Isnin, Disember 16, 2013

Bila Pelajar Tiru Aksi Porno, Di Mana Silap Kita?


Loading...

Kejadian anak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan melakukan aksi seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun amat meluluhkan perasaan kita. Apatah lagi, hanya baru dua bulan lepas kita masih belum lagi pulih daripada mendengar berita dua beradik lelaki, masing-masing di tahun 2 dan 4, memaksa rakan mereka yang baru memasuki alam persekolahan iaitu di tahun 1, melakukan seks oral, setelah kanak-kanak lelaki itu menonton aksi sedemikian di laman web lucah di komputer.

Aksi melampau pelajar sekolah
Gambar hiasan.

Amat mengejutkan juga bahawa komputer yang digunakan adalah di makmal komputer sekolah!

Ini turut mengguris parut luka lama mengingati satu kes yang mendapat perhatian ramai di tahun 2001, di mana dilaporkan dua pelajar lelaki sekolah rendah dijumpai melakukan aksi oral seks, dan mereka menceritakan kepada guru bahawa aksi tersebut ditiru daripada sebuah video lucah yang ditonton bersama-sama ibu bapa.

Di mana silap kita?

Terdapat banyak peringkat di mana kita harus memeriksa kembali banyak perkara termasuk sistem pendidikan kita dan ia memerlukan kertas kerja yang panjang.

Dalam kesempatan terhad ini, biarlah kita mulakan dengan peranan yang paling penting dan paling mengakar umbi; iaitu peranan ibu bapa.

Menurut kes-kes yang dibentangkan, adalah jelas anak-anak di peringkat sekolah rendah mudah meniru apa yang mereka lihat.

Kalau dahulu, televisyen menjadi sumber utama, diikuti dengan lambakan cakera padat (CD) lucah, kini akses melalui talian internet dan telefon pintar menjadi satu sumber yang teramat sukar dikawal.

Klip-klip video pendek melalui laman perkongsian video hiburan seperti Youtube atau Metacafe menjadi rujukan anak-anak.

Tambahan pula dengan teknologi terkini melalui perisian Android di telefon pintar, ‘Tablet’ atau ‘Ipad’, memudahkan aplikasi ini dicapai dengan segera.

Ibu bapa harus mengetahui bahawa terdapat apa yang dikatakan sebagai zina mata atau melihat kepada sesuatu yang berunsurkan maksiat. Zina mata atau “lahadhat” bukan hanya sekadar memandang, malah diikuti dengan pandangan selanjutnya.

Ibu bapa dalam hal ini perlu maklum bahawa sebarang bentuk pornografi, yang ditakrifkan sebagai “sebarang bahan yang memaparkan secara jelas alat kelamin atau perlakuan seksual, bagi membangkitkan nafsu syahwat adalah haram.

Budaya Barat cuba mengkategorikan pornografi kepada bentuk soft pornography dan hard pornography sebagai kriteria pengkelasan untuk filem-filem tontonan umum dan untuk tontonan mereka di bawah umur, tetapi bagi kita umat Islam, kedua-dua bentuk itu adalah haram sama sekali.

Hard pornography adalah naskah filem atau klip atau majalah (juga komik) yang secara terang-terangan menggambarkan aksi seksual atau alat kelamin secara nyata.

Yang lebih bermaharajalela di kotak televisyen kita ialah soft pornography atau aksi memberahikan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat.

Kategori kedua ini walaupun tidak menunjukkan secara nyata aksi hubungan seksual, tetapi ia turut bertujuan membangkit nafsu syahwat melalui iklan-iklan oleh model yang berpakaian separuh bogel dan video-video klip hiburan yang memaparkan aksi tarian yang menghairahkan.

Saya tidak segan silu mengatakan sebahagian filem-filem tempatan kita dan sesetengah rancangan drama tempatan sudah pun memasuki kategori soft pornography, dan jika tidak dibendung, ia menjadi sesuatu yang diterima norma masyarakat.

Sekiranya ibu bapa dapat mengawal disiplin diri dengan ketat untuk tidak menonton perkara-perkara ini, dan menjadikan rumah kita kawasan larangan dari kemasukan bahan-bahan ini, sebagai contoh mengawal rancangan TV yang kita sendiri tidak wajar tonton, dan tidak membeli CD atau VCD hiburan berbentuk sedemikian, insya-ALLAH sekurang-kurangnya anak kita tidak terdedah kepada bahaya sedemikian di dalam rumah kita sendiri.

Ingatlah, anak-anak kita masih muda dan umpama tunas yang perlu dijaga sebaiknya. Kajian telah membuktikan bahawa akses kepada bahan pornografi ini membentuk jiwa anak-anak ke arah ketagihan kepada menonton dan seterusnya perlakuan seksual itu sendiri.

Dari segi kejiwaan, anak-anak ini dibelenggu rasa bersalah dan jiwa merasa kacau, tetapi mereka tetap ketagihan. Mereka belum kuat untuk menepis imej-imej yang sentiasa menghantui mereka.

Penulis ialah Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon