Tuesday, September 03, 2013

Morsi Akan Dibicarakan Atas Tuduhan Menghasut Pembunuhan

Morsi Akan Dibicarakan Atas Tuduhan Menghasut Pembunuhan

Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan 14 pemimpin Ikhwanul Muslimin akan dibicarakan di mahkamah jenayah atas tuduhan menghasut pembunuhan.

Morsi
Mohamed Morsi (kiri) dan Mohamed Badie.

Televisyen membuat laporan itu kelmarin tanpa memberi tarikh untuk perbicaraan itu.

Ia menuduh defendan melakukannya pada Disember 2012 apabila penyokong Morsi dan penentang bergaduh di luar istana presiden yang membawa kematian.

(Baca: Akhirnya AS Mengaku Dalang Disebalik Rampasan Kuasa Guling Morsi)

Dituduh melakukan jenayah selepas lari dari penjara pada 2011, Morsi ditahan di lokasi rahsia sejak penggulingannya oleh tentera 3 Julai lalu.

Defendan bersama dalam perbicaraan itu termasuk orang kanan Ikhwan, Mohamed al-Beltagi dan pemimpin lain seperti Essam el-Erian, orang nombor dua Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwan.

Disember lalu, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan istana presiden di sini untuk membantah satu perintah khas presiden yang memperluas kuasa Morsi dan usaha merangka perlembagaan.

Julai lalu, mahkamah mengarahkan Morsi ditahan untuk disoal berhubung hubungannya Hamas berkaitan rusuhan penjara dan serangan ke atas polis.

Kerajaan Mesir berkempen menentang Ikhwan sejak penyingkiran Morsi dan melumpuhkan kumpulan itu dengan menahan pemimpin utamanya, Mohamed Badie akhir bulan lalu.

Pihak berkuasa juga menahan lebih 2,000 ahli Ikhwan sejak menyingkirkan Morsi.

Defendan termasuk Badie, dijangka hadir di mahkamah 25 Ogos lalu namun dibatalkan atas alasan keselamatan oleh pihak berkuasa.

Satu perbicaraan baru dijangka diadakan 29 Oktober ini.

Badie dan timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi berdepan tuduhan berkaitan kematian penunjuk perasaan yang menyerbu ibu pejabat Ikhwan di sini 30 Jun lalu.

Tiga lagi anggota Ikhwan dibicarakan dengan pemimpin lain atas tuduhan melakukan pembunuhan akhir Jun lalu.

Presiden sementara Mesir, Adly Mansour mengumumkan satu panel anggota 50 orang akan merangka perlembagaan dengan pindaan tertentu namun tanpa pembabitan pemimpin Ikhwan.

Seorang pegawai atasan Kesatuan Afrika berkata, Ikhwan perlu menyertai peta laluan politik dicadangkan pihak berkuasa baru Mesir, dalam cubaan menamatkan keganasan. -AFP

Harga Minyak Naik Pengguna Rosakkan Stesen Minyak Tak Puas Hati!

Harga Minyak Naik Pengguna Rosakkan Stesen Minyak Tak Puas Hati!

Beberapa keping gambar telah dikongsi di laman-laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter berkenaan situasi semasa yang berlaku sebelum jam 12:01 malam di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Harga Petrol dan Diesel Naik

Bermula dengan keadaan sesak kenderaan yang merebut harga akhir minyak RM1.90 bagi RON95 hinggalah gambar suasana berselerak sebuah stesen minyak.

Keadaan berselerak tersebut dipercayai akibat daripada perbuatan pengguna yang tidak berpuas hati dengan pengusaha stesen minyak. Pengusaha stesen minyak itu memaklumkan bahawa minyak di stesennya telah pun habis.

Akibat bengang dengan dakwaan tersebut, pengguna tersebut dikatakan bertindak liar dengan merosakkan beberapa pam.

Harga Petrol dan Diesel Naik
Harga Petrol dan Diesel Naik
Harga Petrol dan Diesel Naik

Pengguna tersebut bertindak demikian kerana beranggapan pengusaha stesen minyak tersebut cuba mengambil kesempatan dengan menyimpan minyak. [Sumber]

Peniaga diberi amaran jangan naikkan harga barang

Peniaga diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang, susulan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana peniaga yang cuba berbuat demikian dan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan akta sedia ada.

Pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasar raya dan medan selera” Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Kenaikan kecil

Katanya, berdasarkan kajian kos, kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya membabitkan kenaikan kecil kira-kira 0.1 peratus daripada sekarang dan ia bukan kenaikan mendadak serta tidak membebankan.

“Tiada sebab untuk peniaga menaikkan harga barang atau keperluan lain. Soal menaikkan harga barang sepatutnya langsung tidak timbul,” katanya kepada BH, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan kenaikan itu adalah antara langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. Sehubungan itu, petrol RON95 akan berharga RM2.10 seliter, manakala diesel RM2 seliter.

Hasan berkata, kementerian akan sentiasa memantau harga barang di pasaran supaya ia sentiasa terkawal dan tidak akan terkena impak berikutan kenaikan itu.

“Kementerian akan sentiasa memberikan komitmen dengan ‘turun padang’ dan memantau harga barangan bagi membendung kegiatan memanipulasi harga.

Pantau harga barang

“Pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasar raya dan juga medan selera,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan subsidi berkenaan akan menyelamatkan kira-kira RM1.1 bilion wang kerajaan yang boleh digunakan untuk tujuan lain, yang mampu menjana ekonomi negara seperti pembangunan infrastruktur berkaitan pendidikan, termasuk bangunan sekolah.

“Justeru, apa yang diharapkan adalah semua pihak dapat memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dengan tidak menaikkan harga barang atau perkhidmatan lain sewenang-wenangnya,” katanya. -BeritaHarian

-Sentiasapanas.com

Jennifer Lopez Dibayar RM57.5 Juta Untuk Menjadi Juri American Idol!

Jennifer Lopez Dibayar RM57.5 Juta Untuk Menjadi Juri American Idol!

Penyanyi lagu Jenny From The Block, Jennifer Lopez dibayar sebanyak AS$17.5 juta, (RM57.5 juta) sebagai juri American Idol musim akan datang, kata satu sumber dalaman kepada akhbar Daily Mail.

Jennifer Lopez

Jumlah tersebut didakwa telah ditetapkan oleh penerbit selepas berunding beberapa kali dengan penyanyi dan pelakon berusia 44 tahun itu.

"Akhirnya jumlah bayaran telah diputuskan. Lopez akan dibayar sebanyak AS$17.5 juta (RM57.5 juta) dan kembali menjadi juri American Idol pada musim akan datang.

"Ia adalah jumlah yang besar. Dia (Lopez) pasti teruja dengan bayaran tersebut," katanya.

Jumlah itu lebih banyak berbanding bayaran AS$15 (RM49 juta) yang diterima oleh penyanyi terkenal, Britney Spears sebagai juri dalam rancangan realiti X Factor.

Amaun itu juga dikatakan melonjak tinggi daripada bayaran yang diterima Lopez pada 2011, iaitu sebanyak AS$12 juta (RM39 juta), sebelum dinaikkan sekali lagi kepada AS$3 (RM9.8 juta ) untuk musim seterusnya.

Terdahulu, Lopez dilaporkan meminta pihak penerbit American Idol supaya menaikkan bayarannya sebanyak AS$2 juta (RM6.5 juta) untuk musim ketiga penglibatannya dalam program tersebut. -Agensi.

Carian Paling Tinggi Perempuan Simpanan Pengasas Google

Carian Paling Tinggi Perempuan Simpanan Pengasas Google

Perempuan simpanan kepada pengasas bersama Google, Amanda Rosenberg, 27, menjadi carian paling tinggi dalam Google selepas hubungannya dengan Sergey Brin terbongkar.

Amanda Rosenberg, 27

Brin merupakan salah seorang daripada lelaki terkaya di dunia dengan hartanya dianggarkan berjumlah $23 bilion dolar.

Carian bagi nama Rosenberg, yang juga pekerja di Google Glass telah mencecah 38 juta dan selepas hubungan mereka diketahui ramai, dia menduduki tangga keenam dalam carian paling hangat Google.

Selain itu, Rosenberg yang berpindah dari London ke San Francisco tahun lepas, turut menjadi mangsa kecaman kerana merosakkan perkahwinan antara Brin dengan Anna Wojcicki.

``Setiap pekerja Google tahu bahawa dia pernah meniduri bukan seorang malah dua bos dalam masa lapan bulan,’’ ujar seorang individu bernama Audrey Winters dalam komennya.

``Mengecewakan dan memalukan. Awak adalah wanita cantik yang terpaksa meniduri (lelaki) untuk naik ke atas…Kim Kardashians dan awak patut menjadi kawan,’’ itu juga antara kecaman yang diterimanya.

Hubungan Rosenberg dengan jutawan Brin telah tersebar di internet.

Perkara berkenaan mula didedahkan dalam satu artikel oleh laman web teknologi Amerika Syarikat dan ia turut ditulis oleh Kara Swisher, yang mana suaminya merupakan rakan baik kepada isteri Brin.

Minggu lalu, Rosenberg telah ditukarkan ke jabatan lain dalam Google bagi menjarakkannya dengan Brin terutama melibatkan urusan kerja.

Wanita itu juga tidak lagi menjawab panggilan telefon.

Rosenberg dilahirkan di Hong Kong dan dibesarkan di London. Dia menggelar dirinya sebagai Chew kerana ibunya berasal dari Hong Kong manakala bapanya pula dari Britain.

Dia mendapat pendirikan di Kolej Marlborough bersama dengan Kate dan Pippa Middleton serta Puteri Beatrice.

Rosenberg telah berkhidmat di Google sejak menamatkan pengajian dari Universiti Leeds dan memperolehi ijazah komunikasi. -Mynewshub

Monday, September 02, 2013

100,000 Orang Mendaftar Untuk Menjelajah Planet Marikh!

100,000 Orang Mendaftar Untuk Menjelajah Planet Marikh!

Lebih 165,000 orang telah menghantar permohonan untuk menjadi manusia pertama menetap di Mars, yang dikenali juga sebagai planet merah, meskipun mereka tidak akan kembali lagi ke bumi.

Planet Marikh
Planet Marikh.

Jumlah berkenaan diperolehi selepas tarikh permohonan ditutup hari ini.

Meskipun ia menjual tiket sehala sahaja, namun ramai yang menunjukkan minat untuk ke planet tersebut.

Selain permohonan daripada Britain, calon dari China, Brazil, India dan Russia juga membayar purata £17 sebagai bayaran kos permohonan untuk dipilih ke Mars, yang dimulakan oleh pengasas bersama Big Brother, Paul Römer.

Menjelang 2015, angkasawan yang dipilih itu akan menjalani latihan bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan keadaan di planet berkenaan termasuk cara membaiki peralatan, menanam pokok dan berdepan dengan tempoh panjang hidup dalam keadaan terpencil.

Pasukan ke Mars itu akan beroperasi pada 2021 dan mereka akan dibekalkan dengan oksigen, air dan elektrik.

Kumpulan pertama yang berlepas ke Mars akan mengambil masa perjalanan selama tujuh hingga lapan bulan.

Dalam pada itu, pakar kejuruteraan angka lepas, Dr Adam Baker, menyifatkan projek berkenaan sebagai satu publisiti semata-mata.

``Ada beberapa isu melibatkan keadaan di Mars termasuk radiasi. Ia tidak mempunyai paras atmosphere untuk melindungi seseorang daripada sinaran solar, habuk dan kesan toksid kepada badan.

``Kita tidak mengetahui dengan mendalam mengenai perkara itu,’’ katanya.

Namun Dr. Adam berkata, cabaran terbesar ialah mencari individu yang sanggup ke sana dan tidak pulang ke bumi lagi. -Mynewshub

Bolehkah Roh Suami Meniduri Isteri Yang Masih Hidup?

Bolehkah Roh Suami Meniduri Isteri Yang Masih Hidup?

Info Agama. Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya.

Roh
Gambar hiasan.

Kemusykilan saya;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.

Jawapan:

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”

Ayat al-Quran lain ada menyebut,
“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.

Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.

Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.

Wallahu a’lam.
Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.

Sumber: Islamituindah.my