Rabu, April 02, 2014

Aktiviti Ekstrem Di Kawasan Larangan


Loading...

Meskipun kakinya terjuntai di puncak sebuah bangunan pencakar langit, seorang lelaki yang dikenali sebagai Jonathan Tsang kelihatan tenang.

Extreme

Bersantai di bumbung bangunan dengan ketinggian lebih 50 tingkat di Hong Kong itu bagaikan beristirehat di ruang tamu rumahnya.

Bagi kebanyakan orang, pemandangan di tempat tinggi terbuka itu pasti mengundang rasa gerun dan gayat. Namun tidak kepada Tsang, 25, yang menganggap ia sebagai satu perkara yang menenangkan.

"Terlalu ramai manusia di jalanan dan kadangkala ia menyesakkan fikiran sehingga anda berasa perlu untuk bersendirian seketika. Sebab itu saya kerap ke sini," ujar Tsang.

Tsang merupakan antara individu daripada kumpulan pengembara urban atau dikenali sebagai urbexer. Ia merupakan subbudaya bagi penggemar aktiviti ekstrem, jurugambar dan pencinta sejarah yang menjadikan lokasi terpinggir dan kawasan larangan sebagai taman permainan peribadi mereka.

Urbexer mula popular di Amerika Utara dan Eropah. Kini Asia melihat pertambahan urbexer dengan peralihan generasi baharu.

Pada bulan Februari lalu, dua warga Rusia nekad memanjat bangunan tertinggi China hanya menggunakan tangan.

Vadim Makhorov dan Vitaliy Raskalov mengambil kesempatan atas kelemahan sistem keselamatan ketika cuti Tahun Baru Cina ketika itu bagi menyelinap ke dalam Menara Shanghai yang sedang dalam pembinaan.

Aksi berbahaya mereka dimuat naik dalam internet dan menjadi bualan hangat di seluruh dunia.

Hong Kong, bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit berbanding bandar lain di dunia menjadi destinasi popular dalam kalangan pemanjat bangunan China dan antarabangsa.

Pengamal hobi ekstrem itu rela berdepan risiko tangkapan, kecederaan dan kematian.

Puncak bangunan

Tsang

Menakluk puncak bangunan pencakar langit dan hotel mewah di daerah Kowloon sangat mudah. Tambah Tsang, dengan memperdayakan kaunter penyambut tetamu, dia bersama sahabatnya Airin T dapat menaiki lif ke tingkat teratas.

Bagi mengelakkan bertembung dengan pengawal keselamatan atau staf sesebuah bangunan, tingkat-tingkat terakhir akan dinaiki menggunakan tangga menerusi pintu yang tidak berkunci sehingga sampai ke bumbung.

"Anda perlu belajar selok-belok sesebuah bangunan terlebih dulu. Jika ada urbexer yang pernah ke bangunan tersebut, anda boleh mendapatkan tip dan nasihat daripada mereka cara-cara untuk naik ke bumbung.

"Kebiasaannya bangunan dikawal ketat pengawal keselamatan tetapi anda perlu bersabar. Anda perlu menunggu waktu yang tepat.

"Kejayaan menaiki bumbung bangunan mungkin antara 20 hingga 30 peratus. Ada ketika anda perlu menyerah kalah di tengah jalan.

"Mungkin anda boleh naik sehingga 30 ke 40 tingkat dan akhirnya terkandas di pintu terakhir. Namun apabila anda berjaya berada di puncak, perasaan itu sukar diucapkan. Ia sangat cantik," ujar Tsang.

Tanggapan bahawa menaiki bumbung bangunan sebagai hobi selamat adalah tidak benar. Tsang dan sahabatnya pernah berdepan detik genting ketika memanjat kubah sebuah bangunan.

Tangga untuk naik ke puncak kubah terletak betul-betul di penjuru bangunan itu dengan laluan untuk berjalan hanya selebar kira-kira 30 sentimeter. Sekiranya tersilap langkah, ia pasti mengundang kematian.

"Saya memang gayat dengan ketinggian. Ia mungkin kedengaran klise tetapi hobi ini bagaikan mengatasi ketakutan anda dan ia sangat membantu," tambah Tsang.

Pihak berkuasa Hong Kong memberi amaran kepada kelompok urbexer bahawa mereka mungkin berdepan dakwaan jenayah dan mencuri sekiranya berlaku sebarang kerosakan harta benda. Setakat ini tiada sebarang tangkapan direkodkan.

Rumah tinggal

Airin

Begitupun tidak semua pengembara urban memilih untuk membahayakan diri di tempat tinggi.

Airin, seorang pekerja pejabat berusia 25 tahun juga seorang pemanjat bumbung. Namun dia lebih banyak menghabiskan masa menjelajah tempat-tempat terbiar di sekitar Hong Kong.

Rumah sakit mental yang telah ditutup, kilang-kilang lama dan apartment usang yang berantakan menjadi lokasi persinggahan pilihan Airin.

Di dalam sebuah rumah, dia melintasi sebuah meja tradisional yang masih menempatkan sebingkai gambar penghuni lama. Airin kemudiannya menaiki tangga kayu rapuh menuju ke bilik tidur yang dipenuhi serpihan perabot usang.

Bagi Airin yang telah menjelajah ke Rusia, Korea Selatan dan Jepun, kawasan tinggalan lama mampu membuka jendela ke masa lampau.

Wong Chuk Yeung misalnya, adalah salah satu daripada kira-kira 100 kampung tradisional di Hong Kong yang dibiarkan tanpa penghuni.

"Orang muda berhijrah ke bandar dan membina keluarga di sana. Hanya orang tua yang tinggal di kampung dan apabila mereka meninggal dunia, rumah mereka terbiar tanpa penjaga," jelas Airin.

BACA INI JUGA: Tandas Paling Ekstrem Di Dunia!

Sumber: kosmo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

ish..kalau dah nama hobi.. semua benda gila2 sanggup buat

Boring sangat kot, takde benda lain nak buat huhu..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon