Dekan perpustakaan Universiti Umm Al-Qura, Adnan Al-Sharif pula berkata, wujud banyak keraguan mengenai dakwaan penemuan manuskrip tertua itu.

Katanya, pemeriksaan radiokarbon manuskrip pula hanya boleh menunjukkan abad dan bukan tahun ia ditulis. Pendiriannya sama dengan seorang lagi pakar manuskrip, Abbas Tashkandi yang berpendapat kekulit berkenaan lebih berusia berbanding tulisannya. –Agensi/myMetro Online

BACA INI JUGA: Keunikan Koleksi Terbesar Buku Mini

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon