Sunday, July 21, 2013

Tiga Wanita Terbunuh Protes Penyokong Morsi Bertukar Ganas


Penyokong Mohammed Morsi terus mengadakan protes semalam bagi menuntut beliau dilantik semula sebagai Presiden Mesir.

Penyokong Mohammed Morsi berarak di Kaherah.

Perkembangan tersebut berlaku selepas puluhan ribu penyokong Presiden yang digulingkan tentera itu bertempur dengan penentang mereka sejak malam kelmarin.

Beribu-ribu penyokong setia Morsi berhimpun di hadapan Masjid Rabaa Al-Adawiya di ibu kota Mesir, di sini pada pagi semalam sambil membawa potret pemimpin mereka dan bendera Mesir.

Perhimpunan itu diadakan ketika ketegangan politik di Mesir memuncak selepas sehari kumpulan penyokong dan anti-Morsi saling mengadakan protes di seluruh negara.

Tunjuk perasaan itu bertukar ganas di bandar raya Mansura di Delta Sungai Nil.

"Tiga orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera akibat ditembak dan ditikam dalam beberapa pertempuran antara penyokong dan penentang Morsi," kata seorang pegawai hospital di Mansura, Adel Said.

Beberapa pegawai semalam mengesahkan bahawa tiga orang yang terbunuh itu adalah wanita.

Mereka memberitahu, angka kecederaan di Mansura pula sebanyak 34 orang.

Protes oleh puluhan ribu penyokong Morsi yang bermula kelmarin dan dinamakan "Mematahkan Rampasan Kuasa" berlaku tiga hari selepas pemangku Presiden Adly Mansour menubuhkan Kabinet baharu Mesir.

Bagaimanapun, Kabinet tersebut ditolak oleh penyokong Morsi.

Kebanyakan penyokong pemimpin itu terdiri daripada anggota pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin.

Kelmarin turut menyaksikan beribu-ribu penentang Morsi turut membanjiri Dataran Tahrir di sini.

Sehingga kini, Morsi masih ditahan oleh tentera Mesir dengan pihak berkuasa turut menangkap beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan membekukan aset mereka.

Setakat ini, protes pro-Morsi telah meragut lebih 100 nyawa dengan 53 orang terbunuh di luar ibu pejabat Pengawal Republikan di sini pada 8 Julai lalu. -AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon