Friday, July 24, 2015

Apakah Hukum Pendapatan Hasil Menjual Tahi Ayam?


Apakah hukumnya menjual najis ayam atau najis binatang? Apakah hukumnya kita menggunakan sumber pendapatan dari penjualan najis ini?

Baja tahi ayam

Baja yang berasal daripada najis boleh dibahagikan kepada dua kategori:

Pertama: Baja yang berasal daripada najis, tetapi penghasilannya telah melalui proses istihalah yang mengubah hakikat dan sifatnya, sehingga ia tidak lagi dinamakan sebagai najis dan tidak mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri najis. Maka baja seperti ini harus digunakan dan harus dijual beli.

Kedua: Baja yang berasal daripada najis dan masih mempunyai ciri-ciri asal kenajisannya. Baja seperti ini harus digunakan untuk pertanian kerana keperluan.

Tetapi untuk dijual beli, terdapat beberapa pandangan yang berbeza antara ulama Islam.

Sebahagian ulama mengharuskan penjualan baja najis seperti mazhab Hanafi. Al-Sarakhsi menyatakan, “Penjualan najis haiwan adalah harus, sekalipun memakannya adalah haram kerana ia adalah haram secara fizikalnya. Sekalipun demikian, menjualnya adalah harus”. (Al-Mabsut, 24:15).

Manakala jumhur ulama iaitu mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab Hanbali mengatakan bahawa hukum menjual najis adalah haram (Al-Majmuk, 9:230; Al-Mughni, 4:192).

Ini berdasarkan kepada hadis, “Sesungguhnya apabila Allah mengharamkan ke atas sesuatu kaum memakan sesuatu, maka Dia mengharamkan juga ke atas mereka nilainya (harga penjualannya)” (Abu Daud, 3:280, no: 3488).

Justeru, hukum asal menjual najis untuk dijadikan baja adalah haram dan tidak sah menurut pandangan majoriti ulama.

Namun, pengambilan keuntungan melalui industri baja boleh dilakukan melalui kontrak selain daripada jual beli seperti kontrak ijarah iaitu pengambilan upah ke atas sesuatu perkhidmatan.

Sebagai contoh, dalam kes seguni baja najis dijual dengan harga RM50, kontrak ditukar kepada ijarah, iaitu upah mengumpul, mengangkut dan menguruskan baja najis adalah RM50 bagi satu guni.

Dalam hal ini, segala syarat-syarat dan rukun-rukun kontrak ijarah mestilah dipatuhi.

Wallahu A’lam.

BACA INI JUGA: 6 Dosa Besar Yang Tidak Akan Diampunkan Allah

Sumber: e-fatwa

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon