Tuesday, November 27, 2012

Mengarut! Harimau Malaya Sembunyi Elak Strategi Di Pantau Lawan?


Skuad Harimau Malaya memilih untuk menyembunyikan diri selepas diaibkan Singapura kelmarin, apabila menjalani latihan secara tertutup di Institut Penilaian Negara (Inspen) petang semalam.


Usaha media menjengah sesi latihan skuad Harimau Malaya gagal apabila pengawal keselamatan tidak membenarkan mereka memasuki institut berkenaan dengan alasan menerima arahan daripada pihak atasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tindakan itu mengejutkan petugas media kerana sebelum ini, mereka tidak pernah dihalang daripada membuat liputan skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu.

Kelmarin, Harimau Malaya tumpas 0-3 kepada Singapura pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa arahan itu daripada beliau sendiri. Beliau berkata tindakan tidak membenarkan media membuat liputan latihan skuad Harimau Malaya itu bagi memastikan usaha memulihkan semangat pemain tidak terganggu.

“Saya nak mereka (jurulatih dan pemain) beri tumpuan 150 peratus kepada persiapan menentang Laos Rabu ini (esok) kerana kami perlu mendapat tiga mata penuh.

“Kami memerlukan enam mata untuk mara ke separuh akhir dan saya yakin mereka mampu melakukannya,” kata Subahan.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membenarkan media membuat liputan pada latihan berikutnya di padang latihan FAM hari ini.

“Biarlah pemain kita jalani latihan secara tertutup buat seketika kerana mereka perlu memberi fokus sepenuhnya tanpa sebarang gangguan hari ini,” katanya.

Subahan berkata tindakannya itu bukan bermakna untuk menutup kelemahan skuad kebangsaan tapi bagi memberi ruang kepada pemain kerana beliau yakin anak buah Rajagobal mampu bangkit pada perlawanan seterusnya.

Malaysia akan menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon