Monday, June 30, 2014

MH370: Bukti Baharu Dakwa Ada Gangguan Kuasa Misteri

MH370: Bukti Baharu Dakwa Ada Gangguan Kuasa Misteri

Penyiasat nahas udara, kehilangan pesawat MH370 telah menemui bukti baharu mengenai kokpit pesawat yang berkemungkinan telah diganggu.

MH370 Bukti Baharu Dakwa Ada Gangguan Kuasa Misteri

Satu laporan yang dikeluarkan oleh penyiasat nahas udara Australia mendedahkan bahawa pesawat Boeing 777 yang hilang mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan, yang membuatkan pakar-pakar percaya ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

Menurut laporan itu, unit data satelit pesawat telah melakukan permintaan ‘log masuk’ yang tidak dijangka kepada satelit, dalam tempoh kurang dari 90 minit semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Laporan menyebut mengenai permintaan ‘log masuk’ yang dikenali sebagai ‘handshake’ yang dilihat mungkin muncul disebabkan gangguan kuasa elektrik di atas kapal pesawat.

“Permintaan log masuk ketika penerbangan bukan perkara biasa.

“Analisis telah dilakukan yang menentukan bahawa ciri-ciri dan masa permintaan ‘logon’ adalah padanan terbaik sebagai akibat daripada gangguan kuasa,” Menurut laporan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

David Gleave, seorang pakar keselamatan penerbangan dari Loughborough University, berkata gangguan bekalan kuasa muncul sebagai hasil apabila seseorang di kokpit cuba untuk mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

Tindakan itu, katanya, adalah selaras dengan usaha untuk menjadikan komunikasi pesawat dan sistem terpadam dalam usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

“Seseorang mungkin berlegar-legar di dalam kokpit yang akan membawa kepada gangguan kuasa,” katanya.

“Ia boleh menjadi satu tindakan yang sengaja bagi mematikan kedua-dua enjin untuk beberapa ketika. Dengan kerunsingan di dalam kokpit anda mungkin boleh mematikan kuasa buat sementara dan menghidupkannya semula apabila anda memerlukan sistem lain untuk menerbangkan pesawat.”

Inmarsat, syarikat yang secara rasmi menganalisis data penerbangan dari MH370, telah mengesahkan penilaian ini tetapi berkata tidak mengetahui mengapa pesawat itu mengalami kegagalan kuasa.

“Ia kelihatan seperti terdapat kegagalan kuasa pada kedua-duanya.

“Ia merupakan satu lagi misteri kecil. Kita tidak boleh menerangkannya. Kita tidak tahu mengapa. Kami hanya tahu ia berlaku,” kata Chris McLaughlin, dari Inmarsat, kepada The Telegraph.

Laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Australia mendedahkan bahawa Boeing 777 cuba untuk membuat ‘log masuk’ ke satelit Inmarsat pada pukul 2.25 pagi, tiga minit selepas ia dikesan oleh radar tentera Malaysia.

Ketika itu pesawat sedang terbang di utara pulau Sumatera Indonesia.

Pesawat itu telah menyimpang dari laluan sebenar untuk ke destinasinya iaitu Beijing, tetapi tidak lagi menukar arah ke selatan Lautan Hindi.

Pesawat itu mengalami satu lagi permintaan log masuk hampir sama kira-kira enam jam kemudian, walaupun ini adalah ‘handshake’ satelitnya ketujuh dan terakhir di mana dipercayai pesawat kehabisan bahan api dan kuasa elektrik sebelum terhempas, di suatu tempat di selatan Lautan Hindi.

Lima ‘handshake’ lain mula dikenalpasti oleh stesen satelit bumi dan tidak dianggap luar biasa.

Ketika ditanya sama ada gangguan kuasa yang boleh disebabkan oleh kerosakan mekanikal, Gleave berkata: “Terdapat kegagalan mekanikal yang boleh dipercayai menjadi sebab. Tetapi anda tidak akan terbang sejauh beratus-ratus batu dan hilang di Lautan Hindi kemudiannya.”

Sumber: mstar.com.my

Kunyit Penawar Penyakit Kencing Manis?

Kunyit Penawar Penyakit Kencing Manis?

Mungkin ramai yang tidak menyedari begitu banyak herba di dapur dan halaman rumah yang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit.

Kunyit

Herba yang telah digunakan secara turun-temurun ini semakin dilupakan kerana ilmunya tidak diwarisi.

Tambahan pula, kebanyakan generasi muda menganggap bahan herba hanya sebagai tumbuhan hiasan atau bahan masakan semata-mata.

Sebagai contoh, kunyit ialah ‘herba’ yang sangat bagus untuk membantu fungsi dan pemulihan badan dalam menghadapi masalah diabetes, kolesterol, masalah kulit, radang sendi dan kesihatan hati.

Bahan aktif di dalam kunyit dikenali sebagai curcuminoids juga telah dikenal pasti dapat membantu untuk penyakit alzheimer, multiple myeloma, kanser kolon dan kanser pankreas.

Menariknya, penggunaan kunyit dalam kebanyakan masakan masyarakat India dipercayai berkait rapat dengan keupayaannya memulihara fungsi kecergasan otak seseorang.

"Walaupun kebanyakan kajian yang dijalankan ke atas tumbuhan herba dan rempah-ratus hanyalah pada peringkat awal, tiada buruknya jika menambahkan rempah-ratus dalam diet harian anda," kata pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker.

Tambah beliau, penggunaan herba-herba dan rempah-ratus bukan sahaja memperkayakan perisa makanan tetapi juga meningkatkan khasiat kesihatan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes.

"Ramuan tersebut dapat melipat gandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa.

"Kunyit juga dapat membantu mengawal masalah obesiti. Ini secara langsung dapat mencegah penyakit yang berpunca daripada kegemukan seperti diabetes," jelasnya.

Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di Thailand kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.

Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel badan.

Pendek kata, mengamalkan pemakanan kunyit ini seumpama memakan ubat sebelum sakit.

BACA INI JUGA: Pelik! Labah-labah Pemakan Burung

Sumber: utusan

Akibat Ketagihan Media Sosial

Akibat Ketagihan Media Sosial

Apabila kegilaan kepada media sosial semakin meruncing, maka akan terjadilah pelbagai kisah-kisah yang tidak sepatutnya berlaku. Malah, ada sesetengahnya melibatkan nyawa manusia.

Mari kita ikuti antara kisah ketagihan media ini dan ambillah iktibar agar kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi seperti mereka.

Masuk hospital kerana WhatsApp

WhatsAppitis

Seorang wanita yang terlalu banyak menggunakan aplikasi WhatsApp pada musim krismas yang lalu akhirnya terpaksa dimasukkan ke dalam hospital. Menurut laporan seorang kakitangan perubatan di hospital, mereka telah merawat seorang wanita berusia 34 tahun yang sedang mengandung 27 minggu akibat kesakitan yang teruk di pergelangan tangannya.

Sebelum itu, dia tidak pernah terlibat dengan mana-mana insiden malah tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti fizikal yang lasak. Pada hari tersebut, dia menghabiskan lebih 6 jam dengan telefon bimbitnya untuk menghantar pelbagai mesej.

Penyakitnya telah didiagnos dan didapati ada kena mengena dengan ibu jari yang kemudiannya mereka gelarkan sebagai 'WhatsAppitis'.

Cuba bunuh diri gara-gara 'Selfie'

Danny Bowman

Seorang remaja British yang ketagih 'selfie' cuba membunuh diri kerana tidak puas hati dengan gambar selfienya. Danny Bowman yang berusia 19 tahun menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari untuk berselfie menggunakan iPhone miliknya dan dalam masa sehari sekurang-kurangnya 200 keping gambar berjaya dihasilkan.

Danny cuba membunuh diri dengan mengambil pil berlebihan namun ibunya sempat menyelamatkan nyawanya. Walaupun kes sebegini dianggap ekstrim, pakar psikologi mula menganggap bahawa mengambil gambar secara 'selfie' merupakan satu isu kesihatan mental yang serius.

Remaja meninggal di kem pemulihan internet

Deng Senshan

Kerajaan China telah menjalankan siasatan mengenai seorang remaja yang didakwa telah dipukul sehingga mati di kem yang mengendalikan kes-kes ketagihan internet. Deng Senshan yang baru berusia 15 tahun telah meninggal dunia kurang sehari selepas ibu bapanya menghantar dia ke kem yang terletak di selatan Guangxi.

Kes itu telah mendorong pakar dalam bidang perubatan untuk menggesa undang-undang digunakan terhadap kem-kem seperti ini yang semakin berkembang di China sehinggakan ada yang mengiklankannya di tv.

Deng ditemui dalam keadaan muntah-muntah namun meninggal dunia semasa dihantar ke klinik. Menurut seorang pengarah klinik pemulihan ketagihan internet, perkara begitu akan sentiasa berlaku kerana kem-kem ini tidak menekankan pengendalian secara saintifik sebaliknya lebih kepada sistem ketenteraan.

Ketagihan internet di China adalah masalah yang teruk kerana lebih 200 juta penggunanya berusia diantara 15-35 tahun.

Bunuh diri selepas dituduh ketagih Facebook

Sushma Goswami

Pada bulan Februari yang lalu, seorang wanita India berusia 24 tahun telah bertindak menggantung dirinya di kipas siling setelah dituduh obses dengan Facebook oleh ibu bapanya. Sushma Goswami hanya mengenali Facebook beberapa bulan sebelum kejadian dan terus tertarik dan menghabiskan masa berjam-jam melayari laman sosial itu.

Adik lelakinya turut mengikut langkahnya dan keadaan itu menimbulkan kemarahan ibu bapa mereka. Kedua-dua adik beradik itu mempunyai beribu-ribu kawan dalam Facebook walaupun kehidupan seharian mereka lebih terfokus untuk pembelajaran.

Berang dituduh ketagih Facebook oleh kedua orang tuanya, Sushma telah mengurung dirinya di dalam bilik dan hanya ditemui keesokannya dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

Adakah Facebbok sangat teruk?

Bunuh diri makan pil tidur

Pada Oktober 2013, seorang gadis berusia 17 tahun telah membunuh dirinya selepas bergaduh dengan ibu bapanya tentang ketagihannya terhadap Facebook. Dalam nota yang ditinggalkannya, dia menulis, "Adakah Facebook sangat teruk? Saya tak boleh tinggal dalam rumah yang mempunyai halangan sebegitu kerana saya tidak boleh hidup tanpa Facebook".

Jatuh dalam laut kerana Facebook

Port Phillip Bay

Seorang pelancong wanita yang melawat Australia begitu leka dengan aplikasi Facebook di telefon bimbitnya ketika berada di jeti Teluk Port Philip sehinggakan tidak sedar dia terjatuh dari jeti tersebut dan termasuk ke dalam air yang sangat sejuk.

Dia bernasib baik kerana ada pengunjung lain yang segera memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Wanita itu bukan saja tidak perasan dengan sekelilingnya, malah dia juga sebenarnya tidak tahu berenang.

Mujurlah lokasi Port Philip agak cetek di kebanyakan tempat dan dia hanya berada 60 kaki dari jeti yang memudahkan kerja-kerja menyelamat. Apa yang menariknya ialah, semasa dia terjatuh dan berada di dalam air, dia tidak kehilangan telefon bimbitnya dan masih menggenggam erat telefon tersebut walaupun dalam cuaca sejuk dan air yang dingin.

Hilang kerja dan isteri kerana Twitter

Larry Carlat

Seorang lelaki, Larry Carlat pernah menjadi editor sebuah majalah lelaki yang terkenal. Namun, selepas dia mengenali dan ketagih Twitter, Larry kehilangan kerja, diceraikan dan dipulaukan oleh orang-orang kesayangannya.

Dia akan menggunakan Twitter hampir sepanjang masa setiap hari. Masalahnya, tabiat menggunakan Twitter adalah salah dari segi polisi media sosial syarikat tempatnya bekerja. Dia telah diberi pilihan sama ada untuk menutup akaunnya di Twitter atau dibuang kerja.

Malangnya, dia memilih Twitter namun selepas sebulan, dia kehilangan isteri yang menceraikannya. Dia mendakwa berada ditahap paling teruk apabila anak lelakinya sendiri mengugut untuk tidak mahu 'follow' ayahnya di Twitter.

Namun, selepas lebih 3 tahun ketagih, Larry akhirnya meninggalkan dunia Twitternya.

Video Khas Buat Yang Ketagih Selfie!


-Sentiasapanas.com

Saturday, June 28, 2014

Tidak Tahu Membaca Al-Quran Tapi Kuburnya Bercahaya

Tidak Tahu Membaca Al-Quran Tapi Kuburnya Bercahaya

Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan dan mampu menitiskan air mata.

Kubur bercahaya
Gambar hiasan.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa.

Samada ia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu.

Keesokannya, lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidik dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau wali Allah atau alim ulama atau orang soleh yang terkenal?

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isterinya lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di kubur suaminya.

Anehnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, bukan juga imam, bukan muazzin, bukan guru Al-Qur'an.

Malah suaminya tidak pandai membaca Al-Qur'an dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Al-Qur'an. Perkara ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati.

Akhirmya lelaki itu bertanya, apakah perkara-perkara pelik yang simati selalu lakukan dalam kehidupan hariannya.

Akhirnya isteri arwah tersebut teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam, suaminya akan mengambil wudhuk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya Al-Qur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Al-Qur'an
Gambar hiasan.

Ia akan duduk dan membelek Al-Qur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta.

Dia akan meraba-raba ayat-ayat Al-Qur'an itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.

Tambah isteri simati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-Mu. Janganlah Engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu“.

“Wahai Kalaamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapan Tuhan diakhirat nanti”.

Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani Al-Qur'an, buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat Al-Qur'an kesayangan suaminya itu.

Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali.

Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh Al-Qur'an. Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.

Marilah kita menghidupkan Al Qur'an di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang masa.

Subhaanallah...

BACA INI JUGA: Misteri Batu Nisan ‘Bernyawa’

Sumber: Beritapantas92

"Berjuang Menentang Tentera Syiah Bukannya Pengebom Berani Mati"

"Berjuang Menentang Tentera Syiah Bukannya Pengebom Berani Mati"

Salah seorang rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan aktiviti militan di Syria, Mohd Lotfi Ariffin, 45, menepis dakwaan pihak-pihak tertentu yang mendakwa dirinya sedang menjalani latihan ketenteraan di luar negara untuk menjadi pengebom berani mati.

Mohd Lotfi Ariffin

Dalam kenyataannya itu, Mohd Lotfi yang berada di Syria sejak awal Februari lalu mempertikai tindakan pihak terbabit yang memaparkan gambarnya di negara bergolak itu sebagai antara 10 ahli Jemaah Islamiah (JI) dari Malaysia yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara bagi direkrut menjadi pengebom berani mati.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana tujuan sebenar menjejakkan kaki ke Syria adalah membantu saudara Islam di bumi Syam itu memerangi kezaliman yang dilakukan tentera Assad.

“Saya dikatakan dilatih untuk jadi pengebom berani mati, sedangkan saya takut mati. Dari mana mereka dapat maklumat itu?,” katanya sinis.

Mohd Lotfi turut menjelaskan penyertaannya dalam peperangan di Syria bukannya untuk menyertai kumpulan pemberontak atau pengganas, sebaliknya bersama kumpulan Ajnad As Syam yang memerangi Presiden Bashar al-Assad.

“Saya bukan bersama Isil (kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya), namun ada pihak membuat bayangan dalam Facebook mereka, kononnya saya Isil sehingga ada rakan yang tidak bersetuju dengan saya. Sebenarnya saya berjuang bawah Ajnad As Syam yang namanya tidak begitu dikenali. Saya bersama mereka untuk memerangi tentera Bassyar,” katanya.

Menurutnya, beliau kesal apabila ada pihak menyalahgunakan namanya yang dikatakan menyokong pihak tertentu.

Mengulas mengenai jihad yang diperjuangkannya, Mohd Lotfi berkata, beliau sanggup meninggalkan isteri dan enam orang anak demi mempertahankan golongan ditindas, selain mahu bantu masyarakat di sana menyekat kemaraan tentera Assad daripada menyeksa dan membunuh manusia yang tidak berdosa.

“Bagi mereka yang mahu berjihad di bumi Syam, perlu sanggup meninggalkan anak, isteri dan dunia semata-mata kerana jihad fisabilillah. Kami juga sanggup dipenjara, dibunuh dan dibuang daerah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak boleh menghalang rakyat Malaysia daripada melawat negara yang terkesan dengan konflik dalaman jika mereka mempunyai visa.

Ahmad Zahid juga menegaskan individu yang berjuang atau mempertahankan kesucian Islam tidak bermakna mereka perlu menggunakan senjata dan meletupkan diri, selain dinasihatkan agar tidak menjadikan Malaysia pangkalan kumpulan militan.

Sementara itu, seorang lagi militan Malaysia yang dipapar di blog dan laman web pro-militan adalah bekas pemain dram kumpulan terkenal era 90-an.

Beliau dikatakan dipengaruhi Mohd Lotfi dan kemudian menyertainya di Syria, di mana kedua-duanya kelihatan bersenjata dan memakai pakaian tentera. -Sinar Harian Online

Saksikan gambar-gambar pembunuhan kejam tentera Syiah. Selain hidup mewah, aman dan damai di Malaysia, apa pula sumbangan anda?

Kekejaman tentera Syiah di Syria [2]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [3]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [4]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [5]

-Sentiasapanas.com
Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan

“Saya akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis),” kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap, ketika menjadi panel jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

“…5 Ramadan iaitu jatuh pada 3 Julai ini iaitu pada hari ‘birthday’ saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad,” katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan [2]

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

“Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah,” katanya. –Sinar Harian Online

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Apakah itu filem Heist? Ia merupakan genre filem memaparkan jalinan plot yang kompleks mengenai sekumpulan pencuri (atau mungkin orang biasa!) yang ingin mencuri sesuatu.

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Filem sebegini juga biasa dipersembahkan dalam plot tiga babak iaitu babak pertama yakni persediaan rompakan tersebut (menghimpun ahli kumpulan, mengkaji pelan rompakan, menghasilkan gajet untuk rompakan dan lain-lain). Babak kedua pula adalah acara rompakan itu sendiri dan babak ketiga memaparkan twist atau perubahan dalam plot di mana ada pengkhianatan atau masalah dalam perancangan.

Kami senaraikan beberapa filem hebat Hollywood bercorak rompakan yang anda perlu tahu.

Reservoir Dogs (1992)

Reservoir Dogs (1992)

Filem ini merupakan filem debut Quentin Tarantino sebelum dia mula menempa namanya melalui filem "Pulp Fiction".

Kisah "Reservoir Dogs" mungkin bukan plot tiga babak biasa namun ia mendapat gelaran 'Filem Indie Terbaik Sepanjang Zaman' dan menjadi filem kultus kerana kreativiti plotnya yang berkisar tentang apa yang berlaku sebelum dan selepas rompakan.

Ia juga sebuah filem Tarantino yang tipikal – dipenuhi jenayah ganas, budaya pop, bahasa yang tidak sopan dan juga cara penceritaan yang tidak sejajar.

Filem ini turut mendapat perhatian kerana para pelakon yang terlibat. Siapa yang tidak mahu menonton sebuah filem yang dibintangi Harvey Keitel, Steve Buscemi, Tim Roth, Michael Madsen, Chris Penn dan Lawrence Tierney, kan?

Ocean's Eleven (2001)

Ocean's Eleven (2001)

Ya, sekalipun filem ini merupakan versi baru filem caper-heist lakonan Rat Pack (kumpulan aktor memfokuskan Humphrey Bogart, Frank Sinatra, Dean Martin, Sammy Davis Jr. dan sebagainya), Stephen Soderbergh agak bijak menggunakan nama-nama besar seperti George Clooney, Brad Pitt dan Matt Damon untuk memastikan "Ocean's Eleven" arahannya mendapat tempat di hati peminat yang lebih muda.

"Ocean's Eleven" yang mengisahkan Danny Ocean dan kumpulan pencuri profesionalnya mungkin antara filem rompakan yang menjadi pilihan kerana menggunakan plot tiga babak yang tradisional dan setiap babak mengenai pelan mereka untuk memecah masuk ke dalam peti kasino Las Vegas dan merompak AS$150 juta ini agak kemas dan sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan genre ini.

Inception (2010)

Inception (2010)

Dikenali sebagai filem rompakan eksistensial pertama, Christopher Nolan berjaya memecahkan tradisi filem rompakan biasa dengan menghasilkan kisah sekumpulan pakar pemecah mimpi.

Apakah harta karun yang ingin dicuri (atau dalam erti kata lain, dicuri masuk)? Idea. Bagaimana cara melakukannya? Dengan memasukkan pengaruh mereka melalui mimpi. Siapa yang akan melakukannya?

Seorang pencuri bernama Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) yang mencuri informasi melalui cara menakluk mimpi mangsanya, pembantunya Arthur (Joseph Gordon-Levitt) yang bertindak sebagai pemberi maklumat, rakan jenayahnya Eames (Tom Hardy) yang pakar dalam mencuri identiti, ahli baru mereka Ariadne (Ellen Page) yang bertindak sebagai arkitek mimpi dan Yusuf (Dileep Rao), ahli kimia yang membantu mereka melakukannya.

Ya, hanya Christopher Nolan sahaja yang boleh berfikir sejauh itu.

The Sting (1973)

The Sting (1973)

Filem rompakan yang juga sebuah filem caper (filem rompakan berunsur komedi) ini mungkin nampak seperti filem biasa, namun ia telah menerima sepuluh pencalonan termasuk Filem Terbaik di Anugerah Academy ke-46 suatu masa dahulu.

Kisah rompakan dengan plot yang kompleks ini dilakonkan oleh Paul Newman dan Robert Redford sebagai dua penipu profesional yang ingin mengenakan seorang ketua mafia.

Ia juga merupakan filem yang diinspirasikan daripada kisah benar Fred dan Charley Gondorff yang diabadikan melalui autobiografi, "The Big Con: The Story Of A Confidence Man".

The Killing (1956)

The Killing (1956)

"The Killing" merupakan sebuah filem rompakan dalam bentuk noir yang diarahkan oleh Stanley Kubrick. Ya, insan yang sama yang mempersembahkan anda dengan "A Clockwork Orange" dan "The Shining".

Filem lakonan Sterling Hayden, Elisha Cook Jr., Coleen Gray dan Ted de Corsia ini mengisahkan seorang penjenayah lama bernama Johnny Clay lakonan Hayden yang ingin melakukan satu lagi rompakan sebelum mengahwini kekasihnya, Fay.

Clay mengumpulkan rakan pasukannya yang terdiri daripada seorang polis korupsi, seorang penjaga kaunter pertaruhan, penembak tepat, seorang ahli gusti dan pelayan bar untuk cuba mencuri AS$2 juta duit pertaruhan lumba kuda..

The Usual Suspects (1995)

The Usual Suspects (1995)

Jika anda tidak tahu apa-apa tentang Keyser Soze, itu bererti anda belum lagi peminat setia genre ini. Filem neo-noir arahan Bryan Singer ini bermula sebagai satu filem inspirasi daripada dialog filem "Casablanca" yang diutarakan oleh watak Claude Rains.

Filem yang dibintangi Stephen Baldwin, Gabriel Byrne, Benicio del Toro, Chazz Palminteri, Kevin Pollak, Pete Postlethwaite, dan Kevin Spacey ini juga berjaya menaikkan lagi nama Kevin Spacey dalam industri perfileman di Hollywood.

"The Usual Suspects" bukan sahaja mendapat perhatian di Festival Filem Cannes 1995, malah penulisnya, McQuarrie dan Spacey telah berjaya memenangi anugerah Academy melalui filem ini.

Ia mungkin bukan filem rompakan yang biasa dan bermula dengan soal siasat Roger 'Verbal' Kint yang terselamat dalam kebakaran di atas kapal yang berada di Pelabuhan Los Angeles.

Kint lantas menceritakan kisah bagaimana dia dan empat penjenayah lain telah diupah oleh seorang ketua mafia yang misteri bernama Keyser Soze untuk menyeludup kokain bernilai AS$91 juta dan kejadian kompleks yang berakhir dengan kebakaran tersebut.

Perubahan plot di akhir filem ini bakal membuatkan anda terkejut, itu pun jika anda tidak pernah menontonnya atau membacanya di Wikipedia!

The Town (2010)

The Town (2010)

"The Town" bukanlah filem rompakan semata-mata. Apa yang ditonjolkan filem karya Ben Affleck ini adalah bagaimana seorang perompak akhirnya jatuh cinta dengan mangsanya dan apa yang harus dilakukannya demi meninggalkan kerjayanya dan bersama dengan wanita yang dicintainya.

Namun "The Town" juga merupakan kisah seorang lelaki perompak dan memiliki ahli kumpulannya sendiri. Ia tidak dilakukan dengan sambil lewa kerana setiap rompakan mereka dilakukan dengan terancang dan ada tiga rompakan yang dilakukan dalam filem ini, menjadikan filem ini satu gabungan genre heist, drama, romantik dan aksi dalam masa yang sama.

Tentu sekali, anda juga tidak akan lupa babak para perompak (lakonan Ben Affleck, Jeremy Renner, Slaine dan Owen Burke) yang merompak sebuah trak wang dengan memakai topeng biarawati dan bersenapang!

The Italian Job (1969)

The Italian Job (1969)

Ya, tidak sah senarai ini tanpa filem caper-heist yang paling popular. Tidak, kami tidak bercakap tentang versi remake tahun 2003 itu. Kami maksudkan filem asalnya yang dihasilkan pada tahun 1963 dan mempopularkan kereta Mini Cooper.

Ya, filem yang turut tersenarai sebagai filem British Terbaik Sepanjang Masa (disenaraikan di tempat ke-27).

Filem lakonan Michael Caine di era terbaiknya ini mengisahkan Charlie yang memulakan rancangan terbarunya untuk merampas emas bernilai AS$4 juta yang dipindahkan ke Itali dari China dengan menggunakan kenderaan yang cukup pantas, kecil dan sangat berguna – tiga buah kereta Mini Cooper S.

Filem ini dibarisi para pelakon British dan Itali hebat lewat tahun 60-an termasuk Michael Caine Noël Coward, Benny Hill, Raf Vallone, Tony Beckley dan Maggie Blye.

BACA INI JUGA: 6 Filem Balas Dendam Terbaik

Gurn, Pertandingan Muka Paling Hodoh Di Dunia!

Gurn, Pertandingan Muka Paling Hodoh Di Dunia!

Di bahagian Utara England, terdapat satu festival pelik yang dimulakan sejak turun temurun. Ia merupakan suatu acara tahunan yang dikenali sebagai 'Gurn' atau pertandingan mempamerkan mimik muka paling hodoh!

Gurn - Obama

Malah, pertandingan ini telah diiktiraf sebagai acara sukan di Britain. Oleh sebab itu, tidak hairanlah menjelang tahun 1945, Kejohanan Gurn telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan sejarah festival ini, ia merupakan sebahagian tradisi lama yang mula dipertandingkan oleh bangsa Inggeris sejak ratusan tahun lalu yang diperkenalkan pada tahun 1267.

Acara ini selalunya akan diadakan pada pertengahan bulan September setiap tahun. Lokasi penganjuran festival ini adalah di sebuah kawasan khas yang dikenali sebagai Egremont Crab Fair and Sports.

Menurut jurucakap penganjur pertandingan, Alan Clements, kejohanan mempamerkan mimik muka paling hodoh merupakan satu acara wajib yang telah disertai oleh penduduk tempatan yang tinggal di Cumbria sejak beberapa kurun lalu.

Masyarakat Cumbria percaya, acara ini adalah sejenis sukan tradisi yang diperkenalkan oleh nenek moyang mereka sejak 730 tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Clements, selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, acara ini mula dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Sejak itu, peserta yang menyertai pertandingan ini semakin bertambah setiap tahun, termasuklah peserta dari luar negara.

Setiap kali ia dianjurkan, lokasi pertandingan akan dibanjiri puluhan ribu orang yang datang untuk menyaksikan kejohanan ini.

Apa yang lebih menarik, sesiapapun boleh menyertai pertandingan ini termasuklah wanita, warga emas dan juga kanak-kanak.

Gurn [4]

Berdasarkan syarat pertandingan, ia adalah satu acara yang cukup mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang. Peserta hanya perlu menunjukkan raut wajah sehodoh mungkin!

Semua peserta boleh mempamerkan apa saja aksi wajah seperti menjengkilkan mata, memuncungkan mulut, menjelirkan lidah dan apa saja asalkan ekspresi wajah yang ditunjukkan adalah hodoh.

Sebelum pertandingan dimulakan, peserta terlebih dahulu dikehendaki memakai sejenis alat khas yang berbentuk seperti gegelung di leher mereka. Diperbuat daripada kulit, alat tersebut digelar sebagai 'Horse Collar'. Ia berfungsi sebagai bingkai untuk menambahkan lagi kehodohan ekspresi wajah yang dipamerkan.

Pada pertandingan ini, peserta akan menjalani dua kali saringan pemilihan sebelum layak ke peringkat seterusnya. Pada saringan pertama, semua peserta yang bertanding akan dikumpulkan di atas sebuah pentas. Selepas isyarat dimulakan, mereka akan mula bersaing antara satu sama lain sambil menunjukkan ekspresi wajah hodoh mereka kepada juri.

Pihak juri seterusnya akan memilih 15 orang peserta terbaik sebelum menentukan pemenang pertandingan tersebut. Dan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, juri akan memilih peserta yang mempunyai mimik muka paling hodoh sebagai juara pertandingan.

Gurn [2]
Tommy Mattinson, juara 13 kali.

Selama 730 tahun dipertandingkan, individu yang paling banyak menjuarai pertandingan ini ialah Tommy Mattinson iaitu sebanyak 13 kali. Dia juga memegang rekod Guiness Book Of Records sebagai manusia yang mempunyai mimik muka paling hodoh di dunia.

Mengikut laporan sebuah portal berita, News & Star, juara yang berusia 41 tahun itu mula menyertai pertandingan tersebut sejak di zaman kanak-kanak lagi. Bapanya, Gordon Mattison merupakan bekas juara dunia dalam pertandingan ini. Tommy Mattison banyak mendapat tunjuk ajar daripada bapanya.

Menurut Tommy Mattison, dia sangat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapainya. Selaki juara dunia dalam pertandingan ini, dia bertekad mahu mempertahankan gelaran itu sepanjang hayatnya.



Sebelum ini dia tidak menyangka mampu menjadi juara sebanyak 13 kali lebih dari kejuaraan yang dicapai oleh bapanya sendiri.

Mengikut rekod pertandingan, Gordon Mattison pernah menjadi juara sebanyak 10 kali.

Jadi, ada yang berminat untuk bertanding?

BACA INI JUGA: Festival Laga Kuda Untuk Mengahwini Gadis!

-Sentiasapanas.com

Friday, June 27, 2014

Orang Beriman Gembira Menyambut Ramadan

Orang Beriman Gembira Menyambut Ramadan

Bagi umat Islam seluruh dunia yang menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, kita patut bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan bertemu dan menikmati bulan agung yang diberkati ini.

Ramadan

Sungguh beruntung kita termasuk dalam kalangan orang yang dipilih Allah kerana mungkin ramai daripada saudara-mara dan kawan-kawan yang mendahului kita, tidak dapat lagi menghirup segarnya Ramadan.

Hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa di antara ciri-ciri orang beriman ialah yang gembira apabila datangnya Ramadan.

Tahun ini, banyak dugaan dan godaan akan kita hadapi. Ramalan ahli cuaca memperkirakan akan berlaku musim el nino pada bulan Ramadan hingga ke beberapa bulan berikutnya, menuntut kita untuk bersiap sedia.

Cuaca panas kesan El Nino secara langsung akan mempengaruhi sistem metabolisme tubuh kita sekiranya kita kurang meminum air.

Godaan yang tidak kalah hebatnya selain cuaca panas, boleh saja berlaku kepada diri kita dengan adanya Piala Dunia yang sekarang berlangsung di Brazil.

Sebenarnya, bukan bermaksud kita mahu menyalahkan Piala Dunia, akan tetapi kita risau, kita tewas kepada pesona Piala Dunia sehingga terkial-kial menjalankan semua ibadah di bulan penuh pengampunan itu.

Pada hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan berdahaga tanpa sebarang makna.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang dalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."

Dalam menghadapi Ramadan langkah mantap memang `starting point' yang amat diperlukan. Tetapi kemantapan langkah saja belum tentu menjamin keselamatan ibadah puasa sampai akhir. Ada beberapa rintangan harus disingkirkan agar puasa selamat diterima Allah.

Rintangan itu ada yang merupakan bentuk rintangan persyaratan dan ada pula rintangan berbentun godaan dalam kehidupan bermasyarakat selama menjalankan ibadah puasa.

Rintangan dalam bentuk persyaratan adalah apa yang dinyatakan dalam hadis nabi bahawa Allah tidak akan menerima puasa seseorang yang belum saling memaafkan antara dirinya dan orang tuanya.

Betapa pun mantap langkah dan tekunnya seseorang memasuki bulan suci Ramadan, tetapi belum mendapatkan keredaan dari orang tuanya atas berbagai kesalahan yang dibuat di masa lalu, maka puasanya tidak akan diterima Allah.

Betapa cermatnya seseorang menjaga kesucian ibadah puasa tetapi antara dia dan isterinya atau suaminya masih ada dendam kesumat, maka puasanya itu hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi tidak bererti di sisi Allah.

Betapa rajinnya seseorang memelihara nilai-nilai ibadah yang terkandung dalam puasanya, namun antara ia dengan jiran tetangga rumahnya atau rakan sepejabatnya masih belum bertegur sapa disebabkan dendam dalam dada. Maka puasanya juga tidak diterima oleh Allah.

Kurang dari segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan diri tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam.

Lantaran itu, kita perlu buat persediaan yang matang seperti mana kita menghadapi musim peperiksaan atau temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan ada niat seperti itu, Insya-Allah prestasi ibadah puasa kita mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Kita perlu membuang fikiran di takuk lama seperti ibadah puasa hanya menjalankan adat dan tradisi. Atau menjalani puasa kerana bebanan sosial di mana jika kita tidak berpuasa maka akan dihukum oleh teman sepejabat dan masyarakat sekitar.

Kita perlu betulkan niat bahawa puasa hanya semata-mata lillahi ta'ala untuk menjadikan diri kita sebagai manusia yang bertakwa.

Dalam setahun yang terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya.

Sembahyang Tarawih

Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja.

Bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat tarawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid.

Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan berkenaan.

Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.

Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang berlabuhnya Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian Ramadan. Kita lebih sibuk dengan baju baru, sibuk memikirkan pulang kampung dan sibuk membeli belah.

Perlu diingat persiapan material yang berlebih-lebihan hanya akan merosakkan makna dan tujuan puasa itu sendiri. Kita hidupkan Ramadan dengan penuh keinsafan dan jiwa raga bukan sekadar meramaikan dengan melakukan puasa, tarawih, tahajud, solat tasbih, witir, membaca al-Quran, zikir, doa, iktikaf, zakat, infak, sedekah, dan seterusnya takbir Aidilfitri.

Lebih daripada itu, jikalau dapat kita menjadikan rumah kita seperti suasana di masjid dengan bacaan al-Quran, solat sunat semua anggota keluarga.

Kita ciptakan hari-hari yang menyenangkan selama Ramadan dan jadikan rumah kita bak syurga.

Penulis ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

BACA INI JUGA: Obesiti, Padah Ingkar Ajaran Agama?