Sunday, March 31, 2013

Filem Terbaru Ip Man: The Final Fight


Pengarah Herman Yau dan penerbit Checkley Sin yang bertanggungjawab menghasilkan filem The Legend Is Born - Ip Man kembali dengan karya terbaru, Ip Man: The Final Fight.


Bagaimanapun, harus diingatkan, filem ini amat berbeza dari filem Ip Man yang lain, termasuk yang dijayakan oleh Donnie Yen.

Kali ini, fokus utama Ip Man : The Final Fight adalah pertarungan terakhir Ip Man semasa dia berumur 40-an sehingga kematiannya.

Pelakon Anthony Wong, dua kali pemenang anugerah pelakon terbaik Hong Kong, akan memainkan watak Ip Man. Manakala Anita Yuen, pemenang anugerah pelakon perempuan terbaik Hong Kong, akan berlakon sebagai isteri Ip Man.

Selain Anthony dan Anita, filem ini turut dibintangi oleh Eric Tsang, Gillian Chung dan Jordan Chan.

Meletakkan seni mempertahankan diri - Wing Chun sebagai taruhan utama, penonton akan disajikan dengan pelbagai aksi menarik yang dijayakan oleh Anthony.

Ternyata, biarpun hanya melalui lakonan, Anthony berjaya mempamerkan aksi yang cukup mantap dan memperlihatkan dia seolah-olah 'master' dalam aksi mempertahankan diri ini.

Namun, harus diingatkan sekali lagi, filem ini berbeza dari cara pembawaan Donnie Yen sebagai Ip Man. Bagaimanapun, kedua-duanya ada keistimewaan tersendiri.

Tidak hanya meletakkan aksi-aksi mantap sebagai modal utamanya, Herman juga turut bijak dalam menyusun setiap plot perjalanan terakhir Ip Man.

Apatah lagi konflik kehidupannya ketika melalui zaman perang dan kelangsungan hidupnya yang terganggu dengan dunia samseng yang tidak lagi menghormati dirinya sebagai seorang guru mempertahankan diri.

Permainan emosi yang mendalam oleh Anthony juga akan membuatkan penonton merasa kasihan terhadap nasibnya dan cara kematiannya.

Begitu juga dengan emosi isterinya yang terpaksa menerima kematian Ip Man dalam usia yang disifatkan masih belum melewati usia tua.

Filem yang mengambil latar belakang perang Hong Kong ini mengisahkan sifu dalam ilmu seni mempertahankan diri - Wing Chun iaitu Ip Man beraksi kembali setelah mendapat pelbagai cabaran dari ahli kung fu yang menyeretnya ke dalam dunia yang penuh kegelapan dan berbahaya iaitu dunia samseng.

Ketika itu, demi membela nyawa dan maruahnya, Ip Man tak punya pilihan lain, selain menerima tantangan bertarung untuk terakhir kalinya.

-Sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon