Sunday, March 18, 2018

Coca-cola Bakal Perkenalkan Minuman Beralkohol

Coca-cola Bakal Perkenalkan Minuman Beralkohol

Selepas kopi, nampaknya Coca-Cola bakal menghasilkan produk minuman beralkohol pertama syarikat itu yang dalam sejarah 125 tahun tertubuhnya jenama ini, mereka ingin mencuba dahulu pendekatan ini di Jepun.

Coca-cola Bakal Perkenalkan Minuman Beralkohol

Ianya sebagai salah satu cara untuk mereka bersaing dalam pasaran minuman yang dikenali sebagai Chu-Hi; air perisa sparkling yang menjadi kegemaran rakyat Jepun. Produk ini biasanya akan mengandungi kandungan alkohol sekitar 3% hingga 8%.

Menurut salah seorang wakil Coca-Cola Japan, ianya satu eksperimen syarikat berkenaan untuk memasuki pasaran minuman Chu-Hi ini.

“Kami tidak pernah memasuki pasaran minuman kategori alkohol endah sebelum ini. Ini adalah salah satu perkara yang menarik untuk dicuba dan lari daripada kebiasaan kami,” kata Jorge Garduno, presiden Coca-Cola Japan.

Jenama-jenama arak lain di Jepun seperti Kirin, Suntory dan Asahi sentiasa mempunyai produk yang baharu di pasaran dan disebabkan itu, Coca-Cola mahu turut bersama syarikat-syarikat ini dalam mempelbagaikan pilihan produk di bawah jenama Coca-Cola.

Minuman Chu-Hi ini popular di kalangan remaja terutamanya wanita. Coca-Cola juga berminat untuk memasuki segmen premium; di mana minumannya lebih ‘keras’ dan mengandungi kandungan alkohol lebih tinggi tetapi tidak dalam masa terdekat.

Tiada jangkaan bila produk ini akan berada di pasaran tetapi ianya akan berada di pasaran Jepun sedikit masa lagi.

Jadi anda yang ke Jepun, berhati-hatilah. Jangan sampai terbeli Coca-Cola dari siri Chu-Hi ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Fakta Kenapa Coca-Cola Haram Diminum Oleh Umat Islam

sumber: thevocket

Ketahui Perkara Penting Anda Perlu Lakukan Jika Ditahan Polis

Ketahui Perkara Penting Anda Perlu Lakukan Jika Ditahan Polis

Jika anda ditahan polis, atas apa sebab sekalipun, langkah terbaik adalah mendapatkan peguam tanpa mengira anda bersalah atau tidak, sebagai langkah penting bagi menjamin hak anda dilindungi.

Perkara Penting Anda Perlu Lakukan Jika Ditahan Polis

Polis bukanlah musuh tetapi pada masa sama mereka bukan kawan anda. Cara terbaik untuk melindungi diri anda adalah dengan mempunyai peguam.

Berikut adalah nasihat Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen, ketika berurusan dengan polis dalam pelbagai situasi.

Apa lagi sebab pentingnya diwakili peguam?

Jika polis gagal melengkapkan siasatan dalam masa 24 jam, pegawai penyiasat (IO) boleh memohon tahanan anda dilanjutkan melalui reman.

Permohonan dibuat kepada majistret. IO boleh meminta tiga hingga empat hari reman dan jika anda tiada peguam, anda tidak boleh memberi maklum balas.

Bagaimana untuk melindungi diri ketika soal siasat?

Dalam kenyataan saksi anda, undang-undang memberikan anda hak untuk tidak berkata apa-apa. Anda malah tidak perlu mengaku jika bersalah. Anda boleh beritahu polis yang anda mahu membela diri di mahkamah.

Jika anda memberi kerjasama, ia akan membantu siasatan polis. Misalnya jika anda ditahan bersama-sama dadah dalam kereta anda dan anda sebenarnya tidak bersalah, anda boleh berkata ia milik orang lain.

Polis mungkin menerima penjelasan itu dan mencari individu tersebut. Jika anda tidak berkerjasama, polis akan mengatakan anda sahaja suspek mereka.

Kaedah seksaan atau pemaksaan untuk memaksa anda membuat pengakuan tidak dibenarkan walaupun ada beberapa kes sedemikian.

Bagaimana jika polis berpakaian preman tidak memberitahu identiti mereka ketika tahanan?

Biasanya polis akan memperkenalkan diri mereka.

Anda tidak disarankan untuk melawan, ia hanya membawa kepada banyak masalah lain.

Jika anda memang tidak tahu identiti mereka, secara teknikalnya anda tidak melakukan kesalahan. Namun sebaik saja tahanan selesai polis sepatutnya akan memberitahu identiti mereka.

Apa yang perlu anda lakukan jika melihat polis bertindak melampau ketika membuat tangkapan?

Ini adalah situasi sukar kerana anda cuba membuat sesuatu yang boleh dianggap sebagai mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Saksi boleh membuat laporan polis kemudiannya berhubung apa yang dilihatnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Negara Polis Paling Rasuah Di Dunia

sumber: malaysiakini

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh

Biarpun diri berusaha gigih dan berdoa untuk dipercepatkan jodoh andai tidak berhasil, semua itu adalah ketetapan dari Allah SWT dan sebagai umat Islam, kita hendaklah redha dengan ketentuan-Nya dan menerima dengan ikhlas.

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh
Gambar hiasan.

Namun, kadangkala tanpa disangka jodoh ada di depan mata. Tidak perlu bercinta lama.

Dalam soal pemilihan jodoh sememangnya ada yang mudah dan ada yang sulit. Soal rezeki, hidup, mati mahupun jodoh sukar diramalkan kerana ia menjadi rahsia Allah SWT. Semua itu sudah tertulis takdirnya.

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh.

1. MENINGGALKAN SOLAT

Manusia diwajibkan untuk beribadah (solat) kepada Allah SWT.

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 21)

Solat merupakan ibadah wajib umat Islam yang tidak boleh ditinggalkan. Dengan meninggalkan ataupun jarang menunaikan solat, ia juga merupakan salah satu penyebab kenapa Allah SWT tidak memakbulkan permintaan hamba-Nya.

Selain meninggalkan solat, mereka yang sering menunda-nunda solat hingga ke akhir waktu itu juga harus mengubah sikap ini.

Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan urusan duniawi sehingga membuatkan manusia lupa ibadah wajib.

Maka tidak hairanlah sekiranya Allah SWT tidak mengutamakan doa-doa yang dipanjatkan orang tersebut termasuk dalam soal jodoh.

2. MELAKUKAN PERBUATAN SYIRIK

Umum sudah mengetahui bahawa perbuatan syirik merupakan perbuatan berdosa besar. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya.

Sebagai contoh, apabila berdepan dengan kelewatan dalam bertemu jodoh, mereka meminta pertolongan daripada bomoh, tukang tilik dan sebagainya.

Malah, ada juga yang mengamalkan sesuatu perkara yang tidak tertulis dalam dalil Al Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Dengan melakukan perkara ini, seseorang itu benar-benar tersesat dari jalan yang lurus.

Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Al-Luqman ayat 13)

Apa yang harus mereka lakukan adalah memperbaiki hubungan dengan Allah lalu memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.

3. DOSA YANG DILAKUKAN KEPADA ORANG TUA

Ibu dan bapa menjadi sebab hadirnya kita ke muka bumi ini. Dengan melakukan dosa terhadap kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya maka Allah SWT akan murka dan menutup segala sumber rezeki.

Sumber rezeki yang dimaksudkan itu juga termasuk dengan ‘jodoh’.

Keredaan ibu bapa adalah sangat penting dan tanpa reda ibu bapa, Allah SWT juga tidak akan membantu hamba-Nya.

4. MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM

Hubungan silaturrahim perlu dipandang sebagai elemen penting dalam usaha membina hubungan dengan Allah.

Ia sama juga seperti restu Allah bergantung kepada restu kedua-dua ibu bapa, namun mengekalkan hubungan silaturrahim sesama manusia juga akan mempermudahkan kita dalam mendapatkan rezeki berupa jodoh.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Oleh itu, sebagai manusia, jangan sesekali cuba memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.

5. MELAKUKAN ZINA

Mereka sering menyalahkan takdir ilahi apabila sering berdepan dengan ujian dan cabaran hidup, walhal mereka tidak sedar dengan setiap tindakan mereka yang berterusan melakukan perbuatan zina.

Zina adalah salah satu perbuatan keji yang dibenci Allah SWT dengan kata lain, melakukan zina akan membuat hubungan manusia dengan Tuhannya menjadi rosak sehingga urusan jodoh pun akan terhalang kerana dosa tersebut.

Sekiranya anda pernah melakukan zina, segeralah bertaubat yang bersungguh-sungguh, memohon ampun atas perbuatan itu.

Dengan izin dan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Allah SWT akan menerima taubat seseorang yang ikhlas yang tidak akan mengulangi kesalahannya.

KESIMPULAN

Dengan mengelakkan daripada terjadinya lima perkara di atas, kita semua disarankan agar sentiasa melakukan perubahan ke arah yang terbaik.

Sekiranya anda tidak mempunyai perkara-perkara di atas tetapi masih juga tidak dipertemukan jodoh, teruskanlah berusaha dan berdoa.

Semoga setiap doa dan permintaan kita dikabulkan oleh Yang Maha Esa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pesonapengantin

Sejarah Perubatan Homeopati Dan Keajaiban Herba Melawan Penyakit Berbahaya

Sejarah Perubatan Homeopati Dan Keajaiban Herba Melawan Penyakit Berbahaya

Asal-usul Homeopati berasal daripada dua perkataan iaitu 'homoios' yang bermaksud serupa dan 'pathos' (penderitaan) yang merujuk kepada tanda-tanda atau simptom yang mana rawatan homeopati lebih menekankan kepada membantu menguatkan keupayaan tubuh melawan penyakit yang menyerang bukannya menyediakan bahan untuk membunuh kuman penyakit tersebut.

Sejarah Perubatan Homeopati Dan Keajaiban Herba Melawan Penyakit Berbahaya

Kaedah itu telah lama digunakan di dalam dunia perubatan Barat dan kini semakin berkembang dan mendapat tempat di Malaysia.

Dua ratus tahun telah berlalu sejak Homeopati diperkenalkan kepada manusia dengan pelbagai idea, teori dan kejayaan telah terpahat di dalam sejarah berkaitan sumbangan homeopati di dalam memperbaiki dan merubah kesengsaraan dan penderitaan pesakit.

Dalam masa yang sama, penawar-penawar Homeopati telah membuktikan kehebatan mereka di dalam menyembuh dan menghalang penyakit serta mempertingkatkan tahap kesihatan pada tingkat yang fundamental.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai ini bukanlah melalui satu jalan yang mudah. Liku-liku pancaroba yang amat mencabar terpaksa diharungi dan akan terus didepani dari masa ke semasa.

Tetapi satu yang pasti ialah Homeopati akan terus tegak di persada kehidupan sebagai satu rawatan perubatan alternatif yang mujarab dan efektif.

Keyakinan ini berasaskan kepada beberapa aspek penting kaedah rawatannya yang tidak didapati pada mana-mana rawatan perubatan lain dewasa ini.

Sejarah Ringkas Homeopati

Pengasas Homeopati, Samuel Hahnemann, telah dilahirkan di Meissen berhampiran Dresden, Jerman pada 10 April 1755.

Beliau mendapat ijazah perubatannya pada tahun 1779 dan ketika berkhidmat sebagai doktor di beberapa buah bandar, Hahnemann tidak lupa memahirkan diri dengan mempelajari pelbagai jenis bahasa baru dan lama dan juga ilmu kedoktoran silam.

Selain daripada menjadi seorang doktor, beliau juga terkenal sebagai pakar kimia, ahli mineralogy dan botani, malah beliau boleh dianggap sebagai seorang ahli sains yang serba berkebolehan.

Berdasarkan kepada pembacaan dan pemerhatian Hahnemann ke atas sistem rawatan pada masa itu dan yang terdahulu, beliau begitu tertarik kepada tindakbalas ubat-ubatan di dalam menyembuh penyakit.

Kajiannya tertumpu kepada kesan kulit pokok Cinchona (kulit kayu Quinine atau Peruvian) ke atas penyakit malaria kerana penyakit berkenaan merebak luas ketika itu dan antara yang paling berbahaya.

Walaupun ada penulisan di masa itu berhubung kuasa penyembuhan kulit pokok Chinchona, tetapi Hahnemann tidak begitu berpuas hati dan mengambil keputusan untuk membuat ujian sendiri ke atas manusia yang sihat iaitu dirinya sendiri.

Hasilnya, selepas mengambil dos kulit pokok berkenaan secara berterusan, beliau mendapati simptom (gejala) malaria pada dirinya seperti kesejukan, panas dan berpeluh serta gejala-gejala sampingan lain.

Dengan kata lain, kulit pokok Cinchona yang digunakan sebagai penawar (ubat) untuk menyembuhkan malaria juga memberikan kesan (gejala) yang sama jika diberikan secara berterusan kepada manusia yang sihat.

Penemuan prinsip rawatan ini yang dipanggil “Similia Similibus Curentur” di dalam bahasa Latin atau “sesuatu yang serupa menyembuhkan yang serupa” menandakan permulaan satu falsafah perubatan baru yang akan membawa kesan besar kepada dunia perubatan.

Kajian demi kajian telah dilakukan oleh Hahnemann bersama teman seperjuangannya dan akhirnya beliau berjaya membukukan falsafah perubatan Homeopati di dalam bukunya yang terkenal bertajuk “Organon” dan diikuti kemudian dengan terbitnya buku panduan perubatan Homeopati pertama “Materia Medica Pura”.

Kemajuan Homeopati berjalan dengan pesat dengan banyak lagi penemuan baru dan penerbitan buku-buku panduan dan telah berkembang ke serata dunia dan terus dipopularkan sebagai rawatan alternatif penting hari ini.

Hahnemann meninggal dunia di Paris pada tahun 1843 dengan meninggalkan mutiara yang amat berharga, satu falsafah dan kaedah rawatan yang begitu banyak bermanfaat kepada kesihatan manusia sejagat sepanjang zaman.

Kaedah Rawatan Homeopati

Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelas menunjukkan bahawa prinsip rawatan Homeopati ialah memadankan simptom (gejala) penawar dengan simptom pesakit (simptom pesakit dan BUKAN simptom penyakit!)

Prinsip ini di panggil “Prinsip Seraksi” (Principle of Similars atau Similia Similibus Curentur).

Seorang Pengamal Homeopati akan mendapatkan gambaran terperinci pesakit melalui perbualan dan penganalisaan simptom.

Apa yang dimaksudkan dengan “gambaran terperinci” ini ialah butir-butir mengenai diri pesakit, sejarah penyakit di dalam keluarga, penyakit atau kemalangan masa lalu, minat dan hobi, bentuk dan jenis pemakanan, ubat-ubatan lain yang diambil dan sebagainya.

Butir-butir ini tidak terhad kepada apa yang diucapkan oleh pesakit sahaja tetapi juga apa yang diamati oleh Pengamal Homeopati seperti bentuk susuk badan, keadaan kulit dan anggota badan lain, cara dan nada percakapan, kecendurangan minda, tabiat, dan sebagainya.

Semua ini membentuk “gambaran terperinci” pesakit.

Tugas kita seterusnya ialah mencari “gambaran terperinci” penawar Homeopati (daripada Materia Medica) yang menepati atau hampir menepati “gambaran terperinci” pesakit berkenaan.

Tugas ini sangatlah rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi dan banyak kesabaran terutamanya kerana kurangnya kerjasama daripada para pesakit.

Ini berkait rapat dengan salahfaham mereka mengenai Homeopati atau menganggap sistem perubatan ini sama seperti rawatan di klinik atau hospital (dikenali sebagai sistem rawatan Allopati) iaitu dengan memberi nama penyakit sudah memadai untuk mendapatkan preskripsi ubat.

Jika kita lihat betul-betul, kita akan dapati bahawa rawatan Homeopati memerlukan gambaran keseluruhan pesakit di saat membuat diagnosa dan ini dipanggil pendekatan secara holistik.

Bukan sahaja aspek fizikal pesakit yang diberi perhatian tetapi juga keadaan mental dan spiritualnya diambil kira supaya penawar kelak akan lebih berkesan dan berkekalan.

Keistimewaan Homeopati

Sejak sekian lama Homeopati telah terbukti hebat dan berkesan di dalam memperbaiki tahap kesihatan bukan saja manusia tetapi juga binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Secara ringkas, antara kelebihan Homeopati ialah:
  • Efektif – mampu merawat dengan mujarab hampir kesemua jenis penyakit.
  • Natural – tidak menggunakan sebarang bahan sintetik, tetapi sebaliknya menggunakan bahan-bahan asli daripada tumbuhan, galian dan bahagian binatang.
  • Selamat – penawarnya tidak toksid dan tanpa kesan sampingan.
  • Individu – penawar diberikan berdasarkan gambaran pesakit secara individu dan tidak disamaratakan antara semua pesakit walaupun penyakitnya kelihatan serupa.
  • Satu Penawar – hanya satu penawar sahaja diberikan pada setiap ketika.
  • Tidak Melarat – penawar homeopati membantu sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit dan BUKAN mengambilalih tugasnya.
  • Dos Minima – dos penawar hanyalah setakat diperlukan dan selebihnya adalah tindakan semulajadi sistem pertahanan badan.
  • Holistik – seluruh gambaran pesakit diambil kira waktu memberi penawar.
  • Saintifik – walaupun banyak salah faham tentang Homeopati, ia tetap diterima berasaskan kajian yang saintifik.
  • Harga Berpatutan – harganya berpatutan dan mampu dilanggani oleh semua.

nota: Dipetik drp. artikel Dr. (H) Ir. Izham Hashim, PHom, BHMS (MAhM/USU)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

sumber: pphbm

Saturday, March 17, 2018

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Setiap masa akan ada saja penemuan spesis haiwan yang baru namun, apa yang menyedihkan adalah setiap hari juga terdapat spesis haiwan yang berhadapan dengan ancaman kepupusan yang sangat serius.

Berikut adalah 6 spesis haiwan yang hampir pupus dan mungkin tidak akan dikenali lagi oleh generasi akan datang.

1. Badak Sumbu Putih Utara

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Selepas pembunuhan spesiesnya oleh pemburu haram sejak sekian lama, satu-satunya badak sumbu putih utara jantan yang tinggal di dunia kini dikawal ketat 24 jam oleh anggota keselamatan Kenya.

Badak sumbu jantan bernama Sudan berusia 40 tahun itu ditempatkan di kawasan konservasi Ol Pejeta di Kenya bersama dua lagi badak betina.

Selain tiga ekor itu, hanya terdapat dua badak betina lain bagi spesies berkenaan di dunia.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) terdapat lebih daripada 2,000 badak sumbu putih utara di muka bumi ini pada tahun 1960. Aktiviti pemburu haram bagaimanapun telah mengurangkan jumlahnya kepada 15 ekor pada tahun 1984.

Pemburu haram sukar dibendung memandangkan permintaan terhadap sumbu badak sudah mencapai harga tinggi di pasaran gelap iaitu sekurang-kurangnya AS$75,000 sekilogram.

2. Hawksbill Turtle

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Penyu yang sangat terancam ini adalah daripada keluarga Cheloniidae dan merupakan satu-satunya spesis yang masih hidup bagi jenis Eretmochelys.

Spesis penyu ini boleh dijumpai di Atlantic (subspesis E. i. imbricata) dan juga Indo-Pasifik (E. i. bissa).

Spesis E. imbricata sangat mudah dibezakan daripada penyu lain dengan melihat kepada paruhnya yang melengkung dan tajam dan luaran cangkerangnya yang seperi gergaji.

Warna cangkerangnya juga boleh berubah mengikut suhu air.

Walaupun haiwan ini tinggal di dalam laut namun ia lebih banyak menghabiskan di lagun yang cetek dan di sekitar terumbu karang.

3. Harima China Selatan

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Harimau China Selatan atau Harimau Xiamen merupakan spesis dari keluarga kucing yang paling terancam ketika ini.

Ia berada dalam senarai IUCN Red List sebagai haiwan terancam sejak tahun 1996 lagi. Ia juga dikenali sebagai Amoy yang digunakan dalam sektor perdagangan bulu haiwan.

Dianggarkan sebanyak 30 hingga 50 ekor sahaja lagi yang masih hidup. Peratusan keterusan hidup oleh spesis harimau ini dikatakan sangat tipis disebabkan oleh kepadatan mangsa yang sangat rendah, pemecahan dan kehilanga tempat tinggal dan juga tekanan daripada manusia.

4. Saola

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Haiwan yang hanya boleh ditemui di Annamite Range antara Vietnam dan Laos ini baru sahaja ditemui pada tahun 1992.

Walaupun Saola baru sahaja ditemui, namun ia sudah berada di penghujung hayat spesis mereka apabila menjadi antara haiwan diancaman kepupusan.

Saola merupakan keluarga bovidae (termasuk kambing) dan disahkan ketika penemuan bangkai haiwan ini di VÅ© Quang Nature Reserve.

Sejak itu, Saola diletakkan di dalam kurungan, tetapi hanya untuk tempoh yang singkat. Dikatakan hanya terdapat kurang daripada 50 ekor yang masih hidup sekarang.

Ancaman terhadap saola adalah kehilangan habitat akibat penebangan hutan untuk membina infrastruktur dan agrikultur.

Selain itu, pemburuan di sekitar habitat Saola untuk mendapatkan daging serta tanduknya juga menjadi penyebab kepada masalah ini. Tanduk saola biasanya dijadikan trofi.

Haiwan yang menyerupai Kijang ini mempunyai 2 tanduk hitam yang panjang dan melengkung sedikit ke belakang.

5. Vaquita

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Vaquita adalah merupakan mamalia laut yang paling jarang ditemui di dunia. Perkataan vaquita dalam bahasa Sepanyol bermaksud "lembu kecil" yang mana mempunyai badan berwarna kelabu, putih di bahagian perutnya dan bertompok gelap.

Vaquita menggantikan ikan Baiji telah dikatakan pupus pada tahun 2006 sebagai cetacean (mamalia laut) yang paling diancam kepupusan.

Vaquita boleh dijumpai di sebuah kawasan kecil di utara Teluk California.

Ancaman terbesar kepada haiwan ini adalah kematian disebabkan kemalangan apabila mereka terperangkap di dalam jala "gillnet" yang bertujuan untuk menangkap haiwan laut lain.

Haiwan ini berkemungkinan akan pupus lebih cepat, mungkin pada tahun 2018 jika penggunaan jala gillnet ini tidak diharamkan.

Walaupun beratus-ratus juta ringgit dilaburkan oleh kerajaan Mexico dalam usaha menghapuskan penangkapan vaquita yang tak disengajakan, namun jumlah ikan ini semakin berkurangan.

Pada tahun 1997, jumlah vaquita dianggarkan sebanyak 600 dan kemudiannya berkurangan secara mendadak kepada 60 ekor pada 2015.

Pada 30 November 2016, WWF menganggarkan hanya 30 ekor sahaja yang masih wujud dan mengkategorikannya sebagai sangat terancam.

6. Pangolin

6 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Dunia

Pangolin adalah satu-satunya mamalia yang badannya diselaputi dengan sisik. Haiwan daripada keluarga Tenggiling ini adalah antara haiwan yang sedang diancam kepupusan.

Haiwan ini adalah insektivor dan makanan ruji baginya adalah semut dan anai-anai. Mempunyai kuku yang melengkung dan sangat tajam, mudah bagi mereka untuk menggali tanah untuk mencari makan.

Pangolin aktif pada waktu malam dan suka bersendirian. Ia akan bertemu dengan spesisnya hanya untuk mengawan dan akan menghasilkan 1 hingga 3 zuriat sahaja yang dijaga sehingga berumur 2 tahun.

Dagingnya yang sangat istimewa dan sisiknya bernilai tinggi menyebabkan haiwan ini menjadi mamalia yang paling banyak diseludup di dunia.

Ancaman kepupusan adalah kerana menjadi mangsa pemburuan haram di Asia dan Afrika dan juga penebangan hutan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Malaysia

sumber: terbaikbakhang

Al-Qarawiyyin Universiti Pertama Dan Tertua Di Dunia

Al-Qarawiyyin Universiti Pertama Dan Tertua Di Dunia

Ramai yang menyangka bahawa universiti tertua di dunia adalah universiti Harvard, Universiti Cambridge atau Universiti Oxford, namun sangkaan itu sebenarnya meleset sama sekali!

Al-Qarawiyyin Universiti Pertama Dan Tertua Di Dunia

Universiti Al-Qarawiyyin adalah universiti tertua dan pertama dunia yang ditubuhkan di bandar Fez, Maghribi pada 859 Masihi semasa pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah.

Pada tahun 1998, Guinness Book of World Records menetapkan Universiti Al-Qarawiyyin sebagai universiti tertua dan pertama di dunia yang memberikan pembelajaran akademik.

Lebih menarik lagi universiti ini telah diasaskan oleh seorang wanita Islam iaitu Fatimah al-Fihri yang lahir di Tunisia, merupakan seorang ilmuwan dan dermawan.

Siapa sangka, niat awalnya datang ke wilayah Fez atas urusan perdagangan seterusnya telah mencipta sejarah dengan membina Universiti Al-Qarawiyyin kerana cintakan pengetahuan Islam dan sains serta menyedari akan kepentingan pendidikan dalam Islam.

Universiti Al-Qarawiyin mempunyai perpustakaan tertua yang menempatkan sebanyak 4,000 koleksi buku unik, berserta manuskrip arab kuno yang ditulis oleh ulama terkenal di rantau ini.

Al-Qarawiyyin Universiti Pertama Dan Tertua Di Dunia

Antara koleksi bahan yang tersimpan adalah Al-Quran versi abad ke-9 dan manuskrip mengenai perundangan Islam yang ditulis oleh ahli falsafah, Ibn Rushd.

Subjek yang diajarkan di Universiti al-Qarawiyyin pula terdiri dari pelbagai subjek antaranya ilmu tafsir, feqh, bahasa Arab, perubatan, matematik, falsafah, muzik, sejarah, kimia, astronomi, retorik dan sains.

Direkodkan bahawa pada abad ke 14 pelajar-pelajar di universiti tersebut sudah mencapai sebanyak 8,000 orang.

Sehingga kini, universiti tersebut menampung pelajar yang terdiri dari pelbagai bangsa dan warna kulit termasuklah pelajar Muslim, Kristian dan Yahudi.

Universiti al-Qarawiyyin telah mencapai kemahsyuran yang berprestij, melahirkan ribuan ulama berprofil tinggi yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap alam intelektual dan akademik di dunia Islam.

Antara ilmuwan Islam yang pernah menjadi pelajar di sini ialah Abu al-Abbas al-Zawawi, Abu Madzhab al-Fasih, Ali Africanus, Ibn al-Arabi dan ramai lagi.

Manakala antara pelajar Kristian pula ialah Gerbert Aurillac, yang memperkenalkan penggunaan sifar dan angka Arab ke Eropah, Nichola Louvain dan Deutch Golius yang juga mempelajari bahasa Arab di sana.

Bangunan universiti ini telah diperbaharui namun serba sedikit masih mengekalkan estetikanya yang asli, namun masjid dan perpustakaan masih lagi mengekalkan bangunan asal.

Al-Qarawiyyin Universiti Pertama Dan Tertua Di Dunia

Dari sudut lain, bandar Fez antara bandar yang tersenarai sebagai tempat pelancongan yang menarik di dunia.

Bandar ini masih mengekalkan ciri-ciri bandar lama yang dikenali sebagai “Fes al-Bali” yang sangat menakjubkan.

Jelaslah bahawa penyebaran ilmu yang berbentuk akademik sudah pun bermula pada abad ke-9 semasa era kegemilangan Islam.

Malah, penubuhan Universiti al-Qarawiyyin memberitahu bahawa dalam Islam golongan wanita tidak terhalang untuk menuntut Ilmu bahkan pengasas pusat ilmu ini juga merupakan seorang wanita.

Universiti al-Qarawiyyin seterusnya telah menjadi ilham kepada penubuhan universiti-universiti lain bertaraf dunia dan telah menjadi tempat tarikan pelajar dan pelancong ke benua Afrika itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 3 Jenis Universiti Awam Di Malaysia

sumber: mynewshub

Asal-usul Dan Sejarah Dikir Barat

Asal-usul Dan Sejarah Dikir Barat

Dikir Barat adalah satu persembahan dari negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan dan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara yang akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Asal-usul Dan Sejarah Dikir Barat

Tahukah anda Dikir Barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian, namun asal-usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, walaupun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.

Dalam lingkungan masyarakat petani, Dikir Barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai.

Kini, persembahan Dikir Barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan begitupun, pertandingan antara kumpulan Dikir Barat sering diadakan.

Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia - Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan Dikir Barat secara aktif.

Kita memanggilnya Dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi.

Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia.

Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.

Budaya Dikir Barat kemudian terus menular ke selatan, Singapura sekitar 1970-an.

Pelbagai pertandingan dianjurkan badan kerajaan setiap tahun dan sambutan terhadapnya begitu baik sehingga ke hari ini, biarpun Singapura kini adalah kota metropolitan yang maju.

Sejarah Dikir Barat bermula dengan tarian

Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar Dikir Barat di Malaysia dan menurut sumber sejarah, Dikir Barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil tarian Patung Inai - tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940.

Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama Dikir Barat.

Tarian Patung Inai adalah tarian tradisional yang dipersembahkan ketika majis perkahwinan di mana seorang ketua (Tok Jogha) akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain.

Muzik Dikir Barat pula punya pengaruh ritma rebab atau rebana Sunda dan aktiviti ini sudah menjadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungam Melayu.

Dikir Barat juga ada kaitan dengan Dikir Laba atau lebih dikenali sebagai Dikir Punjab yang bermaksud drama dalam bahasa Punjab (Hindustan) dan mempunyai kaitan rapat dengan Qawwali, iaitu budaya popular di kalangan orang India.

Dalam Dikir Laba, anggotanya akan menyanyikan lagu dan cuba mengikuti rentak dengan menggerakkan badan. Mereka juga perlu menyanyi menerusi nada yang tinggi.

Tidak kira apa bentuk dikir sekalipun, Tok Jogha punya tanggungjawab besar untuk menghidupkan lagu yang dipersembahkan itu.

Pada 1948, Pak Leh Tapang mengubah cara tarian Patung Inai iaitu dimainkan dengan mengadaptasi beberapa elemen dari Dikir Laba dan Dikir Punjab.

Perkataan barat diambil dari gelaran yang diberikan orang Kelantan kepada masyarakat Siam. Ada juga pihak memnbawa teori bahawa perkataan barat datang dari perkataan 'Bharat', nama lama kepada benua kecil India.

Ia boleh dikira logik memandangkan pengaruh dari konteks Dikir Punjab.

ASAL USUL DIKIR BARAT

a) Dikir Barat Berasal Dari Selatan Siam

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam.

Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan.

Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan pernah diperintah oleh Kerajaan Siam.

Rakyat daripada kedua-dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat.

Ketika dibawa ke Kelantan, ianya adalah dalam bentuk Dikir sebelum ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

b) Dikir Barat Berasal Dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa Dikir Barat berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana.

Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, ramai orang menganggap Dikir Barat sebagai suatu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.

c) Dikir Barat Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang

Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat.

Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu.

Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam.

Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun.

Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun.

Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam).

Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi Dikir Barat.

Fungsi Tukang Karut

Elemen asas dalam kumpulan Dikir Barat adalah dua teraju utamanya, iaitu Juara dan Tukang Karut.

Anggota kumpulan Dikir Barat tidak terhad kepada jumlah tertentu. Di Singapura, ketika berlangsungnya pertandingan, siaz standard kumpulan ialah dua teraju utama - 14 awak-awak dan empat pemain muzik percussion.

Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut.

Tidak seperti Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang Karut yang bijak memberikan persembahan menghiburkan sebagai berkesan fungsinya sebagai penghibur. Juara pula biasanya adalah penyanyi yang memiliki suara cukup mendayu.

Awak-awak biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama.

Pemuzik percussion pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

Ibu rebana, adalah percussion paling penting. Anak rebana pula berfungsi sebagai penyokong kepada ibu rebana dan lebih kecil dari segi saiz namun memiliki nada lebih tinggi.

Gong dan Canang pula memperkemaskan lagi tempo. Canang adalah gong tradisional Melayu bersaiz kecil yang diletakkan di atas lantai.

Maracas dan Trambouline pula biasanya digunakan untuk kesan bunyi tambahan kepada muzik itu. Trambouline biasanya dimainkan seorang teraju utama ketika anggota lain menyanyi.

Dikir Barat di Kelantan dipercayai dipelopori Pak Leh Tapang, diikuti Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Jusoh Kelong, Daud Bukit Abal, Arifin Ana.

Kemudian generasi baru terdiri daripada penyanyi dikir seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, Mat Gelemor dan Megat Nordin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Tarian Kuda Kepang

sumber: adisaufi

Friday, March 16, 2018

Wanita Sanggup Berbogel Dalam Suhu Beku Untuk Kekal Awet Muda

Wanita Sanggup Berbogel Dalam Suhu Beku Untuk Kekal Awet Muda

Berjoging dalam keadaan berbogel ketika salji turun pada suhu -9 darjah selsius bukanlah idea yang baik, tapi itulah yang dilakukan oleh Inna Vladimirskaya, 32, yang akan berlari di sepanjang sungai Dnieper, Kiev, Ukraine, setiap pagi Ahad.

Wanita Sanggup Berbogel Dalam Suhu Beku Untuk Kekal Awet Muda

Inna Vladimirskaya sanggup berbuat demikian kerana percaya joging sambil berbogel dan berendam dalam sungai pada suhu beku membolehkannya awet muda.

Peliknya, dia juga mendapat sokongan suaminya yang akan berada di sisinya setiap kali Inna melakukan aktiviti berkenaan.

Difahamkan sudah sembilan tahun wanita ini melakukan aktiviti ini pada setiap Ahad!

Wanita Sanggup Berbogel Dalam Suhu Beku Untuk Kekal Awet Muda

Inna Vladimirskaya percaya suhu tahap beku melancarkan pengaliran darah dan ia membolehkannya sihat dan awet muda.

Jangan ada pula yang cuba tiru cara wanita ini, setiap individu mempunyai daya ketahanan badan yang berbeza.

Nak bogel kemudian tahan sejuk melampau. Itu mungkin gila!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 8 Makanan Rahsia Kekal Sihat Dan Awet Muda

sumber: nx