Monday, July 07, 2014

MH653, Pesawat Malaysia Yang Pernah Dirampas!


Suasana selesa dan indah dalam pesawat MH653 Boeing 737 milik MAS dari Pulau Pinang ke Selangor begitu mendamaikan.

MH653 Boeing 737

Malangnya, pesawat yang membawa seramai 93 orang penumpang dan tujuh anak kapal itu tiba-tiba dilaporkan hilang daripada radar. Kejadian itu berlaku selepas beberapa minit ia berada di udara.

Pesawat MH653 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar pukul 7:21 malam pada 4 Disember 1977.

Penerbangan itu dijadualkan bakal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS), Selangor kira-kira sejam selepas berlepas.

MH653 Boeing 737 - Kawasan Kejadian
Kawasan tragedi MH653.

Namun, tiada siapa menduga keasyikan berada pada kedudukan tinggi itu dengan sekelip mata bertukar menjadi tragedi mengerikan.

Sebelum hilang daripada radar, seorang daripada juruterbang telah memaklumkan bahawa ada kejadian mencemaskan telah berlaku dalam penerbangan itu. Dikatakan sekumpulan pihak yang tidak dikenali yang berada dalam penerbangan itu tiba-tiba bertindak ganas merampas pesawat.

Selepas insiden rampasan itu, imej kapal terbang MH653 dilaporkan hilang daripada radar menara kawalan. Belum pun selesai kes merungsingkan itu, sebuah pesawat diberitakan terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, pada hari yang sama sekitar sekitar pukul 8:00 malam.

Benarkah pesawat malang itu telah dirampas seperti yang dimaklumkan oleh juruterbang yang bertugas sebelum hilang dari radar? Apa pula kaitan kes kehilangan itu dengan berita pesawat terhempas di Tanjung Kupang? Semua perkara ini benar-benar membingungkan pihak yang terlibat ketika itu.

Bagaimanapun, setelah siasatan dilakukan, agak mengejutkan kerana semua persoalan itu rupa-rupanya mempunyai hubung-kait antara satu sama lain.

Objek besar yang terhempas di Tanjung Kupang bukanlah objek terbang misteri, tetapi disahkan sebagai pesawat MH653. Menyedihkan, tiada seorang pun daripada 93 orang penumpang dan tujuh orang krew penerbangan terselamat dalam nahas udara itu.

MH653 Boeing 737 - Serpihan [2]
MH653 Boeing 737 - Serpihan
Serpihan rangka pesawat MH653.

Antara nyawa yang terkorban dalam tragedi dahsyat itu ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.

Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D Hoer dan S.A Naime, seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia dan isterinya turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang lain dan petugas kabin.

Akibat kemalangan itu, tiada satu pun mayat yang ditemui dalam keadaan sempurna. Paling menyayat hati, tiada tengkorak ditemui di dalam kawasan tragedi. Adapun yang ditemui hanyalah cebisan-cebisan daging dan isi perut mangsa yang hangus terbakar bertaburan di kawasan paya bakau sekitar perkampungan Tanjung Kupang.

Dalam keadaan sebegini, adalah sangat sukar untuk mengecam identiti setiap mangsa.

Atas sebab itu, beberapa orang ketua pelbagai agama berbincang dan memutuskan untuk mengebumikan kesemua mangsa secara bersama. Lima hari selepas kejadian, pengebumian secara besar-besaran kemudian dilakukan di sebuah tapak perkuburan khas di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Namun, keadaan sedih itu tidak berakhir di situ. Masih banyak teka-teki berhubung punca kepada kehilangan pesawat MH653 belum terjawab sehingga ke hari ini.

Bagaimana kapal terbang tersebut boleh hilang daripada radar hingga membawa kepada kemalangan ngeri. Daripada rekod pelbagai sumber, kebanyakannya cuba mengaitkan kejadian itu dengan pelbagai teori rampasan kapal terbang.

Anggota militan Vietnam juga dikaitkan sebagai dalang. Ini kerana sebelum kejadian berlaku, penguat kuasa Singapura telah menahan tiga orang militan Vietnam yang merampas pesawat DC3 Air Vietnam.

Selain itu, ada juga pihak yang meletakkan teori bahawa pemberontak Cuba merupakan pelaku utama dalam kejadian rampasan itu. Kononnya pemberontak dari negara itu telah merancang untuk melakukan perbuatan khianat terhadap duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia yang sedang menaiki pesawat tersebut.

MH653 Boeing 737 - Tengku Mahkota Johor
Mendapat perhatian Tengku Mahkota Johor.

Disamping itu juga, terdapat juga teori yang percaya bahawa kejadian itu didalangi gerila Tentera Merah Jepun (JRA). Namun, penglibatan tentera berkenaan dalam rampasan pesawat MH653 dinafikan.

Siapa pun pelakunya, penerbangan pesawat MH653 telah menjadi huru-hara. Sepatutnya pesawat itu dijadualkan mendarat di LTAS, tetapi telah menukar laluan penerbangan pada saat-saat akhir ke Singapura.

Semasa dalam perjalanan ke Singapura, terdapat spekulasi mengatakan kedua-dua juruterbang MH653 ditembak mati menyebabkan kapal terbang tersebut jatuh terhempas.

Oleh kerana tiada saksi yang terselamat, semua teori tersebut tidak dapat disaksikan kesahihannya. Harapan para penyiasat hanya bergantung kepada kotak hitam yang berjaya ditemui beberapa minggu kemudian.

Hasil siasatan ke atas bahan bukti itu telah didedahkan dalam satu laporan rasmi sembilan bulan selepas kejadian. Dalam laporan itu menyatakan bahawa juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas. Ia berlaku beberapa minit sebelum pesawat malang itu menjunam jatuh di Tanjung Kupang.

MH653 Boeing 737 - Tragedi Tanjung Kupang
Kesemua 93 penumpang dan 7 anak kapal dikebumikan bersama.

Dalam rakaman itu, kedengaran suara juruterbang bernama G.K Ganjoor sempat merayu, "No, please, don't..", sebeum terdengar bunyi das tembakan sebanyak tiga kali. Kejadian menyedihkan itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki.

Sejurus selepas juruterbang ditembak, seseorang cuba menerbangkan dan mengawal pesawat, tapi pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke Bumi pada kelajuan 450 knot.

Sebelum insiden itu, kotak hitam turut merakam suara seseorang yang tidak dikenali dengan berkata, "You bluff us". Terdengar juga suara perbualan dalam bahasa asing dalam rakaman itu.

Siapa dan apa kewarganegaraan mereka, belum dapat dikenal pasti dan tidak diketahui sehingga ke hari ini.

BACA INI JUGA: 10 Kehilangan Pesawat Udara Yang Menggempar Dunia

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. my kakak ada cerita pasal trajedi nih ... kesian dan pelik ...

    ReplyDelete
  2. ada teengok dalam TV dulu pasal tragedi ini..kesian kepada mereka yang ak bersalah...tetiba teringat apa pula nasib penumpang MH 370....

    Regards,
    -Strider-

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon