Saturday, May 03, 2014

8 Lapangan Terbang Paling Menggerunkan Di Dunia!

8 Lapangan Terbang Paling Menggerunkan Di Dunia!

Dalam dunia penerbangan, pendaratan dan berlepas adalah perkara paling sukar dan bahaya. Walaupun nampak mudah, hakikatnya juruterbang memerlukan fokus tinggi, kerjasama pembantu dan landasan yang bagus untuk mendaratkan pesawat dengan baik.

Pramugari cantik OMG

Namun, bagaimana dengan lapangan terbang yang memiliki landasan pendek, curam atau laluan berbahaya?

Pastinya juruterbang yang memiliki pengalaman serta kemahiran yang tinggi saja dibenarkan untuk melakukan penerbangan di lapangan tersebut.

Berikut adalah lapan lapangan terbang paling menggerunkan dan memerlukan pertimbangan serius sebelum anda berlepas ke lokasi atau mendarat.

Lapangan Terbang Paro, Bhutan

Lapangan Terbang Paro, Bhutan

Dikelilingi puncak Himalaya yang tinggi, lapangan terbang kecil itu dikatakan paling mencabar bagi seorang juruterbang.

Pesawat yang hendak mendarat di situ bukan saja perlu mengelak puncak gunung di sekeliling lapangan terbang, tapi perlu berhati-hati dengan puluhan rumah di sekitar kawasan berhampiran.

Dalam beberapa kes, ada kapal terbang yang melepasi jarak beberapa meter saja daripada bangunan.

Malah, proses pendaratan boleh jadi bertambah sukar dengan kehadiran angin. Sehingga kini, hanya lapan juruterbang di dunia dianggap berkeupayaan untuk mendarat di sana.

Lapangan Terbang Ais Runway, Antartika

Lapangan Terbang Ais Runway, Antartika

Pernahkan anda terfikir bagaimana reka bentuk lapangan terbang di Antartika? Landasan kapal terbang di negara itu diperbuat sepenuhnya daripada ais, tanpa tanah sebagai asas untuk menyokong struktur di bawahnya.

Walaupun pada musim bunga, lapisan ais di situ masih tebal dan mampu menampung berat pesawat.

Namun, jika terlalu berat, pesawat mungkin boleh terbabas dan menjunam terus ke dalam air sejuk.

Anehnya, pada musim sejuk pula, ais di laut menjadi begitu lemah hingga mustahil untuk kapal terbang mendarat dengan selamat, sekalipun ia hanyalah pesawat ringan.

Lapangan Terbang Matekane, Lesotho

LAPANGAN Terbang Matekane, Lesotho

Landasan pendek sejauh 400 meter itu sering menjadi topik perbualan serius berikutan tidak memberi ruang cukup kepada juruterbang untuk berada di atas tanah.

Terletak di pergunungan tinggi, juruterbang perlu memandu secara langsung dari pinggir tebing setinggi 610 meter sebelum berlepas ke udara.

Lapangan Terbang Antarabangsa Barra, Scotland

Lapangan Terbang Antarabangsa Barra, Scotland

Lapangan terbang seumpama itu adalah satu-satunya di dunia yang mana pesawat perlu mendarat di pantai.

Barra adalah pulau di Outer Hebrides dengan jumlah penduduk hanya 1,174.

Tidak hairanlah jika orang ramai tidak tertarik untuk datang berkunjung ke pulau terbabit kerana lapangan terbangnya hanya sekadar jaluran pantai.

Juruterbang perlu memastikan masa pendaratan sesuai kerana jika berlakunya air pasang, mereka akan mendarat terus ke laut.

Lapangan Terbang Gibraltar

LAPANGAN Terbang Gibraltar

Lapangan terbang ini sememangnya cukup unik dan kadangkala boleh jadi menyeramkan.

Ini kerana di tengah-tengah landasannya ada lebuh raya utama yang menghubungkan laluan di kiri dan kanan.

Apabila pesawat hendak mendarat atau berlepas, loceng dan penghadang jalan akan diturunkan seperti di kebanyakan landasan kereta api.

Bahaya sentiasa menanti jika ada pemandu kereta yang bertindak melintas secara tiba-tiba!

Begitupun, pihak berkuasa dilihat sentiasa mengambil langkah waspada dengan menutup kedua-dua laluan lebuh raya ketika ada pesawat ingin mendarat ataupun berlepas.

Lapangan Terbang Pulau Tioman, Malaysia

Lapangan Terbang Pulau Tioman, Malaysia

Lapangan terbang itu dikatakan sangat berbahaya dan juruterbang yang memandu pesawat ke pulau berkenaan mesti menerima latihan khas sebelum dibenarkan mendarat.

Mereka perlu menerbangkan pesawat secara langsung di banjaran gunung yang bergerigi sebelum melakukan pusingan tajam untuk memasuki landasan.

Dalam keadaan itu, sesiapapun tidak mampu mengelak imaginasi buruk serta bayangan maut.

Sekiranya pendaratan cekap gagal, risiko insiden mengorbankan banyak nyawa adalah tinggi.

Lapangan Terbang Tenzing-Hillary, Nepal

LAPANGAN Terbang Tenzing-Hillary, Nepal

Dikenali sebagai salah satu lapangan terbang paling sibuk di Nepal, Tenzing-Hillary beroperasi pada ketinggian 2,438 meter dan hampir tidak ada ciri-ciri kawalan trafik moden.

Lebih teruk, lapangan terbang ini tidak ada lampu dan hanya mempunyai bekalan tenaga elektrik yang sangat sedikit.

Kawasan ini kerap berdepan masalah liputan awan dan cuaca buruk. Sebab itu hanya penerbangan waktu siang dibenarkan dan bergantung kepada tahap kemahiran juruterbang di kawasan tersebut.

Lapangan Terbang Princess Juliana, The Caribbean

Lapangan Terbang Princess Juliana, The Caribbean

Asalnya adalah lapangan terbang tentera pada zaman Perang Dunia Kedua, tapi sekarang sudah menjadi hub utama untuk ke pulau Carribean sekitarnya.

Pesawat yang mahu mendarat di kawasan itu biasanya terbang rendah hingga mencapai jarak beberapa meter dari tanah.

Orang ramai, khususnya pengunjung pantai akan mengambil kesempatan berkumpul untuk melihat kapal terbang mendarat dan berlepas.

Berbeza dengan juruterbang, dia perlu tangkas mengawal pesawat untuk mengelak daripada terbabas ke kawasan berdekatan St Peter Hill.

BACA INI JUGA: 10 Kehilangan Pesawat Udara Yang Menggempar Dunia

Sumber: hmetro.com.my

1,001 Rahsia Khasiat Madu

1,001 Rahsia Khasiat Madu

Info Kesihatan. Madu adalah salah satu penawar yang tertua di dunia. Walaupun rasanya manis, ia mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat untuk manusia.

Khasiat Madu
Madu mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia.

Madu mempunyai 1,001 kebaikan dan khasiat. Tidak dinafikan madu sa­ngat baik untuk sistem badan kita. Namun, sejauh manakah kita tahu khasiat madu?

Khasiat madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya diketahui umum. Hari ini madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Menurut Dr Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Secara semula jadi, madu berkhasiat dan mengandungi gula seperti fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat. Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Berikut adalah beberapa kebaikan madu yang boleh kita peroleh:

Melegakan sakit tekak dan batuk

Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali sebagai penawar semula jadi untuk mengurangkan sakit tekak dan batuk. Ini kerana madu mempu­nyai sifat antibakteria yang­ mampu menghalang jangkitan bakteria dan mengurang­kan kesakitan.

Merawat luka dan cedera ringan

Sebelum penciptaan peti kecemasan atau ‘first aid’, madu sering digunakan untuk merawat luka dan kecederaan ringan.

Dengan sifat antibakteria di dalamnya, madu mampu menghalang pembentukan bakteria pada kawasan yang cedera dengan berkesan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Baik untuk sistem pencernaan badan

Masalah kembung perut dan angin sering mengganggu kita. Anda boleh mengambil madu kerana mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas. Selain itu, madu juga efektif untuk melegakan sakit perut dengan pengambilan dos tertentu.

Menjadikan kulit lebih cantik

Vitamin dan mineral yang terkandung di dalam madu boleh mencantikkan, melembap dan menghaluskan kulit. Untuk wanita yang baru melahirkan anak, mereka disyorkan me­ngambil madu bagi menganjalkan kembali tubuh supaya kelihatan lebih cantik seperti sedia kala.

Kegunaan lain

Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, madu boleh melebatkan rambut, membunuh kutu dan menghilang­kan kelemumur. Jika digunakan untuk meng­gosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilatkan gigi.

Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol mampu bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jang­kitan kuman dan kulat.

Kebaikan madu dari sudut perubatan Islam

Madu memang dijadikan ubat dalam perubatan Islam berdasarkan dalil di dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia,” (Al-Nahl 16:68).

Sabda Rasulullah SAW “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Quran, maka Allah SWT akan me­nyembuhkannya daripada 77 penyakit.

“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.

“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana ia dapat memusatkan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

Seperti perubatan moden, kaedah mengambil madu perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit dialami. Jika dosnya kurang, ia tidak mengurang­kan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.

Untuk kes tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah SWT.

Terdapat satu kisah Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya.

Lelaki itu hanya me­ngambil dalam dos yang sama sebanyak beberapa kali. Ini menyebabkan sakitnya tidak pulih kerana dos madu yang diambil tidak mampu untuk membuang kotoran sepenuhnya di dalam perut.

Selepas lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu sakitnya belum pulih, Rasulullah SAW sangat faham dos yang diambil lelaki itu tidak mencukupi.

Nabi menekankan bahawa lelaki itu perlu terus menambah dos madu sehingga mencapai dos sesuai untuk merawat penyakit.

Dengan manfaat dan amalan perubatan dari dunia moden dan alternatif seperti perubatan Islam, madu tidak syak lagi adalah makanan yang bermanfaat untuk kesihatan kita.

Inilah masanya kita mendapatkan kebaikan daripada khazanah alam ciptaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Sumber: hmetro.com.my

Video Ahli Silap Mata Tukar Burung Menjadi Gadis!

Video Ahli Silap Mata Tukar Burung Menjadi Gadis!

Bagi mereka yang mengikuti rancangan ‘Britain’s Got Talent 2014′, pasti anda mengenali Darcy Oake, 26, peserta yang berjaya memukau juri termasuk Simon Cowell dan para penonton dengan aksi silap matanya yang cukup hebat.

Darcy Oake Amazing Illusions

Malah video persembahannya yang dimuatnaik di laman YouTube enam hari lalu sudah mencecah tontonan lebih 13 juta kali, memetik Yahoo.

Susulan kehebatannya itu, ada pihak yang menyifatkan dia sebagai ‘terlalu profesional’ untuk pertandingan seumpama itu.

“Mengenai perihal profesional, saya faham apa yang mereka maksudkan. Tapi, rancangan ini tidak pernah dianggap hanya untuk amatur,” katanya.

Persembahan Oake itu hampir keseluruhannya menggunakan burung merpati sebagai subjek utamanya, namun bahagian akhirnya cukup mengejutkan orang ramai apabila dia menukarkan beberapa ekor burung itu kepada seorang gadis.

Saksikan..


Sumber: Mynewshub.my

Grand Canyon, Keajaiban Ukiran Alam Berusia 2 Bilion Tahun!

Grand Canyon, Keajaiban Ukiran Alam Berusia 2 Bilion Tahun!

Pada pertengahan kurun ke 19, seorang bekas perajurit Amerika Syarikat, Mejar John Wesley Powell bersama sembilan orang rakannya telah menjelajah ke bahagian utara benua Amerika.

Grand Canyon

Mereka menyusuri sungai Colorado untuk mencari dan membuat kajian tentang sebuah lokasi misteri yang dikenali sebagai Grand Canyon.

Jauh di pedalaman wilayah utara Arizona, Amerika Syarikat, terbentang serangkaian pergunungan purba dengan lapisan gaung berwarna-warni yang sangat dalam.

Grand Canyon [2]

Kewujudan sungai berwarna hijau yang membelah daratan membuatkan kawasan ini benar-benar memukau pandangan sesiapa saja yang melihatnya.

Itulah Grand Canyon, sebuah fenomena alam yang sangat istimewa kerana di situlah segala sejarah tentang bumi ini terpahat.

Selama bertahun-tahun kewujudan Grand Canyon dan dataran tanah tinggi Colorado sekian lama telah menjadi misteri geologi. Namun kini, tabir misteri struktur anomali raksasa itu mula diperkatakan.

Sesiapa sahaja yang bertandang ke Grand Canyon dan melihat ke bawah pasti akan berfikir atau tertanya-tanya, bagaimana fenomena itu boleh terbentuk.

Jawapan paling ringkas yang menebak fikiran ialah, aliran air sungai yang menghakis gaung dan lurah gunung.

Namun, disebalik hujah tersebut sebenarnya terdapat beberapa faktor semula jadi lain yang menyumbang kepada pembentukan misteri alam itu.

Grand Canyon [3]
Grand Canyon [4]
Grand Canyon [5]

Bumi memerlukan hampir dua bilion tahun untuk membentuk fenomena di Grand Canyon. Proses pembentukannya melewati pelbagai tempoh penting apa yang berlaku di muka bumi.

Antaranya ialah perubahan iklim, pembentukan gunung-ganang, pergerakan lempeng bumi dan beberapa perkara lainnya.

Setiap tempoh perubahan itu, menyumbang satu lapisan pada Grand Canyon. Dengan meneliti lapisan demi lapisan di Grand Canyon, para penyelidik dan ahli geologi dapat mengetahui apa sahaja yang terjadi di bumi kita selama dua bilion tahun.

Menurut seorang ahli seismologi dari University of Arixona, Amerika Syarikat, George Zandt, faktor awal kemunculan Grand Canyon adalah disebabkan berlakunya tumbukan dua buah lempeng bumi.

Ketika lempeng Pacifik dan lempeng benua Amerika Utara bertembung, maka terbentuklah rangkaian pergunungan purba yang sangat besar dan tinggi. Seiring waktu, pergunungan purba ini kemudiannya terhakis sedikit demi sedikit.

Iklim bumi yang tidak menentu mengikis keadaan pergunungan ini. Ketika air laut naik, pergunungan ini tenggelam ke dasar laut. Ketika laut surut pergunungan ini muncul semula. Timbul tenggelam pergunungan inilah yang meninggalkan jejak berupa lapisan di Grand Canyon.

Ketika pergunungan ini tenggelam, pasir laut menutupinya dan haiwan-haiwan laut hidup di atasnya.

Grand Canyon [6]

Apabila paras laut surut, endapan pasir itu tetap wujud, begitu juga dengan haiwan laut di atasnya. Ini dibuktikan dengan penemuan banyak batuan endapan (sedimen) pada Grand Canyon.

Seperti yang diketahui, batu endapan ini hanya boleh terbentuk di dasar laut atau perairan cetek. Manakala haiwan-haiwan laut pula ditemui di lapisan teratas Grand Canyon dalam bentuk fosil. Antaranya ialah fosil Brachiopoda, Koral, Moluska, Kerang dan Cacing Laut.

Menurut George Zandt, faktor lain yang membentuk Grand Canyon adalah Sungai Colorado. Ketika Dataran Tinggi Colorado terangkat setinggi tiga batu daripada permukaan laut yang disebabkan oleh aktiviti lempeng bumi, sungai ini secara langsung telah memotong Dataran Tinggi Colorado, melewati Grand Canyon.

Ketika tanah disekitar sungai terangkat ke atas, ia membelah Colorado dengan lebih dalam.

Sungai ini mengikis dinding-dinding Grand Canyon dan tebing-tebingnya. Kemampuan sungai ini menghakis sungguh menakjubkan.

Setiap hari, ia membawa setengah juta tan sisa kikisan ke lautan Pacifik. Begitulah proses semula jadi ini berlaku sehingga membentuk fenomena Grand Canyon seperti yang dapat dilihat hari ini.

Sebenarnya, jurang paling dalam di dunia bukanlah Grand Canyon yang cuma berkedalaman 1,600 meter. Terdapat beberapa lagi jurang lain yang lebih dalam seperti Colca Canyon dan Cotahuasi Canyon di Peru yang berkedalaman lebih daripada 3,000 meter.

Grand Canyon [7]

Namun, apa yang membuatkan Grand Canyon terkenal adalah keunikan strukturnya, warna-warni landskap dan sejarah bumi yang terkandung di dalamnya.

Itulah sebabnya kenapa Grand Canyon yang memiliki panjang 446 kilometer dan lebar antara enam hingga 29 kilometer ini dikunjungi oleh jutaan pelancong setiap tahun, menjadikannya antara lokasi paling terkenal di dunia.

Sungguhpun begitu, fenomena indah ini akan berubah juga dalam suatu tempoh tertentu suatu masa nanti.

Ketika itu, Grand Canyon akan memahat pula peristiwa yang berlaku di bumi pada masa kini dan akan datang.

BACA INI JUGA: Artifak Purba Yang Terus Menjadi Misteri Di Zaman Moden

-Sentiasapanas.com

Jejaka Metroseksual Bukan 'Homoseksual'

Jejaka Metroseksual Bukan 'Homoseksual'

“Ish tak nak lah aku dengan dia. Kau tengok rambut dan pemakaian dia, bergaya sakan sampai kalah aku. ‘Confirm’ dia tu sesuatu!”.

Metroseksual

Itu yang acap kali kita dengar daripada kawan perempuan atau gadis yang mudah jatuh hukum terhadap lelaki yang mementingkan soal gaya dan personaliti.

Pada mereka, hanya perempuan boleh pening memikirkan gaya dan fesyen. Cuma perempuan yang akan memikirkan gaya hidup sempurna dengan begitu teliti dalam setiap perkara.

Jujurnya, itu semua pemikiran lama yang tidak patut wujud lagi pada 2014 ini. Mentaliti dan pandangan seumpama itu mungkin masih relevan dua dekad lalu namun bukan hari ini terutama golongan anak muda yang sudah sedia terdedah kepada dunia luar.

Mengapa lelaki tidak boleh mementingkan gaya? Adakah seseorang lelaki perlu kekal dengan imej selekeh, serabai dan tidak kemas? Adakah jenis lelaki seperti itu baru dianggap lelaki maskulin dan sejati?

Fikirkan sekali lagi jika ‘ya’ jawapan kamu

Sebenarnya istilah ‘metroseksual’ adalah perkataan Yunani iaitu ‘metropolis’ yang bermaksud ibu kota dan digabungkan dengan perkataan seksual.

Terdapat lebih daripada 70 definisi yang memberikan interpretasi makna metroseksual dan istilah berkenaan muncul pertama kalinya pada 1994 yang diperkenalkan oleh penulis fesyen, Mark Simpson.

Istilah ini wujud bagi mewakili lelaki ‘urban’ yang muncul dalam masyarakat kita dengan kecenderungan mereka lebih pada aspek gaya.

Membezakan mereka berbanding lelaki lain adalah dari segi mereka membelanjakan wang. Lelaki lain mungkin lebih gemar membeli alat kelengkapan rumah, kereta mahupun barangan elektronik.

Lelaki metroseksual pula lebih suka menghabiskan masa di butik pakaian dan aksesori selain salun kecantikan yang mengikut pemikiran kolot itu adalah tempat kegemaran wanita.

Antara ciri jejaka metroseksual adalah mereka memiliki penampilan menarik terutama gaya dan peribadi diri. Jejaka metroseksual juga tidak terbatas pada satu-satu usia.

Lelaki metroseksual adalah mereka yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Semuanya perlu terbaik untuk dirinya.

Mereka dilihat begitu mengambil berat dan menyayangi diri sendiri dan menyenangi gaya hidup metropolitan.

Mereka juga kebiasaannya terdiri daripada kelompok anak muda yang tinggal di ibu kota dan menjawat jawatan tinggi, hidup mewah, mencintai fesyen, melakukan perawatan wajah dan tubuh badan.

Kebiasaannya wajah mereka rapi dan disapu bedak asas lengkap dengan pelembap bibir.

Mereka juga sering digambarkan mempunyai kulit bersih dan lembut hasil daripada penggunaan produk kecantikan berjenama.

Mungkin kecenderungan lelaki metroseksual untuk tampil sebegitu akibat desakan kehidupan kontemporari yang saban hari sentiasa memerlukan perubahan dan pembaharuan dalam aliran fesyen serta produk kecantikan.

Metroseksual juga sering dikaitkan dengan barangan atau pakaian berjenama kerana mereka selalunya terdiri daripada golongan profesional muda yang begitu menggemari pakaian label antarabangsa.

Pertambahan golongan profesional muda yang berpendapatan tinggi juga menyebabkan syarikat produk kecantikan dan pakaian berlumba-lumba mengeluarkan barangan yang mampu memenuhi cita rasa golongan itu.

Kini ramai jejaka urban metroseksual di Malaysia tidak lagi malu menonjolkan penampilan mereka kepada umum.

Namun perlu diingat, perubahan gaya hidup metroseksual bukan secara anatomi tetapi menerusi sikap dan perilaku. Jangan salah anggap, metroseksual bukan perlambangan seksualiti seseorang.

Ia sekadar usaha luar sedar seseorang lelaki untuk menempatkan diri mereka sebagai individu yang perlu diberi layanan istimewa.

Jujurnya kita perlu menghormati hak orang lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa prasangka dan iri hati.

Jika berkemampuan, tidak salah untuk sesiapa saja berusaha memperbaiki penampilan diri supaya lebih berkeyakinan selain dapat menyerlahkan keperibadian mereka.

Tidak sepatutnya kita terus melekat dengan stigma kononnya lelaki sebegini adalah homoseksual dan cenderung menyukai jantina sama sedangkan ia langsung tidak berkaitan.

Lelaki metroseksual adalah mereka yang bersih, kemas dan inginkan kesempurnaan pada diri mereka.

Logiknya, ada juga golongan homoseksual atau gay yang berpakaian selekeh dan berbau badan kerana tidak langsung mementingkan soal penjagaan diri.

Ada juga lelaki berusia sudah mempunyai anak dan cucu tapi masih sibuk membelek baju di butik serta mengenakan pencuci muka setiap kali habis bermain bola.

Hari ini senario seperti ini lebih jelas kelihatan apabila begitu ramai lelaki yang sudah berkahwin masih sibuk membina badan di pusat kesihatan dan gimnasium bagi memiliki susuk tubuh yang cantik.

Betul ke aku metroseksual?

Ada juga kawan lelaki yang sibuk bertanya adakah mereka juga tergolong dalam golongan metroseksual.

Kononnya saja nak membuat tinjauan diri sendiri. Tetapi lelaki metroseksual tidak bermaksud mereka tak gemar sukan atau hanya menonton filem romantis dan Twilight.

Kalau kamu jenis yang menghabiskan masa dan wang beli-belah untuk penampilan kamu, itu sudah bermaksud kamu jenis yang begitu mementingkan gaya.

Jika kita lihat imej lelaki sejati seperti yang digambarkan dalam filem, mereka selalunya tidak kisah dengan penampilan diri.

Janggut tak cukur, rambut tidak sikat rapi dan seluar jeans tak basuh berminggu-minggu. Jika kamu seorang jejaka metroseksual, kamu nampak kacak dan kemas walaupun baru bangun tidur. Minyak rambut malam tadi pun masih ada melekat pada rambut.

Ini kerana lelaki metroseksual menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk menjaga penampilan mereka.

Fakta kelakar pula, kalau kamu ada poster David Beckham dan Cristiano Ronaldo yang ditampal di dinding bilik tidur kamu tapi peliknya poster itu bukan poster mereka beraksi di padang bola sepak sebaliknya gambar mereka bergaya dengan produk ataupun poster daripada majalah.

Itu menunjukkan kamu jenis yang menjadikan mereka sebagai idola untuk kamu bergaya dan bukan ikon kerana kehebatan mereka di padang.

Kamu membawa beg tangan lelaki ketika berjalan-jalan di kompleks beli-belah. Beg tangan lelaki di sini bukan ‘pouch’ yang dipakai di pinggang macam orang selalu pakai ketika berniaga di pasar malam sebaliknya beg tangan lelaki yang berjenama seperti Louis Vuitton dan Guess.

Kamu mudah untuk bergaul dan dengan tenang boleh berbicara tanpa perlu rasa pelik ataupun terdiam tak tahu nak cakap apabila berbicara mengenai fesyen terkini ataupun minat wanita terbaru.

Ataupun paling mudah dikesan kalau kamu jenis lepak minum kopi di Starbucks berbanding kedai mamak sambil membaca majalah.

Itu antara kriteria seseorang lelaki metroseksual. Kalau kamu begitu, jangan tanya lagi!

Kekasihku metroseksual

Kenapa mesti menjadi satu masalah kepada kamu kalau betul teman lelaki kamu jenis metroseksual. Mereka lebih tegas dalam soal penjagaan diri dan lebih lama membeli pakaian berbanding kamu?

Adakah kamu masih meragui kejantanannya? Itu semua salah dan satu kesilapan kerana sepatutnya kamu perlu gembira mempunyai kekasih hati jenis lelaki metroseksual memandangkan mereka lebih romantis dan bijak mengambil hati kamu.

Selain itu, mereka ada banyak lagi kelebihan istimewa yang patut kamu hargai.

Antaranya;

1. Teman membeli-belah

Sering kelihatan di kawasan beli-belah dengan wanita sibuk berbelanja sakan dalam premis manakala pasangan mereka pula setia menunggu di luar.

Bukan semua lelaki boleh melayan kerenah anda tatkala cerewet memilih barangan sehingga berjam lamanya.

Lain pula halnya jika kekasih kamu itu dalam kalangan lelaki metroseksual. Mereka tidak kisah untuk menunggu, malah sanggup menemani serta memberi pandangan mengenai pilihan anda.

2. ‘Dua jam untuk bersiap?

Mereka tidak pernah merungut jika anda bersiap dalam masa lama hanya untuk makan malam di kedai mamak berhampiran.

Mereka juga apa kurangnya tatkala menghias rambut supaya sentiasa kelihatan kemas ketika bersama kamu.

3. Penyuntik semangat peribadi

Sanggupkah kamu untuk mempunyai kekasih yang jauh lebih kemas dan sihat tubuh badannya daripada diri kamu sendiri? Dengan dia di sisi, kamu akan cuba sehabis baik untuk tampil seiring dengan si dia.

Secara tidak langsung, ia dapat membakar semangat kamu untuk jadi lebih baik dengan mengawal pemakanan seharian, bersenam untuk tubuh badan yang lebih menarik serta tampil dengan gaya yang sedap mata memandang.

4. Lebih banyak persamaan

Kebiasaannya, lelaki metroseksual gemar perkara yang berkaitan dengan seni, muzik dan fesyen. Dia boleh menjadi teman baik kamu untuk melakukan hobi kalian bersama.

Tiada lagi keluhan dan rasa tidak puas hati sebelah pihak yang tidak bersetuju dengan pilihan lokasi bertemu janji.

5. Wangi

Sesetengah lelaki memandang enteng perihal kebersihan serta penampilan diri dan ini yang menjadikan perasaan kurang senang bersarang dalam hati pasangan mereka.

Sebagai contoh, bau badan yang ketara tanpa palitan wangian benar-benar mengganggu fokus ketika ‘dating’.

Tetapi jika berdamping dengan kekasih metroseksual, kamu anda seakan sentiasa mahu mendakapnya dengan wangian yang begitu menyenangkan justeru membangkitkan rasa selesa.

BACA INI JUGA: Adakah Cinta Kamu Madu Atau Racun?

Sumber: Hmetro

Kanak-kanak Kurang Vitamin D Rendah IQ

Kanak-kanak Kurang Vitamin D Rendah IQ

Pertumbuhan tulang yang agresif berlaku pada waktu kritikal tumbesaran ketika usia bayi sehingga remaja. Ketika itulah ia memerlukan vitamin D secukupnya supaya proses berkenaan berlaku secara normal.

Kanak-kanak pintar

Pengambilan vitamin D yang mencukupi juga dapat mengelak masalah pertumbuhan terbantut yang bukan saja boleh menjejaskan penampilan seseorang, tetapi juga memberi impak kepada tahap kecerdasan (IQ) kanak-kanak.

Kajian mendapati apabila seseorang kanak-kanak tidak mendapat vitamin D mencukupi, pertumbuhan tulangnya akan terbantut.

Keadaan itu bukan saja menyebabkan kanak-kanak memiliki fizikal yang lebih ­pendek, tetapi mereka ­memiliki IQ jauh lebih rendah berbanding rakan sebaya yang mendapat nutrien vitamin D secukupnya dalam diet harian masing-masing.

Malangnya, berdasarkan Kajian Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS), biarpun dalam keadaan negara yang sedang membangun, masih ramai kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Keadaan ini berpunca daripada pelbagai faktor antaranya diet tidak seimbang, kurang aktiviti luar dan pendedahan terhadap matahari yang akan membantu memproses vitamin D sebaik cahaya lembayung (UV) terkena pada kulit dalam tempoh secukupnya setiap hari.

SEANUTS adalah kajian menyeluruh mengenai nutrisi membabitkan seramai 3,542 kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun dari kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Ia dijalankan dengan kerjasama antara FrieslandCampina bersama empat pusat kajian dan universiti antarabangsa, kajian selama empat tahun itu membabit­kan 16,744 kanak-kanak di empat negara rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Kadar pengambilan nutrien kanak-kanak itu diuji melalui ujian darah, kiraan lemak tubuh, imbasan ketumpatan tulang, pengambilan diet, temu ramah dengan ibu bapa dan mengambil kira aktiviti fizikal yang dilakukan dalam sehari.

Ketua Program Sains Nutrisi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon berkata, kajian berkenaan yang pertama seumpamanya pernah dijalankan di negara ini.

Selain kadar vitamin D, kajian itu juga meliputi kesihatan kanak-kanak secara menyeluruh termasuk kesihatan kanak-kanak meliputi pengambilan nutrisi dalam diet seharian dan berat badan mereka.

Menerusi kajian berkenaan, seramai 20 peratus kanak-kanak didapati mengalami masalah kegemukan melampau di negara ini manakala hampir 50 peratus kanak-kanak tidak mendapat vitamin D mencukupi.

“Selain diet, paling penting kanak-kanak perlu mendapat pendedahan secukupnya kepada pancaran matahari tanpa sebarang perlindungan daripada krim pelindung UV supaya ­vitamin D dapat dihasilkan untuk menguatkan tulang dan membantu tumbesaran sihat.

“Ramai orang ambil mudah kerana mereka ingat berada di negara yang panas seperti Malaysia, mereka tentu akan dapat vitamin D tetapi mereka silap. Kebanyakan masa mereka hanya mendapat cahaya dan haba bukannya UV disebabkan sering melindungi diri daripada matahari.

“Memang pelik kerana kita berada di negara yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun tetapi kanak-kanak di sini masih mengalami masalah kekurangan vitamin D.

“Keadaan ini berlaku kerana persepsi orang Asia bahawa kulit yang putih menjadi lambang kepada rupa paras yang menawan. Kita sentiasa menghalang cahaya matahari terkena pada kulit sedangkan tubuh memerlukan cahaya matahari untuk ditukarkan kepada vitamin D,” katanya pada pembentangan mengenai hasil kajian itu pada majlis anjuran Dutch Lady Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Urusannya Rahul Colaco.

Kata Dr Poh, ibu bapa perlu membenarkan anak mereka bermain di luar supaya mereka terdedah kepada cahaya matahari. Jika tidak pertumbuhan mungkin terbantut menyebabkan anak mereka mempunyai ketinggian serta IQ yang rendah.

Apa yang penting katanya, kanak-kanak perlu membesar secara konsisten dan mereka perlu dirujuk kepada doktor pediatrik dari semasa ke semasa biarpun dalam keadaan sihat bagi memastikan pertumbuhan yang sihat.

“Ibu bapa juga perlu berhenti menyuruh anak duduk diam sebaliknya menggalakkan aktiviti kecergasan dan bermain di luar kerana ia penting untuk pertumbuhan fizikal dan IQ yang sihat.

“Tidak banyak makanan yang mengandungi vitamin D secara semula jadi antaranya ikan berlemak dan organ dalaman. Satu-satunya sumber makanan terbaik yang menyalurkan vitamin D kepada tubuh adalah susu, tidak kira apa jenis susu sama ada penuh lemak atau tepung,” katanya.

Menurutnya, kajian mendapati kanak-kanak yang aktif dan sihat mempunyai IQ lebih baik sementara kanak-kanak kurang nutrisi mempunyai IQ tiga kali lebih rendah manakala kanak-kanak yang memiliki berat badan berlebihan pula mempunyai IQ dua kali rendah.

Aktif satu jam sehari

Pakar perunding pediatrik Dr Yong Junina Fadzil berkata, dalam kalangan kanak-kanak, pengambilan pemakanan seimbang boleh menentukan sama ada mereka mendapat nutrien dan vitamin D secukupnya daripada diet mereka.

Namun katanya, kajian yang dijalankan itu mendapati terdapat dua kategori kanak-kanak yang dikenal pasti mengamalkan ­pemakanan tidak sihat seterusnya menjejaskan nutrien atau kandungan vitamin D iaitu kurang berat badan atau terlebih berat badan.

“Aktiviti luar juga membantu memberikan tulang yang sihat dan pemakanan seimbang membantu ­vitamin D diproses dalam badan. Keadaan ekonomi yang semakin baik membuatkan semakin ramai kanak-kanak menjadi gemuk kerana makan dengan banyak selain tidak keluar rumah untuk melakukan aktiviti beriadah atau bermain.

“Sikap ibu bapa yang terlalu risau dengan keselamatan anak juga menyebabkan mereka terkurung di rumah dan hanya bermain permainan video atau menonton televisyen.

“Keadaan itu menjejaskan kesihatan anak. Kanak-kanak yang memiliki berat badan berlebihan selalunya akan membesar sebagai individu yang gemuk dan ini boleh menjejaskan potensi diri mereka,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak di Malaysia bukan saja kekurangan vitamin D kerana kurang pendedahan kepada matahari kerana tidak keluar bermain, ia juga boleh disebabkan faktor jerebu yang memaksa mereka duduk di dalam bangunan.

Mengikut teori, seseorang perlu terdedah kepada pancaran matahari sekurang-kurangnya selama 20 minit sehari untuk mendapat vitamin D mencukupi, namun ia sebenarnya bergantung kepada warna kulit seseorang iaitu mereka yang lebih gelap perlukan masa pendedahan lebih panjang.

“Kanak-kanak perlu membesar pada kadar normal dan mengikut berat badan ketika lahir. Kalau berat badan naik dengan terlalu pantas, ia juga tidak bagus untuk mereka. Apa yang penting mereka harus aktif, berat badan meningkat, tinggi meningkat dan sihat.

“Kadangkala ibu bapa perlu diberi nasihat supaya tidak terlalu risau mengenai anak mereka kerana ada yang datang berjumpa doktor dan mengatakan anak mereka tidak mahu makan apa-apa sedangkan anak mereka mungkin tidak mahu makan nasi tetapi mengambil roti. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang masalah kerana kedua-duanya adalah karbohidrat,” katanya.

Dr Yong berkata, kanak-kanak disaran aktif di luar rumah sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk memastikan pertumbuhan yang sihat. Ini bagi memastikan badan mendapat vitamin D yang cukup serta berat badan yang ideal.

Jika badan tidak mendapat vitamin D mencukupi, kalsium kurang diserap ­sehingga badan akan ­menyerap kalsium yang ada pada tulang. Kesan jang­ka panjang adalah penyakit riket dalam kalangan ­kanak-kanak dan osteoporosis ketika usia lanjut ­terutama dalam kalangan wanita.

“Kanak-kanak adalah masa depan negara. Membantu pertumbuhan normal mereka bermakna kita membantu IQ mereka dan masa depan yang lebih cerah untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar fizikal dan sukan daripada Kementerian Pelajaran, Dr Mehander Sing berkata, ibu bapa mempercayai mitos bahawa kanak-kanak sememangnya aktif dan tidak perlu keluar rumah dan menyertai aktiviti riadah sedangkan ia sebaliknya.

Kanak-kanak zaman moden amat berbeza dengan kanak-kanak zaman dulu yang lebih banyak bergerak termasuk berjalan kaki ke sekolah atau bermain permainan kampung yang lasak sehingga tidak perlu ­menyertai sebarang kelab sukan.

“Ketika ini, satu-satunya aktiviti luar mereka disediakan pihak sekolah. Ibu bapa perlu menyokong aktiviti fizikal kerana ia dapat meningkatkan pengajaran di dalam kelas.

“Kanak-kanak bermain mengikut rentak mereka dan tidak boleh dipaksa mengikuti aktiviti secara berterusan. Biarkan mereka bermain di luar sehingga puas. Biar mereka aktif dan berlari ke sana-sini kerana ia memang ada dalam naluri mereka.

“Jika ibu bapa sentiasa suruh anak-anak duduk diam, mereka akan secara perlahan-lahan menjadi pasif. Mereka sepatutnya dibiarkan bermain apa saja asalkan mereka bergerak aktif dan sihat,” katanya.

Menurutnya, kajian membuktikan kanak-kanak yang pasif akan membesar menjadi orang dewasa yang pasif seterusnya merencatkan potensi mereka untuk muncul sebagai individu berjaya.

Pada masa sama, harus diberi perhatian usia kritikal dalam memastikan ­perkembangan yang sihat fizikal dan mental adalah antara empat tahun hingga akhir remaja.

BACA INI JUGA: Penemuan Saintifik Susu Ibu Bukti Kebenaran Al-Quran

Sumber: Hmetro

Friday, May 02, 2014

Motosikal Yang Menggunakan UDARA Untuk Bergerak!

Motosikal Yang Menggunakan UDARA Untuk Bergerak!

Sebuah syarikat perusahaan dari Amerika Syarikat, Zero Pollution Motors telah melakukan satu revolusi dalam dunia pengangkutan darat apabila memperkenalkan sebuah motosikal yang dikuasakan oleh udara.

Green Speed - Zero Pollution Motors

Motosikal yang diberi nama Green Speed tidak menggunakan petrol atau diesel, sebaliknya bergerak menerusi penggunaan bahan penggerak yang diproses daripada tekanan udara atmosfera.

Motosikal yang dicipta oleh Edwin Conan ini adalah inisiatif untuk mengurangkan pencemaran gas karbon dioksida di dunia. Ia adalah satu projek berpanjangan untuk menggalakkan matlamat syarikat-syarikat pengeluar kenderaan bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Objektif utama projek ini juga adalah untuk menyedarkan penduduk dunia khususnya tentang peningkatan suhu bumi dan masalah penipisan lapisan ozon yang semakin ketara yang akan mengancam kehidupan di bumi jika tidak diatasi dengan segera.

Selain itu juga, ia merupakan salah satu alternatif bagi menggantikan sumber bahan api fosil yang semakin terhad.

Secara asasnya, reka bentuk Green Speed diadaptasi daripada motosikal Suzuki GP100 yang popular disekitar tahun 1970an.

Suzuki GP100

Namun, disebabkan ia hanya menggunakan udara sebagai sumber bahan penggeraknya, rekaan motosikal ini tidak mempunyai tangki minyak, mesin motor yang konvensional serta kotak gear. Yang ada hanyalah komponen asas seperti badan dan rangka motor, roda dan brek sahaja.

Dan apa yang dilakukan Edwin Conan untuk menggerakkan kenderaan ini ialah dengan menggantikan motor asalnya kepada mesin revolusi yang mampu mengolah udara menjadi tenaga penggerak motosikal ini.

Mesin ini bersaiz kompak dan ringan, yang mempunyai keupayaan untuk memampatkan udara di sekitarnya dan mampu mengolah udara sehingga mampu menghasilkan putaran sehingga 3,000 r.p.m.

Disebabkan itulah, motosikal Green Speed ini tidak memerlukan komponen-komponen seperti kebanyakan motosikal yang ada pada hari ini. Hanya sekadar mempunyai satu gear sahaja untuk ia berfungsi memutarkan rantai dan seterusnya menggerakkan roda kenderaan.

Selain itu, Zero Pollution Motors turut melakukan pengubahsuaian dengan menambahkan panel solar bagi menghasilkan kuasa tambahan yang diperlukan oleh motosikal ini. Ia bertujuan untuk membantu mesin tersebut menekan udara dan menyimpannya di dalam tangki yang tersedia, serta meningkatkan jarak perjalanan seoptimum mungkin.

Rangka motosikal Green Speed juga turut dicipta dengan kadar aerodinamik yang tinggi bagi mengurangkan rintangan angin.

Malah, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan komponennya dibuat daripada bahan yang ringan dan tahan lasak seperti serat karbon bagi mencapai kelajuan maksimum 80 kilometer sejam.

Setakat ini, ia telahpun dipandu uji dalam sesi jelajah sejauh 1,000 kilometer. Jelajah tersebut telah mengambil masa hampir sebulan dengan berhenti di beberapa lokasi bagi menerangkan penggunaannya kepada masyarakat.

Secara asasnya, kenderaan ini bergerak menggunakan kuasa tekanan udara yang termampat. Tekanan ini akan menghasilkan suhu yang tinggi, seterusnya akan mengolah tekanan tersebut bagi menghasilkan putaran yang maksimum untuk menggerakkan kenderaan.

Penciptaan kenderaan iini adalah suatu inisiatif yang cukup baik kerana ia sangat ekonomi untuk digunakan, kos penyelenggaraannya yang rendah, sumber penghasilan yang mudah diperolehi dan tidak menghasilkan bahan atau sisa yang mencemarkan serta menjimatkan tenaga.

Cuma, teknologi ini dilihat mempunyai sedikit kelemahan kerana strukturnya yang terlalu ringan dan boleh mengundang bahaya kepada penunggang.

BACA INI JUGA: 5 Geng Motor Paling Ditakuti Di AS

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Muzik Dari Tasik Yellowstone

Misteri Muzik Dari Tasik Yellowstone

Info Misteri. Taman Negara Yellowstone terletak di Amerika Syarikat dan menjadi antara daya tarikan utama pengunjung sama ada dari dalam negara mahupun pelancong luar untuk berkunjung ke situ.

Menurut para pengunjung yang pernah ke situ, mereka terdengar bunyi-bunyian yang pelik diatas langit yang terletak di atas Tasik Yellowstone di awal pagi. Dikatakan sumber bunyi-bunyian itu tidak diketahui dan tidak difahami puncanya.

Misteri Bunyi Tasik Yellowstone


Menurut Hiram M. Chittenden dalam bukunya pada tahun 1895, 'Tasik Yellowstone National Park', bunyi itu dikatakan mirip dengan bunyi wayar telegraf ataupun dengungan sekumpulan lebah yang bermula dengan lembut dari jauh dan semakin kuat sehinggalah ia hilang begitu sahaja ke arah yang berlawanan.

Hiram ialah seorang jurutera terkenal dalam pelbagai bidang sains yang telah membina jalan raya dan jambatan di taman negara itu dan dia bukanlah satu-satunya individu yang pernah melaporkan tentang bunyi-bunyian tersebut.

Malah, ramai saintis ternama turut melaporkan perkara yang sama dan ianya turut dilaporkan dalam pelbagai medium seperti buku, jurnal dan surat khabar.

Biasanya laporan itu menyatakan yang bunyian itu kedengaran berdekatan atau di Tasik Yellowstone ataupun Tasik Shoshone pada hari yang cerah bila kurangnya angin bertiup dan tasik dalam keadaan tenang.

Terdapat pelbagai andaian untuk menerangkan keadaan itu yang antaranya termasuklah gempa bumi yang sangat perlahan telah mencetuskan bunyi di gua bawah tanah.

Satu lagi teori dibuat oleh F.C. Marvin, ketua bagi Biro Iklim Amerika Syarikat yang meletakkan teorinya berdasarkan pemerhatian oleh Glen Jefferson, seorang ahli meteorologi di Yellowstone.

Menurut Marvin, pembalikan suhu adalah sesuatu yang biasa di atas Tasik Yellowstone yang mana udara panas di atas tasik terletak di atas udara yang lebih sejuk di bahagian permukaan tasik.

Pembalikan itu mungkin akan mengubah cara biasa udara menghasilkan bunyi. Jika bunyi itu ada kaitan dengan keadaan geologi taman negara itu, ia akan datang dan pergi bersama-sama faktor 'thermal' yang lain seperti kehadiran geiser ataupun mata air panas.


Bagi yang merancang untuk ke sana, cuba-cubalah anda dengar-dengarkan. Mungkin akan kedengaran bunyi yang dikatakan tersebut.

-Sentiasapanas.com