Wednesday, June 03, 2015

Minyak Naik, Rakyat Sakit ‘Tuh Di Sini’


“Kos perjalanan balik kampung saya ke Terengganu meningkat. Kalau dahulu harga minyak hanya RM90,00 (isian penuh) tetapi sekarang sudah melebihi RM100.00”

Minyak Naik
Gambar hiasan dan gurauan semata-mata.

Demikian luahan pelajar ijazah kedoktoran dari sebuah universiti tempatan, Hussain Yusri Zawawi, 27, berkenaan beban kenaikan harga minyak mulai Jun ini.

Hussain yang juga merupakan penuntut di sebuah Universiti Awam di Lembah Klang berkata, walaupun kenaikan hanya 10 sen, namun beban tersebut benar-benar dirasainya apatah lagi dia merupakan seorang pelajar.

“Saya sudah berkahwin, memang memerlukan kereta untuk bergerak, kadang-kadang saya kena balik kampung di Terengganu untuk melawat keluarga saya, dan menjenguk keluarga isteri di Pahang.

“Ibarat lagu ‘sakitnya tuh di sini’, saya benar-benar terasa, ditambah dengan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tetapi sudah nama pun kehidupan, saya laluilah juga,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah kenaikan harga minyak ini sudah mula diterima oleh rakyat ekoran luahan perasaan daripada mereka makin kurang, Hussain berkata rakyat sudah sebati dengan keadaan ini.

“Kalau mereka (rakyat) bising sekalipun siapa yang mahu dengar? Cuma satu sahaja kerajaan dengarlah rintihan rakyat, kami terbeban tetapi tak tahu cara nak luahkan perasaan ini.

“Apatah hidup di bandar ini, kosnya tinggi, bila harga minyak naik sahaja, harga barang pun ikut naik, susahlah begini,” luahnya lagi.

Sementara itu menurut pekerja swasta, Zubir Ahmad, 31, dia juga turut terkesan dengan kenaikan harga minyak ini.

“Memang terasa sebab sudah jadi satu trend apabila harga minyak naik walaupun hanya 10 sen tetapi harga barang turut naik.

“Itu yang jadi masalahnya sebab jadi berganda-ganda bebanan, sudahlah harga minyak naik, harga barang juga turut naik.

“Peniaga ini pandai, mereka bijak ambil kesempatan, akhir-akhirnya yang ‘terkena’ rakyat juga,” katanya.

Oleh itu, ujar Zubir beliau berharap kerajaan bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga yang cuba mengambil kesempatan dek kenaikan harga minyak ini.

“Apa yang menakutkan kami adalah bila harga minyak naik, harga barang melambung naik, jadi kerajaan kenalah tegas, ‘jaga rakyat betul-betul’,” katanya.

Manakala menurut, Rosnah Ali,28, yang juga merupakan seorang pekerja swasta dia juga sekata dengan Hussain dan Zubir.

“Bagi saya dengan kenaikan harga minyak ni sangat membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana seperti saya. Ini kebiasaannya seperti yang kita tahu jika minyak naik harga barangan lain pun turut naik. Sedangkan kerajaan pernah menafikan tentang kenaikan harga minyak baru-baru ini. Rakyat rasa tertipu.

“Ekonomi keluarga sekarang ini makin bertambah, dengan isu GST lagi barang-barang menjadi semakin mahal, pengguna dicas dengan harga berganda oleh peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Sementara menurut, Salmah Alias,28, yang juga merupakan pekerja swasta, kenaikan harga minyak kali ini akan memberi sedikit bebanan kepadanya.

“Harga minyak naik, sudahlah bulan puasa hampir tiba, apa yang merunsingkan saya nanti adalah harga makanan di bazar Ramadan, biasalah bila bulan puasa kadang-kadang kita nak juga merasa menu luar, tapi takut juga harga makanan akan naik dek kerana harga minyak ini.

“Kita selalu dikatakan ‘harga minyak naik tetapi jangan bimbang harga barang dan makanan tidak naik’ namun yang terjadi sebaliknya. Sudah kerap sangat, saya pun sudah muak.

“Cuma apa lagi nak dibuat, reda ajelah,” katanya.

Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Jun 2015 naik 10 sen seliter berkuatkuasa tengah 31 Mei lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 (RM2.35 seliter) manakala diesel (RM2.05 seliter).

Harga minyak sejak Disember lepas telah ditetapkan mengikut kaedah pengapungan terkawal yang mana tiada lagi subsidi bagi RON95 dan RON97 memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Sejak mekanisme itu dilaksanakan, harga minyak telah berubah sama ada meningkat dan menurun dari satu bulan ke satu bulan berikutnya.

BACA INI JUGA: 10 Tumpahan Minyak Paling Buruk Dalam Sejarah

Sumber: Sinarharian.com.my

4 comments

  1. sakitnya tuh disini...tunjuk beg duit..haha

    ReplyDelete
  2. Isk...betul tu..siapa tak mengeluh..kalau asyik naik je...dah gst memang membebankan....kalau nak dihitung dan dikira....bayaran gst tu boleh beli barangan atau perkhidmatan lain....cik akak memang tak suka gst nie...apa kan daya...kita hanya rakyat....suara rakyat pun makin hari..makin terpinggir...nak salahkan.....siapa...sakit tu disini..hahaha

    ReplyDelete
  3. hidup semakin sukar di dalam era yang kian mencabar.memei sakit kan SP :(

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon