Friday, August 08, 2014

Pokok Paling Beracun Di Dunia!


Jika bercuti ke Florida, Bahamas, Caribbean, Amerika Tengah atau Amerika Selatan, elakkan diri daripada mendekati pokok Manchineel.

Manchineel

Ciri fizikalnya memang nampak sama seperti pokok biasa. Tapi, jangan tertipu kerana pokok itu mengandungi toksik paling beracun di dunia.

Manchineel merupakan spesis tumbuhan berbunga dari genus Hippomane. Ia boleh tumbuh sehingga 15 meter tinggi dengan ciri-ciri fizikal - kulit batang berwarna kelabu, daun hijau berkilat dan berbunga kecil kehijauan.

Pokok ini turut menghasilkan buah yang seakan-akan sama seperti epal hijau dan berbau wangi.

Pendek kata, setiap bahagian pokok tersebut sangat beracun hingga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk. Daun dan kulit kayu misalnya, jika disentuh akan mencetuskan radang pada kulit.

Manakala cairan getah yang keluar dari batang pokok terbukti boleh menyebabkan kulit melecur dan bengkak. Sebab itulah kenapa sesiapa pun tidak dibenarkan berdiri di bawah pokok ini semasa hujan.

Ini kerana, getah pokok Manchineel yang dibawa dari titisan air hujan boleh membinasakan kulit walaupun hanya setitik.

Manchineel
Getah pokok boleh mengakibatkan kulit melecur.

Sementara itu, pembakaran pokok secara terbuka dilarang sama sekali. Bukan kerana pencemaran tetapi asap daripada pembakaran tersebut boleh menyebabkan buta sementara jika terkena mata. Dalam beberapa kes, buta kekal boleh berlaku.

Namun, diantara semua itu, yang paling berbahaya adalah buahnya. Walaupun buah pokok Manchineel berbau harum dan manis seperti epal, itu cuma perangkap semata-mata.

Banyak kajian mengenai prinsip-prinsip aktif pokok Manchineel yang pernah dijalankan sebelum ini menunjukkan, Ester Phorbol Tigliane - bahan semulajadi dalam tumbuhan dikesan menjadi pencetus utama kepada tindak balas ekstrem.

Tahap bahayanya begitu melampau sehinggakan menelan sejumlah kecil jus dari buah beracun itu sahaja mampu mengakibatkan ulser mulut, tisu lembut pada saluran penghadaman akan membengkak dan melepuh.

Sensasi menyakitkan itu dirasai dengan hanya memakan dalam jumlah sedikit. Kesannya bukan sahaja akan menyebabkan anda dikejarkan ke bilik kecemasan malah ia juga boleh membawa maut.

Maka tidak hairanlah ia diiktiraf sebagai pokok paling berbahaya di dunia dalam Rekod Dunia Guinness.

Atas sebab itu, di sesetengah tempat, amaran telah dikeluarkan supaya tidak menghampiri pokok tersebut. Bentuk peringatan bahaya disampaikan dengan cara tanda 'X' berwarna merah pada batang pokok.

Manchineel
Luka disentuh akan mencetuskan radang kulit.

Di Perancis misalnya, pokok ini sering ditandakan dengan jalur merah yang dicat pada bahagian kaki pokok. Bagaimanapun, di Bonaire pula, pohon bertoksik itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tanda amaran.

Walaupun tiada rekod perubatan moden melaporkan tentang mana-mana kematian disebabkan pohon beracun ini, namun dalam rekod sejarah sebenarnya ada menceritakan berkenaan perkara tersebut.

Pada abad ke 16, orang asli Florida sering mengikat tentera Sepanyol di bawah pokok Manchineel. Mangsa kemudian ditinggalkan tanpa berbaju dan apabila hujan kulit mereka akan terbakar dan mata menjadi buta. Seksaan itu berterusan sehingga berakhir dengan kematian.

Christopher Colombus turut pernah menamakan buah Manchineel sebagai 'Manzanita de la Muerte' yang bermaksud epal kematian untuk menakut-nakutkan penduduk Jamaica tapi rupa-rupanya mereka sendiri sudah lama menggunakan gam daripada pokok beracun ini untuk merawat pelbagai penyakit kelamin.

Selain itu, pokok kayu Manchineel juga begitu dihargai dalam pembuatan perabot seperti kerusi, meja makan dan almari.

Manchineel
Setiap bahagian pokok tersebut sangat beracun.

Tapi, tidakkah dengan hanya menyentuhnya boleh membahayakan kulit? Dipercayai kualiti racun pada kayu pokok sebahagian besarnya akan hilang apabila dibiarkan kering di bawah matahari.

Malah, buahnya yang boleh mematikan itu juga boleh digunakan sebagai diuretik, iaitu ubat untuk mengeluarkan urin dengan lebih banyak, selepas dikeringkan.

Cuma, sejauh mana kandungan racunnya betul-betul hilang masih lagi tidak diketahui. Jadi, menjauhi Manchineel adalah perkara paling selamat.

BACA INI JUGA: Top 5 Haiwan Laut Yang Paling Berbisa

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon