Wednesday, November 20, 2013

Banglo Berhantu, Villa Nabila Ditutup!


Segala cerita dan kisah tentang sebuah rumah banglo di Danga Bay, Johor Bahru bakal tinggal lagenda selepas kawasan rumah itu mula ditutup sepenuhnya bermula malam tadi.

Villa Nabila
Villa Nabila.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam sidang media pagi kelmarin berkata pihaknya akan berunding dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan pemilik tanah villa itu bagi menutupnya demi keselamatan orang ramai.

Menurut beliau, selain mungkin mengakibatkan kemalangan ke atas orang yang berkunjung ke rumah itu, kawasan itu juga dilihat bakal menyebabkan penularan wabak demam denggi ekoran air yang bertakung di dalam kolam renangnya.

Villa Nabila ialah sebuah banglo setinggi empat tingkat terletak di tepi jalan Skudai di Danga Bay dan bangunannya menghadap Selat Johor telah lama ditinggalkan dan dibiarkan kosong.

Rumah agam itu menjadi kejutan seluruh negara bermula Sabtu lalu apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu dengan mendakwa seramai 23 orang remaja hilang selepas gagal keluar daripada villa itu.

Mereka yang seramai 30 orang didakwa pada awalnya memasuki villa berkenaan namun kisah palsu itu mendakwa hanya tujuh orang remaja berjaya keluar sementara 23 orang lagi terperangkap.

remaja hilang di villa nabila
Gempar remaja dilaporkan hilang sebelum ini.

Polis Johor menafikan kisah kehilangan 23 orang sebaliknya mengesahkan hanya menerima satu laporan polis oleh seorang wanita yang melaporkan kehilangan anaknya Mohd Izzat Izzudin Hussin yang berusia 16 tahun.

Namun akhirnya, Mohd Izzat ditemui semula oleh polis di rumah rakan bersama dengan teman wanitanya.

Remaja itu pada tengahari kelmarin telah dijemput pulang oleh ibunya, Norhayati Mohammad.

Apapun kisahnya, hujung minggu lalu warga Johor pastinya gempar dengan cerita yang terjadi kepada Mohd Izzat.

Kawasan Villa Nabila dipenuhi ratusan manusia sehingga menyebabkan jalan Skudai sesak teruk kerana orang ramai yang datang ke Villa Nabila untuk melihat keadaan dalam rumah agam itu.

Malam tadi, keadaan di hadapan Villa Nabila kembali tenang dan trafik lancar.

Malam tadi juga, hanya kedengaran bunyi mesin para pekerja yang memasang pagar kekal bagi menutup Villa Nabila dan ia bakal tinggal kenangan.

Villa Nabila Haunted
Kerja-kerja memagar dilakukan pihak berkuasa.

Menurut beberapa laman blog, Izzat mencetuskan kebimbangan ibunya dengan tidak pulang ke rumah sebaliknya pergi ke rumah rakannya di Flat Desa Bukit Mutiara selepas meninjau villa itu bersama 30 orang rakannya.

Namun, bagi individu bodoh yang mahu menggemparkan orang ramai dan terus mencipta cerita palsu dengan menambah jalan cerita bahawa kononnya hanya tujuh remaja berjaya keluar dengan 23 orang lagi hilang di dalam rumah itu.

Hasilnya, seluruh Malaysia gempar dan Villa Nabila trending di Twitter serta popular di seluruh Johor.

Dengan cerita itu juga, kini rumah agam itu bakal ditutup 'hubungannya' dengan dunia luar untuk menjaga keselamatan orang ramai dari bahaya rumah agam itu.

Bukan bahaya dari puaka tetapi strukturnya yang sudah tidak stabil, kotor dan juga kemungkinan untuk runtuh pada bila-bila masa.

[Sumber][Edited by SP]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon