Wednesday, February 18, 2026

SBDJ Siri 246: 3 Manusia Laknat Tewas

SBDJ Siri 246: 3 Manusia Laknat Tewas

Lelaki berdarah dahi ketakutan. Rahsianya sudah dapat dikesan. Dalam usaha melindungi keburukannya, dia terus menerpa ke arah datuk dengan harapan untuk berpelukan sambil mohon maaf.

Semasa lelaki berdarah dahi membuka sepasang tangannya selebar mungkin untuk merangkum tubuh datuk, dengan pantas pula datuk mengelak. Memang datuk tidak mengizinkan tubuhnya disentuh oleh lelaki berkenaan.

SBDJ Siri 246: 3 Manusia Laknat Tewas

Menyedari datuk mengelak, lelaki berdarah dahi merasa malu. Dia kembali berdiri di tempat asalnya.

Tanpa segan-segan terus memasukkan tangan ke dalam seluar di bahagian belakang. Meraba kulit punggung sambil menggerakkan jari-jemari ke bahagian kemaluannya.

Datuk hanya melihat saja telatahnya, begitu juga dengan Pak Habib. Tetapi, saya dan pemandu merasa ganjil dengan perbuatannya itu. Apakah yang dicari dan diraba dari punggung hingga ke alat kelaminnya?

"Ini azimat yang akhir."

Tangan kanan lelaki berdarah dahi menghulurkan serangkai azimat yang disalut dengan tembaga putih kepada datuk. Datuk tidak menyentuhnya.

"Ini pula tangkal ibu besi."

Lelaki berdarah dahi membuka telapak tangan kiri yang digenggamnya. Ada seketul bebola besi kecil tergolek di bahagian tengah telapak tangan.

"Saya sekadar menolong mereka," lelaki berdarah dahi seakan-akan merungut panjang.

Datuk buat tidak kisah tetapi, Pak Habib hanya senyum saja.

Tanpa disuruh lelaki berdarah dahi menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai kain empat segi, bentuknya lebih besar dari sehelai sapu tangan biasa. Kain dua warna, merah dan hitam itu dibentang tas tanah.

Semua azimat milik dua orang kawannya dan miliknya yang ada di situ dikumpul dan dibungkusnya.

"Semua tangkal ini diberi orang KUBU. Mereka berpesan tangkal tidak boleh dilangkah, jika tidak mahu digunakan dibuang ke laut dalam," lelaki berdarah dahi bagaikan memberi sebuah ceramah pendek.

Pendengar setianya (Pak Habib) tetap memberikan senyuman.

Bungkusan yang berisi azimat itu diikat dibuat semacam uncang. Semasa bungkusan azimat mahu diubah ke tempat lain, datuk segera melarangnya. Lelaki berdarah dahi mempertahankan perbuatannya.

"Bukan apa-apa, saya taruh di situ dulu, bila kita mahu keluar dari tempat ini, saya ambil kemudian saya buang ke laut selat melaka."

"Petua cara lain tak ada?" soal datuk lagi.

"Tak ada, mesti dibuang ke laut," satu jawapan yang serius dari lelaki berdarah dahi.

"Bagaimana? Kalau ada orang lain yang tahu cara baru?" datuk mula menguji.

"Mustahil ada yang tahu."

"Bagaimana kalau saya katakan, ada orang yang tahu," hujah datuk lagi.

"Kalau ada, silakan."

Datuk terdiam. Dalam baik lelaki itu mencabarnya. Kalau tidak dijawab, lelaki berdarah dahi dapat mengukur sejauh mana kemampuannya.

"Humm..." keluh datuk.

"Tamatkan saja di sini," Pak Habib mengeluarkan pendapat.

"Sabar dulu, kita selesaikan cara kita," datuk tidak mahu mengalah.

Dalam usaha mencari akal dan helah untuk mengatasi persoalan yang dihadapi, dua tiga kali datuk gosok pangkal hidung sambil merenung ke dada langit.

Malam beransur larut, terasa titik embun jantan gugur menyentuh rerumput dan dedaun. Bulan yang mengambang masih setia menebarkan sayapnya.

Dalam kesamaran cahaya bulan itu, sepasang mata nakal saya, sempat menjeling ke arah dua orang rakan lelaki berdarah dahi.

Kedua-duanya termenung dalam gaya tersendiri. Nampak lesu sekali. Seolah-olah tidak berminat dengan apa yang berlaku di depan mata mereka.

"Aku tahu, ada caranya untuk menghancurkannya, tak payah pergi ke laut untuk memusnahkannya."

"Haaaaa..." mulut lelaki berdarah dahi terlopong. Matanya menatap wajah datuk.

"Kamu memang orang pandai yang hebat," sambung lelaki berdarah dahi. Senyum sinis berlari di bibirnya.

Datuk menerima sanjungan itu dengan air muka yang tenang. Dan setenang itu pula dia merenung ke arah bungkusan kain berwarna merah hitam.

Dua orang lelaki sahabat kepada lelaki berdarah dahi yang tadi kelihatan lesu, tiba-tiba seperti bertenaga. Bulat biji mata mereka merenung ke arah datuk.

"Tamar ambilkan aku ranting kayu bercabang tiga, tidak jauh dari belakang kamu, sebelah kanan."

Saya segera menoleh ke arah yang datuk maksudkan. Puas renung sekeliling, pokok bercabang tiga yang dimaksudkan tidak kelihatan. Sukar mencari sesuatu dalam keadaan yang samar-samar.

"Masa masuk ke mari tadi, aku dah nampak pokok itu, langkah tiga tapak ke kanan, nanti pokok itu kamu temui," datang arahan dari datuk. Saya garu kepala.

Akhirnya, arahan itu dipatuhi, pokok yang datuk maksudkan berhasil ditemui. Batang pokok bercabang tiga segera dipatahkan dan tanpa membuang masa terus diserahkan kepada datuk. Saya tergesa-gesa kembali kepada kedudukan asal.

"Allahhu akbar."

Itu yang terkeluar dari mulut datuk. Saya dan pemandu berpandangan sementara Pak Habib (Syed Hamid Al-Hadad) terus berzikir.

"Apa yang datuk kamu nak buat Tamar?" si pemandu gatal mulut menyoal.

"Tengok saja, jangan banyak cakap," bentak saya keras. Muka pemandu nampak masam sekali.

"Allahhu akbar." ulang datuk.

Daun dari pokok bercabang tiga yang ada di tangannya segera dibuang sehelai demi sehelai. Begitu juga dengan bahagian hujung ranting.

Di bahagian tengah batang pokok dipatah dua. Bahagian batang yang tidak diperlukan (termasuk ranting dan daun) datuk campak jauh-jauh.

Sesuatu yang menarik dan boleh dikategorikan sebagai pelik dapat dilihat pada bahagian batang pokok yang dipatahkan (berada dalam tangan datuk) kelihatan sama rata, seperti dipotong atau dikerat dengan gergaji.

"Ehem..."

Datuk renung muka Pak Habib sambil tersenyum.

"Sukat," sambung datuk.

"Dengan apa?" lembut Pak Habib bertanya.

"Sukat pakai jengkal dengan jari, semasa saya menjengkal (sukat) batang kayu ni, awak bacalah ayat kursi."

"Insya Allah, saya usahakan," janji Pak Habib.

Datuk pun menyukat batang kayu bercabang tiga dengan jari kiri, dari pangkal hingga ke rantingnya sekali.

Selesai disukat, ranting pokok bercabang tiga ditikam ke bumi tiga kali berturut-turut. Tiada perkara luar biasa berlaku.

"Terima kasih kerana membantu saya," tutur datuk pada Pak Habib.

"Berterima kasih dan berilah pujian pada Allah yang maha besar. Tanpa bantuan dari-Nya, kerja kita tak bermakna."

"Betul," Datuk mengiyakan kata-kata Pak Habib.

Mereka tersenyum puas. Lelaki berdarah dahi bersama dengan dua orang kawannya tidak bersuara. Tetapi gerak geri datuk tetap jadi perhatian mereka.

"Tikam yang nak saya buat ni, tikaman keempat atau pun tikaman terakhir. Kalau gagal, bererti syaitan tetap menguasai mereka bertiga," datuk menudingkan telunjuknya ke arah lelaki berdarah dahi dan kawan-kawannya.

Pak Habib mengangguk faham.

"Apa yang perlu saya bantu," Pak Habib menawarkan diri.

"Tolong doakan supaya kerja saya berhasil," minta datuk.

"Saya cuba, niat awak baik. InsyaAllah berjaya,"

"Terima kasih."

"Segala pujian untuk Allah," sahut Pak Habib dan datuk tersenyum hambar, terasa dirinya dipersendakan dalam suasana yang sungguh sopan.

"Saya mulakan sekarang."

"Silakan sahabat," balas Pak Habib.

Datuk pun memulakan tugas beratnya, sasaran tikaman kayu bercabang tiga, bukannya permukaan bumi. Tetapi bungkusan kain berwarna merah hitam.

Kayu bercabang tiga tepat mengenai sasarannya. Serentak dengan itu terdengar letupan kecil, macam letupan mercun beserta dengan percikan api yang terus membakar bungkusan kain merah hitam hingga menjadi abu.

Tiga manusia laknat terkejut besar, mereka berpandangan sesama sendiri. Rasa cemas, takut tidak dapat dihindarkan dari berpesta di wajah ketiga-tiga manusia tersebut.

Bau yang amat busuk menguasai kawasan sekitar. Si pemandu yang tidak tahan dengan bau tersebut terus muntah.

Bagi menahan muntah agar tidak berlanjutan yang boleh membawa mudarat pada si pemandu, datuk mengambil sehelai rumput berwarna agak kekuning-kuningan.

Setelah dibacakan sesuatu, rumput yang dicabut secara songsang (terbalik) diberikan pada pemandu yang tidak bermaya untuk dihidu.

Tiga kali sedut, muntah berhenti dengan serta merta. Muka yang tadi, pucat lesi kembali merah segar.

"Bau apa yang busuk sangat ni?" pemandu ajukan pertanyaan.

Datuk mengkedutkan dahi. Pak Habib renung ke arah ketiga-tiga manusia laknat yang tunduk keresahan.

"Bau apa yang busuk sangat ni?" ulang si pemandu.

"Dari bungkusan yang terbakar, kamu nak tahu apa benda yang dibungkus dalam kain merah hitam untuk dijadikan ibu azimat itu?" tenang datuk ajukan soalan pada pemandu.

"Iya, saya nak tahu."

"Mayat bayi yang dikeringkan atas bara api selama 33 hari, kemudian dipuja hingga mayat bayi itu bergerak, seolah-olah bernyawa.

"Masa itu dibuat ikrar antara orang yang minta azimat dengan bayi," Datuk berhenti cakap, macam ada sesuatu yang cuba menghalang penjelasannya pada pemandu Pak Habib.

Setelah tergendala kira-kira lima minit, datuk kembali berusaha memberikan penjelasan lagi pada si pemandu. Tetapi masih ada gangguan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Datuk terpaksa bersabar dan bertenaga. Bila keadaan sudah terkawal barulah datuk meneruskannya.

"Bila sudah setuju mayat bayi itu dipuja lagi hingga tidak bergerak dan terus mengecil sebesar ibu jari orang dewasa. Kemudian dimasukkan dalam lubang buluh gading, dibalut kain tujuh warna lalu dimasukkan dalam tabung tembaga putih, mereka gunakan ini sebagai azimat. Satu kerja syirik dan pembohong," datuk mengakhiri penjelasannya.

"Saya faham sekarang," terlontar kata dari pemandu Pak Habib.

Di wajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat. Saya lihat Pak Habib tetap tenang, tidak memberikan sebarang komentar. Anak matanya merenung lembut, penuh simpati ke arah ketiga-tiga manusia laknat yang berdiri kaku, macam orang bodoh.

"Bagaimana dengan mereka, mahu diserahkan kepada polis atau dibiarkan di sini. Kalau tak jadi halangan biar saya yang menghukum," datuk mengemukakan cadangan.

Saya tahu itu hanya berupa ugutan untuk menguji ketahanan mental dan keyakinan mereka bertiga.

Pak Habib yang bagaikan mendapat alamat, tahu apa yang datuk katakan itu bukannya sesuatu yang benar, turut tersenyum.

"Begini..." belum pun sempat Pak Habib menamatkan ucapan, ketiga-tiga lelaki laknat itu menerkam ke arah Pak Habib. Mereka melutut di depan Pak Habib.

"Tolong kami, jangan benarkan lelaki ini menghukum kami," lelaki berkulit agak gelap menuding jari ke arah datuk.

Pak Habib yang tergamam dengan apa yang terjadi di depannya, menarik nafas lemah.

"Ilmunya lebih tinggi dari guru kami, tolong beritahu dia jangan turunkan kutukan kepada kami," sambung lelaki berkulit agak gelap.

"Tolong selamatkan kami," sahut dua orang temannya, mereka kelihatan seperti mahu menitiskan air mata.

Datuk memalingkan mukanya ke arah kawasan berbukit. Tidak mahu melihat wajah tiga manusia laknat yang sedang merayu.

"Sabar, bangunlah. Biar saya uruskan."

Saat datuk melangkah mendekati Pak Habib, ketiga-tiga manusia laknat itu bangun serentak. Cemas tetap terpamir di wajah mereka.

Pak Habib membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Mereka saling mengangguk, seolah-olah mencapai kata sepakat.

Tiga manusia laknat menanti penuh debar. Begitu juga saya dan pemandu, dada kami sarat dengan pertanyaan. Apakah hukuman yang bakal dikenakan datuk terhadap mereka.

Pak Habib memisahkan diri dengan datuk lalu mendekati tiga manusia laknat. Dalam sekelip mata, tiga lelaki mengelilingi Pak Habib, macam langau menghurung bangkai.

"Bagaimana?"

Lelaki berwajah separuh bulat tanpa segan silu terus bertanya. Pak Habib tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Sama ada terkejut atau simpati. Dia kelihatan bersahaja sekali.

Kerana tidak menerima tindak balas yang positif. Ketiga-tiga lelaki laknat terus mengeluh penuh kehampaan dan kecewaan. Saya dan pemandu serentak menggaru pangkal dagu yang tidak gatal.

"Semuanya bertindak lambat," si pemandu protes.

"Biar lambat asalkan hasilnya baik," balas saya.

"Kamu memang banyak dalih, Tamar," si pemandu melepaskan geram untuk saya. Satu perbuatan yang tidak wajar dilayan.

Angin malam yang bertiup menggugurkan dedaun tua. Waktu terus mengisut. Dalam jangkaan saya sudah mendekati waktu tengah malam.

Bulan sudah beberapa kali dilindungi awan. Lolongan anjing liar sudah jarang kedengaran. Begitu juga dengan suara burung hantu dan pungguk pun sudah berhenti merayu bulan. Kedinginan terasa kian hebat mencubit kulit.

"Tuan berilah jawapan, jangan kami diseksa begini."

Dengan serta merta sepasang biji mata saya terbeliak, merenung ke arah lelaki berdarah dahi yang sedang memeluk lutut Pak Habib.

"Masih mahu berdrama," komen si pemandu.

"Jaga mulut kamu," amaran saya untuknya.

"Maafkan saya," si pemandu mengalah.

Tindak balas Pak Habib terhadap kelakuan lelaki berdarah dahi, tidak berubah. Masih seperti tadi, dia suruh lelaki berdarah dahi bangun. Jangan memeluk dan mencium kepala lututnya.

Lelaki berdarah dahi juga disuruh bergabung kembali dengan dua orang kawannya.

Suasana yang dihadapi, terasa kurang menyenangkan. Penuh persoalan dan seribu kebimbangan.

Pak Habib berdiri memeluk tubuh, matanya merenung ke langit sambil melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke depan.

Perbuatan itu diulanginya beberapa kali. Macam ada sesuatu yang dicarinya, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Tinďak tanduk dua lelaki ini (datuk dan Pak Habib) penuh dengan misteri. Masing-masing ada gaya tersendiri dalam memecahkan masalah yang dihadapi.

Perbuatan mereka itu, membuat saya dan pemandu adakalanya merasa benci dan meluat. Selalu membuat kami berada dalam keadaan serba tertekan.

"Menyusahkan," keluh batin saya sendirian.

"Alhamdullilah..."

Sungguh mengejutkan, serentak dengan ungkapan yang diucapkan. Pak Habib meluru ke arah ketiga-tiga manusia laknat. Satu persatu tubuh lelaki terbabit dipeluk dan didakapnya.

Paling mengesankan, bila melihat Pak Habib yang tenang dan lembut itu menangis tersedu-sedu.

Melihat keadaan di luar dugaan, si pemandu segera mendekati majikannya, tetapi, Pak Habib menyuruh dia beredar dari sisinya. Dan kembalilah si pemandu mendekati saya dengan wajah muram.

"Tak pernah dia buat perangai macam tu dengan aku," si pemandu merungut.

Saya cuma tumpang senyum saja.

Rasa terkejut itu turut juga dialami oleh datuk. Seluruh perhatian ditumpukan pada Pak Habib, kawan barunya.

Datuk siap sedia untuk bertindak atau memberi apa saja bantuan pada Pak Habib, jika keadaan memaksa.

Setelah bertahan dalam keadaan yang serba tegang dan cemas lebih dari sepuluh minit. Saya merasa bersyukur kerana tidak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Pak Habib kembali berdiri di tempat asal, tetapi dia masih dikelilingi oleh ketiga-tiga manusia laknat yang merasa bertuah kerana didakap oleh Pak Habib.

Perkara yang tidak pernah mereka mimpikan, lebih-lebih lagi sejak tercetusnya peristiwa untuk menculik Pak Habib yang pernah menjadi majikan mereka.

"Saya sedih kerana ada orang Islam yang sanggup bertuankan syaitan, padahal mereka itu terdiri dari orang yang ilmu agamanya tidaklah cetek.

"Saya kecewa, orang yang pernah bekerja dengan saya, pernah saya bantu, memusuhi saya yang seagama.

"Perkara ini terjadi kerana dorongan nafsu yang diperkudakan oleh syaitan," dalam tangisan Pak Habib bersuara tersangkut-sangkut.

Saya dan pemandu menarik nafas lega. Datuk menggigit bibir menahan rasa sebak. Ketiga-tiga lelaki laknat yang mengelilingi Pak Habib undur setapak ke belakang

"Sekarang apa yang boleh aku bantu kalian, asalkan kalian jangan jadi manusia tunggangan nafsu yang dikuasai oleh syaitan.

"Kamu mahu wang ringgit, harta benda, cakap apa saja. Asalkan kamu jangan melakukan perbuatan ini pada orang lain," amat lantang suara Pak Habib.

Buat seketika tiada tindak balas dari ketiga-tiga manusia laknat. Semuanya membisu.

"Cakap sekarang, apa yang kamu inginkan dari aku," jerit Pak Habib.

"Kami tak mahu apa-apa tuan," suara lelaki wajah separuh bulat.

"Humm...." dengus Pak Habib.

"Maafkan kami tuan, ampunkan kami tuan. Selama ini kami fikirkan kami bertiga handal kerana ada azimat dan tangkal, rupanya tuan dan kawan tuan lebih hebat dari kami," Lelaki berkulit agak gelap bersuara.

Pak Habib kelihatan agak berat untuk memberikan jawapan pasti. Buat seketika dia termenung panjang sambil menahan rasa sedih, hampa dan kecewa. Secara perlahan-lahan datuk segara mendekatinya.

"Usah dikesal dengan apa yang terjadi," bisik datuk.

Pak Habib anggukkan kepala sambil mengesat kesan air mata di pipi.

"Ini ujian Allah untuk aku dan untuk mereka juga," suara Pak Habib lemah sekali.

Kalau tadi Pak Habib anggukkan kepala, kini giliran datuk pula mengangguk.

"Jadi kita harus cari penyelesaian," celah datuk.

"Kamu marah dengan mereka?" Pak Habib pula bertanya.

"Kalau tak marah tu pembohong namanya, saya marah tapi sekarang dah kurang. Cuma saya kesal dengan perbuatan mereka," jelas datuk.

"Kamu dendam dengan mereka?" Datang lagi pertanyaan dari Pak Habib.

"Tak dendam."

Jawapan dari datuk membuat Pak Habib tersenyum senang. Dia melangkah ke arah ketiga-tiga lelaki laknat. Wajah ketiga-tiga manusia yang cemas direnungnya satu persatu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 246/284

BACA: SBDJ Siri 245: Baju Koyak Azimat Bertabur
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Saturday, February 14, 2026

Wajib Tunduk Punca Utama AS dan Israel Mahu Serang Iran!

Wajib Tunduk Punca Utama AS dan Israel Mahu Serang Iran!

Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran belum reda — dan malah risikonya kian meningkat menjadi konflik besar. Isu ini menjadi tajuk utama di banyak media global kerana implikasi keselamatan, ekonomi dan diplomatik yang besar untuk dunia.

Punca Utama AS dan Israel Mahu Serang Iran

Trump memberi amaran bahawa "perkara buruk" akan berlaku jika rundingan dalam pertemuan awal itu gagal.

Kapal perang AS yang "terbesar dan terbaik" sedang menuju ke Iran. Pada akhir Jan dan awal Feb ini, armada USS Abraham Lincoln telah sampai ke Teluk Parsi.

Di atas kapal induk Abraham Lincoln itu berlabuh jet-jet pejuang dan jet pengebom. Ia diiringi pula dengan tiga buah kapal pemusnah: USS Delbert D Black, USS McFaul, dan USS Mitcher.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Untuk memahami semua ini kita wajib melihat kembali bagaimana Presiden Nicolas Maduro dan isterinya di culik oleh tentera AS di Caracas.

Sebelum Maduro diculik, lautan Venezuela telah didatangi kapal perang.

Taktik yang sama sedang dilakukan oleh Trump ke atas Iran. Venezuela digunakan sebagai contoh dan amaran.

Apakah taktik itu akan berjaya?

Jawabnya, langkah Venezuela tidak semudah itu untuk dilakukan ke atas Iran. Penduduk Venezuela ada 34 juta, manakala Iran ada 90 juta orang.

Tentera Iran telah diuji selama lapan tahun dalam Perang Iraq, perang 12 hari pada Jun 2025 dengan Israel dan AS masih segar.

Teknologi dan industri senjata Iran bertaraf dunia. Dron yang digunakan oleh Rusia dalam perang ke atas Ukraine datangnya dari Iran.

Masih huru-hara hingga kini

Iran memiliki senjata ketenteraan yang besar dan dibangunkan sendiri. Iran memiliki lebih 3,000 peluru berpandu balistik. Iran membina kapal laut dan kapal selam sendiri. Sistem pertahanan laut, darat dan udara telah diduga.

Wajib difahami rancangan AS untuk menyerang Iran ini adalah rancangan lama Zionis Isreal. Hal itu kerana jika dikaji akan jelas kelihatan Iran tidak – saya ulangi – tidak mengancam keselamatan AS.

Jika Iran tidak mengancam keselamatan AS, kenapa Iran perlu diserang?

Jawabnya amat mudah. Kerajaan Republik Islamik Iran wajib diruntuhkan. Iran wajib dimandulkan bagi memastikan tidak ada satu pun negara di wilayah Timur Tengah memiliki keupayaan tentera dan ekonomi yang dapat menandingi Isreal.

Justeru negara Arab Mesir yang memiliki bala tentera terbesar telah dimandulkan dengan Perjanjian Camp David 1973. Pada 1994 Gerakan Pembebasan Palestin (PLO) di bawah pimpinan Yasser Arafat berjaya dimandulkan dengan Perjanjian Oslo.

Kerajaan Iraq di bawah pimpinan nasionalis Saddam Hussein musnah pada 2003. Pada 2011 tentera Nato bersama AS menyerang Libya. Kerajaan Muamar Gadaffi runtuh. Hingga kini Libya masih huru-hara.

Pada Disember 2024 kerajaan nasionalis Syria di bawah pimpinan Bashar al-Assad pula runtuh.

Kejatuhan dan pemandulan negara-negara nasionalis Arab ini semuanya dirancang dan disusun oleh Zionis Israel.

Negara Arab seperti Jordan, Saudi dan Arab Teluk adalah budak suruhan AS. Negara-negara itu menjadi barua kepada Zionis Israel. Tanpa sokongan Washington, kerajaan Saudi dan Jordan sudah lama lupus.

Wajib tunduk ke Tel Aviv

Palestin adalah punca perang dan perbalahan di wilayah tersebut. Sebaik saja negara pendatang Isreal diwujudkan pada 1948 maka wilayah Timur Tengah menjadi tidak aman.

Wajib disedari bahawa 30 tahun dulu Benjamin Netanyahu telah merancang satu strategi yang diberi nama A Clean Break: A New Strategy for Securing the Realm.

Ia adalah dokumen dasar 1996 yang disediakan untuk Netanyahu oleh kumpulan pemikir kaum Zionis di AS.

Kajian itu diketuai oleh Richard Perle. Ia menganjurkan peralihan daripada "keamanan menyeluruh" kepada strategi keseimbangan kuasa tradisional, termasuk menyingkirkan Saddam dan menjatuhkan kerajaan Syria serta mewujudkan negara-negara Arab yang Pro-AS dan pada masa sama berkawan dengan Israel.

Siapa Perle?

A Clean Break - A New Strategy for Securing the Realm

Presiden Donald Trump terus mengancam untuk menyerang Iran dan pada masa yang sama Trump berkata rundingan diplomatik dengan Teheran berhubung program nuklearnya sedang berjalan.

Dia ialah penasihat politik neokonservatif yang terkenal. Dia juga pakar dalam keselamatan negara. Perle merupakan arkitek utama Perang Iraq 2003. Bersama Paul Wolfowitz, dia merancang kejatuhan Saddam.

Perle pernah menjadi Penolong Setiausaha Pertahanan AS di bawah pentadbiran Ronald Reagan (1981–1987) dan mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat Lembaga Dasar Pertahanan (2001–2003) untuk pentadbiran George W Bush.

Hakikatnya strategi Clean Break mahu agar Israel menjadi hegemon – kuasa mutlak – terkuat di Timur Tengah. Negara lain wajib tunduk kepada Israel.

Isreal juga memasang niat untuk mendirikan apa yang dipanggil Greater Israel – Isreal Raya.

Israel Raya (Eretz Yisrael HaShlema) ialah konsep kaum Zionis yang merujuk kepada visi wilayah Israel yang diperluas. Isreal Raya ialah sebahagian daripada ajaran agama Yahudi dan kitab Taurat.

Wilayah Isreal Raya termasuk Tebing Barat, Gaza, dan bahagian negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria dan Mesir.

Beli pengaruh di media

Hari ini pemerhati dan penganalisis politik sama ada yang anti-AS mahupun pro-AS bersetuju bahawa dasar luar Rumah Putih sedang dikemudikan oleh Tel Aviv.

Lalu persoalan timbul: Bagaimana Israel berjaya menjadikan AS sebagai kuda tunggangan? Mengapa pentadbiran kerajaan AS – sama ada Demokrat atau Republikan – terus mengikut telunjuk Israel?

Mengapa soldadu AS dan soldadu Nato sanggup mati untuk mempertahankan Israel?

Jawabnya amat mudah. Sistem demokrasi elektoral pemilihan perwakilan ke punca kuasa di AS membolehkan kaum Zionis menguasai badan politik negara tersebut.

Untuk menjadi presiden, untuk menjadi anggota Kongres, Dewan Perwakilan atau gabenor malah datuk bandar, individu terbabit perlu dicalonkan untuk bertanding. Pertandingan memerlukan dana.

Di situlah masuknya jarum Zionis.

"Lobi Israel" ialah gabungan individu dan organisasi yang menyokong Republikan atau Demokrat.

Lembaga seperti AIPAC (American Isreal Public Affairs Comittee), Christians United for Israel dan pelbagai badan pemikir — semuanya berusaha untuk mempengaruhi dasar luar AS agar menyokong Israel.

Ia beroperasi dengan mempengaruhi Kongres, membentuk wacana awam dan menentang pengkritik dasar Israel.

Sosok bilionair Yahudi Zionis dan jutawan yang kaya-raya di AS akan menghulur jutaan dolar dana untuk berkempen. Dana digunakan untuk membeli pengaruh melalui iklan di media.

Media AS dan media Barat tidak berani mengkritik Israel. Antisemitik dan sejarah Hitler akan mengikat media untuk terus bersimpati dengan Isreal.

Lihat saja laporan berat sebelah media tentang Perang Gaza yang sedang berlaku.

Media arus perdana AS seperti New York Times, Washington Post dan CNN secara sejarah telah memberikan garis simpati yang lebih besar kepada pandangan Israel berbanding pandangan Palestin.

Malah banyak media di dunia ini dimodal oleh kaum Zionis. Lihat bagaimana media pro-Isreal melaporkan pemilihan Datuk Bandar New York baru-baru ini.

Jawapan menjanjikan dari Iran

Zohran Mamdani bukan saja dipanggil sosialis komunis malah dicap sebagai Mamdani Jihadis.

Pengaruh Zionis Israel kuat sekali. Warga dunia terperanjat ketika dalam berkempen Mamdani memberitahu dunia bahawa anggota polis New York (NYPD) mendapat latihan di Isreal.

Begitulah kuatnya pengaruh Zionis dalam badan politik AS.

Calon yang diberi dana oleh kaum Zionis - jika menang dalam pemilihan – akan terus mengajukan dasar Utamakan Israel (Isreal First).

Rundingan antara di Teheran dengan Washington sedang berjalan. Awalnya Ankara memainkan peranan. Kini dilaporkan rundingan berjalan di Oman.

AS diwakili oleh menantu Trump, Jared Kushner dan Steve Witkoff, manakala Iran diwakili oleh menteri luarnya, Abbas Araqchi.

Pada masa yang sama Iran bersiap siaga untuk menghadapi apa sahaja langkah Rumah Putih. Sistem pertahan Iran hanya menunggu arahan dari Ayatollah Khamenei.

Wajib diingat pada Jun 2025 Iran diserang oleh AS dan Israel ketika rundingan berjalan di Qatar. Ia menjadikan Iran terus berhati-hati apabila menjalankan perundingan dengan AS.

Jika serangan berlaku AS tidak akan membawa masuk tentera mereka ke Iran. AS akan mengebom Iran dari laut dan udara untuk memusnahkan apa yang dipanggil makmal nuklear Iran.

Ejen Mossad, CIA dan MI6 akan diarah untuk membunuh ramai pemimpin politik Iran. Apakah Ayatollah Khamenei akan diculik seperti Maduro?

Jawapan Iran lebih mudah dan menjanjikan. Semua pangkalan yang ada soldadu AS di Timur Tengah akan diserang. Armada AS di Telok Parsi akan menjadi sasaran.

Panglima Angkatan Tentera Iran, Majer Jeneral Amir Hatami, berkata: "Kali ini kami akan melawan habis-habisan."

Ia bermakna Isreal akan menjadi sasaran utama. Peluru berpandu dan rudal Iran akan menyerang Tel Aviv. Pengalaman Perang 12 Hari telah memberi banyak ilmu pengetahuan dan strategi baru untuk Iran.

Paling akhir Iran akan menutup Selat Hormuz yang menjadi tempat 20 hingga 21 juta tong minyak mentah melintas setiap hari.

Ia bersamaan dengan 20 peratus hingga 25 peratus aliran minyak mentah yang diperlukan oleh dunia setiap hari.

Jika Selat Hormuz ditutup, harga minyak akan melonjak naik ke AS$500 satu tong. Dunia akan akan jadi huru-hara.

Persoalan timbul – apabila keadaan itu berlaku, apakah Zionis Israel akan meledakkan bom nuklear?

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 13, 2026

Kesombongan Zionis: Ideologi Kuasa Yang Menindas Kemanusiaan

Kesombongan Zionis: Ideologi Kuasa Yang Menindas Kemanusiaan

Dalam landskap geopolitik moden, Zionisme politik muncul bukan sekadar sebagai ideologi nasionalisme, tetapi sebagai struktur kuasa yang beroperasi dengan impuniti, disokong oleh kekuatan ketenteraan, perlindungan diplomatik dan naratif keselamatan yang kebal daripada pertanggungjawaban.

Zionis Kuasa Yang Menindas Kemanusiaan

Apa yang sering digelar sebagai "kesombongan Zionis" bukanlah retorik emosi, tetapi refleksi realiti kuasa yang menafikan keadilan antarabangsa.

Zionisme Moden: Dari Nasionalisme ke Puncak Kuasa

Zionisme bermula sebagai gerakan nasionalisme Yahudi pada akhir abad ke-19.

Namun, selepas penubuhan Israel pada 1948, ia berkembang menjadi projek negara berteras kuasa, dengan ciri-ciri:
  • Ketenteraan sebagai instrumen utama dasar luar.
  • Pengembangan wilayah sebagai objektif strategik.
  • Penguasaan naratif global melalui diplomasi dan media.
  • Penolakan konsisten terhadap tekanan undang-undang antarabangsa.

Dalam konteks ini, Zionisme moden bukan lagi soal perlindungan identiti, tetapi dominasi geopolitik.

Impuniti Sebagai Teras Kesombongan

Asas kepada kesombongan Zionis ialah impuniti sistemik.

Selama beberapa dekad:
  • Resolusi PBB diabaikan tanpa akibat.
  • Tindakan ketenteraan ke atas orang awam jarang dihukum.
  • Siasatan antarabangsa disekat atau dilemahkan.
  • Sokongan kuasa veto melindungi Israel di pentas global.

Apabila sebuah negara belajar bahawa tiada harga perlu dibayar, kesombongan bukan lagi sikap — ia menjadi dasar.

Ketenteraan Tidak Seimbang & Doktrin Kekerasan

Dalam analisis ketenteraan, tindakan Israel terhadap Palestin menunjukkan ketidakseimbangan kuasa mutlak:
  • Teknologi ketenteraan canggih vs penduduk awam.
  • Sekatan ekonomi sebagai senjata kolektif.
  • Serangan pencegahan yang melanggar prinsip perkadaran.

Namun semua ini sering dilabel sebagai “pertahanan diri”. Di sinilah kesombongan geopolitik terserlah — hak untuk menafsir undang-undang hanya memihak kepada yang berkuasa.

Penjajahan Sebagai Strategi Jangka Panjang

Pembinaan penempatan haram bukan kes terpencil, tetapi strategi geopolitik:
  • Mengubah realiti demografi di lapangan.
  • Memecah-belah wilayah Palestin.
  • Menggagalkan solusi dua negara.

Ini bukan kegagalan rundingan, tetapi kejayaan penjajahan perlahan yang dilindungi kuasa politik.

Naratif Mangsa Yang Dimanipulasi

Salah satu unsur paling kontroversi ialah eksploitasi naratif sejarah penderitaan untuk:
  • Menangkis kritikan sah. 
  • Membungkam suara kemanusiaan. 
  • Menyamakan kritikan terhadap Zionisme dengan kebencian agama. 

Dalam geopolitik, naratif adalah senjata. Zionisme moden menggunakannya untuk mengabsahkan kekerasan dan menutup kezaliman.

Penentangan Global & Retaknya Legitimasi

Kesombongan Zionis kini berdepan cabaran serius:
  • Gerakan hak asasi antarabangsa.
  • Tekanan masyarakat sivil global.
  • Kritikan daripada sarjana dan komuniti Yahudi anti-Zionis.
  • Kehilangan sokongan moral generasi muda dunia.

Ini menandakan retakan legitimasi, walaupun kuasa ketenteraan masih kukuh.

Analisis Sejarah: Corak Empayar

Dalam sejarah geopolitik, semua empayar yang:
  • Kebal undang-undang.
  • Bergantung pada kekerasan.
  • Menindas penduduk asal.
  • Menghina suara global.

Akhirnya berdepan kejatuhan moral dan strategik. Zionisme politik menunjukkan corak yang sama.

Kesimpulan: Kesombongan Adalah Isyarat Kejatuhan

Kesombongan Zionis bukan sekadar isu Palestin, tetapi ujian kepada sistem antarabangsa. Selagi impuniti dibiarkan, undang-undang antarabangsa menjadi slogan kosong.

Namun sejarah mengajar satu hakikat, Tiada kuasa yang kekal apabila keadilan dihancurkan dan kemanusiaan dinafikan.

Geopolitik mungkin memihak kepada yang kuat buat sementara waktu, tetapi legitimasi moral sentiasa berpihak kepada yang tertindas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 245: Baju Koyak Azimat Bertabur

SBDJ Siri 245: Baju Koyak Azimat Bertabur

"Nanti, jangan lepaskan mereka dulu," Pak Habib tersentak dan segera menoleh kearah datuk.Lama juga datuk direnungnya. Langkah ketiga-tiga lelaki terus terhenti. Perlahan-lahan Pak Habib menyorot keadaan sekitar, kalau-kalau ada sesuatu yang aneh terjadi.

SBDJ Siri 245: Baju Koyak Azimat Bertabur

Tidak memadai dengan semuanya itu, wajah ketiga-tiga lelaki dalam keadaan tidak tentu arah itu direnung oleh Pak Habib seorang demi seorang.

Tidak ada sesuatu yang ganjil. Semuanya nampak normal. Secara tidak langsung suasana demikian mengundang rasa hairan dalam hati Pak Habib.

"Kenapa kawan?"

"Ada sesuatu yang belum selesai lagi Habib. Ilmu Iblis ini banyak helahnya. Banyak pula cabangnya. Kalau kita tidak hati-hati, habis semua kita masuk lubuknya. Dalam jahatnya terserlah kebaikan dan dalam kebaikannya tersimpan keburukan."

"Maksudnya?" Tanya Pak Habib.

"Mereka bertiga mesti didera, mesti dihukum?"

"Tidak, ada niat nak membalas dendam. Kerja membalas dan menghukum orang jahat, itu tugas Allah tak usahlah kita ambil tngas itu. Semuanya kita serahkan kepada-Nya

Pak Habib nampak sukar sekali untuk menangkap atau memahami maksud dari kata-kata yang datuk luahkan.

"Susah nak menangkap maksud kata," Pak Habib berterus terang.

"Usah bimbang, niat kita baik. Sebenarnya permainan mereka bertiga belum habis."

"Saya serahkan pada sahabat untuk menyelesaikannya."

"Saya cuba," itu pengakuan datuk.

Bulan di langit terus mengambang indah. Saya dan si pemandu yang bergerak setapak demi setapak, tanpa disedari sudah berada dalam jarak beberapa kaki dari datuk dan Pak Habib.

KOMEN

Menyedari kedatangan kami, datuk terus mengingatkan kami supaya melihat apa yang terjadi tanpa memberi sebarang komen atau bertanya sesuatu. Sudah tentu arahan itu kami patuhi.

Dengan langkah yang tenang datuk mendekati ketlga-ketiga lelaki itu.

Sambil merenung batang hidung ketiga-tiga lelaki jahanam tu seorang demi seorang. Datuk bergerak dari kiri dan ke kanan. Perbuatan yang serupa dilakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut.

Datuk beralih posisi, berdiri di belakang ketiga-tiga lelaki tersebut. Macam tadi juga, datuk bergerak dan kiri dan kekanan sebanyak tiga kali. Akhirnya berhenti bersententangan dengan lelaki berwajah separuh bulat.

Lelaki itu cuba menoleh ke belakang. Tetapi, datuk mengarahnya supaya merenung ke depan. Dia patuh dengan arahan datuk.

"Dengar sini, jawab semua pertanyaan aku dengan jujur dan ikhlas," kata datuk lemah.

Ketiga-tiga lelaki jahanam yang membelakanginya mengangguk. Tetapi, lelaki berdarah dahi cuba menjeling ke arah datuk dengan ekor matanya.

Dengan pantas datuk dapat mengesan perbuatannya.

"Usah main-main jeling. Itu perbuatan orang tak ikhlas."

Menyedari dirinya disindir, cepat-cepat lelaki berdarah dahi membetulkan kedudukan anak matanya pada posisi yang sebenar. Beberapa detik masa berlalu dengan tenang.

"Kamu bertiga memang sudah bertaubat?"

Datuk minta kepastian.

Ketiga-tiga lelaki jahanam itu anggukkan kepala serentak. Pengakuan ini menimbulkan kesangsian dalam hati datuk Dia pun berdehem kecil, seolah-olah memberi isyarat tertentu pada Pak Habib yang bertindak selaku penonton saja. Saya dan si pemandu berpandang wajah.

"Bila sudah bertaubat, ertinya kamu bertiga tidak akan mengulangi perbuatan buruk kamu."

"Iya, kami berjanji," balas ketiga-tiga lelaki tersebut.

"Semua ilmu hitam dan tangkal di badan sudah kamu tawarkan bisanya?"

Tiada jawapan yang diberikan oleh mereka bertiga terhadap pertanyaan yang datuk ajukan. Mereka kelihatan macam serba tidak kena. Ada yang raba cuping teliga. Ada yang garu kepala dan gosok pangkal hidung.

"Semua ilmu hitam sudah dibuang?"

Tiba-tiba saja datuk menjerit sambil menghentakkan sepasang tumit kaki kanannya ke tanah hingga berlubang.

Ketiga-tiga lelaki yang terkejut itu terus mengucapkan serentak perkataan: "KAMI SUDAH BUANG."

JAHANAM

Datuk yang tadi berada di belakang mereka dengan sekelip mata berubah tempat. Berdiri di depan ketiga-tiga lelaki jahanam. Cukup cepat datuk melakukannya, membuat Pak Habib terpinga-pinga.

Bila menyedari perbuatan yang datuk lakukan itu mempunyai motif tertentu, Pak Habib mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Sekarang, letakkan tapak tangan kamu bertiga atas lengan kiri aku."

Datuk pun menghulurkan lengan kirinya yang berselirat dengan urat-urat hijau. Lama juga datuk menanti tidak ada seorang pun diantara mereka bertiga yang berani meletakkan telapak tangan atas lengan kiri datuk.

"Mulakan sekarang, siapa saja boleh memulakannya."

Dari riak wajah, ternyata lelaki tersebut amat keberatan sekali untuk memenuhi permintaan datuk.

"Kenapa tak buat apa yang aku suruh," sergah datuk.

Ketiga-tiga lelaki tersebut tidak memperlihatkan tindak balas yang positi. Perbuatan mereka yang menyinggung perasaan datuk hingga mendorong dia (datuk) mengambil inisiatif yang agak keras.

"Kamu mulakan dulu."

Jari datuk menuding batang hidung lelaki berwajah separuh bulat. Si lelaki itu tidak bergerak dari tempat asalnya. Kemarahan datuk terus membara.

"Kamuuuuuuu..." jerit datuk.

"Biar dia buat dulu."

Lelaki wajah separuh bulat mengelak, menyuruh kawannya yang berkulit agak gelap melakukannya. Dan lelaki berkulit agak gelap juga mengelak, dia menyuruh lelaki berdarah dahi melakukannya.

Sikap acuh tak acuh ketiga-tiga lelaki itu membuat datuk hilang sabar. Dia merasakan dirinya di perbudak-budakkan.

Dengan pantas datuk menyambar pergelangan tangan lelaki berwajah separuh bulat lalu dikilasnya kebelakang dengan sekuat hati.

Wajah lelaki separuh bulat nampak bersahaja tidak cemas atau takut apa lagi merasa sakit. Tidak pula senyum.

Situasi begini secara tidak langsung menggerakkan hati datuk supaya berwaspada. Ada tanda-tanda tentangan secara batiniah dari lelaki tersebut.

Datuk segera menukar taktik. Pergelangan tangan lelaki berwajah separuh bulat dilepaskan. Kemudian, berubah tempat dengan berdiri betul-betul di belakang lelaki berwajah separuh bulat.

Dengan pantas datuk memasukkan lengan kirinya ke celah kangkang lelaki berwajah separuh bulat.

Jari-jemari datuk terus mencengkam dan memulas kulit perut bahagian atas pusat lelaki tersebut. Dengan kekuatan luar biasa, perlahan-lahan datuk angkat lengan kin separas bahu.

Tubuh lelaki berwajah separuh bulat turut terangkat, sepasang tangannya terkapai-kapai dan sepasang kakinya terbuai-buai.

Lelaki wajah separuh bulat terus mengimbangi kedudukan tubuhnya yang berada atas lengan datuk.

Ada ketika tubuhnya terdorong ke depan. Dalam waktu yang lain, bagaikan mahu terlentang ke belakang. Ada masanya terlayah ke kiri dan ke kanan.

Kedua-dua belah kaki dan tangan dimanfaatkan, agar tubuhnya tidak jatuh ke tanah.

Lelaki berwajah separuh bulat mula menjerit dan menangis. Dia merayu hiba supaya tubuhnya diletakkan kembali ke permukaan bumi. Datuk mempersetankan rintihan dan rayuan lelaki tersebut.

Datuk terus membuai-buaikan pergelangan tangannya ke kiri, ke kanan dan ada saatnya ditinggikan melepasi paras bahu.

Bila direndahkan, kaki lelaki berwajah separuh bulat tidak juga menyentuh permukaan bumi.

Wajah lelaki separuh bulat pucat. Baju bahagian belakangnya kelihatan basah kerana diresapi peluh.

Setiap kali datuk gerakkan tangan kirinya sama ada arah ke kanan atau ke kiri. Dua tiga azimat atau tangkal yang dibuat dari teras kayu, tulang temulang dan batu batu lucut dari tubuh lelaki tersebut lalu jatuh ke tanah.

YAKIN

Bila datuk yakin tiada lagi tangkal atau azimat yang melekap di tubuh lelaki berkenaan, perlahan-lahan datuk merendahkan lengan kirinya, suara lelaki berwajah separuh bulat terus berhenti.

Sebaik sahaja sepasang telapak kakinya menyentuh permukaan tanah, tubuh lelaki itu nampak lembik (macam agar-agar) dan terus rebah ke bumi dalam keadaan tertiarap.

Setelah mengeluarkan lengan kirinya dari celah kangkang lelaki berwajah separuh bulat, datuk menggeliat panjang.

Dua tiga kali lengan kirinya diurut dengan telapak tangan kanan secara songsang, dari bawah keatas. Senafas hembusan datuk halakan pada lengan tersebut, seolah-olah menghembus sesuatu yang melekat di situ.

Sungguh mengejutkan sekali, baju yang dipakai oleh lelaki wajah separuh bulat (di bahagian belakang) terbelah dua mengikut kedudukan tulang belakangnya.

Bermula dari bahagia bawah tengkuk hingga ke bahagian tulang punggung, macam ada kuasa tertentu yang mengoyakkan bajunya.

Jelas kelihatan ada tanda melintang dibahagian atas punggung. Manakala dikiri kanan bahunya ada ukiran (tatoo) bentuk kala jengking sedang bertarung.

Lebih dari sepuluh minit lelaki wajah separuh bulat tertiarap mencium bumi.

"Huuuuu..." saya mendengus.

TERTIARAP

Lelaki berwajah separuh bulat yang tertiarap mula bergerak. Menelentangkan tubuhnya mengadap langit malam.

"Aduh sakitnya," keluh lelaki itu sambil duduk.

Datuk yang berada di sisi hanya melihat sahaja apa yang bakal dilakukan oleh lelaki terbabit.

Dua orang kawannya bagaikan terpukau, anak mata mereka sahaja yang bergerak menyorot apa yang dilakukan oleh temannya, sedangkan mulut, bagaikan terkunci untuk melontarkan sebarang kata.

Dari duduk, lelaki berwajah separuh bulat berusaha untuk berdiri. Usaha pertama menemui kegagalan, cuba kali kedua masih gagal juga. Cuba kali yang ketiga, tetap tidak berhasil. Dia terpaksa duduk semula dengan muka menghala ke wajah datuk.

"Mengapa saya dibuat begini?" Tanyanya pada datuk.

"Tanyalah diri kamu sendiri."

"Haaaa..." si wajah separuh bulat cuba protes.

Datuk senyum lalu merenung ke arah dua orang sahabat lelaki tersebut yang macam orang dungu.

"Apa kamu berdua mahu jadi macam dia?"

Itulah pertanyan yang datuk ajukan kepada kedua-dua lelaki yang berdri kaku, mata terkebil-kebil macam mata katak kena sembur air.

"Kalau tak mahu jadi macam dia, patuh dan dengar ckap aku!"

Kedua-dua lelaki itu tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Tetapi mereka mengangguk tanda setuju.

"Sekarang, hulurkan tangan kamu."

Kedua-dua lelaki tersebut berebut-rebut menghulurkan tangan hingga datuk jadi kebingungan. Sukar buat keputusan huluran tangan siapa yang harus disambut dulu.

"Tarik tangan kamu semula."

Kedua-dua lelaki tersebut patuh dengan arahan.

Tindak tanduk kedua-dua penjenayah itu sungguh melucukan buat saya. Dan secara tidak segaja saya ketawa.

Dengan pantas terasa, hujung siku si pemandu menghentak rusuk sebelah kiri saya. Ketawa yang baru berbunga mati terus.

DULU

"Kamu dulu hulurkan tangan kanan pada aku."

Telunjuk datuk menuding kearah lelaki berkulit agak gelap. Tanpa berlengah-lengah lagi dia hulurkan tangan kanannya yang kurus kecil itu kepada datuk.

"Genggam empat jari kamu dan tegakkan ibu jari kanan dan tayhan nafas kamu macam ini..." Datuk segera menunjukan cara-cara yang harus dilakukan oleh lelaki berkulit separuh gelap.

"Sekarang kamu sudah faham?" sambung datuk.

"Faham," jawapnya.

"Kalau dah faham, lakukan sekarang juga. Jangan buat silap nanti kamu terima akibat buruknya."

Dan lelaki berkulit agak gelap. Segera melaksanakan apa yang haus dilaksanakan seperti apa yang diarahkan oleh datuk.

"Tahan nafas kamu sekarang."

Lelaki berkulit separuh gelap dengan pantas mengangguk. Mukanya nampak serius. Urat-urat di leher dan dahi kelihatan menonjol akibat dari menahan nafas.

"Sekarang aku tolak ibu jari kanan kamu. Tahan jangan sampai ibu jari tangan kanan kamu bergerak," datuk mengingatkan lelaki berkulit agak gelap.

Dari kerdipan mata yang dilakukan oleh lelaki itu menghantar pesanan kepada datuk bahawa dia sudah bersedia. Apa saja yang akan datang akan dihadapinya.

Datuk senyum senang. Hati saya berdebar, menanti penuh cemas apa yang akan berlaku.

Setelah dapat tempat berdiri yang baik dan selesa, ibu jari kiri datuk yang bulat berisi, bersama ruas yang agak panjang mula bercantum dengan ibu jari kanan lelaki berkulit agak gelap.

Dengan penuh bergaya dan bersistematik datuk menolak dan menekan ibu jari kanan lelaki tersebut. Dengan penuh daya dan tenagan lelaki berkulit agak gelap mempertahankannya.

Dia memastikan telapak kakinya tidak bergerak walau satu inci pun. Dari jauh kelihatan dua ibu jari seperti bercantum menjadi satu.

Satu pertarungan yang sungguh hebat, penuh debar dan cemas. Masing-masing tidak mahu kalah.

Ternyata tekanan berpihak kepada lelaki berkulit agak gelap. Datuk tetap berada dipihak yang selesa. Kalau tewas tidak membawa apa-apa kesan pada dirinya.

Andainya, lelaki berkulit agak gelap gagal, ibu jari kanannya patau atau mungkin tercabut dari sendi.

TERANGKAT

Bila datuk meluruskan (mengangkat) tangan melepasi kepalanya, tubuh lelaki agak gelap, turut terangkat.

Dengan ibu jari kiri datuk menjulang tubuh lelaki tersebut. Tubuh lelaki itu terus dipusingkan berkali-berkali di atas kepalanya, macam kipas helikopter. Lelaki seperti berada diawang-awangan.

Semasa tubuh dipusing berkali-kali, baju yang dipakainya terkoyak teruk. Bermacam-macam tangkal yang lekat di tubuh lelaki berkulit agak gelap bertaburan di bumi.

Kebanyakan tangkal itu dibuat dari tulang-tulang binatang buas, disamping beberapa jenis batu tertentu dalam berbagai bentuk dan rupa.

Lelaki berkulit separuh gelap terus memekik minta diletakkan atas tanah semula. Dan permintaannya segera datuk tunaikan.

Sebaik berada di tanah, lelaki itu tidak boleh berdiri, terus jatuh terduduk. Dia berkata-kata sesuatu tetapi suaranya tidak terkeluar. Mulutnya berbuih dituruti dengan muntah yang banyak.

Lelaki itu kelihatan tidak bermaya sekali. Dia amat keletihan dan terus terbaring di bumi.

Pak Habib hanya menyaksikan saja apa yang datuk lakukan terhadap kedua-dua lelaki itu. Dia tdak memberi sebarang komentar. Sedangkan apa yang datuk perlihatkan itu membuatkan si pemandu makin kagum pada datuk.

"Datuk kamu memang luar biasa orangnya Tamar," bisiknya pada saya. Dan saya tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kekagumannya itu.

DINGIN

Kerana saya bersikap dingin, si pemandu segera bergerak ke depan saya. Dia menegakkan ibu jari kanannya pada saya sambil mulutnya tajam menghala ke arah datuk. Saya buat tak nampak dengan apa yang dlakukannya di depan saya.

"Berdiri tegak, jangan buat macam itu pada saya. Sembah mansia bukan perbuatan yang baik. Hanya Allah yang wajib disembah," ujar Pak Habib.

Dengan pantas sekali, lelaki berdarah dahi berdiri tegak macam kayu. Sepasang anak matanya menyorot lembut ke muka Pak Habib minta dikasihani.

Bila dirasanya, Pak Habib tidak memberi reaksi postif, anak matanya beralih pula kepada datuk.

"Kamu berurusan dengan dia, bukan dengan saya. Kamu selesaikan dengannya," tenang dan bersahaja Pak Habib bersuara.

Datuk anggukkan kepala, setuju dengan apa yang dkatakan oleh Pak Habib.

"Kamu berusan dengan aku, bukan dengan Pak Habib," tegas datuk.

Lelaki berdarah dahi segera bergerak ke arah datuk dan berdiri kaku di depannya. Bersedia menerima arahan atau hukuman dari datuk. Dua orang kawan lelaki berdarah dahi tetap macam tadi. Lebih banyak merehatkan badan.

"Kamu sudah dengar apa yang Pak Habib kata."

Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

"Kamu mesti patuh arahan aku," lembut suara datuk.

Macam tadi juga, lelaki berdarah dahi tetap mengangguk. Saya dan pemandu kembali resah, bimbang dengan apa yang bakal berlaku.

Pak Habib macam biasa, tetap tenang. Bibirnya bergerak lemah, saya yakin dia sedang berzikir.

"Sekarang buka semua tangkal dan azimat di badan kamu."

Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala. Beberapa detik berikut dia terus membuka baju. Malah dia bersedia melucutkan seluar hitam yang dipakainya.

"Jangan," tahan datuk.

"Kenapa pula? Saya rela," lelaki berdarah dahi bersuara.

"Kamu tidak ikhlas, masih mahu berdalih. Kamu tak pakai seluar dalam. Jangan berhelah, cukup setakat ini."

Lelaki berdarah dahi gigit bibir. Memang dia tidak menduga sama sekali yang datuk tahu dirinya tidak memakai seluar dalam. Peluangnya untuk mempermainkan datuk secara spontan berkecai.

"Orang yang mengamalkan ilmu salah, biasanya tak pakai seluar dalam. Kalau pakai pun mesti warna hitam atau merah. Sebabnya bila sesak atau terdesak terus telanjang.

"Perbuatan itu boleh melambatkan atau melemahkan kekuatan musuh buat seketika, kamu jangan mempermain-mainkan aku," datuk memberi amaran keras.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 245/284

BACA: SBDJ Siri 244: Rahsia 3 Manusia Terbongkar
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam: Tanda, Punca dan Cara Mengatasinya Menurut Sunnah

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam: Tanda, Punca dan Cara Mengatasinya Menurut Sunnah

Penyakit 'Ain ialah satu istilah yang merujuk kepada kesan buruk yang dipercayai berlaku akibat pandangan hasad, iri hati atau kekaguman tanpa menyebut nama Allah. Ia bukan penyakit perubatan secara khusus, tetapi berkait dengan kepercayaan spiritual dan psikologi dalam banyak budaya di dunia.

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam

Apa itu penyakit ain dalam Islam? Ketahui maksud sebenar, tanda-tanda terkena ain, bahaya pandangan hasad dengki serta cara mengatasinya menurut Al-Quran dan hadis.

APA ITU PENYAKIT 'AIN?

Penyakit ain (العين) merujuk kepada kesan buruk akibat pandangan hasad atau kekaguman yang disertai iri hati, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Dalam Islam, ain bukan sekadar kepercayaan budaya, tetapi disebut secara jelas dalam hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Al-'Ain itu benar adanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa konsep ain diakui dalam Islam sebagai satu bentuk gangguan yang boleh memberi kesan kepada seseorang.

MAKSUD AIN DARI SUDUT ISLAM

Secara ringkasnya, ain berlaku apabila:
  • Seseorang melihat nikmat pada orang lain.
  • Timbul rasa iri hati atau kagum berlebihan.
  • Tidak menyebut nama Allah atau mendoakan keberkatan.

Ia boleh terjadi kepada:
  • Kanak-kanak.
  • Orang dewasa.
  • Individu berjaya.
  • Pasangan bahagia.
  • Perniagaan yang berkembang.

Pendek kata, apa sahaja nikmat boleh menjadi sasaran pandangan hasad.

BAHAYA PENYAKIT AIN YANG RAMAI TIDAK SEDAR

Walaupun ain bersifat rohani, kesannya boleh dirasai secara fizikal dan emosi.

1. Gangguan Kesihatan Fizikal

Antara tanda yang sering dikaitkan dengan penyakit ain:
  • Badan tiba-tiba lemah tanpa sebab jelas.
  • Sakit kepala berpanjangan.
  • Hilang selera makan.
  • Mudah letih.
  • Gangguan tidur.

Namun penting difahami bahawa simptom ini juga boleh berkait dengan faktor perubatan seperti stres, kurang nutrisi atau masalah kesihatan lain.

Jangan abaikan pemeriksaan doktor.

2. Gangguan Emosi dan Mental

Ain juga dikaitkan dengan perubahan emosi seperti:
  • Rasa gelisah tanpa sebab.
  • Cepat marah.
  • Rasa berat hati.
  • Hilang motivasi.
  • Murung secara tiba-tiba.

Dalam banyak kes, gangguan ini sebenarnya boleh berpunca daripada tekanan hidup, trauma atau keletihan mental. Oleh itu, pendekatan Islam menekankan keseimbangan antara rawatan rohani dan rawatan profesional.

3. Gangguan Rezeki dan Kehidupan

Menurut kefahaman tradisional Islam:
  • Urusan sering terhalang.
  • Perniagaan merosot secara mendadak.
  • Hubungan menjadi tegang.
  • Rumah tangga tidak tenang.

Namun, Islam tidak mengajar umatnya menyalahkan ain semata-mata atas setiap ujian hidup. Ujian juga boleh datang sebagai takdir, teguran atau proses pematangan diri.

PUNCA BERLAKUNYA PENYAKIT AIN

1. Hasad Dengki

Hasad adalah penyakit hati yang sangat berbahaya. Ia bukan sahaja memudaratkan orang lain, tetapi juga memakan pahala pelakunya.

2. Kekaguman Tanpa Menyebut Nama Allah

Apabila melihat sesuatu yang mengagumkan, Islam mengajar untuk menyebut: "MasyaAllah" atau "Allahumma barik lahu."

Ini sebagai bentuk doa agar nikmat tersebut diberkati dan dilindungi.

3. Terlalu Mendedahkan Nikmat

Dalam era media sosial, ramai mempamerkan:
  • Kekayaan.
  • Anak-anak.
  • Hubungan peribadi.
  • Kejayaan perniagaan.

Tanpa sedar, ia boleh mengundang rasa iri hati daripada orang lain.

CONTOH PENYAKIT 'AIN AKIBAT KEKAGUMAN TANPA MENYEBUT NAMA ALLAH

Diterangkan dalam bentuk yang mudah difahami dan selari dengan kefahaman Islam.

Penting diingat, contoh ini adalah situasi yang sering disebut dalam masyarakat dan ulama, bukan diagnosis perubatan.

Contoh 1: Memuji Anak Tanpa Doa Keberkatan

Seseorang melihat anak orang lain yang sangat comel atau bijak lalu berkata: "Cantiknya anak ini, sempurna betul!"

Tetapi tidak menyebut "MasyaAllah" atau mendoakan keberkatan.

Selepas itu, anak tersebut tiba-tiba:
  • Demam tanpa sebab jelas
  • Menangis berpanjangan
  • Menjadi tidak aktif

Dalam hadis, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang memuji tanpa mendoakan keberkatan dan mengajar supaya menyebut doa agar tidak memudaratkan.

Contoh 2: Kagum Dengan Kejayaan Perniagaan

Seseorang melihat kedai atau bisnes rakannya yang sangat laris lalu berkata: "Untung besar ni, memang luar biasa!"

Tanpa menyebut nama Allah.

Tidak lama selepas itu:
  • Jualan mula merosot
  • Banyak masalah kecil berlaku
  • Pekerja sering bertukar

Dalam kefahaman tradisional, keadaan ini dikaitkan dengan ain akibat rasa kagum bercampur iri hati.

Contoh 3: Memuji Kecantikan atau Penampilan

Situasi biasa berlaku di majlis atau media sosial: "Cantik sangat sekarang, lain macam!"

Selepas itu individu tersebut mengalami:
  • Sakit kepala.
  • Rasa lemah.
  • Hilang keyakinan diri secara tiba-tiba.

Dalam Islam, dianjurkan menyebut "MasyaAllah tabarakallah" apabila melihat sesuatu yang mengagumkan.

Contoh 4: Kagum Dengan Rumah atau Harta

Seseorang melawat rumah baru rakannya dan berkata: "Rumah besar macam istana!"

Tanpa doa keberkatan.

Selepas itu berlaku:
  • Kerosakan yang kerap.
  • Tekanan kewangan.
  • Rasa tidak tenang di rumah.

Contoh ini sering disebut dalam masyarakat sebagai bentuk ain yang tidak disengajakan.

Perkara Penting Yang Perlu Difahami:
  • Ain tidak semestinya berlaku setiap kali dipuji.
  • Islam tidak mengajar kita menjadi takut kepada pujian.
  • Tujuannya adalah mendidik adab — supaya setiap kekaguman dikembalikan kepada Allah.

Amalan yang diajar:
  • "MasyaAllah"
  • "Allahumma barik lahu"
  • "Tabarakallah"

BAGAIMANA 'AIN BOLEH BERLAKU? (BERDASARKAN HADIS DAN PENJELASAN ULAMA)

"Al-'Ain Itu Benar"

Rasulullah SAW bersabda: "Al-'Ain itu benar adanya. Jika ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, maka al-'ainlah yang boleh mendahuluinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa kesan pandangan hasad atau kekaguman memang diakui dalam Islam, walaupun semuanya tetap berlaku dengan izin Allah.

Kisah Sahabat: Sahl bin Hunaif r.a.

Ini adalah kisah paling masyhur tentang bagaimana 'ain boleh berlaku.

Peristiwa:

Sahl bin Hunaif r.a. sedang mandi. Beliau mempunyai kulit yang sangat putih dan cantik.
 
Ketika itu, seorang sahabat lain, Amir bin Rabi'ah r.a., melihatnya lalu berkata: "Aku tidak pernah melihat kulit seindah ini, bahkan kulit anak dara pun tidak seperti ini."

Tidak lama selepas itu, Sahl bin Hunaif tiba-tiba rebah dan jatuh sakit.

Perkara ini dilaporkan kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: "Mengapa salah seorang daripada kamu ingin membunuh saudaranya? Mengapa tidak kamu doakan keberkatan untuknya?"

Kemudian Nabi SAW memerintahkan Amir bin Rabi’ah berwuduk dan air wuduk itu disiramkan kepada Sahl. Dengan izin Allah, beliau sembuh.

(Hadis Riwayat Malik dalam al-Muwatta', Ahmad dan lain-lain – dinilai sahih)

Pengajaran Dari Kisah Ini:
  • Ain boleh berlaku walaupun tanpa niat jahat.
  • Kekaguman tanpa menyebut nama Allah boleh memberi kesan.
  • Orang yang menyebabkan ain disuruh berwuduk sebagai rawatan.
  • Doa keberkatan sangat penting.

Hadis Tentang Perlindungan Dari Ain

Rasulullah SAW biasa melindungi cucunya Hasan dan Husain dengan doa: "Aku memohon perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa serta daripada setiap pandangan mata yang jahat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini menunjukkan:
  • Kanak-kanak juga boleh terkena 'ain.
  • Nabi sendiri mengamalkan doa perlindungan.
Bagaimana 'Ain Boleh Berlaku?

Berdasarkan hadis dan penjelasan ulama:
  • Seseorang melihat nikmat pada orang lain.
  • Timbul rasa kagum, iri atau takjub.
  • Tidak menyebut nama Allah atau mendoakan keberkatan.
  • Dengan izin Allah, berlaku kesan mudarat kepada orang yang dipandang.

Namun perlu difahami:
  • Semua berlaku dengan izin Allah.
  • Bukan setiap pujian menyebabkan ain.
  • Tidak boleh menuduh sembarangan.

Berdasarkan hadis dan penjelasan ulama:
  • Ain bermula daripada pandangan terhadap nikmat.
  • Disertai rasa kagum atau hasad.
  • Tidak disertai doa keberkatan.
  • Berlaku kesan dengan izin Allah.

Islam mengajar umatnya supaya menjaga hati, menjaga lisan, dan sentiasa mengembalikan segala kekaguman kepada Allah.

CARA MENGATASI DAN MELINDUNGI DIRI DARI PENYAKIT AIN

1. Amalkan Ruqyah Syariah

Antara bacaan yang dianjurkan:
  • Surah Al-Fatihah.
  • Ayat Kursi.
  • Surah Al-Ikhlas.
  • Surah Al-Falaq.
  • Surah An-Nas.

Dibaca sebagai perlindungan harian.

2. Perbanyakkan Zikir Pagi dan Petang

Zikir berfungsi sebagai benteng rohani daripada gangguan zahir dan batin.

3. Jangan Abaikan Rawatan Perubatan

Jika mengalami:
  • Kemurungan berpanjangan.
  • Anxiety.
  • Sakit fizikal yang tidak sembuh.

Segera dapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan mental.

Islam tidak menolak rawatan moden. Malah Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya berubat.

PERBEZAAN ANTARA AIN, SIHIR DAN GANGGUAN JIN

Ramai yang keliru antara tiga perkara ini.

Ain:
  • Berlaku melalui pandangan hasad.
  • Tidak semestinya disengajakan.
  • Rawatan utama: doa & ruqyah.

Sihir:
  • Dilakukan dengan niat dan ritual tertentu.
  • Disengajakan.
  • Perlu rawatan ruqyah khusus.

Gangguan Jin:
  • Melibatkan makhluk halus.
  • Ada pelbagai sebab.
  • Bergantung kepada kes.

JANGAN TAKUT, TETAPI BERHATI-HATI

Penyakit ain adalah satu konsep yang diakui dalam Islam.

Namun, umat Islam perlu bersikap sederhana:
  • Jangan terlalu paranoid.
  • Jangan menyalahkan ain atas setiap masalah.
  • Jangan abaikan rawatan profesional.

Yang paling penting adalah:
  • Jaga hati daripada hasad.
  • Kurangkan menunjuk-nunjuk.
  • Amalkan doa perlindungan.
  • Bertawakal kepada Allah.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 12, 2026

SBDJ Siri 244: Rahsia 3 Manusia Terbongkar

SBDJ Siri 244: Rahsia 3 Manusia Terbongkar

Lama juga Datuk dan Pak Habib membiarkan kedua-dua lelaki itu dalam keadaan yang tidak menentu. Terhoyong-hayang macam orang mabuk, tidak dapat mengimbangi tubuh untuk berdiri dengan betul. Salah seorang daripada mereka kerap jatuh dan kerap pula bangun.

SBDJ Siri 244 Rahsia 3 Manusia Terbongkar

Dalam saat-saat tertentu mereka bercakap dalam bahasa yang ganjil dan sukar dimengertikan. Bukan dalam bahasa Indonesia, bukan juga dalam Bahasa Melayu.

"Allaahu akbar..."

Secara tidak sengaja Pak Habib menyebut ungkapan itu, bila seekor kelawar sedar melintas di depannya. Serentak pula kedua-dua lelaki yang terhoyong-hayang tersungkur di bumi. Datuk yang berada di sisi Pak Habib menggigit ibu jari kiri.

Muka kedua-dua lelaki yang terkapar di bumi terus jadi bahan renungan Pak Habib. Ada keresahan bermain dalam hatinya.

Renungan segera dialihkan ke muka datuk buat seketika. Kemudian kembali semula ke muka kedua-dua lelaki yang terlentang, merenung bulan dan bintang di langit.

Tindak-tanduk Pak Habib mengundang rasa cemas dalam diri saya.

Sebenarnya, saya tidak mampu bertahan lebih lama lagi, di kawasan hutan dalam suasana malam yang kian mendekati waktu Isyak.

Mungkin si pemandu dan datuk juga berfikir seperti apa yang saya fikir.

Dalam melayani perasaan hati, badan terasa dingin akibat hembusan angin malam yang lemah. Nyamuk terus berpesta menyedut darah. Lelaki berdarah dahi terus berdengkur. Tidak tahu apa yang berlaku di sekitarnya.

"Bangun, berdiri."

Suara Pak Habib lantang, bergema menguasai kawasan hutan kelcil. Datuk tersintak, pemandu dan saya terkejut besar.

Lebih mengejutkan kedua-dua lelaki yang terbaring terus bangun dan berdiri dalam keadaan yang tiada bernaya.

Tindakan selanjut yang dilakukan oleh Pak Habib di luar jangkaan. Dari garang bertukar lembut, penuh sopan. Kembali pada jati diri sebenar.

Tangannya menepuk-nepuk bahu kedua-dua lelaki berkenaan penuh mesra sambil mengucapkan sesuatu.

BAIK

Walaupun dilayani dengan baik, keuda-dua lelaki tersebut tidak berani menentang muka Pak Habib. Badan mereka kelihatan seperti menggigil.

"Pandang muka saya," lembut Pak Habib merayu.

Rayuan itu tidak diendahkan.

"Kamu berdua, kalau tak salah, pernah bekerja dengan aku?"

Seperti tadi, tidak ada tindak balas dari kedua-dua lelaki tersebut. Mereka buat bodoh, tunduk renung tanah.

Pak Habib terus berlegar-legar di depan mereka sambil mengosok-gosok kedua-dua belah telapak tangannya.

"Sebaiknya, kamu berdua terterus terang saja dengan aku, kalau kamu berdua tak mahu susah," kata Pak Habib dalam nada menggugut.

Datuk senyum, kerana dia tahu itu satu taktik dari Pak Habib.

"Pernah tuan Habib," balas mereka serentak.

Pak Habib segera tenyitkan ekor mata pada datuk yang di sambut dengan senyum pendek.

"Di mana?"

Kedua-dua lelaki itu kembali membisu.

"Di mana?" Ulang Pak Habib keras.

Kedua-dua lelaki terbabit saling berpandangan. Ada kesulitan yang terjadi antara mereka. Siapa yang harus dahulu menerangkan kepada Pak Habib.

Sementara menanti jawapan dari mereka, Pak Habib merenung ke dada langit.

"Di Tanjung Balai, Tuan. Jadi penjaga gedung. Kadang-kadang menemani keluarga Tuan ke Penang," jawab yang bermuka separuh bulat.

"Kamu pula?"

Pak Habib ajukan pertanyaan pada lelaki yang berkulit agak gelap.

"Sama macam dia tapi, saya bahagian gedung yang menyimpan barang dari luar," jawab lelaki berkulit gelap.

Penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut membuat Pak Habib termenung seketika. Terus duduk atas seketul kayu. Dahinya, berkerut macam memikirkan sesuatu yang tidak pernah diduga. Dia segera memanggil datuk ke sisinya.

Mereka berbincang sesuatu dengan serius sekali. Tidak lama berikutnya, datuk meninggalkan Pak Habib yang mula bangun mendekati kedua-dua lelaki yang masih berdiri.

"Sekarang baru aku ingat, kamu berdua di tangkap pihak berkuasa Malaysia masa bekerja dengan syarikat aku," tutur Pak Habib.

"Benar Tuan," Sahut kedua-kedua lelaki tersebut.

"“Aku kurang jelas, macamana kamu boleh ditahan?"

"Eeeeee... lelaki berkulit gelap tidak meneruskan percakapan. Dengan ekor mata dia menjeling kearah kawan di sebelah.

"Berterus terang dengan saya."

"Begini tuan besar," lelaki bermuka separuh bulat mengambil alih tugas dari kawannya yang berkulit agak gelap untuk meneruskan penerangan.

"Kami kadangkala mengambil kesempatan menyeludup rokok kretek dari gedung Tuan Habib ke Batu Uban dengan bantuan orang tengah."

"Menarik cerita kamu," potong Pak Habib.

Tiada sebarang komen yang diucapkan oleh kedua-dua lelaki yang berdiri di depan Pak Habib.

TENANG

Barangkali mereka mahu mendengar kata selanjut yang bakal diucapkan oleh Pak Habib. Sepuluh saat sudah berlalu, kelopak bibir Pak Habib tidak terkuak untuk melontarkan kata.

Keresahan tidak saja di hati kedua-dua lelaki tersebut. Malah, turut terasa di hati datuk, saya dan si pemandu, kecuali lelaki berdarah dahi yang masih berdengkur.

Dalam suasana yang agak tenang itu, datuk menoleh ke arah saya dan pemandu.

"Nasib kami tidak baik, semasa bot mahu rapat ke pantai Batu Uban untuk menyerahkan kretek pada kaki di Penang, kami diserbu polis laut Malaysia, dua orang kawan kami yang jadi ketua penyeludupan lepas lari, kami berdua masuk perangkap pihak berkuasa Malaysia," lelaki yang berkulit agak gelap mengambil inisiatif menyambung cerita, bila menyedari yang Pak Habib tidak mahu membuka mulut.

"Lepas keluar penjara kamu ke mana?"

Dari jauh datuk campur tangan. Anak mata kedua-dua lelaki itu segera beralih pada datuk. Pak Habib tersenyum.

"Jawablah."

Pak Habib keluarkan arahan untuk bekas pekerjanya. Mungkin merasa kurang enak dengan campur tangan datuk.

Tetapi, tidak berani meluahkan rasa kurang senang itu pada Pak Habib atau datuk. Mereka saling berpandangan dalam usaha mencari keputusan.

"Jawab soalan sahabat saya," keras semacam suara Pak Habib.

"Lepas keluar penjara kami di hantar balik ke Medan, macam-macam kerja kami buat, termasuk ambil upah pukul orang. Suatu hari kami berdua dibelasah dengan teruk dan dicampak ke dalam sungai Deli," lelaki berwajah separuh bulat menyingkap kisah lalu.

"Kemudian..." datuk tidak meneruskan kata.

"Umur kami panjang, kami tak mati, bila pulih dari sakit kena belasah, kami pergi menuntut ilmu kebatinan hitam di kawasan perkampungan orang-orang KUBU," sambung lelaki berwajah separuh bulat dalam keadaan terketar-ketar.

NAFAS

Datuk menarik nafas panjang mendengar penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut.

Dalam hati datuk membuat kesimpulan, apa yang berlaku memang sudah dirancang sekian lama. Bukan sehari dua gerak geri Pak Habib diekori oleh mereka.

"Boleh saya cakap sikit."

Datuk minta izin dari Pak Habib.

"Silakan sahabat."

"Setelah kamu merasakan ilmu yang di tuntut cukup kuat, kamu berdua mahu melakukan apa saja kejahatan, asalkan kamu berdua senang. Betul tak?"

Satu pertanyaan dalam bentuk soalan datuk kemukakan kedua-dua lelaki berkenaan. Ternyata, Pak Habib merestui apa yang datuk lakukan.

Malangnya, kedua-dua lelaki itu tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap pertanyaan datuk.

"Kamu berdua sudah lama mahu mengkhianati bekas majikan kamu. Aku yakin kamu mahu menculiknya dan kemudian menuntut wang tebusan dari keluarganya. Jawab pertanyaan saya betul atau tidak?" Datuk terus berhujah.

Kedua-dua lelaki itu tetap macam tadi, tunduk membisu. Tidak berani menentang muka Pak Habib dan datuk.

"Katakan apakah cakap sahabat saya itu betul atau salah. Berterus-terang adalah satu perbuatan yang baik dan mengaku bersalah atas perkara buruk yang kita lakukan adalah amalan yang terpuji," Pak Habib memujuk penuh diplomasi.

Keadaan tetap tidak berubah, kedua-dua lelaki jahanam itu terus membisu, terus tunduk merenung permukaan tanah.

Suasana malam terus bergerak, membekalkan rasa dingin bersama nyanyian cengkerik. Nyamuk-nyamuk terus berpesta. Lelaki berdarah dahi tetap berdengkur.

Suara musang liar, suara anjing liar yaqng berselang seli dengan nyayian pungguk terus menyumbat lubang telinga.

Sesekali terasa seram, bila melihat pohon-pohon besar bergerak sendiri, sedangkan angin kuat tidak berlegar di sekitar saya.

Sungguh membosankan bila si pemandu yang berada di sebelah sering merungut, dia bagaikan nampak tengkorak manusia bergolek ke arahnya.

Bila direnung atau mahu dipegang tengkorak manusia bertukar menjadi katak besar dan terus melompat kepangkal pokok dan hilang di celah-celah akar pokok tersebut.

CEMAS

Hal-hal begini memang mencemaskan tetapi, apakan daya saya dan pemandu tidak mempunyai kuasa untuk memaksa datuk dan Pak Habib, supaya segera keluar dari suasana yang serba mencengkam, serba menggerunkan.

"Bagaimana? Berikan jawapan segera atau menerima habuan dari aku," lantang sekali suara datuk.

Sepasang jari-jemarinya diramas-ramas dan dikepal berkali-kali.

Pak Habib segera membisikkan sesuatu ke telinga datuk.

Perubahan segera terjadi, datuk yang tadi kelihatan agak keras dan kasar mula nampak berlembut. Datuk segera menjauhkan diri dari kedua-dua lelaki yang berdiri kaku.

"Jangan sampai sahabat saya marah, kalau dia sudah marah saya tidak boleh membantu kamu. Cakap saja hal yang benar, habis cerita," Pak Habib memujuk.

Kedua-dua lelaki itu memberikan tindak balas yang positif. Mula berani angkat muka, renung wajah Pak Habib. Mula berani menggerakkan sepasang tangan.

"Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat Tuan, kami memang mahu menculik tuan untuk di jadikan tebusan, malah kami bersedia membunuh tuan, kalau hajat kami tak ditunaikan oleh keluarga tuan."

"Hummmm..." Pak Habib menarik nafas dalam-dalam, sepasang anak matanya ditujukan ke muka lelaki yang berkulit agak gelap.

"Benarkah cakap kawan kamu ini?" Tanya Pak Habib.

"Benar," jawab lelaki berkulit agak gelap itu.

"Kamu berdua minta bantuan dia," sampuk lelaki berwajah separuh bulat.

Jari telunjuknya menunding kearah lelaki berdarah dahi yang berdengkur.

"Kenapa dengan dia?" Tanya Pak Habib.

"Dialah yang memberitahu kami yang tuan melalui jalan ini balik ke Medan. Dia ikut rombongan yang menghantar jenazah," sambung lelaki berwajah separuh bulat dengan tenang.

PENJELASAN

Mendengar penjelasan lelaki berkenaan, Pak Habib terdiam. Memang dia tidak menyangka dalam rombongan menghantar jenazah ke Pengkalan Berandar siang tadi, ada orang rela dirinya dijadikan seperti kata pepatah, musang berbulu ayam.

Datuk yang mendengar dialog antara Pak Habib dengan kedua-dua lelaki jahanam itu hanya mampu menepuk dahi dan menggeleng-gelengkan kepala saja.

Pak Habib terpaksa membayar dengan harga yang mahal terhadap kebajikan yang dilakukannya.

"Maafkan kami Tuan."

Kedua-dua lelaki itu bersuara serentak. Tanpa membuang waktu terussujud di kaki Pak Habib.

"Ampun dan maafkan kami Tuan," mereka terus merayu.

Pak Habib termenung sejenak. Setelah menarik nafas panjang-panjang, dia merenung ke langit.

"Aku maafkan kamu berdua."

Kedua-dua lelaki itu mengalami rasa terkejut yang luar biasa. Mereka berpandangan sama sendiri. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

"Maafkan kami Tuan Besar."

"Usah ragu, memang aku maafkan kamu berdua. Kalau kamu memerlukan wang ringgit atau apa saja pertolongan datang jumpa aku. Lagipun kamu dah tahu di mana aku duduk."

"Hahahaa..." mulut lelaki berwajah separuh bulat terlopong. Begitu juga dengan kawannya. Mereka termanggu-manggu. Mereka bagaikan antara percaya dengan tidak kata-kata itu lahir dari mulut orang yang mereka aniayai atau khianati.

Serentak kedua-dua lelaki yang dilambung kegembiraan itu merenung anak mata hitam Pak Habib.

Pada saat itu mereka merasakan anak mata Pak Habib memancarkan cahaya berkilauan membuat pandangan mereka gelap. Urat-urat di kepala terasa tegang. Kedua-dua jatuh lembik atas tanah.

Pak Habib menjatuhkan hujung serbannya ke atas dahi kedua-dua lelaki itu buat beberapa saat.

Kedua-dua lelaki itu tersedar dan mengulangi perkataan: Maafkan kami untuk beberapa kali. Dalam masa yang sama lelaki berdarah dahi berhenti berdengkur.

Lelaki berdarah dahi tergesa-gesa bangun, terburu-buru pula manggabungkan diri dengan dua orang lelaki jahanam lalu mengucapkan: "Maafkan kami, tuan besar."

Tiga manusia bergabung mengucapkan serangkai kata yang nada suaranya, sekejap meninggi sekejap menurun.

Tiga suara berpadu menguasai keadaan sekitar. Menenggelamkan bunyi suara tunggas dan haiwan. Tiga suara seirama itu ternyata memberikan sedikit hiburan kepada saya, mengusir rasa takut dan cemas.

"Bagaimana Tamar?"

Suara cemas di pemandu menolak gegendang telinga saya di saat dingin malam kian mencengkam.

Awan dilangit yang melindungi bulan, mula menyingkir ke tpi memberikan laluan untuk bulan menebarkan cahayanya ke permukaan bumi. Sinaran bulan itu jatuh ke wajah datuk, ke wajah Pak Habib dan apa saja yang ada di sekitar kami.

"Bagaimana Tamar?" Ulang si pemandu.

"Bagaimana apa?"

"Wajarkah mereka bertiga dibiarkan begitu, bercakap tak henti-henti."

"Kau dan aku hanya tengok saja," balas saya.

Si pemandu menarik nafas panjang. Bulan di langit kian ghairah mengembangkan sinarnya, keadaan sekitar terang seperti siang. Maklumlah, bulan mengambang penuh.

AWAL

Pada peringkat awal, Pak Habib tidak kisah dengan perangai ketiga-tiga lelaki itu. Pada sangkaannya perbuatan itu adalah perbuatan biasa.

Orang yang merasakan dirinya bersalah, tidak segan-segan melakukan apa saja asalkan perbuatannya diampunkan, demikian fikir Pak Habib.

Bila ketiga-tiga lelaki itu tidak memperlihatkan tanda-tanda mahu berhenti. Malah makin lama, makin kuat dan rancak mereka menyebut perkataan "Maafkan kami tuan besar," seperti kerasukan.

Semua yang berlaku di depan mata, membuat datuk dan Pak Habib tidak senang hati.

Kalau tadi mereka mengucapkan kata-kata tersebut dalam keadaan berdiri dan memeluk tubuh. Tidak bergerak ke mana-mana.

Tetapi, keadaan segera berubah mereka yang tadi tidak bermaya sekarang sudah bertenaga.

Malah, datuk dapat mengesan yang ketiga-tiga manusia itu mula mahu bertindak agresif.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, Datuk terus mendekati Pak Habib.

"Ada sesuatu yang tak kena, mesti diatasi sebelum keadaan menjadi lebih parah."

"Aku juga berfikir macam itu," Pak Habib menganguk dan mencadangkan supaya datuk melakukan sesuatu.

Datuk menolak saranan itu dan sebaliknya menyuruh Pak Habib yang melakukannya.

Alasan datuk amat mudah sekali, ketiga-tiga orang yang terbabit ialah orang tempatan. Dua daripadanya bekas pekerjanya sendiri. Andainya, usaha Pak Habib gagal berulah datuk masuk gelanggang.

"Satu alasan yang baik dan masuk di akal."

MENDAKAP

Dengan tenang Pak Habib meletakkan telapak tangan kirinya keatas bahu datuk. Dengan penuh keyakinan datuk mendakap telapak tangan tersebut dan menjatuhkannya ke bawah.

Mereka saling bertukar pandangan saling menyimpulkan sebuah keyakinan.

"Saya mulakan," suara Pak Habib bergetar.

Datuk anggukkan kepala. Setuju.

Setelah membaca beberapa potongan ayat yang dipetik dari Al-Quran. Pak Habib melagakan kedua-dua belah telapak tangannya berkali-kali.

Kemudian dihembusnya tiga kali berturut-turut yang disertai dengan membaca Al-fatihah.

Kemuncak dari usaha itu, Pak Habib menepuk tangan hingga melahirkan bunyi yang kuat, macam bunyi senapang kampung berlaras satu.

Sebaik saja bunyi itu hilang, Pak Habib terus menjerit dengan kuat sambil berkata: AKU MAAFKAN KAMU SEMUA.

Suara ketiga-tiga lelaki jahanam itu terhenti. Pergerakan anggota mereka yang tadi rancak terus kaku. Ketiga-tiganya berdiri tegak merenung ke satu arah, macam patung di tugu kebangsaan.

"Sekarang kamu bertiga boleh keluar dari sini. Kalau susah, datang jumpa aku," suara Pak Habib dalam nada yang sederhana tinggi.

Anehnya, ketiga-tiga lelaki itu masih ragu-ragu untuk melangkah.

"Silakan, keluar."

Ketiga-tiganya mengangguk kearah Pak Habib yang memberikan laluan.

Disaat ketiga-tiga manusia jahanam mahu melangkah menuju ke arah lorong kecil yang menuju ke jalanraya datuk segera menghalang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 244/284

BACA: SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Puasa merupakan ibadah yang bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam, malah turut wujud dalam tradisi agama-agama lain seperti Yahudi dan Kristian yang dikenali sebagai Ahli Kitab.

Walaupun tujuan asasnya hampir sama iaitu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mengawal hawa nafsu, terdapat beberapa perbezaan ketara dari segi konsep, hukum dan pelaksanaan antara puasa umat Islam dan Ahli Kitab.

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan tersebut secara jelas dari sudut sejarah, amalan dan tujuan ibadah.

Maksud Puasa Dalam Islam

Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, disertai dengan niat kerana Allah SWT.

Puasa wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)

Tujuan utama puasa dalam Islam ialah:
  • Meningkatkan ketakwaan.
  • Melatih kesabaran.
  • Membersihkan jiwa.
  • Mengawal nafsu dan keinginan.
  • Puasa Dalam Kalangan Ahli Kitab.

Puasa juga diamalkan dalam agama Yahudi dan Kristian, namun bentuk pelaksanaannya berbeza mengikut mazhab dan tradisi masing-masing.

1. Puasa Dalam Agama Yahudi

Dalam agama Yahudi, puasa yang paling terkenal ialah Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa). Penganut Yahudi berpuasa selama kira-kira 25 jam tanpa makan dan minum sebagai tanda penyesalan dan permohonan keampunan.

Selain itu, terdapat juga beberapa hari puasa lain yang berkaitan dengan peristiwa sejarah mereka.

2. Puasa Dalam Agama Kristian

Dalam Kristian, puasa biasanya dikaitkan dengan tempoh Lent, iaitu 40 hari sebelum perayaan Easter.

Namun, kebanyakan penganut Kristian tidak berpuasa sepenuhnya seperti dalam Islam, sebaliknya:
  • Mengurangkan jenis makanan tertentu.
  • Tidak makan daging pada hari tertentu.
  • Mengorbankan sesuatu kesukaan sebagai latihan rohani.

Perbezaan Utama Puasa Islam dan Ahli Kitab

1. Tempoh Masa Puasa
  • Islam: Dari fajar hingga matahari terbenam setiap hari sepanjang Ramadan.
  • Ahli Kitab: Tempoh puasa berbeza-beza, ada yang hanya sehari atau sekadar pantang makanan tertentu.

2. Hukum dan Kewajipan
  • Islam: Puasa Ramadan adalah wajib bagi Muslim yang cukup syarat.
  • Ahli Kitab: Kebanyakannya bersifat pilihan atau amalan keagamaan tertentu sahaja.

3. Cara Pelaksanaan
  • Islam: Tidak makan, minum dan menahan diri daripada perkara membatalkan puasa.
  • Kristian: Lebih kepada pengurangan makanan atau meninggalkan jenis makanan tertentu.
  • Yahudi: Ada puasa penuh tetapi hanya pada hari tertentu.

4. Matlamat Ibadah
  • Islam: Mencapai ketakwaan dan ketaatan kepada perintah Allah.
  • Ahli Kitab: Penebusan dosa, peringatan sejarah atau latihan kerohanian.

Persamaan Antara Puasa Islam dan Ahli Kitab

Walaupun terdapat perbezaan, beberapa persamaan tetap wujud:
  • Bertujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
  • Melatih pengawalan diri.
  • Menginsafi kesusahan golongan miskin.
  • Membersihkan jiwa dan rohani.

Ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa merupakan ibadah yang telah wujud sejak zaman nabi-nabi terdahulu.

Kesimpulan

Puasa dalam Islam dan Ahli Kitab mempunyai asas yang sama iaitu sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan, namun berbeza dari segi hukum, cara pelaksanaan dan matlamat utama.

Dalam Islam, puasa Ramadhan mempunyai sistem yang lebih tersusun dan menjadi rukun penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba

SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba

Secara lembut (sebenarnya memaksa) datuk menyuruh lelaki berdarah dahi duduk di tengah-tengah, antara datuk dan Pak Habib. Kemudian secara penuh diplomasi disuruh menjerit dengan sekuat hati, mendesak agar kedua-dua kawannya berhenti dari bertarung.

SBDJ Siri 243 Tepuk Bumi Petaka Tiba

Ternyata kali ini, agak sukar mengubah pendiriannya. Dia masih seperti tadi, mahu kedua-dua kawannya itu bertarung hingga salah seorang daripada mereka menemui maut. Sudah tentu cara itu tidak diperkenankan oleh datuk dan Pak Habib.

Hasrat lelaki berdarah dahi itu harus dihalang. Ertinya, Datuk dan Pak Habib mesti bertindak. Kalau tidak melakukan sesuatu yang berkesan, datuk dan Pak Habib tetap meniadi mangsa permainan lelaki berdarah dahi itu.

Walau apapun kerenah yang dipersembahkan oleh lelaki berdarah dahi itu, datuk dan Pak Habib tetap sabar melayaninya.

Saya yang berada jauh adakalanya naik darah dengan tingkah laku berdarah dahi. Tetapi, apakan daya saya tidak boleh masuk campur. Mesti sabar menanti hingga satu keputusan muktamad yang bijak akan dilakukan oleh Pak Habib dan datuk.

Angin malam yang bertiup agak keras membuat saya terasa dingin. Api yang memamah motorsikal terus menyala dan bergerak ke arah kiri dan kanan mengikut tiupan angin.

"Biarkan mereka berlawan sampai mati."

LETUPAN

Datuk dan Pak Habib saling berpandangan. Suara lelaki berdarah dahi kali ini, sungguh luar biasa lantangnya. Saya dan pemandu yang berada jauh dari mereka turut merasa bimbang.

Terdengar letupan kecil dari tempat motor terbakar. Segumpal bunga api terbang ke uaara.

"Biarkan mereka mati," ulang leiaki berdarah dahi.

Dia ketawa sekuat hati macam orang mabuk dan mula bertindak agak agresif sedikit. Dua lelaki yang bertarung pada pusingan kedua ini, tidak serancak tadi.

Masing-masing memperlihatkan tanda-tanda keletihan. Dan ini membuat lelaki berdarah dahi itu bertambah garang dan bersemangat.

"Biarkan-biarkan mereka jatuh mati."

Dia mula bertepuk tangan dan menari-nari, seolah-olah dalam beberapa saat lagi dia akan merayakan sebuah kemenangan besar. Dan situasi yang tidak menggembirakan ini membuat datuk resah semacam.

"Biarkan mereka tersungkur, dua-duanya pengkhianat pada kawan sendiri. Mungkir janji," lelaki berdarah dahi julang sepasang tangannya keatas.

Pak Habib menarik nafas dalam-dalam. Dia juga berada dalam suasuna yang meresahkan

Mungkin datuk sudah hilang sabar dengan karenah lelaki berdarah dahi yang agak keterlaluan. Inilah yang memaksa datuk bertindak agresif di luar dari kebiasaannya.

KETAWA

Di saat lelaki berdarah dahi ketawa gamat, datuk terus menekup mulut lelaki itu dengan telapak tangannya yang kasar dan lebar.

Buat beberapa ketika lelaki berdarah dahi tergamam. Beberapa saat berikutnya dia mula bertindak dan menggigit telapak tangan datuk. Berkerut muka datuk menahan kesakitan.

Sebelum gigitan menjadi lebih parah, datuk segera memulas leher lelaki berdarah dahi dan terus diapit kecelah ketiak. Seluruh badan lelaki berdarah dahi bergoyang dan bergerak macam ikan keli menyondol selut.

Kian kuat lelaki berdarah dahi menggerakkan badan untuk melepaskan diri, makin kuat kepalanya diapit dan ditekan ke celah ketiak. Datuk pun mengheret lelaki itu ke pangkal pokok merbau.

"Duduk disini."

Kepala lelaki itu dikeluarkan dari celah ketiak dan terus ditekan supaya duduk.

"Jangan ke mana-mana, selagi tak dapat perintah dari aku," keras dan garang suara datuk.

Entah apa ayat yang dihembuskan oleh datuk kepada lelaki berdarah dahi hingga dia tidak melawan, tidak berani tentang biji mata datuk. Menurut kata, macam kerbau dicucuk hidung.

"Duduk, kau faham tak cakap aku?"

Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

Datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat kesan gigitan dilengannya. Bila jejarinya digenggam terasa sakit. Sehelai daun pokok 'salang' segera dipetik dan dibalut pada jejari yang terasa sakit dan bengkak.

Tidak mengambil masa yang panjang. Sepuluh minit kemudian balutan daun salang itu dibuka. Rasa sakit terus hilang. Bengkak pun susut. Jari jemari boleh dibuka dan digenggam.

Sebelum melangkah ke arah Pak Habib, datuk renung lelaki berdarah dahi untuk mempastikan, apakah dia akur dengan arahan yang diberi.

Datuk menarik nafas lega, lelaki itu memang akur.

Dengan senyum datuk melangkah ke arah Pak Habib. Belum pun sampai ke tempat yang dituju, lelaki berdarah dahi terus melompat mengambil sepotong kayu di sisinya.

Datuk tidak menyedari apa yang berlaku di belakangnya. Begitu juga dengan Pak Habib yang asyik merenung ke kawasan lapang, tempat dua insan bertarung.

Dengan kayu ditangan, lelaki berdarah buka langkah silat. Tindakan selanjutnya, dia meluru kearah datuk.

"Dari belakang tuk," jerit saya.

Datuk segera berpaling, menanti kedatangan lelaki berdarah dahi dengan dada dan tangan terbuka.

"Ahhhhh..."

KAKU

Lelaki berdarah dahi berhenti melangkah. Kayu ditangan dihumban jauh-jauh. Dia berdiri kaku di depan datuk. Perlahan-lahan datuk merapatinya lalu melepaskan sebuah hembusan ke muka.

Lelaki berdarah dahi nampak lemah, jatuh perlahan-lahan di kaki datuk dan terus tidur berdengkur di situ.

"Datuk kamu hebat Tamar."

Itu komentar si pemandu setelah melihat apa yang dilakukan oleh datuk pada lelaki berdarah dahi, di depan matanya.

"Tamar! Apa kamu tidak mengambil ilmu daripadanya?" Pertanyaan si pemandu saya jawab dengan gelengan kepala yang lemah.

"Aku mahu belajar dari datuk kamu, Tamar."

"Silakan," balas saya selamba.

"Aku bukan main-main, aku serius ni."

"Siapa kata kamu main-main. Aku merestuinya."

"Hummmmmm..." si pemandu mendengus.

Saya tidak tahu, apakah dengusan yang diluahkan itu membawa maksud kecewa atau sebaliknya. Tetapi, apa yang pasti, dia amat mengagumi dengan kebolehan yang secara tidak sengaja diperlihatkan oleh datuk di depan matanya.

CAHAYA

Cahaya api dari tempat motorsikal terbakar mula beransur kurang. Kepulan asap hitam yang tebal bertukar menjadi nipis dan berwarna kelabu.

Percikan bunga api yang halus hampir tidak kelihatan sama sekali. Tiupan angin malam masih tidak berubah, tetap keras. Dan dengkur lelaki berdarah dahi makin menjadi-jadi.

Bila melihat datuk masih belum meninggalkan lelaki berdarah dahi yang masih tidur berdengkur, muncul kesangsian dalam diri kenapa datuk berbuat demikian?

"Aku harap, kamu tidak akan mengulangi perbuatan yang tidak menguntungkan diri kamu," ujar datuk pada lelaki yang masih berdengkur itu.

Beberapa saat berikutnya, datuk pun bergerak mendekati Pak Habib yang matanya tidak berkedip menonton pertarungan hidup dan mati dua manusia di tanah lapang.

"Orang yang bawa masalah sudah saya kunci," beritahu datuk pada Pak Habib yang disambut dengan senyum hambar.

"Langkah seterusnya apa kita nak buat?"

Pertanyaan Pak Habib mahukan jawapan pasti yang boleh menyelesaikan masalah tidak diundang. Tanpa kehadiran tiga manusia pengacau, sudah lama dia sampai ke Medan.

Sambil mengerutkan dahi dan kening, Pak Habib alihkan pandangan dari tanah lapang ke arah saya dan si pemandu.

Menyedari majikannya merenung ke arahnya, si pemandu segera angkat tangan. Dan lambaiannya segera dibalas.

Pak Habib ubahkan pandangan lagi, kali ini anak matanya ditumpukan kepada datuk yang berdiri di sebelahnya.

"Biar aku cuba selesaikan."

"Jangan," tahan datuk.

"Tak mengapa, aku mencuba."

Pak Habib melangkah ke tanah lapang hingga sampai ke kawasan dua manusia yang bertarung, macam lembu. Tidak merasa penat, tidak merasa sakit, walaupun sudah hampir lebih dari dua jam bergasak. Seluar baju habis koyak, badan bermandi peluh bercampur darah.

"Hai insan Islam, berhenti bergaduh sesama sendiri. Bila kamu bergaduh untungnya iblis dan memang tujuan iblis mahu menyesatkan anak Adam," lantang sekali suara Pak Habib.

Dan dua insan yang bertarung berhenti seketika. Mereka renung muka Pak Habib sebentar, kemudian bertarung kembali.

"Berhentilah," rayu Pak Habib.

"Berhentilah," rayu datuk.

Semuanya tidak diendahkan, mereka terus beradu kekuatan tanpa mempedulikan kehadiran datuk dan Pak Habib di sisi.

BERHENTI

Sungguh mengejutkan pertarungan yang rancak terhenti dengan tiba-tiba. Dua manusia yang keletihan itu merenung ke arah datuk dan Pak Habib, mereka melahirkan senyum persahabatan dan bersedia untuk memberhentikan pertarungan.

Suasana di luar dugaan itu menyebabkan datuk dan Pak Habib menarik nafas lega.

Ternyata rasa lega itu, tidak dapat bertahan lama di hati datuk dan Pak Habib, bila mereka terpandang ada sesuatu yang melintasi di atas kepala dua manusia di kawasan tanah lapang.

Bentuk dan benda yang melintasi di atas kepala kedua-dua manusia tersebut menyerupai sehelai tikar putih.

Bila lintasan tikar putih itu hilang, mereka segera mendongak ke langit untuk beberapa detik. Kemudian kedua-duanya serentak merenung ke kiri.

Semasa merenung ke kiri, sepasang cuping telinga nampak seakan-akan bergerak-gerak. Begitu juga dengan sepasang anak mata, bergerak liar ke kiri dan ke kanan.

Tindak-tanduk mereka membayangkan yang mereka menerima sesuatu arahan dari makhluk yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar.

"Ada yang mendampmgi mereka," ujar datuk pada Habib.

Pak Habib tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kata-kata yang datuk luahkan. Pak Habib tetap setia berdiri di tepi kawasan tanah lapang. Masih yakin yang kedua-dua manusia tersebut akan mendengar cakapnya.

Kedua-dua lelaki di tanah lapang merenung kearah datuk dan Pak Habib untuk kali kedua dalam keadaan yang berbeza sekejap tenang dan sekejap bergelora.

Renungan kali ini, bukan renungan persahabatan, sebaliknya sebuah renungan seteru yang penuh dengan dendam kesumat.

Pak Habib menyedari keadaan tersebut. Tetapi, dia masih bersikap lembut. Baginya, orang yang marah harus dihadapi dengan lemah lembut.

"Berhentilah bergaduh," Pak Habib merayu dan jawapan dari rayuan tersebut, sungguh diluar dugaan. Berlaku satu letupan kecil, betul-betul di depan tempat Pak Habib dan datuk berdiri. Kayu dan tanah berterbangan.

DEBAR

Ketul-ketul tanah yang halus bertebaran, berjatuhan atas bahu Pak Habib dan datuk. Semuanya itu, tidak mematahkan semangat Pak Habib dan datuk.

Mereka tetap berpegang pada konsep, berlembut, bertolak ansur dan timbang rasa adalah pintu kedamaian yang baik. Penyelesaian masalah tidak akan masuk ikut pintu kekerasan.

Berlandaskan pada konsep tersebut, mereka (datuk dan Pak Habib} terus memujuk dan merayu.

"Kenapa memusuhi kami yang mahu membawa kamu pada jalan kebaikan," kali ini nada suara Pak Habib agak keras sedikit.

Dua lelaki di tanah lapang renung ke arah langit seketika seolah-olah mencari sesuatu. Dan angin malam kian terasa dingin, sayup-sayup terdengar bunyi deruan kenderaan bersama lolonan anjing yang memanjang.

"Kamu berdua, sesama Islam. Kenapa berkelahi, berhentilah."

Datuk tunjukkan kata-kata itu pada salah seorang lelaki di tanah lapang yang kelihatan amat letih sekali.

Sungguh mendebarkan. Kata-kata datuk dijawab oleh lelaki itu dengan jelingan biji mata yang merah menyala.

Dengan rasa geram, sepasang tumit kakinya dihentakkan dipermukaan bumi. Dengan serta merta muncul api lalu membakar apa saja yang ada di sekitar datuk dan Pak Habib.

Satu pemandangan yang mencemaskan buat saya dan sipemandu. Rasa cemas itu tidak pula dialami oleh datuk dan Pak Habib. Mereka tenang sekali, walaupun api yang kecil sudah mula membesar dan boleh mendatangkan kecelakaan pada mereka.

Suara lolongan anjing (saya kira bukan anjing tetapi serigala) terus rancak bersama bunyi suara burung hantu.

"Bagaimana? Perlukah kita menolong?" bisik si pemandu.

"Jangan musuh menggunakan bantuan luar, orang macam kita bukan lawannya," balas saya sambil merenung ke langit.

Tidak banyak bintang yang bertaburan. Suara lolongan serigala yang panjang dan mendayu-dayu mengundang rasa seram yang bukan kepalang.

KERESAHAN

Sipemandu yang berdiri di sebelah saya, mula keresahan tidak menentu. Lelaki berdarah dahi yang tidur terus berdengkur macam bunyi suara kerbau balau menguak panjang.

"Tak usah tunjuk kehebatan kamu. Apa yang kami mahu, kamu berdua berhenti bergaduh," Pak Habib menarik nafas panjang. Bahang panas mula terasa.

"Kemudian beritahu kami, kenapa kami didera begini," sambung Pak Habib bersahaja.

Api yang dihantar secara sihir oleh salah seorang dari dua lelaki tersebut, terus memamah apa sahaja yang ada di sekeliling datuk dan Pak Habib.

Walaupun keadaan agak terdesak, Datuk tetap memastikan api yang merayap tidak akan menyambar pakaian dibadan Pak Habib dan dirinya.

"Berhentilah bergaduh."

Salah seorang dari lelaki di kawasan tanah lapang memberi jawapan pada rayuan datuk dengan membongkok lalu melepaskan penumbuk kencang ke permukaan bumi.

Serentak dengan itu terdengar bunyi ledakan yang amat kuat. Rasanya semua tumbuhan dibumi pada saat itu (pada malam itu) semuanya habis tercabut.

Bukit dan gunung habis runtuh bila gema dan ledakan itu berakhir. Api yang mengelilingi tempat datuk dan Pak Habib berdiri terus lenyap.

TERNGANGA

Datuk dan Pak Habib tergesa-gesa bangun, tidak dapat dipastikan ketika mana mereka berdua jatuh.

"Habib."

Suara datuk keras. Seekor ular besar berdiri tidak jauh dan Pak Habib dengan mulut ternganga. Ular besar itu bersedia untuk menelan Pak Habib.

"Semuanya kerja iblis, kerja sihir," datuk bersuara lantang.

Pak Habib tidak menjawab tetapi, memberikan isyarat dengan mengangkat kedua-dua belah tangannya macam orang mahu melakukan takbir. Datuk anggukkan kepala.

Perlahan-lahan Pak Habib bergerak ke kanan dua langkah. Lepas itu bergerak ke belakang dua langkah. Kerana langkahnya amat perlahan pergerakan tidak dapat dikesan oleh ular besar yang berada di depannya.

"Azan," terluah kata dari datuk.

Pak Habib anggukkan kepala. Datuk memberikan laluan agar laungan azan dilaungkan oleh Pak Habib. Dua lelaki dikawasan tanah lapang, melihat saja apa yang berlaku.

Saya dan pemandu secara tidak sengaja terpandang sesuatu yang pelik datang bergolek ke arah kami. Bila diamat-amati benda yang bergolek itu ialah bungkusan mayat. Kami jadi panik. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Tamar, jangan kelam-kabut. Tenang. Gunakan apa yang sudah aku ajarkan kepada kamu, baca ayat-ayat pilihan dari al-Ouran," tanpa menoleh ke arah saya, datuk terus mengeluarkan kata kata tersebut.

"Datuk kamu meIihat kamu dengan indera yang ke enam Tamar?" Si pemandu menyoal.

"Tak tahu, perkara semacam itu kerap aku lalui."

"Kamu cucu yang bertuah, nanti banyak ilmu yang bakal diturunkan kepada kamu."

"Usah banyak cakap kita dalam bahaya."

Syukur, ungkapan yang saya luahkan itu berjaya menutup mulut pemandu.

Walaupun demikian, dia tetap resah. Benda putih yang bergolek itu kian menghampiri kami. Surah yang saya baca jadi tidak tentu.

Saya memberitahu pemandu, sekiranya benda bulat itu menghampiri saya dalam jarak yang amat dekat akan saya tendang.

BANTAH

Si pemandu membantah rancangan saya. Dalam masa berbincang-bincang itu, benda putih yang bergolek terus hilang.

Laungan azan mula bergema dalam hutan kecil dimalam yang kian dingin. Suara azan itu menenggelamkan bunyi lolongan serigala dan bunyi burung hantu. Malah, angin yang bertiup terhenti sama sekali.

Sebaik saja laungan azan berhenti, dua lelaki di tanah lapang rebah di bumi. Bergolek-golek macam menahan rasa sakit yang amat kuat. Lebih dari lima belas mimt mereka berkeadaan demikian. Kemudian mereka terbujur kaku. Tidak bergerak.

Dan hujung ibu jari kaki kiri kedua-dua lelaki tersebut, asap nipis keluar, seluruh kawasan dikuasai bau kemenyan naik meninggi, bertukar menjadi hitam tebal lalu membentuk lembaga tinggi besar menyerupai raksasa. Bebayang itu, makin lama makin menipis dan akhirnya hilang.

Serentak dengan kehilangan kedua-dua bebayang itu. Dua lelaki yang terbaring terus bangun terkapai.

Datuk segera mendekatinya lalu membacakan beberapa potong ayat pilihan untuk menghalau iblis. Selesai saja ayat-ayat itu dibacakan, kedua-dua lelaki itu termanggu-manggu macam baru tersedar dari mimpi yang mengerikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 243/284

BACA: SBDJ Siri 242: Jasad Jadi Batang Pisang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 11, 2026

Pertaruhan Terakhir Benjamin Netanyahu: Menolak AS Ke Dalam Perang Sebelum Kemanusiaan Menang!

Pertaruhan Terakhir Benjamin Netanyahu: Menolak AS Ke Dalam Perang Sebelum Kemanusiaan Menang!

Benjamin Netanyahu telah tiba di Washington dengan satu misi yang kini tidak lagi disembunyikan oleh pengulas Israel sendiri: Untuk mendorong Amerika Syarikat memasuki peperangan!

Ini bukan spekulasi pengkritik luar. Ia merupakan penilaian serius oleh wartawan kanan Israel, sumber risikan dan bekas pegawai kerajaan mereka sendiri.

Perang AS-Israel-Iran

Lawatan tergesa-gesa Benjamin Netanyahu — yang sengaja dipercepatkan dalam jadual kerja yang luar biasa — memberi isyarat desakan panik, kerana secara jelas masa tidak memihak kepadanya, kerana saat ini diplomasi untuk mencegah peperangan dari terjadi bergerak lebih pantas daripada ruang peluang perang yang dimahukannya!

Nahum Barnea membuat perbandingan sejarah yang tajam. Pada tahun 1973, Golda Meir terbang ke Washington kerana bimbang Amerika Syarikat akan membuat perjanjian di belakang Israel. Kebimbangan itu menjadi kenyataan.

Amerika menentukan realiti pasca perang, menghalang kemenangan ketenteraan penuh Israel dan memaksa hasil strategik yang bukan di bawah kawalan Israel.

Apa yang ketika itu dirasakan sebagai penghinaan akhirnya membawa kepada perjanjian damai Mesir–Israel. Pahit pada waktu itu, manis apabila dikenang kemudian.

Kini Benjamin Netanyahu seolah-olah mengulangi detik tersebut — tetapi dengan pengaruh yang jauh lebih terhad.

Musuhnya, menurut Barnea, bukan lagi Kissinger. Sebaliknya ia adalah lingkaran dalaman Donald Trump dan Trump sendiri.

Benjamin Netanyahu bukan sekadar cuba membentuk dasar; beliau cuba mengatasi naluri Trump, asas politiknya, rakan serantau, serta kecenderungan Trump yang lebih memihak kepada rundingan berbanding perang berpanjangan. Pujian semata-mata tidak lagi mencukupi kali ini.

Benjamin Netanyahu menawarkan satu pertaruhan kepada Trump: cuba menjual satu lagi peperangan yang singkat, tegas, gemilang dan menguntungkan dari sudut politik — khususnya ketika pilihan raya pertengahan penggal Amerika semakin hampir.

Iran katanya, akan tunduk seperti Venezuela. Rejim itu didakwa lemah. Serangan akan pantas. Manfaatnya melebihi kos.

Apa yang sengaja diperkecilkan ialah harga yang telah pun dibayar. Nyawa rakyat Israel terkorban. Tubuh cedera. Harta musnah. Infrastruktur saintifik rosak. Operasi "cemerlang" sebelum ini begitu memabukkan sehingga menghapuskan ingatan terhadap kesannya.

Kini Benjamin Netanyahu meminta Trump mempercayai bahawa yang seterusnya akan lebih bersih, lebih cepat dan muktamad.

Sumber Israel sendiri mengakui pertaruhan ini mempunyai dua kemungkinan: Kegagalan akan memalukan Netanyahu; kejayaan pula akan memerangkap Trump dalam perang tanpa jalan keluar.

Di sebalik pintu tertutup, tuntutan Benjamin Netanyahu tidak lagi kabur. Menurut laporan Ma'ariv, lawatan ini berkaitan syarat yang konkrit. Israel menolak sebarang perjanjian dengan Iran yang hanya menumpukan kepada had nuklear.

Pemantauan mesti ketat tanpa ruang longgar. Garis masa mesti tegas. Sekatan mesti tidak boleh diubah semula. Perjanjian separa dianggap tidak boleh diterima kerana ia memberi ruang kepada Iran memulihkan ekonomi sambil mengekalkan kelebihan strategik.

Apa yang benar-benar menakutkan Jerusalem bukanlah diplomasi Iran — tetapi fleksibiliti Amerika.

Isyarat dari Washington amat meresahkan kelas politik Israel. Trump dilihat bersedia mempertimbangkan perjanjian nuklear yang terhad, walaupun isu lain ditangguhkan.

Israel bimbang akan berdepan situasi fait accompli: sekatan dilonggarkan, ekonomi Iran pulih dan keseimbangan serantau berubah sehingga mengurangkan dominasi Israel.

Inilah sebabnya pesawat "Wing of Zion" berlepas. Inilah sebabnya isu lain diketepikan. Ini merupakan usaha terakhir Netanyahu untuk mengubah imbangan sebelum keputusan dimuktamadkan di Washington.

Namun, Israel sendiri mengakui satu percanggahan penting. Menurut pegawai keselamatan Israel, Iran bukan lagi berada di ambang status negara nuklear selepas serangan Jun lalu. Ancaman sebenar kini ialah peluru berpandu balistik — ribuan jumlahnya, berpanduan tepat dan berjarak jauh. Keupayaan yang menjadikan hulu ledak nuklear tidak lagi perlu.

Pengakuan ini meruntuhkan naratif yang dipertahankan selama bertahun-tahun. Senjata nuklear bukan lagi ancaman utama; peluru berpandu adalah ancaman sebenar. Dan peluru berpandu inilah yang Iran enggan lepaskan, kerana menyerahkannya bermaksud bunuh diri dari sudut strategik.

Malah Benjamin Netanyahu sendiri mengakui ketidaktentuan, walaupun koordinasi Israel–Amerika berada pada tahap luar biasa, beliau memberitahu ahli parlimen secara langsung: "Saya tidak tahu apa yang Trump akan lakukan pada akhirnya."

Israel tetap membuat persiapan. Hezbollah dilihat sebagai pelan kontingensi. Sumber ketenteraan Israel secara terbuka menggambarkan perang seterusnya sebagai bersifat eksistensial — bukan sahaja untuk Israel, tetapi juga untuk Hezbollah.

Jika Iran tumbang, Hezbollah turut runtuh. Realiti ini menjadikan pengekangan sukar berlaku. Perang yang lebih besar bukan lagi risiko — tetapi jangkaan.

Apabila segala retorik diketepikan, gambaran yang tinggal amat jelas: Benjamin Netanyahu sedang berlumba dengan diplomasi, sejarah dan tekanan politik domestik. Beliau cuba mengikat Amerika Syarikat ke dalam peperangan sebelum rundingan menutup pintu tersebut. Bukan kerana perang tidak dapat dielakkan — tetapi kerana keamanan akan menamatkan kelebihan politiknya.

Ini bukan keyakinan strategik.
Ini adalah keputusasaan strategik.
Dan Washington mengetahuinya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com