Thursday, November 28, 2013

Wanita Jadi 'Hamba' Di London Rupanya "WANTED" Polis Malaysia!


Kakak kepada wanita warga Malaysia yang menjadi hamba domestik selama 30 tahun di London, berangkat ke England malam kelmarin untuk menemui adiknya.

Siti Aishah Abdul Wahab

Kamar Mahtum Abdul Wahab, pergi ke sana ditemani orang kampungnya, aktivis Hishamuddin Rais yang turut berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Kamar merupakan kakak kepada Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang hilang tanpa dapat dikesan di London sekitar 70an ketika berada di sana bagi menyambung pelajaran.

Kamar membawa bersamanya dokumen pengenalan, barangan peribadi dan gambar untuk memudahkan proses mengenal pasti Siti Aishah kelak.

Menurut suami Kamar dikenali sebagai Md Noh Md Dom, Siti Aishah yang tidak pernah ditemuinya sudah lama dicari keluarga mentua namun Aishah dikatakan menolak untuk pulang ke Malaysia seterusnya lenyap tanpa jejak selepas kecewa apabila pertunangannya gagal.

Kamar Mahtum Abdul Wahab

Ibu mentuanya turut berwasiat sebelum meninggal dunia supaya mencari Siti Aishah untuk mengetahui apa sudah berlaku padanya.

Siti Aishah merupakan salah seorang daripada tiga mangsa hamba domestik yang diselamatkan oleh polis London selepas di kurung di sebuah flat di London selama 30 tahun. Selain Siti Aishah, mangsa lain terdiri daripada wanita Irish berusia 57 tahun dan wanita tempatan, 30.

Dalam pada itu, sebuah media di London iaitu IVT News telah menyiarkan gambar yang didakwa Siti Aishah dan seorang mangsa lain dikenali sebagai Josephine yang diambil ketika mereka menghadiri inkues mahkamah pada 1997.

Siti Aishah Jadi Hamba Komunis
Siti Aishah (dikatakan belakang sekali) ketika 
menghadiri inkues mahkamah pada 1997.

Inkues itu dijalankan berhubung kes kematian seorang wanita, Sian Davies yang maut selepas jatuh dari tingkap sebuah rumah pada Oktober 1997.

Menurut media tempatan, Siti Aishah juga pernah dibicarakan bersama enam wanita lain pada 1978 selepas ibu pejabat fahaman Maoist di Brixton diserbu polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Siti Aishah dikehendaki polis negara pada tahun 70an kerana terlibat dengan aktiviti komunis.

KPN yang mengeluarkan kenyataan ini pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di PULAPOL berkata, Siti Aishah bagaimanapun gagal dijejaki selepas dipercayai melarikan diri ke London.

Nampaknya semakin misteri kisah yang menyelubungi Siti Aishah ini. Dari satu segi, berita pembebasannya daripada menjadi hamba domestik selama 30 tahun adalah satu berita gembira.

Tapi dari segi lain, ia membuatkan timbul pertanyaan sama ada kehilangan Siti Aishah dari bumi Malaysia selama ini kerana terperangkap sebagai hamba domestik atau dia sendiri pernah memilih untuk bersama perjuangannya hingga terpaksa melupakan tanah air.

Apa pun yang telah berlaku, diharapkan keadaan akan menjadi jernih kini dan segala kesilapan lampau jika ada, dapat diperbetulkan.

Sumber: Astro Awani, Malaysian Insider, beliabangkit.blogspot.com

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon