Wednesday, March 26, 2014

Pelakon Hollywood Yang Dipecat Dari Filem


Pengarah, Spike Jonze pernah mendedahkan bahawa watak OS Samantha yang dilakon suara oleh Scarlett Johansson dalam filem "Her" sebenarnya diberikan lebih awal kepada pelakon Samantha Morton (dan kerana itu juga nama watak tersebut Samantha).

Scarlett Johansson

Namun sebaik sahaja produksi tamat, pihak penerbit merasakan ada yang tidak kena dan tidak meyakinkan tentang versi Morton dan keserasiannya dengan pelakon utama, Joaquin Phoenix. Lalu Morton digantikan dengan Johansson.

Kasihan Samantha Morton. Tapi dia bukanlah pelakon pertama yang dilepaskan (atau bahasa kurang manisnya, 'dipecat') oleh pihak produksi.

Antara yang lain termasuk;

Richard Gere
Watak Chico, "The Lords of Flatbush" (1974)

Richard Gere

Menurut Sylvester Stallone, pelakon utama filem ini, watak Chico lakonan Perry King sebelum ini sebenarnya telah diberikan kepada bintang "Pretty Woman", Richard Gere.

Namun begitu, Gere terlalu mendalami karakter sehingga hampir menyakiti Stallone dalam latihan. Stallone akui bahawa Gere banyak melakukan perkara-perkara yang menjengkelkannya sehingga dia memutuskan untuk memberi kata dua pada pengarah filem tersebut, Martin Davidson dan Stephen verona, untuk memilih antara mereka.

"Mereka akhirnya pilih saya, dan sehingga ke hari ini Richard Gere tidak menyukai saya," ujar Stallone dengan selamba.

Pengajaran: Jangan cari pasal dengan orang yang pernah jadi Rambo dan Rocky!

Eric Stoltz
Watak Marty McFly, "Back to the Future" (1985)

Eric Stoltz

Sekalipun dari awal lagi pengarah Robert Zemeckis mahukan Michael J. Fox sebagai Marty McFly dalam filem tersebut, kesibukan Fox dalam siri TV "Family Ties" tidak membolehkan dia membintangi filem tersebut. Maka pihak produksi membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab melakonkan watak tersebut kepada pelakon Eric Stoltz.

Malangnya, sekalipun telah empat minggu membuat penggambaran, Zemeckis merasakan pelakon "Fast Times at Ridgemont High" itu tetap tidak sesuai dengan watak McFly, remaja sekolah tinggi 80-an yang sesat di tahun 1955 dalam mesin masa itu. Malah produser Steven Spielberg mengatakan Stoltz terlalu serius dan dramatik untuk watak tersebut yang sepatutnya lucu.

Akhirnya, Stoltz digugurkan dari filem tersebut dan pihak produksi sekali lagi cuba mendapatkan Michael J. Fox. Mujur kali ini Fox berjaya mengatur jadualnya dan memungkinkan dia melakukan kedua-dua siri TV dan filem aksi advencer tersebut.

Pengajaran: Adakalanya kehebatan lakonan dramatik bukan sesuatu yang dicari.

Stuart Townsend
Watak Aragorn, "The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring" (2001)

Stuart Townsend

Sebelum Viggo Mortensen, watak Aragorn, pemimpin de facto The Fellowship dalam filem adaptasi "Lord of the Rings" karya J.R.R. Tolkien ini diberikan kepada pelakon "Battle in Seattle", Stuart Townsend. Namun begitu, sehari sebelum penggambaran bermula, Townsend digantikan dengan Mortensen atas alasan dia terlalu muda untuk watak tersebut, sekalipun Townsend telah menghabiskan masa selama dua bulan membuat latihan. Tambah menjengkelkan lagi, Townsend tidak dibayar untuk susah payahnya berlatih selama dua bulan!

Pengajaran: Jika anda sudah diberi peranan, itu tidak bermakna pengarah tidak akan ubah fikiran.

Harvey Keitel
Watak Kapten Willard, "Apocalypse Now" (1979)

Harvey Keitel

Filem perang klasik arahan Francis Ford Coppola ini pada mulanya memberikan watak Kapten Benjamin J. Willard, kapten tentera yang dipertanggungjawabkan memasuki hutan rimba ketika Perang Vietnam untuk mencari Kolonel Pasukan Khas, Walter E. Kutz (Marlon Brando), kepada pelakon Harvey Keitel, yang popular melalui filem "Reservoir Dogs" dan "Pulp Fiction".

Namun begitu, hanya selepas seminggu membuat penggambaran, Coppola membuat keputusan untuk menggantikan Keitel dengan Martin Sheen, selepas Keitel mengatakan dia mengalami kesukaran untuk melakonkan watak Willard sebagai seorang yang pasif seperti yang diminta pengarah tersebut.

Pengajaran: Pendapat anda yang mungkin tidak sekufu dengan pendapat pengarah akan menyebabkan anda digantikan dengan orang yang boleh mendengar kata.

Sean Young
Watak Tess Trueheart, "Dick Tracy" (1990)

Sean Young

Bintang jelita Sean Young, yang terkenal dengan perangai diva dan sukar dikawal, telah diberikan peranan sebagai Tess Trueheart, watak cinta buat karakter titular lakonan Warren Beatty ini.

Namun begitu, tidak sampai beberapa minggu dalam penggambaran, Young telah dipecat dan digantikan dengan Glenne Headly, bukan kerana perangainya, tapi kerana studio produksi mengatakan dia tidak cukup keibuan untuk melakonkan watak tersebut.

Tapi menurut Young sendiri, dia digugurkan kerana enggan akur pada perlakuan Warren Beatty yang dianggap sebagai gangguan seksual terhadap dirinya. Dia berkata, "Saya amat bersyukur bila digugurkan. Saya tidak akan mampu bekerjasama dengan Beatty."

Namun begitu, pihak Beatty telah menafikan tuduhan tersebut.

Pengajaran: Adakalanya ada hikmah di sebalik pengguguran.

Megan Fox
Watak asalnya Mikaela Banes, "Transformers: Dark of the Moon" (2011)

Megan Fox

Sekalipun dia muncul dalam dua filem "Transformers" arahan Michael Bay sebelum ini sebagai Mikaela, teman wanita Sam (Shia LaBeouf), sesuatu yang diperkatakan Fox tentang Bay membuatkan studio produksi cukup bengang sehinggakan dia dipecat dari francais tersebut dan digantikan dengan watak baru lakonan Rosie Huntington-Whiteley.

Dalam temuramahnya dengan pihak media, Fox telah menyamakan Bay dengan Hitler. Sekalipun Bay tidak begitu terasa dengan kritikan Fox, penerbitnya, Steven Spielberg, seorang aktivis Holocaust, amat marah dengan komen yang dibuat Fox dan menggugurkan pelakon tersebut dari filemnya.

Pengajaran: Jangan buat lawak tentang Hitler dengan Steven Spielberg.

Lindsay Lohan
Watak Max McKenzie, "The other Side" (2011)

Lindsay Lohan

Ketika seluruh dunia menanti saat dia jatuh dan dia sendiri sudah tiga tahun tidak menghasilkan filem baru, Lindsay Lohan cuba untuk menaikkan semula kerjaya lakonannya dan begitu teruja menerima tawaran untuk membintangi filem sulung arahan David Michaels, "The Other Side".

Namun begitu, studio produksi tidak yakin dengan keazaman Lohan dan merasakan lebih baik mereka melabur untuk orang lain berbanding mengambil risiko menggunakan khidmat Lohan, yang terkenal dengan perangai yang tidak menentu. Lalu mereka membuat keputusan untuk menggugurkannya dan digantikan dengan pelakon lain.

Pengajaran: Jangan jadi Lindsay Lohan.

Ryan Gosling
Watak Jack Salmon, "The Lovely Bones" (2009)

Ryan Gosling

Sebelum watak Jack Salmon, si bapa yang bersedih selepas kematian anak perempuannya dalam filem "The Lovely Bones" arahan Peter Jackson diberikan kepada Mark Wahlberg, Ryan Gosling telah diberikan tanggungjawab melakonkan filem tersebut.

Gosling, yang begitu berdedikasi dan bersemangat untuk melakonkan wataknya, membuat keputusan untuk menaikkan berat badannya sehingga 30kg. Namun begitu, tindakannya itu hanya mengundang kemarahan Jackson, yang mempunyai visi berbeza tentang rupa Jack Salmon.

Tapi tidak seperti Townsend yang marah pada Jackson bila digugurkan, Gosling mengakui dia juga telah membuat keputusan yang salah. Katanya, "Ia filem yang besar dan banyak benda yang perlu diuruskan. Jackson tidak ada masa untuk menguruskan hal setiap seorang pelakon yang ada dan saya pula muncul di lokasi dengan idea yang berbeza. Jadi akhirnya saya hanya gemuk dan tidak ada pekerjaan!"

Pengajaran: Tanya pengarah sebelum ubah bentuk badan.

BACA INI JUGA: Selebriti Terkenal Yang Menjadi Inspirasi Lagu Hits

Sumber: Yahoo.Malaysia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon