Saturday, March 04, 2023

SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher

SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher

Semasa azan subuh dilaungkan dari sebuah masjid berdekatan, keadaan diri Jaafar beransur pulih. Dapat tidur dengan lena. Tetapi, Masron tidak bersedia untuk meninggalkan Jaafar sendirian. Masron bimbang semasa ketiadaannya nanti akan berlaku perkara yang tidak diingini terhadap sahabat karibnya itu.

Toyol jadi-jadian


Demi persahabatan, Masron rela menutup kedai perabutnya selama sehari. Dia melupakan temujanji yang dibuatnya dengan beberapa orang pelanggan.

Pada hemat Masron, biar hilang pelanggan jangan hilang sahabat. Pelanggan boleh di cari tetapi, nilai kesetiaan seorang sahabat memang tiada taranya.

Masron tahu, tidak kurang dari tiga atau empat orang pelanggan akan menemuinya. Mereka datang dari Singapura dan Melaka. Jaafar terus berdengkur dan Masron tetap berada di sisinya.

Bagi menghilangkan rasa sunyi dan bosan dia membaca surah yassin beberapa kali. Bila terasa penat dia membelek-belek masalah terbitan dari Singapura.

Lebih kurang pukul lapan pagi, Jaafar terjaga dan terus duduk. Bagi memastikan yang sakit itu sudah pulih, Masron menyuruh Jaafar melakukan gerakan leher yang diakhiri dengan senaman ringkas.

Arahan itu dipatuhi oleh Jaafar dengan penuh semangat hingga badannya berpeluh. Masron senang hati melihat peluh melilih di dahi dan tubuh Jaafar. Semuanya itu menandakan yang Jaafar sudah cukup sihat.

Sebelum membenarkan Jaafar masuk kebilik air (mandi), Masron memeriksa setiap sendi tubuh Jaafar dengan menggunakan rotan seni. Hujung rotan yang disimpul itu diketuk berkali-kali di tempurung lutut, hujung siku, sendi bahu dan buku lali.

Setiap kali ketukan dilakukan kelopak bibir Masron bergerak. Ada sesuatu yang dibacanya, entah doa, entah jampi mentera yang bertujuan menghalau hantu syaitan.

Bila Masron yakin yang Jaafar bebas dari penyakit, barulah dia membenarkan Jaafar masuk ke dalam bilik air untuk mandi.

Sementara Jaafar mandi, Masron menyediakan sarapan pagi. Rebus dua biji telur dan kopi tanpa gula.

Lebih kurang pukul sepuluh, Jaafar memberitahu Masron yang keadaan dirinya sudah pulih seperti sediakala. Boleh bergerak dengan bebas, seluruh tubuhnya terasa sakit atau sengal-sengal.

Masron segera menyampaikan hasrat hatinya untuk membawa Jaafar menemui seorang bomoh terkenal di daerah tersebut. Niat baik Masron itu tidak dapat dipenuhi oleh Jaafar. Masron tidak berkecil hati atas penolakan itu.

Namun hati kecilnya tetap berkata bahawa di dalam tubuh Jaafar terdapat sesuatu benda ghaib. Sudah seminggu keajadian aneh yang dialami oleh Jaafar berlalu. Tidak ada tanda-tanda penyakit itu akan lagi.

Perkara ini, amat mengembirakan hati Masron. Walaupun begitu, dia tetap meneliti perkembangan diri kawannya itu dari masa ke semasa.

Masuk minggu yang ketiga, Jaafar mengadu kepada Masron bahagian tepi leher sebelah kiri terasa sakit, macam dicucuk-cucuk dengan benda tajam yang halus.

Berbekalkan ilmu perubatan tradisional yang dibawa dari Tanah Jawa, Masron cuba mengubatinya dengan cara kebatinan. Rasa sakit itu hilang sebentar, kemudian datang semula.

DOKTOR

Jaafar mengambil keputusan untuk menemui doktor bagi mengatasi masalah penyakit yang dihadapinya. Masron tidak melarangnya malah dia mengatakan kalaucara moden tidak bcrjaya, eloklah dibuat cara lain.

Setelah berkali-kali menemui doktor punca penyakit tidak dapat di kesan. Doktor membuat kesimpulan Jaafar tidak mengalami sebarang penyakit. Apa yang dialami ialah beban psikologi atau kewajipan.

Keadaan Jaafar bertambah berat, setiap hari Jaafar mengalami rasa sakit di leher. Rasa sakit itu datang tidak tentu waktu.

Sebagai sahabat, tanpa rasa jemu dan putus asa Masron terus memujuk Jaafar agar berubat cara tradisional. Usaha Masron tidak sia-sia, Jaafar setuju berubat cara tradisional. Masron pun membawa Jaafar menemui bomoh yang dikatakan handal menyembuh penyakit.

Malangnya, setelah melihat keadaan penyakit yang dialami oleh Jaafar, bomoh itu segera angkat tangan. Dia tidak mampu menanganinya. Kalau diteruskan, mungkin dia mengalami sakit yang lebih teruk dari Jaafar.

"Kesudahannya bagaimana Pak haji," tanya Andi Kamarool bila melihat Haji Basilam bagaikan tidak berminat untuk meneruskan ceritanya.

"Habis macamana Jaafar boleh baik hingga boleh buka warung makan?" saya pula menyoal.

Haji Basilam tidak memberi sebarang reaksi. Sisa kopi yang masih ada di cawan dihirupnya.

"Bomoh tu, suruh Masron jumpa seseorang dan orang itu akan membawa Masron dan Jaafar menemui seorang lelaki yang boleh dikatakan alim juga, bersedia berikhtiar membantu orang yang menderita sakit," saya dan Andi Kamarool berbalas senyum. Haji Basilam mahu bercerita.

"Agaknya, orang yang dimaksudkan oleh bomoh tu, Pak Haji?" Andi Kamarool main serkap jarang. Senyum terpamer di kelopak bibir Haji Basilam.

"Betul," angguk Haji Basilam.

"Orang alim yang dimaksudkan tu siapa?" Saya mencelah.

"Bapa saudara Abu Zaharin, Haji Simpul."

"Ha....," kata kami serentak.

Haji Basilam ketawa kecil sambil menjentik badan cawan dengan jari telunjuk. Jaafar masuk ke bilik khas mengambil bungkusan gula dan teh, macam tadi juga, sebelum keluar dia menghadiahkan senyum untuk kami.

"Datuk kamu Tamar kenal dengannya. Haji Simpul beritahu aku. Datuk kamu bukan calang-calang orang."

"Lupakan tentang tu Pak Haji. kami mahu dengar cerita tentang Jaafar sampai habis," saya memintas.

Haji Basilam tidak kecil hati dengan tindakan saya itu. Haji Basilam menyambung cerita yang terputus, setelah mendapat maklumat terperinci dari bomoh tersebut, Masron mula mencari orang perantaraan yang boleh membawa dia menemui orang yang dikatakan alim itu.

Setelah puas bertanya di sana-sini, akhirnya Masron bertemu dengan Haji Basilam.

Haji Basilam masih ingat lagi macamana Masron bersama seorang kawannya menunggu dia selesai sembahyang zuhur dimasjid Pekan Baru.

Sebaik saja keluar dari masjid, Masron segera menerkam ke arah Haji Basilam. Masron menceritakan tujuan sebenar dia mahu menemui Haji Basilam. Masron menyebut nama bomoh yang menyuruh dia mencari Haji Basilam.

Setelah mempastikan cerita dari Masron itu benar, Haji Basilam bersedia membantu tetapi, dengan syarat, dia harus membawa Haji Basilam menemui Jaafar dan mengadakan dialog singkat dengannya.

Haji Basilam mendapati tahap penyakit Jaafar berada di paras bahaya dan mesti ditolong dengan segera. Dua hari kemudian, Haji Basilam bersama Masron membawa Jaafar menemui Haji Simpul.

Masron dan Jaafar agak terkejut kerana kedatangan mereka bagaikan sudah diketahui oleh Haji Simpul.

Buktinya, Haji Simpul sudah menyediakan tikar mengkuang tiga wama putih, merah dan biru untuk Jaafar duduk atau baring semasa menjalani rawatan.

TELAPAK

Setelah melihat telapak tangan Jaafar kiri dan kanan berkali- kali, haji Simpul menyuruh Haji Basilam mencari dedaun di belakang rumah.

Haji Basilam yang sudah faham daun apa yang sudah faham daun apa yang harus diambil dapat menjalankan tugasnya dengan pantas sekali. Dedaun yang dipetik itu dimasukkan ke dalam mangkuk putih.

Kemudian, Haji Simpul menyuruh Haji Basilam mengambil air telaga. Air telaga itu dituangkan ke dalam mangkuk putih yang berisikan dedaun ramuan.

Beberapa minit kemudian dia merenung ke arah Jaafar duduk bersila di atas tikar mengkuang tiga warna. Bahu kanan Jaafar dipegangnya dengan kemas.

Setelah Jaafar mengeluarkan keluhan yang panjang, Haji Simpul berhenti memegang bahunya. Kali ini. Haji Simpul beralih pada mangkuk putih. Seluruh perhatian ditumpukan kepada bahan ramuan yang berada dalam perut mangkuk.

Dalam keadaan mata separuh pejam, mulut Haji Simpul bergerak macam membaca sesuatu. Perkara ini berlangsung hampir lima minit. Masron dan Haji Basilam hanya melihat saja.

Bila kelopak bibimya berhenti bergerak, Jaafar yang duduk di tikar mengkuang tiga warna direnung dipanggil agar mendekatinya. Dengan dua belah tapak tangannya, Haji Simpul meraup ramuan dalam mangkuk putih dan diusap ke leher Jaafar tiga kali berturut-turut.

Dari tepi leher Jaafar keluar benda runcing yang menyerupai tulang. Benda itu segera dipungut oleh Haji Simpul lalu bungkus dengan kain putih.

"Kamu tahu tulang apa yang keluar dari tepi leher Jaafar tu?" Haji Basilam renung muak saya dan Andi Kamarool.

"Tak tahu pak haji," jawab kami serentak.

"Itulah tulang ikan pari. Haji Simpul menyimpannya dalam kotak kecil yang dibuat dari papan jati," kata Haji Basilam sambil merenung ke arah Jaafar yang melintasi bilik menuju ke dapur.

Haji Basilam segera memanggil Jaafar.

"Ada apa haji?"

"Aku baru menceritakan kepada budak berdua ni, perkara yang kamu alami."

"Orang dengki kerana perniagaan saya maju, saya tahu siapa orangnya tapi, orang yang mengubat saya pesan jangan balas dendam. Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran, dia tolong dengan ikhlas dan suruh saya tinggalkan pekan Baru, buat perniagaan tempat lain. Sekarang saya berniagaan di sini," jelas Jaafar dan keluar dari bilik khas.

"Bagaimana dengan Masron? Apakah dia meninggalkan Pekan Baru?" kerana yang bertanya itu Andi Kamarool, sepasang biji mata Haji Basilam tertumpu ke wajahnya.

Buat beberapa detik Haji Basilam termenung panjang, macam mengingati sesuatu.

"Iya, dia juga tinggalkan Pekan Baru. berhijrah ke Pontian, Johor, lepas itu pergi ke Singapura. Dari Singapura dia pindah lagi."

"Ke mana pula?" saya bertanya.

"Pindah ke Kuala Lumpur, berniaga di Pasar Sungai Besi tapi, duduk Kampung Malaysia. Dengar cerita dah jadi penduduk tetap," Haji Basilam terus bangun dan meninggalkan bilik khas.

Kami terus mengekorinya.

"Berapa?" Haji Basilam segera menyeluk sakunya dan mengeluarkan wang (wang rupiah) untuk membayar harga minuman.

Jaafar yang duduk tertonggok dibelakang meja, segera donggakkan muka ke arah Haji Basilam.

"Simpan duit tu."

"Ini yang susahnya, bila singgah di kedai kamu Jaafar."

"Jangan susah hati. Pertolongan susah nak saya balas."

"Hum..." Haji Basilam dan Jaafar masih mahu bercakap lagi, saya dan Andi Kamarool segera beredar ke kaki lima warung dan berdiri di situ.

"Ayuh kita teruskan perjalanan." Haji Basilam menepuk bahu saya dan dan Andi Kamarool.

Saya masih ragu-ragu untuk melangkah kerana saya tidak tahu berapa jauh jarak antara kedai Jaafar ke tempat yang mahu dituju. Kalau jauh berbatu-batu memang tidak wajar berjalan kaki dalam panas yang begini terik.

"Mari."

Haji Basilam segera menarik tangan saya dan Andi Kamarool.

"Jalan kaki?" soal saya.

"lyalah, ikut jalan pintas," sahut Haji Basilam.

Kami tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kata-kata Haji Basilam.

EPISOD

Episod menuju ke rumah atau ke kampung tempat datuk menanti pun bermula. Setelah melalui jalanraya dalam jarak enam rantai, kami melencung masuk lorong yang kecil dan sempit, berhenti di bawah pokok besar yang terdapat busut jantan setinggi berdiri. Haji Basilam memberikan kain hitam berukuran sapu tangan kepada kami.

"Tutup mata kamu dengan kain hitam tu, ikat kemas-kemas. Jangan banyak membuang masa lagi, ikatlah sekarang juga."

Tanpa banyak cakap, arahan itu segera kami patuhi. Memang tidak selesa rasanya, bila pandangan menjadi hitam gelap. Fikiran pula mula dibayangi dengan bermacam-macam perkara yang menakutkan.

Bagi menguatkan semangat dan keyakinan diri, dan Andi Kamarool saling berpegang tangan.

"Dengar sini,Tamar pegang hujung baju aku sebelah kiri. Andi pegang hujung belah kanan. Letak kaki kanan di depan, tahan nafas sambil menghitung atau mengira sampai tiga belas. Bila aku kata, dah sampai segera lepaskan hujung baju aku...."

Haji Basilam berhenti bercakap. Terdengar bunyi telapak kakinya memijak reranting dan rerumput di depan kami.

"Ingat cakap aku Tamar, Andi." Serentak kami mengangguk kepala.

Kalau tadi, kami dapat mendengar bunyi kicau burung dan deru angin. kini tiada kedengaran lagi. Kami berdepan dengan suasana sunyi sepi.

"Kamu dah dengar penerangan aku?" terdengar suara-Haji Basilam bagaikan berirama.

"Aku harap kamu berdua faham dan sudah bersedia untuk melakukannya," tambah Haji Basilam.

"Kami faham," serentak kami menjawab.

"Sudah bersedia?"

"Sudah."

"Kalau begitu, kita mulakan," suara Haji Basilam terus bergema. Arahannya segera dipatuhi.

Sebaik saja hujung bajunya dipegang, saya dapati tubuh bagaikan terangkat dan terasa seperti berada diawangan-awangan lalu bergerak kedepan dengan laju bagaikan ada kuasa yang mendorongnya, dari arah belakang.

Kedua belah cuping telinga terasa sejuk disentuh angin, lubang telinga berdengung macam rasa pekak. Ada ketikanya, saya terasa bahagian-bahagian tubuh ini bagaikan bersentuhan dengan pepucuk dan reranting kayu.

Malah sepatu getah yang dipakai terasa seperti mahu tercabut dari kaki. Saya cuba bersuara tetapi, tidak boleh berbuat demikian. Bila mulut dibuka, angin terus masuk menyebabkan saya sukar bernafas.

HASRAT

Rintangan yang dihadapi, menggagalkan hasrat hati untuk memberitahu Haji Basilam apa yang sedang saya alami. Saya tidak tahu, apakah Andi Kamarool mengalami perkara yang sama. Seperti apa yang saya alami.

Barangkali, dia juga sedang terbang macam saya. di saat mengelamun dan berfikir, saya terasa gerak laju tadi, sudah beransur perlahan dan badan mula memberat serperti mahu jatuh.

Rasa cemas dan bimbang mula bertandang, saya bimbang kalau secara mendadak saya akan terhempas ke bumi. Sudah pasti ada tulang belakang yang patah, mungkin ada daging dan tulang yang tersangkut di dahan kayu.

Dengan sedaya-upaya saya cuba mengimbangi badan. Lagi sekali saya berdepan dengan kegagalan, badan terus memberat dan sepasang telapak kaki memecah bumi. Badan saya terus berpusing macam gasing.

Hujung baju Haji Basilam terlucut dari genggaman dan saya terhumban ke permukaan bumi. Bergolek ligat dan akhimya terhenti.

Sepasang kelopak mata terbuka, saya tergolek di padang kerbau dengan rumput yang menghijau, berdekatan dengan sebatang anak sungai yang airnya amat jernih tetapi mengalir lambat kerana dihalang oleh reranting dan akar pohon yang tumbuh ditepi tebing.

Bila toleh ke kanan, saya lihat Andi Kamarool terlentang merenung langit. Sedangkan Haji Basilam berdiri tegak antara kami.

"Bangun," katanya sambil tersenyum lebar.

Saya raba cuping telinga, pangkal hidung dan batang leher. Perlahan-lahan saya mengucapkan syukur pada Allah. Andi Kamarool juga lihat saya sedang terkial-kial berusaha untuk berdiri.

"Bangun cepat," Haji Basilam sengaja meninggikan perkataan "cepat".

Ternyata taktiknya itu membuat kami melompat dan berdiri pantas. Dia tidak sekadar bercakap saja, dalam perkataan ada mentera pembakar semangat.

Dalam hembusan nafas ada iringan angin halus mengerakkan urat saraf. Itulah keistimewaan Haji Basilam, menurut hemat saya.

"Dari sini kita jalan kaki."

"Ke mana?" Tanya saya.

"Ke tempat datuk kamu menanti."

"Jauh?" Andi Kamarool minta kepastian.

NAFAS

"Tak jauh, lebih kurang empat lima rantai saja. Lepas kawasan belukar, nampaklah bumbung rumah," sambung Haji Basilam sambil melihat hujung baju sebelah kiri dan kanan yang kami paut.

"Bagus, baju aku tak koyak tapi, kamu..." sepasang anak mata hitamnya tertumpu ke arah batang hidung saya.

"Banyak syarat yang tak kamu patuhi. Akibatnya, perjalanan jadi susah."

"Maksudnya?" Saya menyoal.

"Kau tidak menghitung seperti apa yang aku suruh." Saya anggukkan kepala.

"Kamu banyak berkhayal, berbeza dengan Andi yang patuh dengan perkara yang aku suruh. Kerana masalah yang kamu timbulkan membuatkan aku tidak dapat mengeluarkan perintah seperti yang aku rencanakan. Akibatnya, kamu tidak boleh turun dengan baik, kamu jatuh. Andi turut sama tumpang susah."

Penjelasan yang diaturkan oleh Haji Basilam membuat saya menarik nafas. Jauh disudut hati, saya mengakui kebenaran dari kata-kata tersebut.

"Usah fikirkan perkara yang sudah terjadi," serentak bahu saya dan Andi Kamarool ditepuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 189/284

BACA: SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, February 20, 2023

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

Kami bersedia menyambut kedatangannya dalam serba kemungkinan. Kalau niatnya baik, kebaikan yang akan diperolehinya. Kalau niatnya jahat, jahat yang bakal diterimanya. Kami menanti penuh cemas. Dia terus melangkah ke arah kami dengan penuh keyakinan. Bila kain hitam membalut wajahnya dijatuhkan, menjadikan ramalan saya benar belaka.

Toyol jadi-jadian

Lelaki tua yang tertonggok di depan kami ialah Haji Basilam. Dulu memakai songkok, sekarang pakai serban. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan perlahan. Biji matanya dihalakan ke wajah saya.

"Kenapa tak tunggu di tempat yang dijanjikan?" cepat-cepat saya alihkan pandangan ke muka Andi Kamarool. Minta bantuan agar dia menjawab pertanyaan Haji Basilam.

"Kami terlupa, terlanjur menumpang lori Abu Zaharin, kami ajak kemari," jelas Andi Kamarool.

"Siapa suruh kamu ke mari?" Sergah Haji Basilam, gerak matanya membayangkan kekesalan.

Dia langsung tidak memberikan perhatian kepada Abu Zaharin yang berdiri disebelah Andi Kamarool.

"Bukankah Pak Haji dan datuk nak datang ke Danau Kerinci," sayacubamempertahankan tindakan yang kami lakukan memang wajar.

JARI

Mendengar kata-kata yang saya luahkan itu, Haji Basilam menggigit bibir sambil jari jemari kanannya memain hujung serban. Dia terus mengerutkan kening.

"Tapi, aku dan datuk kamu tak suruh datang ke sini. Kami suruh kamu berdua tunggu di kedai Saad mata sebelah. Lain yang disuruh lain pula yang kamu berdua buat," Haji Basilam merungut tetapi wajahnya tidak sekeruh tadi.

Sudah cerah dan boleh tersenyum kepada kami. Dengan Abu Zaharin dia masih buat tidak kisah, seolah-olah Abu Zaharin tidak wujud.

"Hairan juga Pak Haji bagaikan tahu kami ada dalam lori," begitulah, berdasarkan riak wajah Andi Kamarool cuba memberanikan diri menyoal Haji Basilam.

Pertanyaan yang diajukan itu tidak dijawab oleh Haji Basilam.

Entah mengapa, secara mengejut saja dia tumpukan perhatian kepada Abu Zaharin lalu menghadiahkan senyum persahabatan yang disambut dengan penuh kemesraan oleh Abu Zaharin.

"Maaf, saya nak bercakap dengan budak-budak ni sekejap, awak tunggu di sini."

"Silakan," balas Abu Zaharin.

Dengan tergesa-gesa Haji Basilam menarik tangan saya dan Andi Kamarool ke belakang lori kecil. Kali ini secara terang-terangan Haji Basilam melepaskan ledakan kemarahan untuk kami.

Haji Basilam meningatkan kami supaya berpegang teguh kepada janji dan jangan mengulangi perbuatan yang boleh merisaukan hati orang lain. Apa yang terdaya saya dan Andi Kamarool lakukan ialah mohon maaf padanya.

"Kami tak niat nak susahkan pak haji," nada suara saya lemah.

"Sebaik saja aku sampai ke kedai Saad mata sebelah, aku tengok kamu berdua tak ada. Seluruh anggota sendi aku lemah, bila Saad mata sebelah beritahu dia nampak dua orang budak lelaki naik lori kecil, kepala merah," penuh perasaan Haji Basilam bercerita. Mulut kami berdua terlopong mendengarnya.

"Dia beri nombor lori dan arah mana lori itu pergi, aku pinjam motosikalnya, kejar kamu berdua " tambah Haji Basilam lalu kami sambut dengan ketawa dan ketawa kami berhenti dengan serta merta bila Haji Basilam menjengilkan biji matanya kepada kami.

"Sepatutnya kawan pak haji itu panggil kami," Andi Kamarool tersengih.

"Dia tak begitu yakin. Syukur kamu berdua selamat, aku takut kamu berdua kena colek."

Sungguh melucukan andaian Haji Basilam tetapi, kami tidak berani ketawa.

"Siapa nama drebar lori yang kamu tumpang tu?" Anak matanya terdampar ke wajah Andi Kamarool. Andi Kamarool pula menghalakan pandangannya kepada saya.

"Abu Zaharin, anak saudara Haji Simpul. Dia yang suruh kami naik lori ni, dia juga beritahu kami yang Haji Basilam dan datuk berada di salah sebuah kampung dekat Danau Kerinci," kata saya.

Air muka Haji Basilam berubah. Dahi dan keningnya berkedut. Tanpa berkata apa-apa Haji Basilam meninggalkan kami. Tindakan itu. sudah pasti mengejutkan saya dan Andi Kamarool.

Rupa-rupanya Haji Basilam menerkam ke arah Abu Zaharin yang sudah berada dalam lori kecil. Kami lihat mereka bercakap sebentar. Tidak lama kemudian Abu Zaharin melompat turun dari lori.

Haji Basilam menepuk bahu Abu Zaharin mereka berpelukan penuh mesra. Kemudian serentak mereka melangkah menghampiri kami.

"Bapa saudaranya Haji Simpul aku kenal. Kawan rapat ayah si Mia. Kenapa kamu berdua tak beritahu aku," cukup lantang suara Haji Basilam. Abu Zaharin tersengih. mereka masih berpelukan.

"Kalaulah aku tahu, kamu berdua naik lori anak saudara Haji Simpul memanglah aku tidak bimbang. Kamu mesti selamat," wajah Haji Simpul nampak ceria sekali.

Telapak tangan kanannya terus menepuk-nepuk bahu Abu Zaharin, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.

PELUH

Panas yang menggigit tubuh membuat bintit-bintit peluh halus menguasai dahi saya dan Andi Kamarool. Dengan hujung serban Haji Basilam menyapu peluh di dahi. Senyum Abu Zaharin bertali arus dikelopak bibir.

"Bagaimana? Boleh saya tinggalkan mereka berdua disini," Saya dan Andi Kamarool berpandangan.

Macam-macam perkara yang kurang menyenangkan timbul dalam tempurung kepala saya. Barangkali Abu Zaharin sengaja mahu mempermainkan kami. Mana mungkin kami boleh menumpang motosikal Haji Basilam.

"Sabar dulu, tunggu sekejap," tahan Haji Basilam. Kami mula merasa lega.

Di bawah sinar matahari yang kian keras itu, Abu Zaharin tatap wajah Haji Basilam dengan seribu persoalan.

"Masih memerlukan pertolongan saya lagi?"

"Sudah tentu," Haji Basilam tentang anak mata Abu Zaharin.

"Aku nak kirim motosikal ni," sambung Haji Basilam.

Abu Zaharin segera menggosok hujung hidungnya yang diruapi peluh harus.

"Nak kirim kemana pak haji?"

"Ke Sungai Penuh, hantarkan ke kedai kopi Saad mata sebelah."

Rasa hairan bermain di wajah dan dahinya kembali berkerut. Bintit-bintit peluh halus dihujung kerutan segera meleleh ke cerun pipi. Haji Basilam tahu apa yang difikirkan oleh Abu Zaharin.

"Kedainya, sebelah kanan jalan besar. Didepannya ada toko kain," kata Haji Basilam bagaikan berbisik.

"Oh, saya tahu," sahut Abu Zaharin riang.

"Kalau begitu tolong naikkan motosikal atas lori," tambahnya lalu menerkam ke arah motosikal.

Dengan penuh tenaga dia mendorong motosikal hingga ke bahagian belakan lori untuk dijadikan titian.

"Sekarang kita ramai-ramai tolak motosikal," arahan pun dikeluarkan oleh Haji Basilam. Kami segera mematuhinya.

Saya ditugaskan menolak motosikal dari belakang, Abu Zaharin menjaga bahagian depan dan handle.

Andi Kamarool menjaga bahagian tepi. Haji Basilam berdiri dalam perut lori kecil memberi arahan. Tidak sampai dua puluh minit semua urusan selesai.

"Motosikal tu mesti diikat supaya tidak jatuh bila melalui selekoh. Kamu ikatkan Tamar, ini talinya," Haji Basilam mencampakan tali belati kepada saya.

Tidak tahu dari mana dia memperolehi tali tersebut. Saya sempurnakan ikatan dengan sebaik mungkin. Bagi mempastikan sama ada ikatan itu kemas dan kuat, dua tiga kali badan motor saya goncang.

"Dah kuat tu, tak payah digoyang-goyang," tegur Andi Kamarool.

"Aku pun fikir begitu, dah cukup kuat. Lagipun aku bawa lori bukannya laju sangat," tingkah Abu Zaharin.

Saya terima semua komen yang diluahkan dengan senyum.

"Bab pertama sudah selesai," Semua biji mata tertumpu ke arah Haji Basilam yang berdiri di tengah lori kecil.

Kemudian dia melangkah dan lantas terjun dari lori. Kami juga turut berbuat demikian.

"Begini, kerana kamu mahu balik ke Sungai Penuh, kami tumpang lori kamu separuh jalan. Turunkan kami di simpang, dari situ kami berjalan ke kampung dalam. Datuk di Tamar menanti di situ."

"Boleh, tak jadi masalah. Saya boleh hantar sampai ke kaki tangga," jawab Abu Zaharin lalu masuk kedalam lori. Sudah tentu janji yang diluahkan itu membuat kami riang.

GARANG

Setelah membuat pusingan, lori kecil kepala merah berpatah balik menghala ke Sungai Penuh.

Matahari garang, Abu Zaharin nampak begitu selesa memandu, begitu juga dengan Haji Basilam cukup aman duduk di sebelah.

Saya dan Andi Kamarool sengaja memilih untuk berdiri di bahagian belakang lori. Tidak seronok rasanya duduk dekat Haji Basilam.

Lori kecil kepala merah terus bergerak lancar, kami terpaksa berpaut pada dinding lori. Rambut kami mengerbang disentuh angin dan mata mula berair, tidak boleh dibuka luas kerana pedih akibat angin.

Apa yang pasti sepanjang jalan itu, Abu Zaharin dan Haji Basilam cukup rancak bercakap.

"Oooppp...," jerit saya sambil berpaut pada dinding lori.

Ternyata saya gagal mengimbangi badan, akibatnya tubuh tersungkur atas lantai lori. Tergesa-gesa saya bangun.

"Celaka si Abu kenapa membelok macam tu," terpancut kata dari mulut.

"Salah kamu juga, sepatutnya pegang kuat-kuat dan berdiri betul," Andi Kamarool melunturkan pendapat.

Memang benar, apa yang diungkapkan itu. Saya cuai tetapi, memang dasar tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri, saya tidak mahu menerima pandangan Andi Kamarool.

MERAH

Setelah melepasi selekoh tajam, lori kecil berkepala merah mula bergerak perlahan.

Di hadapannya terbentang simpang tiga, kelihatan beberapa buah lori kecil, kereta dan motosikal berhenti di bibir jalan.

Para pemandu kenderaan tersebut menyemberang jalan menuju ke sebuah warung yang terletak di kepala simpang.

"Cukup di sini saja Abu," gegendang telinga saya dapat menangkap suara Haji Basilam dalam deru enjin lori.

Tayar lori mula melanggar rumput dan lopak tepi tepi jalan membuat tubuh saya dan Kamarool turut bergerak ke kiri dan ke kanan, mengikut pergerakan badan lori.

Akibatnya enjin lori dimatikan. Haji Basilam melompat turun.

"Turun, tunggu apa lagi."

Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari lori.

"Kita minum di kedai seberang jalan Abu."

"Terima kasih, kerana susah payah menolong budak dua orang ni, sampaikan salam saya pada Haji Simpul."

"InsyaAllah."

Lori kecil berkepala merah terus meninggalkan kami bertiga di gigi jalan. Perut mula terasa lapar. Saya mula teringat tentang nasi lemak sambal tumis ikan bilis yang dibekalkan oleh Mia untuk kami.

Haji Basilam dongak ke langit, melihat kedudukan matahari untuk beberapa minit. Kemudian dia tersenyum merenung ke arah saya dan Andi Kamarool.

"Kamu berdua lapar?"

Kami segera mengangguk.

"Mia bekalkan kamu nasi lemak sambal tumis ikan bilis."

“Iya Pak Haji, macamana Pak Haji tahu," tanya Andi Kamarool.

"Aku kenal emak bapa Mia, aku kenal keturunannya. Memang sudah jadi rasmi keluarga Mia, setiap orang luar yang baru dikenali dan bermalam di rumahnya akan dibekalkan dengan nasi lemak sambal tumis ikan bilis bersama tiga biji bertih, hujung daun pisang pembungkus nasi lemak sebelah kiri dipotong. Kalau tetamu tidak dibekalkan dengan perkara tersebut nanti SAKA menganggu, kecuali orang yang kuat ilmu batinnya."

Penjelasan Haji Basilam membuat saya dan Andi Kamarool menarik nafas serentak. Memang tidak dinafikan, saya melihat bertih dan daun pisang yang dipotong hujungnya ketika saya mahu memasukan bungkusan nasi lemak kedalam beg galas. Cara kebetulan bungkusan itu terbuka sendiri.

"Tak usah susah hati, nasi lemak tu selamat dimakan, kalau terjadi sesuatu yang tak baik aku boleh tawarkan," janji Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Kami bertiga segera melintas jalanraya menuju ke warung di kepala simpang. Kami disambut dengan ramah oleh pemilik warung yang memang kenal Haji Basilam.

Kami tidak dibenarkan duduk bersama pelanggan warungnya yang lain. Kami ditempatkan di bilik khas dan dilayan dengan sebaik mungkin.

Episod lapar yang kami alami pun berakhir. Nasi lemak yang dibekalkan oleh Mia habis masuk perut, hingga kami terlupa untuk mencari bertih dan daun pisang yang dipotong hujung.

"Haji ni berjasa besar kepada saya, dia banyak membantu, kalaulah bukan kerana usahanya, mungkin awak berdua tidak dapat singgah di kedai saya ini," pemilik warung yang berhidung besar dengan parut selebar dua inci dipipi kanan meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

"Usahlah dikenangkan perkara itu, semuanya dengan izin Allah," jawab Haji Basilam.

Pemilik warung meninggalkan kami di bilik khas. Dia meneruskan tugasnya melayani pelanggan.

"Siapa namanya Pak Haji?" saya mula mencungkil rahsia.

"Jaafar."

"Apa jasa pak haji dengannya?"

"Adalah sedikit, semuanya cara kebetulan. Datuk kamu tahu ceritanya, kau tanyalah sama dia."

"Minta maaf, saya tak berani. Sambil minum ada baiknya pak haji bercerita sambil lalu."

"Tolonglah ceritakan pak haji, kami sekadar mahu mendengarnya," rayu Andi Kamarool.

Haji Basilam meneguk kopi, matanya merenung dinding warung. Akhirnya, dia akur dengan permintaan. Haji Basilam pun mulakan ceritanya.

TINGGAM

Di daerah Sumatera, sejenis ilmu yang disebut TINGGAM masih dimanfaatkan atau digunakan bagi merosakkan (menyakiti) lawan atau orang yang tidak disenangi.

Bila TINGGAM mula berkerja (bergerak) bahagian tepi leher terasa sakit sakit yang kadangkala berpindah pindah.

Bila sakit sudah sampai pada puncaknya (kemuncaknya) dari tepi leher akan muncul jenis bisul yang kemudiannya pecah serta mengeluarkan air yang busuk baunya. Akibatnya, si pengidap penyakit dijauhi atau kurang disenangi.

"Pak haji, saya nak tanya apa makna TINGGAM tu?" tanya saya.

"Perkataan TINGGAM berasal dari Minangkabau yang bermaksud jampi-jampi untuk menjadikan seseorang itu sakit bengkak-bengkak dan bahagian dan sebagainya dengan mencucukkan duri ekor ikan pari pada gambar orang yang disakit atau pada ikan pari," jelas Haji Basilam.

"Dahsyatnya," keluh Andi Kamarool.

Selanjutnya Haji Basilam menjelaskan, TINGGAM ada bermacam-macam jenis. Tetapi yang paling popular dan sangat jahat ialah Tinggam tulang ikan pari.

Tulang yang digunakan ialah tulang yang terdapat di bahagian pangkal ekor iaitu tulang yang runcing dan tajam. Tulang itu digunakan untuk dimasukan ke tubuh musuh atau atau lawan secara ghaib.

Setelah tulang itu diambil ikan pari tersebut dilepaskan kembali ke tengah laut. Jika ikan itu masih hidup, maka tulang yang digunakan untuk tinggam tetap akan bergerak dalam tubuh orang yang dimaksudkan sehingga orang tersebut hidup menderita.

"Si Jaafar pemilik warung ni, salah seorang bekas mangsa Tinggam," bisik Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Dia memberi senyuman kepada Jaafar yang secara kebetulan masuk ke bilik khas mengambil sesuatu untuk pclanggannya.

Kerana tidak mahu cerita tentang Tinggam dan Jaafar mati begitu saja, kami berdua terus memujuk dan merayu Haji Basilam meneruskan ceritanya. Usaha kami berhasil.

Menurut Haji Basilam, Jaafar anak jati kampung Simpang merantau ke Pekan Baru yang ketika itu belum begitu maju dan penduduknya tidak seramai sekarang.

Haji Basilam tidak menyebut tahun berapa Jaafar merantau ke tempat tersebut. Di rantau orang Jaafar berkenalan dengan Marson yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah.

Perkenalan Jaafar dengan Masron terjadi secara kebetulan.

Suatu petang lebih kurang jam lima, Jaafar minum di sebuah gerai sambil menghirup teh fikirannya berperang sama sendiri. Dia tidak dapat membuat keputusan yang pasti sama ada mahu terus memperjudikan nasib di Pekan Baru atau merentas Selat Melaka menuju Melaka atau Johor.

Tiba-tiba Masron datang lalu duduk dikerusi sebelahnya, mereka memperkenalkan diri masing-masing.

Masron juga mahu mencuba nasib di Pekan Baru kemudian merancang mahu pergi ke Pontian Kecil di Johor kerana saudara sebelah ayahnya ada disitu.

Perkenalan singkat itu menghasilkan persahabatan yang kental. Mereka memutuskan untuk mencuba nasib di Pekan Baru dulu, kalau gagal baru mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

RUMAH

Masa terus berlalu, tidak terasa sudah lima tahun Jaafar dan Masron bersahabat, bagaikan adik beradik. Masing-masing sudah membuka perniagaan sendiri. Antara mereka berdua ternyata Jaafar lebih berjaya.

Pada suatu petang Jumaat, lebih kurang pukul enam, Masron datang ke rumah sewa Jaafar, mereka merancang sembahyang jemaah dan membaca Yasin.

Sebagai meraikan sahabat karib, Jaafar menyediakan makanan enak yang dimasaknya sendiri. Lepas sembahyang Isyak mereka akan makan bersama diruang tamu.

Malam itu, setelah selesai melaksanakan sembahyang Isyak, Jaafar terus ke dapur untuk mengambil makanan. Dengan tidak diduga, dia jatuh dan terus pengsan.

Di saat mahu rebah terdengar bunyi yang agak kuat di bumbung, macam ada seseorang yang membalingkan batu keatap genteng.

Masron segera memapah tubuh Jaafar, dibawa ke katil dan dibaringkan. Pertolongan cemas segera dilakukan oleh Masron. Cepat-cepat Masron mendekatinya lalu memicit-micit tubuh Jaafar.

Masron yang tahu serba sedikit petua dan pantang larang orang tua-tua, segera membuat tanggapan bahawa ada sesuatu yang tidak kena terjadi pada diri Jaafar.

Dalam rintihan kesakitan itu, Jaafar memberitahu Masron bahawa di dalam tubuhnya terasa seperti ada benda yang bergerak-gerak dan terasa mencucuk-cucuk. Hampir seluruh tubuhnya tidak dapat digerakkan.

Masron terus berada di sisi Jaafar, sepanjang malam dia tidak dapat tidur, malah makanan yang dimasak Jaafar tidak dijamahnya.

Dia terus berdoa agar penyakit aneh yang singgah di tubuh sahabatnya segera hilang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 188/284

BACA: SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, February 06, 2023

SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang

SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang

Tidak dinafikan, sedikit sebanyak kata-kata yang terhambur dari mulut pemandu lori itu, memang ada kebenarannya. Kami memang keberatan mahu menceritakan peristiwa di rumah batu dan di ladang Mia kepada sesiapa. Biarlah kejadian itu menjadi milik peribadi kami berdua.

Toyol jadi-jadian


"Aku tak percaya, kamu berdua tak mengalami perkara-perkara aneh di situ," si pemandu lori itu seperti bersunggut.

Saya dan Andi Kamarool terus membisu seribu bahasa.

Lori kecil memperlahankan lajunya. Kali ini merempuh kawasan tanah lapang. Pokok-pokok di kiri kanan jalanraya baru saja ditebang. Longgokan kayu yang sudah dipotong, kelihatan dimana-mana, menanti waktu untuk dibakar. Di hadapan kelihatan puncak gunung berbalam diselaputi awan tebal.

"Tak ada apa-apa yang mahu kami rahsiakan," kata saya selamba dan mengharapkan Abu Zaharin percaya dengan apa yang saya cakapkan.

"Masih mahu berahsia dengan aku," kali suara Abu Zaharin keras sekali.

Serentak itu dia menekan berek cara mengejut. Badan saya terdorong kedepan dan dahi berlaga dengan cermin lori. Saya kira perbuatan itu sengaja dilakukan. Tidak ada sebab kenapa, Abu Zaharin menekan berek kecemasan. Tidak ada binatang liar atau ternakan yang melintas di depan.

Sikap yang diperlihatkan oleh Abu Zaharin menimbulkan rasa sangsi dan keraguan dalam diri. Mungkin juga dalam diri Andi Kamarool.

Barangkali, Abu Zaharin panas hati kerana kami tidak mahu berterus lerang dengannya.

Selepas peristiwa yang tidak diduga terjadi, Abu Zaharin terus bungkam buat beberapa ketika.

Sesungguhnya tindak tanduk Abu Zaharin itu amat menyenangkan hati, kalau boleh, biarlah dia terus bungkam hingga dia sampai ke Sungai Penuh.

Dengan itu, saya dan Andi Kamarool terselamat dari dihujani berbagai-bagai pertanyaan yang ada hubungkaitnya dengan rumah batu Mia. Ternyata harapan dan doa saya tidak menjadi kenyataan.

"Pelik, semua orang kata kawasan rumah tu ada penunggu. Tapi, kamu berdua kata, tak ada apa-apa. Jangan-jangan kamu berdua ni, keturunan hantu pontianak tak?" Abu Zaharin mula menyindir dan dia terus ketawa berdekah-dekah.

Dia cuba membakar perasaan kami. Kami tetap bersabar dan hanya mampu mempamerkan senyum tawar sahaja.

"Saya berharap agar segera sampai ke tempat yang ditujui. Cuma dengan cara itu saja boleh menutup mulut Abu Zaharin dari bertanya perkara yang tidak saya senangi.

"Kalau kamu berdua masih mahu berahsia, tak mengapa. Tetapi, bagaimana Kalau aku katakan kepada kamu berdua, rumah batu lama dan kawasan ladang dikawal jin. Sesungguhnya jin boleh menjelma dalam bermacam-macam rupa dan bentuk. Kamu berdua setuju dengan pendapat aku ini."

"Setuju," sahut saya.

"Ertinya, kamu berdua sudah melihat sesuatu yang aneh di rumah batu."

"Ehhh..." cuma setakat itu saja, saya bersuara.

Perlahan-lahan saya garu pangkal leher. Andi Kamarool telan air liur. Kami berdua sudah masuk perangkap pemandu lori kecil yang pintar.

Pandai sungguh dia memasang jerat, kami tak dapat berdalih lagi. Terpaksa berterus-terang. Kami ceritakan apa yang dialami semasa menginap dirumah batu lama itu.

JIN

"Aku kira seluruh kawasan di situ, dijaga oleh jin," terlontar ungkapan dari bibir pemandu lori.

Kata-katanya tidak kami jawap dengan serta-merta. Saya dan Andi Kamarool termenung sejenak.

Semasa lori kecil melanggar ranting kering yang bersepah didada alam, Abu Zaharin mula bersiul membawa lagu SRI BANANG.

"Kamu setuju, kalau aku katakan semua terjadi adalah akibat dari perbuatan nenek moyang Mia yang bersahabat dengan jin," Abu Zaharin merenung ke arah pokok tualang tinggi menjulang di sebelah kanan jalan.

"Boleh jadi Abu," balas Andi Kamarool.

Lori kecil berkepala merah terus meluncur.

"Kamu berdua tahu tak. Allah berfirman dalam surah An-Nissa-38 yang berbunyi, barang siapa jadikan syaitan sebagai temannya, maka temannya itu adalah seburuk-buruknya," Abu Zaharin menyingkap sedikit demi sedikit kebolehannya kepada kami.

Dari situasi yang dihadapi, saya lantas membuat kesimpulan bahawa, dia bukan sebarang orang. Dia pemandu yang berilmu, manusia yang serba boleh.

Andi Kamarool yang bijak menguasai keadaan segera mengalihkan topik pebualan dari hal rumah batu lama kepada kisah peribadi si pemandu lori. Pemandu lori yang suka bercerita masuk ke dalam perangkap Andi Kamarool.

Secara tidak langsung, Abu Zaharin pun mengungkap tentang kisah dirinya. Dia mendapat pendidikan awalnya di tempat kelahirannya Lubuk Pinang. Kemudian dihantar kedua orang tuanya belajar ilmu agama di Padang Panjang.

Meninggalkan Padang Panjang merantau ke Singapura belajar di Al-Junid. Merantau dan menetap di Mekkah selama bebelas tahun mendalami ilmu Agama.

Dua tahun setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, Abu Zaharin pulang ke Lubuk Pinang, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan disamping mengajar kanak-kanak mengaji Quran dan ilmu agama secara sukarela.

"Barangkali awak berniaga kerana mahu mengikut sunnah Rasul," saya melontarkan komen. Dia membisu tetapi, bibirnya mengukir senyuman.

"Kata orang, sepuluh dari sumber rezeki, sembilan darinya datang dari perniagaan," Andi Kamarool menyampuk.

Macam tadi juga, si pemandu lori yang berusia sekitar awal empat puluhan terus senyum.

"Bukan apa- apa kerja sendiri bebas. Tidak terikat dengan sesiapa," itu ungkapan yang diluahkan oleh Abu Zaharin, penuh ketenangan.

"Betul cakap kamu, Abu," kata saya.

“Tetapi kerja sendiri mesti rajin, mesti sanggup tanggung risiko," Abu Zaharin berkata serius.

MERAH

Lori kecil berkepala merah terus meluncur dijalan raya. Sekejap laju, sekejap perlahan. Terus melepasi beberapa kawasan kampung, bukit bukau dan kawasan sawah yang luas.

Ketika itu padi baru menguning. Melintuk lembut disentuh sekawan bayu dari puncak bukit. Nampak beralun dan berombak dibawah sinar matahari pagi.

Akhirnya, lori kecil berhenti di lorong sempit di kawasan pasar. Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari perut lori. Beberapa orang lelaki dan perempuan yang lalu di situ merenung ke arah kami seketika. Agaknya, mereka tahu yang kami adalah orang asing.

"Terima kasih, Abu," kata kami serentak. Pemandu lori tersenggih.

"Sebenarnya, kamu berdua ni. Mahu ke mana?"

"Ke Danau Kerinci, kata saya.

"Tak jauh dari sini, kira-kira 16 km saja. Biarku hantar kamu ke sana, tapi.." pemandu lori berhenti bercakap, dia menung ke arah beberapa orang lelaki berwajah serius yang mendekati lori kecilnya.

"Aku terpaksa punggah semua sayur-sayuran ni dulu, apa kamu berdua sanggup menunggu," tambah si pemandu lori kecil.

"Kami bersedia," kata saya.

Seronok juga melihatan mereka menurunkan sayur-sayuran dari lori. Dengan kereta sorong raga-raga sayur diusung ke perut pasar.

Mereka bercakap dalam dialek kerinci yang lucu bunyinya, bagi saya. Lengguk dan patah bahasa hampir menyamai dialek Minangkabau, Panai, Rawa dan Mendaling.

Dalam masa yang singkat itu, saya berjaya menjalin persahabatan kilat dengan seorang lelaki separuh umur. Dia anak jati Sungai Penuh.

Dia mengakui, ada kaum kerabatnya yang sudah berhijrah ke Semenanjung dan tidak mahu pulang ke kampung halaman. Mereka sudah menjadi rakyat semenanjung.

"Orang Kerinci banyak pergi ke Perak terutama di daerah Parit seperti di Sadang, Belanja kiri. Manakala, Orang Panai pergi ke Sungai Rambai, Batu Enam belas dan Air Tawar. Saya cuma tahu sebut nama tempatnya saja, saya sendiri tak pernah sampai ke situ," katanya.

"Tempat-tempat yang pak cik sebut tadi, berada di Negeri Perak. Kawasan tengah," saya memberi penjelasan.

"Begitu," dia mengangguk faham.

Lelaki separuh umur itu meminta diri. Dia mahu membeli barang keperluan seharian di pasar.

Berkali-kali saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi melayani saya. Namanya, Haji Ahmad.

Si pemandu lori tidak mungkir janji. Bila semua urusannya selesai, dia segera menyuruh kami naik lori kecil.

MERANGKAK

"Aku hantar kamu di tempat yang dihajatinya," kata Abu Zaharin sambil menghidupkan enjin lori kecil merangkak keluar dari kawasan pasar Sungai Penuh, menuju ke muara jalan yang besar dan luas.

Kami yang menikmati pemandangan alam yang cukup indah dan cantik. Abu Zaharin kembali kepada kesukaannya iaitu berkasidah.

Tetapi, dia tidak lali memandu, semakin tinggi suaranya, semakin kencang lorinya berlari di jalanraya. Semakin erat setering keretanya dipautnya.

"Aku nak minum."

Abu Zaharin memperlahankan lori sambil menghimpit ke gigi jalanraya, dan akhirnya lori kecil pun berlabuh dipinggir jalan.

"Mari kita minum," ajaknya.

"Terima kasih, pergilah minum," balas saya.

Abu Zaharin melontar keluar. Dia merenung ke arah warung pisang sesikat yang dikeliling pohon pisang dan mempelam. Kelihatan dua tiga orang menikmati sarapan pagi di warung.

"Kalau tak mahu minum temankan saya," mata Abu Zaharin merenung wajah saya dan Andi Kamarool silih berganti.

Pada masa itu, saya teringatkan pesan Mia supaya jangan makan di warung.

"Pergilah, biar kami tunggu di sini," Andi Kamarool tersenyum.

"Oklah, itu keputusan awak berdua, saya tak boleh kata apa-apa," Abu Zaharin mengatur langkah menuju ke warung.

Kira-kira lima belas minit kemudian, Abu Zaharin kembali dengan wajah yang ceria.

"Lama menunggu," tanyanya.

"Tak lama," balas kami serentak.

Beberapa detik kemudian, lori kecil berkepala merah kembali bergerak di atas jalanraya. Sinar matahari bertambah garang. Awan di dada langit, nampak bersih. Sawah padi yang luas dikiri kanan jalan membuat mata terasa sejuk.

Memang tidak dinafikan, panorama alam kerinci masih perawan dengan pengunungan, sungai yang merayap di kaki bukit, serta lembah yang indah menawan.

"Sungai Penuh jadi Ibukota Kebupatan Kerinci sejak tahun 1958," tanpa diminta diminta Abu Zaharin memberi penjelasan yang sekaligus mengusir rasa jemu dalam diri saya, mungkin juga Andi Kamarool.

KERING CAIR

Selanjutnya, Abu Zaharin menyatakan kemungkinan besar nama Kerinci berasal dari kata "KERING CAIR" yang bermula dari sebuah danau.

Kerana proses alam, dasar danau terangkat naik menjadi dataran tinggi. Tanah kering disebelah utara dinamakan GUNUNG KERINCI, sedangkan yang berair berada di bahagian selatan menjadi DANAU KERINCI.

"Senang sungguh orang terdahulu mencari nama," Andi Kamarool memberi komen.

Saya lihat Abu Zaharin anggukkan kepala, setuju dengan pandangan yang diluahkan oleh Andi Kamarool.

"Sebelum Belanda datang, penguasa Alam Kerinci ialah Depati IV Alam Kerinci, semasa Belanda masuk, seluruh rakyat Kerinci bersatu menentang Belanda hingga tercetus perang Kerinci yang hebat pada tahun 1903, salah seorang panglima perang tersebut adalah moyang aku," cukup bersemangat Abu Zaharin bercerita.

"Jadi kamu keturunan pahlawan Kerinci," saya mengusik.

"Kira-kiranya begitulah," sahut Abu Zaharin lalu disambut dengan ketawa.

Tangan kanan memegang setering lori, tangan kiri menepuk bahu saya, Abu Zaharin masih mampu mengendalikan perjalanan lori dengan baik sekali.

"Kita dah mula masuk ke kawasan perkampungan berdekatan Danau Kerinci, kawasan kampung berdekatan ni luas dan ada bermacam-macam nama."

Abu Zaharin mula memperlahankan laju lori. Binatang ternakan orang kampung sekali-sekali melintasi jalanraya terutama ayam dan kambing.

"Di kampung mana kamu nak ikut turun," kata Abu Zaharin.

"Beritahu aku awal-awal, jangan dah sampai baru nak cakap. Terpaksa brek mengejut, nanti kepala berlaga dengan cermin."

"Perkara di mana nak turun, kena tanya dengan Tamar," Andi Kamarool mengelak dengan meyerahkan beban itu kepada saya. Situasi ini membuat saya jadi serba salah.

"Sebenarnya aku dah buat silap," saya memulakan dengan nada yang lemah.

"Janji dengan datuk berjumpa di kedai kopi Saad mata sebelah orang Priaman. Kedainya depan toko kain sebelah kiri jalan besar dekat pasar, tetapi.."

"Tetapi apa lagi? sergah Abu Zaharin.

"Janji dengan datuk dan Haji Basilam naik bas. Bila dah naik kamu lain pula jadinya," tingkah saya.

"Habis macamana kamu sebut Danau Kerinci, kamu ni dah mengarut. Agaknya kamu kena rasuk tak?" Terbayang rasa kecewa dan hampa di wajah Abu Zaharin. Lori kecil terus dipandu dengan tenang.

Saya segera terfikir, barangkali Abu Zaharin kesal dengan apa yang terjadi. Dia sudah membuang masa, tenaga dan minyak untuk menolong kami.

Malangnya, niat baik itu menimbulkan masalah pada dirinya. Walaupun begitu, Abu Zaharin masih dapat mengawal perasaan. Masih dapat memandu dengan baik dan tenang.

"Maafkan aku," saya bersuara.

Sepanjang biji mata Andi Kamarool tertumbuk ke wajah arah saya Abu Zaharin cuma menjeling tajam.

"Kenapa pula?" Soal Andi Kamarool.

"Aku main agak saja tempat Danau Kerinci."

"Jadi?" pintas Abu Zaharin.

"Aku membuat andaian, selepas Sungai Penuh tentulah pergi ke Danau Kerinci," saya membuat penjelasan. Abu Zaharin ketawa terbahak-bahak.

"Kenapa kamu ketawa Abu?" Saya bertanya hairan.

"Mudahnya kamu buat andaian, macam nujum pak belalang," balasnya bersahaja.

Andi Kamarool mengukir senyum sinis. Hati saya mendehem dengan telatah dua sahabat itu.

Perasaan geram dan marah terhadap mereka beransur reda akibat kemunculan sebuah motorsikal jenis Triumph dengan kuasa kuda 500 (500CC). Motorsikal triumph itu muncul sebelah kanan lalu memotong lori kecil yang dipandu oleh Abu Zaharin.

"Dia terus pecut" komen Andi Kamarool.

Saya mengigit bibir, tidak mahu memberi sebarang pendapat.

"Itu Haji moden, kamu tengok ekor serbannya berkibar-kibar macam bendera," itulah komen Abu Zaharin.

Andi Kamarool mengangguk, akur dengan pendapat Abu Zaharin. Perhatian saya masih pada penunggang motorsikal besar. Rasa-rasanya, macam saya kenal dengan penunggang tersebut.

BERUBAH

Telatah si penunggang mula berubah, kalau tadi dia memecut dengan laju, kini diperlahankan. Jaraknya dengan lori yang kami naiki kira-kira tiga atau empat rantai.

Dia memberi isyarat tangan menyuruh lori kami ke tepi dan berhenti. Hati saya mula berdebar. Andi Kamarool nampak resah. Abu Zaharin tetap tenang. Laju lori diperlahankan.

"Kamu berdua kenal penunggang motorsikal tu?"

"Tak kenal," jawab Andi Kamarool.

"Kamu Tamar," Abu Zaharin renung muka saya.

"Rasa-rasa kenal tetapi.."

"Ini bukan main rasa-rasa, kalau kita bertiga tak kenal dia. Kenapa dia suruh berhenti, kila tak buat salah. Lagi pun dia bukan polis ada kuasa nak tahan orang," Abu Zaharin merunggut.

Dia masukkan gear rendah lori yang dipandu mula ketepi dan bersedia untuk berhenti.

Penunggang motorsikal terus beri tangan suruh berhenti. Bila Abu Zaharin memberhentikan lori dibibir jalan, penunggang motorsikal terus melajak ke depan dan berhenti dalam jarak lebih dari seratus kaki dari lori. Motorsikal hitam diletakkannya dalam keadaan melintang jalan.

"Kita tunggu dia datang dekat kita," ungkap Abu Zaharin.

"Kami anggukkan kepala.

"Tunggu dalam lori?" lahir kata lucu dari kelopak bibir saya.

"Kita turun, jangan berkasar dengannya," pesan Abu Zaharin, sebaik saja kami turun dari lori.

Kami berdiri tiga deret di depan lori kecil sambil mengemaskan kedudukan sepasang kaki masing-masing. Bukan apa-apa, sekadar untuk mempertahankan diri. Kiranya, jika terjadi perkara yang tidak diingini.

Enam biji mata tertumpu ke arah lelaki yang sedang melangkah ke arah kami. Entah mengapa, hati kecil saya kuat mengatakan lelaki tersebut ialah Haji Basilam.

Keyakinan saya itu berdasarkan bentuk tubuh dan cara orang itu berjalan. Wajahnya tidak dilihat dengan jelas kerana ditutupi kain hitam, kecuali bahagian mata dan dahi.

Orang itu terus melangkah penuh semangat di bawah sinar matahari yang kian menyengat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 187/284

BACA: SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 01, 2023

SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin

SBDJ Siri 186: Ular Hitam Jelmaan Jin

Lori kecil terus melanda dada jalan dengan lancar sekali. Pemandunya sudah berubah selera. Dia mula berkasidah, suaranya boleh tahan juga membuat saya terpesona. Tetapi, dia tetap berhati-hati dan waspada mengendalikan lori yang dipandunya. Laju lorinya diperlahankan bila memasuki selekoh yang tajam atau mendaki bukit.

Toyol jadi-jadian


Adakalanya, lori terpaksa berhenti secara mengejut untuk memberi laluan kepada kumpulan beruk besar menyeberangi jalan. Kumpulan beruk besar itu kelihatan tertib melintas, buat tidak kisah dengan lori kecil yang berhenti.

"Beruk-beruk di sini semuanya jinak, bersopan santun di jalanraya. Mereka melintas dengan baik," kata Abu Zaharin sambil ketawa terkikih.

Lori kecil bergerak kembali, kali ini agak laju. Ketika mahu memasuki satu selekoh yang tajam, pemandu lori kecil menekan berek secara mengejut.

Akibatnya, saya dan Andi Kamarool terdorong ke depan. Dahi kami terkandas di cermin. Aduh sakitnya.

Tetapi, rasa sakit itu terus hilang dengan serta merta akibat kemunculan mendadak tiga ekor gajah dari rimbunan pokok sebelah kiri kami. Muka saya dan Andi Kamarool jadi pucat dan terus berdebar.

Pemandu lori tetap tenang, membiarkan tiga ekor gajah itu menyeberang jalan dengan aman.

"Perkara macam ini, perkara biasa bagi saya. Binatang dan alam Kerinci masih terperlihara," tutur pemandu lori.

Kali ini perjalanan agak lancar, kami melintasi beberapa kawasan perkampungan kecil. Kami sering saja berselisih dengan motorsikal dan agak jarang berselisih dengan kereta.

Kebanyakan motorsikal yang mereka gunakan adalah buatan dari Eropah yang berbadan besar dan mempunyai kuasa kuda yang agak tinggi (masa itu motorsikal Jepun belum popular lagi) seperti jenis Triumph, BSA, Norton dan sebagainya.

Setelah menuruni kawasan berbukit, saya lihat pemandu lori nampak resah semacam. Tidak tenteram seperti tadi, apa yang dibuatnya serba tidak kena.

Dia selalu saja menekan berek dan minyak, akibatnya laju lori tidak seimbang, kami jadi tersengguk-sengguk.

"Kenapa?" tanya Andi Kamarool.

"Entah mengapa, tiba-tiba saja hati saya berdebar cemas. Berpandukan pada pengalaman dulu perkara macam ini membawa pertanda kurang baik. Saya harap tak ada perkara buruk terjadi."

" Insya Allah kita selamat pandu dengan cermat," jawab Andi Kamarool.

"Saya juga harap macam tu" tingkah Abu Zaharin, setering kereta di paut erat dan kejap sekali.

KABUS

Dibawah sinaran matahari yang kian mencacak itu, saya renung kiri dan kanan. Lori kecil sedang melalui kawasan hutan tebal.

Suasana sekitar terasa sepi, tidak ada kenderaan yang lalu kecuali lori yang kami naik, walaupun cahaya matahari bersinar terang tetapi, kawasan sekitar jalanraya agak gelap dengan kabus yang menebal.

"Harimau," jerit Abu Zaharin.

Dengan serta merta dia menekan berek kecemasan. Saya dan Andi Kamarool jatuh terperosok di celah bangku. Lori kecil dengan empat roda terpaku di dada jalanraya.

Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan duduk. Dan apa yang kami lihat di jalanraya ialah seekor harimau Sumatera sedang terbaring, berguling di atas batu jalan sesuka hati tanpa mempedulikan lori kecil yang berhenti tidak sampai sepuluh kaki darinya.

"Kita dalam bahaya Abu," kata saya perlahan.

"Bertenang saudara."

Harimau berbadan besar itu berdiri, merenung ke arah kami sambil menguap. Giginya yang tajam jelas kelihatan. Misainya yang panjang dan keras bergerak-gerak.

Kemudian harimau itu duduk mencangkung lalu menjilat-jilat kuku ditelapak kakinya. Abu Zaharin turun dari lori.

"Mahu ke mana Abu?" Andi Kamarool bersuara cemas.

"Biar aku suruh dia ke tepi."

"Merbahaya Abu," celah saya.

Abu Zaharin hanya tersenyum dan saya lihat kelopak bibirnya bergerak-gerak. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dihembuskannya ke kiri dan ke kanan.

Dengan tenang dia melangkah ke arah harimau Sumatera yang sedang duduk mencangkung menanti kedatangannya.

Setiap kali Abu Zaharin melangkah mendekati Harimau Sumatera tali jantung saya bergegar hebat, bila menarik dan melepaskan nafas dada terasa sakit.

Dan saya bayangkan, bagaimana mudahnya harimau itu menapar muka Abu Zaharin dan kemudian mematahkan batang lehernya. Darah melimpah dipermukaan jalanraya.

Separuh badan Abu Zaharin berada dalam mulut harimau dan separuh lagi berada di luar. Bahagian badan yang berada di luar mulut harimau (dari dada hingga kaki) mengelitik bagaikan kepala ikan keli diketuk kepala.

Saya renung ke arah Andi Kamarool, sepasang anak matanya tidak berganjak dari merenung ke arah Abu Zaharin.

"Subahanallah.." terpancut kata-kata itu dari kelopak bibir saya.

Apa yang saya fikirkan,tidak terjadi. Empat kali saya mengurut dada.

NASIB

"Dia bukan sebarang orang, kepalanya penuh pengetahuan dan dadanya penuh ilmu,"ungkap Andi Kamarool.

"Cakap kamu benar, Andi."

Perhatian kami tidak berganjak ke arah Abu Zaharin. Dengan tenang dia menepuk-menepuk kepala harimau Sumatera, misai harimau dipintal-pintal.

Penuh mesra harimau Sumatera menjilat kiri kanan pipinya. Abu Zaharin membisikan sesuatu ke telinga harimau, tidak berapa lama harimau itu mengaum lalu beredar.

Abu Zaharin kembali ke lori kecil dengan senyum.

"Aku harap pejalanan selanjutnya tidak ada halangannya."

Abu Zaharin melompat ke dalam perut lori dan beberapa detik kemudian bunyi injin lori kecil terus mengaum menguasai dada jalan raya.

"Saudara memang hebat."

Saya terus menepuk bahu kanan Abu Zaharin, dia tersengih.

"Semuanya dengan izin Allah. Kalau tidak diizinkan, usaha aku tidak menjadi," katanya merendah diri. Lori kecil terus bergerak.

Nyanyian beburung liar dan hembusan bayu memberikan kesegaran kepada diri saya dan mungkin juga diri Andi Kamarool.

"Sudah bertahun aku membawa lori sayur. Macam-macam perkara pelik aku temui. Dengan izin Allah semuanya dapat aku atasinya," lanjutnya lagi. Kami anggukkan kepala.

Dalam asyik bercerita itu, lagi sekali kami mengalami kejutan. Abu Zaharin menekan brek secara mengejut, lori kecil terbabas ketepi jalan. Nasib baik tidak masuk parit.

"Kenapa Abu?" soal Andi Kamarool.

"Kamu lihat, apa ada di tengah jalan," katanya.

Saya dan Andi Kamarool terus merenung ke jalan raya. Ada lingkaran ular hitam berkilat setinggi busut disitu. Kepalanya berada di bahagian atas terlentuk di situ bagaikan sedang tidur dengan lena.

SERAM

Abu Zaharin tidak memperlihatkan rasa cemas atau takut. Dia mengendalikan lori kecil yang terbabas hingga berada di jalanraya.

"Langgar saja Abu," saya mengemukakan usul.

"Jangan terlalu kejam dengan makhluk Allah yang lain."

"Dia ganggu kita," saya meningkah.

Abu Zaharin tersenyum lalu mengajak kami turun dari lori kecil. Berjalan serentak ke arah ular hitam yang berlingkar.

Lebih kurang kira-kira lima langkah mahu sampai ke arah ular berlingkar, saya terdengar nafas ular cukup kuat.

Saya segera memegang bahu kanan Andi Kamarool. Malangnya, saya tidak sempat menahan Ahu Zaharin. Langkahnya cukup cepat sekali.

"Kenapa Tamar?"

"Aku sudah baca doa nabi Allah Sulaiman. Tiba- tiba tengkuk bulu tegak. Aku jadi seram sejuk," bisik saya kepada Andi Kamarool.

"Aku rasa seperti apa yang kamu rasa, ada baiknya kita balik ke lori. Aku yakin apa yang ada di depan kita bukannya ular, seperti jin," Andi Kamarool terus menarik tangan saya.

Langkah selajutnya, kami segera berlari menuju ke lori kecil. Diri jauh kami melihat perkembangan tentang diri Abu Zaharin.

Memang ada kelainannya, Abu Zaharin tidak seberani tadi. Kalau tadi dia nampak mudah menangani harimau Sumatera. Tetapi kali ini, keadaan agak berbeza sekali. Dua tiga kali dia jatuh ketika ular hitam mengangkat kepala.

Dengan sedaya-upaya, dia cuba menjauhkan dirinya dari mendekati longgokkan ular hitam yang sudahpun memanggungkan kepalanya.

Abu Zaharin dongakkan kepala merenung ke arah kepala ular Mereka kelihatan seperti sedang bercakap sesuatu.

Dalam beberapa detik kemudian, Abu Zaharin membelakangi lingkaran ular hitam dan pada ketika itu kedengaran bunyi ledakan yang amat kuat.

Tempat ular hitam berlengkar dipenuhi kepulan asap tebal menghilang. Ular hitam juga turut ghaib entah ke mana.

Abu Zaharin tertiarap di permukaan jalanraya dengan kedua belah kakinya terkangkang. Sepasang tangannya terletak di kepala.

"Jangan."

Andi Kamarool memegang tangan kanan saya dengan sekuat hati. Dan saya tidak jadi melangkah untuk mendekati Abu Zaharin.

"Sekejap lagi dia bangun. Dia sudah menyelesaikan masalahnya dengan baik sekali," Andi Kamarool renung muka saya.

"Abu Zaharin bukan sebarang orang, pendiam dan tak banyak cakap. Bila terdesak semua ilmu habis dimanfaatkannya," komen saya.

Andi Kamarool anggukkan kepala sambil tersenyum panjang. Matanya masih tertumpu ke arah Abu Zaharin yang terkapar di jalanraya, macam katak mati dilanggar lori balak.

"Kamu lihat," suara Andi Kamarool keriangan.

Saya segera renung ke arah yang dimaksudkannya. Saya lihat Abu Zaharin sudah tegak berdiri. Menumbuk angin ke kiri dan ke kanan. Kakinya juga menendang angin. Dia melakukan senaman singkat untuk menegangkan urat.

Sebelum berlari ke arah lori terlebih dahulu Abu Zaharin melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan Andi Kamarool. Lambainya kami balas.

"Apa yang kamu lihat tadi bukannya ular sebenar. Tetapi, jin nakal yang nak kacau kita, menjelma jadi ular. Kalau tidak pandai mengatasinya, kita boleh tadi susah, mungkin menderita sakit seumur hidup atau kita terpedaya tunduk pada kemahuannya," ucap Abu Zaharin sambil mengesat peluh di dahi dengan sapu tangan. Kami hanya anggukkan kepala.

BERGERAK

"Jin nakal itu sengaja berusaha supaya kita marah dan bertindak balas. Bila kita bertindak balas, panjanglah ceritanya. Selalunya kita yang rugi. Dalam hal begini, kita mesati sabar, tenang dan pasrah pada Allah," lanjut Abu Zaharin, injin lori kecil dihidupkan kembali dan perjalanan yang tergendala diteruskan.

Sambil memandu Abu Zaharin terus bercerita.

Katanya, jin adalah makhluk Allah yang paling ramai di dunia, tidak dapat dibayangkan jumlahnya oleh akal manusia.

Pokoknya, makhluk jin mengatasi jumlah manusia. Boleh dikatakan tidak ada tempat di dunia ini yang tidak diisi oleh jin, baik di daratan, lautan mahupun di udara.

Lori kecil terus bergerak dengan aman, kali ini kami menempuh kawasan perkampungan yang tidak putus-putus, pokok-pokok buah- buahan kelihatan di mana-mana.

"Jin juga ada pelbagai," sambung Abu Zaharin.

"Mempunyai rumpun bangsa yang berbeza- beza. Dunia jin juga macam dunia manusia, tiap bangsa jin, mempunyai kerajaan dan pegawai takbir, antara bangsa jin terdapat permusuhan antara mereka".

"Oh begitu," kata saya sambil menelan air liur.

"Agama mereka macam mana, Abu?" soal Andi Kamarool. Abu Zaharin tersenyum, setering kereta dipegang penuh cermat.

"Macam manusia juga, ada yang Muslim, ada yang Kristian, Hindu, Buddha, penyembah berhala. Malah ada yang berfaham komunis."

"Abu, aku nak tanya satu perkara, boleh tak," saya lihat Andi Kamarool merenung muka Abu Zaharin yang sedang memandu itu.

"Silakan."

"Apakah iblis itu nenek moyangnya jin, macam manusia adalah keturunan dari Adam alaihissalam."

"Begini, sepanjang yang aku tahu, Iblis ada keturunan Jin, bukannya moyang jin."

"Dari mana kamu tahu?" Potong saya dengan wajah serius.

"Dari para ulama, dari guru aku di Mesir, Makkah juga dari pembacaan dan kajian aku," ada suara Abu Zaharin penuh keyakinan dan kepastian.

Lori terus dipandu, menempuh kawasan tanah berpaya. Monyet- monyet liar bergayut di dalam pokok.

"Kalau begitu, siapa dia datuk nenek jin?" terhambur pertanyaan dari saya.

Abu Zaharin menelan air liur, matanya merenung tajam ke depan. Matahari kian meninggi, sinarnya tersebar di mana-mana.

"Kata guru aku, orang Mesir tetapi, menetap di Istambul, Turki. Dia beritahu aku, sepanjang yang diketahuinya, entah betul, entahkan tidak. Hanyalah Allah saja yang maha mengetahui, nenek moyang jin adalah Jin.."

Andi Kamarool anggukkan kepala beberapa kali. Barangkali dia dapat menerima dengan apa yang diluahkan oleh Abu Zaharin.

"Macam mana dengan iblis," saya memintas.

Abu Zaharin menguap panjang, rasa bosan dan jemu tergambar di wajahnya. Barangkali, dia merasa dengan pertanyaan demi pertanyaan yang kami ajukan kepadanya.

Kali ini, Abu Zaharin seperti hilang minat untuk menjawab pertanyaan saya. Dia kembali berkasidah sambil merenung ke kiri dan ke kanan jalan. Setering kereta di pegang erat.

Kerana Abu Zaharin tidak berminat, saya tidak ingin mendesaknya. Biarlah perkara itu berlalu begitu saja. Saya tidak menyesal atau terkilan.

Abu Zaharin terus berkasidah, seolah saya dan Andi Kamarool tidak wujud di sisinya.

Setering kereta dipegang sebelah tangan, meskipun waktu mengambil selikuh yang tajam. Semuanya membuatkan hati saya berdebar cemas.

"Menurut kata guru aku, juga hasil pembacaan aku dari sebuah buku yang diterbitkan di Mesir menyatakan bahawa iblis adalah keturunan Jin, cukup bijak dan pandai macam malaikat. Tetapi, dia bongkak dan sombong dan dimurkai Allah," gembira bukan kepalang bila Abu Zaharin memulakan percakapan.

PENAT

Rasa puas juga terbayang di wajah Andi Kamarool.

"Kisah iblis durhaka kepada Allah terdapat surah Al-Kahfi: 50 yang berbunyi.." Abu Zaharin tidak meneruskannya, buat beberapa saat dia termenung, dahinya berkerut macam mengingati sesuatu.

"Yang berbunyi lebih kurang begini," dia menyambung kembali.

"Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada para malaikat, sujudlah kau kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia dari golongan jin, lalu dia mendurhakai perintah Tuhannya.."

"Tapi, ramai orang percaya bahawa iblis adalah moyang Jin," saya mencungkil lagi.

"Cukup setakat ini, lain kita bercakap tentang hal ini," dengan cara yang sopan, Abu Zaharin memaksa kami supaya berhenti dari menimbulkan perkara tersebut.

Kami tiada pilihan, terpaksa mematuhinya.

Abu Zaharin kembali dengan keadaan biasaanya, berkasidah sambil memandu lori kecil. Penat berkasidah dia membaca Quran sambil berlagu. Suaranya memang boleh tahan. Kami jadi terhibur.

"Sekarang aku pula nak tanya kamu berdua, boleh tak?"

"Silakan Abu Zaharin," sambut Andi Kamarool.

Abu Zaharin tersenyum, setering lori dipulas dengan teliti dan lori kecil berbelok ke kanan lalu menempuh jalan yang agak curam sedikit.

Sebelah kanan jalan penuh dengan rumpun kelubi yang daunnya bergerak malas merempuh bayu pagi. Manakala sebelah kanan jalan ditumbuhi pepohon besar dari jenis pokok meranti, jelutung dan talang. Semuanya tinggi menjulang.

"Apa hasil yang kamu dapat dari rumah batu lama?"

Pertanyaan yang mengejutkan bagi kami. Saya gigit bibir hingga terasa sakit. Sepasang anak mata Andi Kamarool terpanah ke wajah saya.

"Tak ada apa- apa, biasa saja," tanpa memandang wajah Abu Zaharin, Andi Kamarool bersuara.

"Mustahil," balas pemandu lori sambil senyum sinis.

"Apa yang dikatakannya tu memang benar," saya memberi sokongan padu. Abu Zaharin gelengkan kepala bersama senyum yang bertali. Hati kami terus dijentik keresahan.

"Mustahil, mustahil," ulangnya berkali-kali sambil menjentik-jentik setering kereta dengan hujung jari manis.

"Kami cakap betul, Abu..." nada suara Andi Kamarool agak lemah.

"Mustahil- mustahil," ulangnya berkali-kali sambil menggelengkan kepala.

"Kamu berdua mahu merahsiakannya dari aku," sambungnya lalu menggaru pangkal dagu kiri.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 186/284

BACA: SBDJ Siri 185: Merebut Geliga Naga
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 17, 2023

SBDJ Siri 185: Merebut Geliga Naga

SBDJ Siri 185: Merebut Geliga Naga

Barangkali cara terbaik yang wajar saya lakukan ialah, keluar dari ruang rumah yang melemaskan itu. Tinggallah Andi Kamarool yang tidur mati. Tetapi cara itu bukanlah perbuatan yang terpuji. Hanya orang yang mementingkan diri sendiri saja yang sanggup melakukan perkara tersebut. Adat berkawan sudah senang sama-sama dilalui dan dirasai.

Toyol jadi-jadian


Persoalan itu, muncul secara mendadak dalam kepala. Agak sukar untuk membuat keputusan. Setelah difikirkan dengan semasak-masaknya, saya memutuskan tidak akan meninggalkan Andi Kamarool sendirian.

Biarpun apapun yang akan berlaku, saya tetap bertahan di ruang tamu. Tidak akan lari ke mana-mana, tetap bersama-sama Andi Kamarool.

Saya renung lelangit ruang tamu semuanya nampak macam biasa. Saya toleh ke arah dupa, asap kemenyan tetap mengepul. Dengan hati-hati tubuh Andi Kamarool saya goncang. Dia tidak juga membuka mata, malah makin lena tidurnya. Saya dekatkan bibir ke telinganya.

"Andi bangun," bisik saja.

"Hummm..." terdengar suara dengan mata terpejam.

Gegendang telinga saya menangkap, suara orang sedang bercakap dalam bahasa yang sukar dimengertikan. Tidak dapat dipastikan dari arah mana suara itu datang. Dan suara itu hilang begitu saja.

HATI

Supaya hati jadi tenang dan aman, saya pun membaca surah-surah Quran mana yang teringat oleh saya ketika itu. Pada peringkat awalnya, saya tidak dapat membaca dengan baik. Ada saja benda-benda pelik yang berlari di lantai.

Semuanya saya tentang dan semakin hebat saya membaca, makin hebat pula kejadian-kejadian luar biasa yang saya alami.

"Ya Allah, beri aku kekuatan," pohon saya dalam hati.

Andi Kamarool yang terbujur terus bangun, berjalan ke setiap sudut ruang dengan mata tertutup. Bersilat dan menari. Semua yang terjadi membuat saya lemas dan cemas. Lebih dari sepuluh minit Andi Kamarool melakukan perkara tersebut. Ayat-ayat Al-Quran yang saya baca mula jadi lintang pukang. Tidak tentu arah.

"Bummmmmm.......Ahhhh..."

Saya lihat Andi jatuh di lantai. Bergolek macam gasing dan berhenti sebaik saja tubuhnya terkandas di tepi dinding.

Aneh sungguh, dia tidak juga terjaga atau membuka mata. Tidurnya bertambah lena dengan dengkur yang memang. Saya mengigit bibir sambil merenung ke arah dupa yang baranya sedang marak.

Secara mengejut, bara dalam dupa terus menyala. Apinya menjulang mencecah langit rumah. Beberapa ekor cicak yang terkena bahang panas, jatuh terkapar di lantai.

Belum pun sempat saya memadamkannya, api yang menjulang segera mengecil dan akhirnya hilang. Tetapi, ketul-ketul bara dalam dupa terus merah menyala serta mengeluarkan bunga api kecil, berterbangan berlegar-legar dalam ruang. Macam ada kuasa tertentu yang meniup atau menghembusnya.

ASAP

Semua kejadian aneh yang tidak masuk akal itu, berlangsung kira-kira setengah jam lebih. Mungkin kerana dimasuki asap kemenyan atau memang sudah kepenatan menyebahkan mata saya berair.

Dua tiga kali saya menguap, badan terasa amat letih. Akhirnya, saya rasa mengantuk sekali.

Saya sedar, kalau saya terlena atau tertidur dengan sendirinya saya tidak dapat membaca ayat-ayat Quran.

Akibatnya, mungkin saya berdepan atau mengalami perkara- perkara yang lebih dahsyat lagi. Kerana itu, saya harus berjuang agar tidak terlelap walaupun sesaat.

Sepasang biji mata saya jengkilkan. Tangan terus mencampakkan butir-butir kemenyan ke perut dupa menambahkan lagi keadaan pengap di dalam ruang oleh asap kemenyan. Saya renung ke arah Andi Kamarool. dia tetap seperti tadi, tidur mati dengan dengkur yang keras.

"Andi....," pekik saya dengan harapan Andi akan terjaga.

Harapan saya tidak berhasil. Andi Kamarool terus berdengkur.

"Huuuhhhhh....."

Ada suara dari arah belakang. Saya segera menoleh. Tidak ada apa yang saya lihat kecuali asap kemenyan. Sayup-sayup terdengar kokok ayam bersahut-sahutan. Badan saya mula mengigil kesejukan.

Saya terus berhempas pulas menahan kelopak mata dari bercantum. Lima enam kali saya tersengguk-sengguk.

Dalam batas sempadan antara terjaga dan menjelang tidur, saya ada rasa seekor binatang yang mendekati.

Dalam keadaan yang samar itu, saya dapat mengenali binatang yang mendekati saya itu ialah seekor naga (yang selalu dimainkan oleh kaum Cina dimusim perayaan tahun baru mereka). Mata naga memancar cahaya merah, biru dan warna kuning keemasan.

Kerana kehadirannya memperlihatkan sikap untuk bersahabat membuat saya tidak takut dan cemas kepadanya.

Tanpa berfikir panjang saya terus berdiri di depannya. Kerana si naga menjunjung emas berlian dan intan permata di sisi geliganya, kepingin saya memiliki barangbarang berharga itu.

"Boleh aku minta emas berlian milik kamu," kata saya.

Dengan serta merta si naga mendengus kemarahan dan menghembuskan nafas kepada saya. Badan saya melayang dan terus terdampar ke dinding, seluruh kulit badan terasa panas bagaikan terbakar.

Memang tidak di duga, kata-kata yang dihamburkan beberapa saat tadi boleh menyebabkan si naga naik darah dan terus mengamuk. Saya ketakutan dan berlari ke setiap sudut ruang.

Si naga terus memburu sambil mulutnya mengeluarkan bebola api ke arah saya. Seluruh badan menjadi lemah, tidak bermaya mahu melangkah.

Dan akhirnya saya terjaga dengan dada yang berdebar, tercunggap-cunggap cemas sekujur tubuh di basahi peluh.

"Kenapa Tamar? Muka kamu pucat badan kamu berpeluh".

Pertanyaan Andi Kamarool tidak dapat saya jawab. Mukanya, saya renung. Hidungnya kembang-kempis menyedut udara dalam ruang. Matanya mula berair akibat dimasuki asap kemenyan. Seluruh sudut ruang jadi sasaran biji mata Andi Kamarool.

'Kamu bakar kemenyan, Tamar?"

"Iya," saya mengangguk.

"Patutlah satu ruang tamu bau kemenyan, pening kepala aku dibuatnya. Kamu sengaja mencari penyakit Tamar."

"Aku tak sengaja Andi."

"Tak sengaja atau memang disengajakan untuk mencari sesuatu," tokok Andi Kamarool dengan wajah serius. Saya terus membisu.

"Jangan fikir apa-apa lagi, pergi mandi. Subuh dah masuk, kita sembahyang bersama. Sebelum masuk bilik air, buka semua jendela. Biar bau asap kemenyan hilang," Andi Kamarool menambah.

Gesaannya saya patuhi. Bila daun tingkap terbuka, bau kemenyan beransur kurang. Udara pagi, mula berlegar-legar dalam ruang. Kicau burung mula kedegaran. Di kaki langit fajar mula bangkit. Dengan langkah yang lemah saya menuju ke bilik air.

HIDANGAN

Setelah selesai menunaikan fardu subuh, kami dapati hidangan untuk sarapan sudah tersedia.

"Cuma ini saja yang ada, kuih jemput pelapik perut dan kopi panas," Mia yang berdiri diambang pintu bersuara.

Terkejut juga saya, bagaimana Mia boleh masuk sedangkan pintu berkunci.

Tetapi, bila memikirkan rumah miliknya, pasti dia ada kunci pendua.

"Bila keluar nanti, pintu jangan dikunci. Kalau dikunci susah pula Kak Sun nak mencuci rumah. Ada bekal untuk kamu berdua di situ," jari telunjuk Mia menunding ke arah sumpit mengkuang yang tersandar di dinding.

"Apa bekalnya?" tanya saya.

"Nasi lemak sambal tumis ikan bilis, sebaik-baiknya, kamu berdua jangan makan di kedai, aku ucapkan selamat jalan."

"Mia....," suara Andi Kamarool terus mati.

Dia tergamam. Melihat Mia melangkah keluar. Wajah Andi Kamarool nampak sedih sekali.

"Barangkali dia sedih, tidak sampai hati nak bercakap dan melihat wajah kamu," saya menenangkan perasaannya.

"Barangkali," keluh Andi Kamarool penuh kelesuan.

Ketika kami berada di gigi jalan menanti kenderaan untuk ke Sungai Penuh. Haji Simpul datang menemui kami. Setelah berjabat tangan. Haji Simpul menghadiahkan senyum mesra untuk kami.

"Apa yang kamu buat malam tadi Tamar?"

Itu yang ditanyakan oleh Haji Simpul kepada saya. Sukar untuk menjawabnya.

Haji Simpul terus menentang anak mata saya Renungannya membuat dada berdebar dan ada resah semacam.

"Berterus-terang saja dengan aku, Tamar," Hai Simpul terus mendesak, bila melihat saya enggan membuka mulut.

Kerana tidak mahu menghampakan harapannya, saya ceritakan apa yang telah saya alami malam tadi.

Selesai saja saya bercerita Haji Simpul dan Andi Kamarool gelengkan kepala.

Dan dalam suasana dingin pagi, Haji Simpul dan Andi Kamarool menyesali perbuatan saya. Menurut mereka, perbuatan tersebut boleh mengundang kecelakaan pada diri.

Sesungguhnya, saya menyesali dengan apa yang saya lakukan. Hati kecil saya berjanji tidak akan mahu mencuba atau berusaha menemui hantu atau apa saja yang ada hubungan dengan makluk ghaib.

Saya tak sanggup menerima atau menanggung risiko. Ada pelbagai risiko yang menanti.

Takdirnya, saya jatuh gila terpaksa mencari orang yang lebih handal untuk mengubatinya.

Andainya, tidak ada orang yang mampu mengubatinya, meranalah saya sepanjang hidup. Saya terus jadi gila sampai mati.

Mengenangkan itu saya termenung panjang dan bersyukur kerana saya tidak mengalami apa- apa.

MEMBISU

"Lain kali, jangan buat perkara macam itu," tutur Haji Simpul sambil membetulkan hujung serbannya yang menutup hidung akibat ditiup bayu pagi yang agak kencang.

Saya terus membisu. Tidak wajar untuk saya memberikan sebarang komen. Mungkin kerana kesejukan, Andi Kamarool terus memeluk tubuh.

“Aku tahu, apa mulanya kamu memang tidak sengaja. Tetapi, dari tidak sengaja itu mendorong kamu untuk mencuba meminta sesuatu, betul tak cakap aku Tamar?" Haji Simpul merenung biji mata saya.

"Betul tuan haji."

"Kamu minta harta kerana kamu mahu kaya?"

Saya mengangguk. Senyum Haji Simpul kian lebar. Saya semakin sedar, apa yang saya lakukan malam tadi, memang kerja yang sia-sia.

"Perbuatan yang membuang masa, nasib baik kamu tidak ditimpa celaka," kali ini suaranya agak meninggi.

Bunyi deru injin kederaan yang melintas di depan membuat perasaan kami kurang aman. Nasib baik tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Rasa dingin terus menguasai diri saya.

"Kamu mesti ingat Tamar, Allah telah menciptakan manusia sebagai makhluk yang sempurna dan mulia. Kepada Allahlah manusia mohon restu dan pertolongan, bukannya kepada makhluk atau roh yang tidak tentu asal usulnya," bisik Haji Simpul ke telinga.

"Saya faham tuan haji."

“Kalau dah faham, jangan buat lagi."

"Saya berjanji," itu ikrar saya di depan Haji Simpul dan Andi Kamarool turut mendengar ikrar tersebut.

TAHAN

Tetapi, berusaha melepaskan manusia dari jadi hamba jin, hamba syaitan adalah kerja yang murni. Kerana itulah aku bersedia membantu kamu berdua, tujuan kamu untuk menyelamatkan Mia dan Harison."

Kali ini sepasang biji mata Andi Kamarool tertumbuk ke paras Andi Kamarool.

Kami melihat sebuah lori kecil datang dari arah depan. Haji Simpul segera ke tengah jalanraya lalu menahan lori kecil yang sarat membawa sayur-sayuran. Dengan serta-merta lori itu berhenti.

"Ada apa halnya ayah cik?"

Pemandu lori kecil menjulurkan kepala. Injin segera dimatikan. Tiada jawapan dari Haji Simpul untuk pemandu lori kecil berkepala merah.

Haji Simpul segera menghampiri si pemandu. Mereka bercakap, bagaikan orang berbisik. Saya kurang senang dengan cara yang dilakukan oleh Haji Simpul macam ada sesuatu yang mahu disembunyikan daripada kami berdua.

Dengan langkah yang lemah. Haji Simpul menjarakkan diri dari si pemandu dan lori. Dia segera mendekati kami.

"Drebar lori itu anak saudara aku. Dia setuju bawa kamu berdua ke Sungai Penuh," semacam ada nada bangga terlontar dari kelopak bibir Haji Simpul.

Dia segera mengambil beg pakaian kami lalu belakang lori.

Tanpa mahu berfikir panjang, saya terus meluru ke bahagian belakang lori. Andi Kamarool juga turut berbuat demikian.

Kami sama-sama memanjat lori dan segera duduk di celah bakul sayur, beberapa dari kelopak kobis yang gugur segera jatuh atas riba saya.

Bau dari bakul sayur yang kurang menyenangkan itu membuat kami terbatuk. Andi Kamarool seperti merunggut, mungkin dia merasa tidak selesa duduk berhimpit dengan bakul sayur.

"Tamar, Kamarool bukan di belakang, duduk di depan dekat drebar," suara Haji Simpul meninggi.

Kami segera turun dari belakang lori dan melangkah lemah menuju ke bahagian depan. Sebaik saja kami sampai dekat pintu lori, pemandunya melompat turun lalu menghulurkan tangan. Kami sambut salam perkenalan dan persahabatan penuh mesra.

"Duduk di belakang tak selesa, nanti seluruh badan bau sayur. Duduk di depan dekat saya," turut si pemandu dengan mesra.

Harga senyumannya murah sekali. Haji Simpul yang berdiri dalam jarak sepuluh kaki dari kami tersenyum bangga.

"Ayah cik belum perkenalkan, siapa mereka kepada saya," pemandu lori merenung tepat ke wajah Haji Simpul.

"Oh ya, aku terlupa."

Dengan serta merta Haji Simpul kerutkan kening. Kemudian dia menerpa ke arah saya dan Andi Kamarool dan kami segera dipeluknya. Ketawanya tidak putus.

"Ini, yang di sebelah kiri aku, namanya Tamar. Disebelah kanan aku namanya Andi Kamarool," tutur Haji Simpul.

Ketawa yang terputus disambungnya kembali. Telapak tangannya terus menepuk-nepuk bahu kami.

"Ada kaitan keluarga dengan kita?" soal pemandu lori.

"Ada."

"Dari sebelah mana? Barangkali dari sebelah isteri ayah cik agaknya," si pemandu kian ghairah bertanya.

"Dari aku tak ada. Dari sebelah bini aku pun tak ada."

"Habis dari keluarga mana ayah cik?"

"Keluarga dan saudara sesama Islam," balas Haji Simpul. Si pemandu anggukkan kepala.

"Mereka dari mana, ayah cik?"

"Tamar dari tanah semenanjung, Andi dari Kalimantan, mereka ke mari kerana nak cari pengalaman baru di rumah batu dan ladang misteri."

"Kalau begitu, mereka berdua memang hebat orangnya ayah cik."

"Aku tak berani nak kata apa-apa, kamu tanyalah mereka," ujar Haji Simpul.

Si pemandu ketawa kecil. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan.

Ungkapan-ungkapan yang terhambur dari bibir Haji Simpul tidak saya senangi. Ada unsur menyindir dan mengejek.

Sebenarnya, dia tidak perlu menyebut yang kami mahu cari pengalaman di rumah batu da di ladang Mia. Saya kira kata-kata itu terlalu peribadi.

Apakan daya, kami tidak mempunyai kuasa untuk menutup mulutnya.

"Sekarang kamu berdua boleh pergi."

Haji Simpul segera menjatuhkan tangan sebelah kiri dan kanan yang memeluk pinggang saya dan Andi Kamarool.

"Aku ucapkan Selamat Jalan," tambahnya lagi.

"Mari ikut, saya terlupa pula nak cakap, nama saya Abu Zaharin, panggil saya Abu, sudahlah," si pemandu yang bertubuh kecil, sulah dahinya luas tetapi, rambutnya tidak lebat. Agak jarang di bahagian tengah kepala, menarik tangan kami ke tempat duduk. Saya dan Andi Kamarool mengikut saja, macam kerbau dicucuk hidung.

Injin lori kecil segera dihidupkan.

"Kami pergi dulu, tuan haji," saya dan Andi Kamarool bersuara serentak.

"Semoga Allah memberkati perjalanan kamu bertiga, jauh dari bahaya dan petaka," Haji Simpul menadah kedua belah tangannya kelangit.

"Pergi dulu ayah cik."

Haji Simpul anggukkan kepala.

JAMU

Lori kecil, kepala merah pun bergerak perlahan-lahan. Saya lihat Haji Simpul melambai-lambaikan tangannya ke arah kami. Makin lama makin laju lori bergerak meninggalkan Haji Simpul dan kawasan ladang milik Mia.

Sudah dua puluh minit perjalanan, kami bertiga tidak bercakap sepatah apapun. Masing-masing dengan hal sendiri.

Abu Zaharin begitu tenang memaut dan memulas setering kereta. Sesekali dia bersiul kecil membawa lagu padang pasir.

Mata saya terus dijamu dengan pepohon yang menghijau di kiri kanan jalanraya. Dan matahari pun mula memancarkan ke arah pepohon di kaki dan puncak gunung.

Bila sinarnya tertampar di permukaan air sungai yang mengalir lembut akan memantulkan cahaya yang kilau-kemilau.

Suasana begini, membuat saya terasa segar, tidak jemu dan sekaligus merasa kagum dengan ciptaan Allah Yang Maha Besar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 185/284

BACA: SBDJ Siri 184: Pengawal Bertelinga Kuda
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 27, 2022

SBDJ Siri 184: Pengawal Bertelinga Kuda

SBDJ Siri 184: Pengawal Bertelinga Kuda

Andi Kamarool memperlihatkan reaksi yang sungguh berbeza. Dia meluruskan badan, menegakkan kepala. Sepasang matanya bercahaya garang terpanah ke wajah Haji Simpul. Pandangan mereka bertembung, sama-sama tidak mahu mengalah. Hati saya kembali berdebar, bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini. Lebih dari lima minit mereka beradu kekuatan, selama itu jugalah jantung saya berdenyut kencang.

Toyol jadi-jadian


Ternyata dalam pertarungan itu, kekalahan berada di pihak Andi Kamarool. Matanya, berair dan meleleh di cerun pipi. Andi Kamarool tidak mampu menandingi kekuatan anak mata Haji Simpul.

Dengan segera Andi Kamarool mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia merenung ke lantai. Suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Sukar untuk diramalkan, siapakah di antara kami bertiga akan bersuara lebih awal.

"Bagaimana Andi?" Andi Kamarool panggungkan kepala. Dengan sinar mata yang layu dia renung muka Haji Simpul.

"Apa dia tuan haji."

"Boleh kamu beritahu keputusannya sekarang," kata Haji Simpul.

"Maafkan saya, susah nak buat keputusan. Nanti dululah, tuan haji. Bila sampai masanya, saya beritahu tuan haji."

Jawapan Andi Kamarool itu membuat Haji Simpul mengkerutkan dahi dan termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba tiba dia senyum sinis sambil merenung keluar, melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk ditolak angin rembang.

"Nanti dulu tu, bila Andi?" Haji Simpul minta kepastian.

Andi Kamarool terus membisu dan resah. Dua tiga kali dia menelan air liur.

"Seminggu, sebulan atau dua bulan?" Tambah Haji Simpul.

"Nanti, saya beritahu kemudian, tuan haji."

"Tapi, kamu suka pada Mia."

"Iya tuan haji," angguk kepala Andi Kamarool.

"Mia juga sukakan Andi, tuan haji," sampuk saya.

Air muka Andi Kamarool berubah. Dia tersipu-sipu.

"Perkara tu, saya tak tahu tuan haji," Andi Kamarool gelengkan kepala tanpa mahu merenung ke arah saya.

"Kalaulah cakap Tamar betul, jangan persiakan hajat Mia," tambah Haji Simpul bersama senyum panjang. Penuh makna dan kiasan.

Ternyata senyuman yang terukir di kelopak bibir lelaki tua itu, membuat Andi Kamarool menundukkan wajahnya merenung lantai.

SALAH

Bila melihat Andi Kamarool berada dalam keadaan serba salah, saya tersenyum panjang. Andi Kamarool tahu, senyuman saya itu menyindirnya. Buktinya Andi Kamarool, mencubit paha saya sambil menunjukkan penumbuk. Haji Simpul yang nampak gelagat Andi Kamarool ketawa kecil.

"Mahu bergaduh," katanya.

Kami berdua cuma mampu tersenggih saja.

Setelah hampir dua jam berlabuh di rumah Haji Simpul, banyaklah rahsia tentang rumah batu, tentang ladang peninggalan orang tua Mia, kami ketahui.

Apa yang kami perolehi tetap menjadi rahsia, tidak boleh disebarkan kepada orang lain. Itu pesan Haji Simpul yang pasti patuhi.

Kalau dilanggar, padahnya sedia menanti. Apakah padah yang menanti, tidak pula diberitahu kepada kami.

Saya dan Andi Kamarool segera minta diri untuk pulang. Dengan senang hati Haji Simpul merestui kepulangan kami.

"Silakan, hati-hati dengan orang yang kamu temui. Kalau boleh, rahsiakan kedatangan kamu berdua ke sini jika ada yang bertanya. Kalau tak ada yang bertanya, lagi bagus," dari muka pintu Haji Simpul mengingatkan kami.

Apa yang mampu kami lakukan ialah menganggukkan kepala.

Sebaik saja telapak kaki memijak bumi, secara tidak semena-mena hujan panas turun berderai. Kami terpaksa naik ke rumah kembali. Haji Simpul turut merasa hairan dengan peristiwa yang terjadi.

Menurutnya, jarang terjadi hujan panas turun mendadak tanpa sebarang tanda. Dia bergegas turun ke kaki tangga lalu mendonggakkan kepala ke langit.

"Hujan biasa," katanya selamba.

Dia naik semula ke rumah. Bersila seperti tadi di ruang tamu yang luas. Kali ini perbualan dan cerita sudah habis diluahkan.

Bagi mengatasi kesepian, saya dan Andi Kamarool lebih hanyak bercerita tentang minat diri kami pada Haji Simpul. Orang tua yang baik hati itu sedia mendengarnya. Meskipun cerita yang kami tuturkan tidak layak untuknya dan membosankan.

Haji Simpul mempelawa kami makan tengah hari dan sembahyang zuhur di rumahnya. Permintaannya tidak kami hampakan. Makan nasi dengan sayur lemak pucuk ubi, sambal belacan berulamkan jering muda yang dihidangkan oleh piut Haji Simpul memang menyelerakan.

Kira-kira pukul tiga petang, rumah Haji Simpul kami tinggalkan. Saya dan Andi Kamarool menyusuri jalan tanah merah hingga sampai ke kawasan kedai sederet.

Kerana cuaca tidak begitu panas, angin bertiup berterusan menyebabkan badan kami kurang berpeluh. Kedai runcit paling hujung kami masuki.

Andi Kamarool membeli kira-kira tiga kepul beras, ikan masin, tiga biji telur ayam dan sedikit sayur segar.

"Cukup tak, untuk kita makan malam Tamar."

"Lebih dari cukup, Andi."

Andi Kamarool segera menjelaskan harga barang yang dibeli kepada si penjual bertubuh kecil, berkulit hitam manis dan sentiasa senyum.

"Terima kasih, saya jual, halal," katanya.

"Saya beli, halal," balas Andi Kamarool. Mereka berbalas senyuman dan akhirnya saling bersalaman.

ASING

Mungkin kerana kami orang asing,sudah tentu kedatangan kami ke kedai runcit paling hujung itu jadi perhatian para pelanggan kedai sederet.

Semasa mahu keluar dari kedai runcit, secara tidak sengaja bahu kiri saya berlaga dengan bahu seorang lelaki setengah baya yang mahu masuk ke kedai runcit.

"Maafkan saya."

"Tak mengapa, sepatutnya saya yang minta maaf bukannya kamu, saya yang tak merenung orang," kata lelaki yang setengah baya. Kami segera bersalam. Kemudian Andi Kamarool juga turut bersalaman.

"Tetamu Mia?"

Kami segera anggukkan kepala. Hairan, bagaimana lelaki setengah baya itu tahu yang kami jadi tetamu Mia. Saya renung batang tubuh lelaki itu dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas hingga dia resah semacam.

"Adik saya bekerja di ladang Mia, dia jadi mandor parit. Dia yang ceritakan kepada saya tentang kamu berdua."

"Begitu," sahut kami serentak dengan perasaan lega.

Kerana berdiri di laluan orang keluar masuk, kami segera beredar dari situ. Berlabuh di kaki lima kedai runcit. Orang yang lalu di situ, kalau merenung akan menjeling ke arah kami.

"Bagaimana dengan pengalaman di sana?"

Pertanyaan yang menimbulkan rasa cemas dalam hati. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan. Saya beri laluan pada Andi Kamarool untuk menjawab.

"Macam biasa," jawab Andi Kamarool.

"Tak mengalami perkara-perkara ganjil."

"Maksudnya?" celah saya.

Lelaki itu terdiam, macam berfikir sesuatu.

"Kata orang kawasan rumah tu ada penunggu, hebat juga bila awak berdua boleh tinggal di situ."

"Hummmmm... kami tak alami semuanya itu," saya membohonginya.

Andi Kamarool tersenggih. Dia mula menyedari yang saya mula jual temberang. Apa yang pasti, kata-kata saya tadi membuat lelaki setengah baya itu termenung panjang.

Saya tidak tahu, apakah dia percaya atau tidak. Pokoknya, saya dan Andi Kamarool tidak mahu dia bertanya lebih terperinci tentang kami, tentang rumah batu, tentang Mia.

"Dah jumpa Haji Simpul."

Lagi sekali kami dikejutkan oleh lelaki setengah baya. Kami kini, berada di saat yang sungguh genting. Kalau tidak berhati-hati, semua rahsia akan terbongkar.

"Kami tak kenal dia," sahut saya.

"Tak adakah pekerja Mia yang beritahu tentang kehebatan Haji Simpul."

"Tak ada," Andi Kamarool mula menjawab.

"Pembantu rumah Mia, si Harisun."

Jawapan saya itu membuat lelaki setengah baya menarik nafas dalam- dalam. Dia mengigit bibir sambil merenung orang yang lalu lalang di jalan tanah merah. Kemudian merenung bungkusan yang dibimbit oleh Andi Kamarool. Dari air mukanya, dapat diduga keinginannya untuk mengetahui apa yang ada dalam bungkusan.

"Barang dalam bungkusan tu, untuk makan malam."

"Ha..." lelaki setengah baya tersentak.

Dia terkejut kerana tidak menduga yang saya mahu memberitahu barang dalam bungkusan (di tangan Andi Kamarool) kepadanya.

"Nampaknya, awak berdua ni bukan sebarang orang, dada awak berisi," nada suaranya lembut.

"Itu sangkaan saja," balas saya.

Mungkin menyedari yang kami tidak memberi tindak balas yang baik dan berfaedah untuk dirinya, membuat lelaki separuh baya itu tawar hati untuk mengajukan sebarang pertanyaan kepada kami.

"Biar saya masuk kedai dulu, saya nak beli rokok," dia minta diri secara hormat dan spontan.

"Silakan," saya memberi laluan.

"Terima kasih."

Lelaki setengah baya itu pun masuk ke kedai runcit. Dan kami pun beredar dari kaki lima kedai runcit tersebut.

SELATAN

Mungkin rencana yang disusun begini, setelah membeli barang di kedai runcit, kami harus meninjau arah selatan kawasan kedai sederet. Kemudian bergerak lagi menyusuri sebatang parit kecil yang airnya tidak seberapa. perjalanan akan berakhir di satu kawasan lapang, di mana terdapat kira sepuluh buah rumah papan.

Kami harus minta tolong pada para penghuni rumah di kawasan tersebut agar menunjukkan di mana rumah kaum kerabat Kak Sun.

Ternyata, rancangan kedua tidak terlaksana. Baru kira-kira setengah rantai menyusur tepi parit, kami bertembung dengan seekor ular sawa sebesar batang pinang.

Ular sawa itu, seolah-olah menanti kedatangan kami dengan perasaan marah. Si ular membuka mulut dengan luas, bersedia untuk membelit tubuh salah seorang dari kami.

Saya dan Andi Kamarool mencari jalan selamat. Kami berpatah balik dan lari dengan sekuat-kuat hati, meredah onak dan duri. Sebaik saja kami memasuki kawasan ladang Mia, Kak Sun menanti di bawah pohon sena yang berdahan rendang.

"Kamu jumpa Haji Simpul," katanya.

Kami tidak menjawab dan meneruskan perjalanan ke rumah papan. Kak Sun terus mengekori.

"Kenapa tak beritahu aku," tambahnya.

Kami terus membisu. Langkah dipercepatkan. Kak Sun tidak putus asa. Dia terus bertanya.

"Kamu berdua memang tidak tahu menghargai budi baik orang. Menyesal aku berbudi kepada kamu," Kak Sun tidak dapat mengawal perasaan, seperti tadi juga, kami buat tidak kisah dengan apa yang dituturkannya.

Kami berpisah dengan Kak Sun sebaik saja sampai di halaman rumah batu. Tergesa-gesa dia masuk ke rumah batu dan kami meneruskan perjalanan ke rumah papan.

Peristiwa bertemu ular sawa di tepi parit, meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami. Pelbagai tanggapan dan andaian muncul dalam kepala saya dan Andi Kamarool.

Kesimpulannya, ternyata Kak Sun mempunyai peranan yang tersembunyi dalam perkara ini. Dia menjadi dalangnya. Dia menjadi orang suruhan penunggu rumah batu.

"Paling baik untuk keselamatan berdua. kita jangan ke mana-mana malam ni," turut saya sambil menatap wajah Andi Kamarool yang gusar. Dia bersandar di dinding.

"Kita tak pergi jemaah maghrib dan Isyak dengan orang kampung sebelah?"

"Tak payah, kalau kita pergi entah apa pula yang terjadi."

"Ok, sahut Andi Kamarool. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

PENDEK

Setelah menunaikan sembahyang Isyak dan melakukan wirid pendek. Kami terus ke dapur, masak ala kadar untuk makan malam. Kali ini Andi Kamarool memperlihatkan bakat tersembunyi dalam bidang masak memasak.

"Sedap," itu komen yang setelah perut kenyang.

"Itu baru permulaan," sahut Andi Kamarool, saya sambut dengan ketawa yang panjang. Ketawa saya terhenti dengan serta merta.

Andi Kamarool menahan nafas, pinggan dan piring di depan bergerak ke kiri dan ke kanan. Terdengar seperti orang bersilat di ruang tamu. Dinding rumah seperti dipalu dengan kayu. Pada saat itu juga muncul lembaga hitam dengan sepasang tangan dan kaki yang berbulu.

"Pengawal rumah batu," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali, segala-galanya akan berakhir di sini, Andi," kata saya cemas.

"Bertenang, Tamar."

Lembaga hitam itu kian berani, wajahnya yang selama ini disembunyikan dari kami dipamerkannya.

Bentuk wajahnya agak bulat, bibirnya tebal melentur ke bawah, menutup bahagian dagunya yang tajam macam muncung musang. Telinganya macam telinga kuda. Sepasang biji matanya yang sebesar telur ayam tersembul keluar, memancarkan cahaya merah dan biru silih berganti. Kulit mukanya berbulu, macam bulu kuda.

Dalam tempoh lima minit, wajahnya boleh bertukar menjadi harimau, anjing, ular tedung atau orang utan.

Apa yang terjadi membuat saya tergamam, mati akal untuk berikhtiar. Semua ayat-ayat Quran yang saya amalkan selama ini, tidak dapat saya ingati. Saya lupa dan bodoh. Segala-galanya saya serahkan kepada Andi Kamarool untuk mengendalikannya.

"Biar aku uruskan semuanya, Tamar."

"Terpulanglah pada kamu Andi."

Dengan perlahan-lahan Andi Kamarool berdiri, berdepan dengan lembaga yang mengerunkan. Bau nafas si lembaga hitam amat busuk sekali, macam bau bangkai. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah.

"Aku terpaksa menentangnya, Tamar," kata Andi Kamarool setelah dia berdiri di sudut yang baik untuk melakukan serangan.

Biji mata lembaga menyorot setiap gerak-geri dan langkah Andi Kamarool dengan teliti. Sepasang tangan yang berbulu digerakkan ke kiri dan ke kanan.

"Aku terpaksa, Tamar."

Selesai saja dia bersuara, Andi Kamarool terus melompat dan membuka silat bangau putih, tubuh lembaga diserang dengan tendangan yang padu, buah penumbuk dilepaskannya ke sasaran yang dikirakan dapat melemahkan si lembaga hitam. Temyata semuanya tidak berbasahi badan.

Andi Kamarool merangkak perlahan-lahan mendekati saya. Lembaga hitam yang berbulu tebal terus menyeringgai memperlihatkan deretan gigi sebesar kapak.

"Aku mesti mencuba dengan pelbagai cara, kau bantu Tamar."

"Bantu dengan apa Andi?"

"Dengan apa saja," kata Andi Kamarool.

Dia terus mengambil air sembahyang. Kemudian duduk bersila di kanan saya. Kerana saya hafaz yassin, saya terus membacanya dalam hati. Andi Kamarool terus berzikir.

Lembaga hitam, tidak berganjak di depan kami. Dia semakin garang, pinggan dan piring terus berterbangan dan hancur berderai.

Saya terkejut besar, secara mendadak Andi Kamarool melompat ke arah tangan kanan lembaga hitam yang berbulu. Tangan lembaga itu, dipegangnya sekuat hati dan pada saat itu juga wajah lembaga yang mengerunkan itu bertukar menjadi wajah Kak Sun.

"Muka Kak Sun," jerit saya sekuat hati.

Dengan sekelip mata, lembaga hitam ghaib depan mata kami. Di tangan kanan Andi Kamarool tergenggam seruas buluh kuning yang sudah hampir reput. Manakala di sebelah kiri saya terdapat cebisan kain kafan yang dilekati tanah merah. Saya menggigit lidah menahan rasa cemas yang menggoncang dada.

"Kita berhasil mengusirnya Tamar" nada suara Andi Kamarool riang.

"Semoga dia tak datang lagi."

"Aku juga harap begitu, kita bersihkan serpihan pinggan. piring dan gelas," Andi Kamarool segera mencampakkan seberkas penyapu lidi kepada saya.

Ruang dapur yang berserakkan dengan serpihan tembikar pinggan, piring dan kaca gelas terus dibersihkan. Dilonggokkan di suatu sudut ruang dapur, sebelum disumbatkan, ke dalam raga sampah.

Tetapi bau busuk masih berlegar-legar di ruang dapur. Beberapa helai bulu, seperti bulu nibung terlekat di dinding.

"Aku fikir bulu tu, milik makhluk aneh," kata saya.

"Aku fikir juga macam tu, biarkan di situ. Jangan di usik," jawab Andi Kamarool.

BEREDAR

Kerana semuanya sudah selesai. Kami pun beredar ke ruang tamu. Andi Kamarool terus berzikir. Dan saya juga turut berzikir.

Suara Andi Kamarool yang keras beransur menjadi lemah dan perlahan, akhirnya terus hilang. Bila saya toleh ke arahnya. saya dapati dia sudah rebah di lantai. Dia keletihan, fikir saya.

Bila berseorangan, saya tidak dapat meneruskan wirid dengan baik. Macam-macam yang datang dalam tempurung kepala. Badan saya rebahkan di sisi Andi Kamarool dengan harapan dapat tidur segera.

Setengah jam masa berlalu tetapi, saya masih belum tidur. Masih mengiring ke kanan, mengiring ke kiri, menelentang menatap lelangit rumah. Berpuluh-puluh kali, kelopak mata saya rapatkan tetapi, mata saya masih terbeliak, masih segar tidak ada sedikit pun tanda-tanda mahu mengantuk.

Suasana malam yang sepi membuat saya tidak tentu arah. Rasa takut dan cemas silih berganti datang dalam diri.

Bila terdengar suara lolongan anjing, suara burung hantu, desiran dedaun yang berlaga sama sendiri membuat bulu roma yang tegak berdiri. Rasanya, pada saat itu juga saya mahu mengejutkan Andi Kamarool. Biarlah dia tidur, saya membuat keputusan.

Saya terus duduk mencangkung memeluk sepasang lutut, merenung tiap sudut ruang. Beberapa ekor cicak berlarian di dinding dan ke langit mengejar seranga yang merayap di situ. Apa yang peliknya, saya sentiasa merasa cemas, takut dan seram.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya harus melakukan sesuatu. Dengan berbuat demikian secara langsung rasa seram dan takut akan terusir dari saya.

Tiba-tiba secara tidak sengaja, saya terpandang dupa tembaga di tepi tiang. Di kaki tembaga terdapat beberapa ketul kemenyan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membakar dan menghidupkan bara api dalam dupa. Ketul kemenyan saya pecah-pecahkan menjadi butir-butir kecil. Bahang bara dari dupa menghangatkan tubuh.

Butir-butir kemenyan saya campakkan ke dalam dupa. Asap nipis mula mengembang bersama bau yang kurang menyenangkan.

Dua tiga kali saya tersedak dan mata terus berair. Bila sudah begitu. saya sepatutnya berhenti mencampakkan butir-butir kemenyan dalam dupa. Tetapi, saya tidak berbuat demikian, sebaliknya saya terasa seronok bermain dengan bara dan asap kemenyan.

Akibat dari keseronokkan tanpa batas itu, seluruh ruang dipenuhi dengan asap kemenyan membuat saya sesak nafas.

Dalam kepulan asap itu, saya terlihat pintu sebelah kanan dan kiri (yang pernah digunakan oleh datuk dan Haji Basilam) bergerak dengan kuat memukul dinding.

Bunyinya memekakkan anak telinga. Rumah bergegar semua barang yang tergantung dan berada di tempat tinggi, jatuh berserakkan di lantai. Batang tubuh Andi Kamarool bergolek ke arah pintu ruang dapur, terkandas di bendul. Anehnya, Andi Kamarool tidak terjaga dari tidur.

Saya cuba berdiri tetapi, tidak berhasil. Saya mula terasa rumah seperti berpusing, macam gasing. Pandangan saya berpinar-pinar. Saya cuba menjerit malangnya suara tidak keluar.

Saya benar-benar takut dan cemas. Andi Kamarool masih terbujur macam mayat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 184/284

BACA: SBDJ Siri 183: Matanya Mula Merah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com