Thursday, November 24, 2022

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

Nilai bola sememangnya berbeza-beza bergantung pada perlawanan bola sepak, tempat pemain menggunakan bola, jika ia ditandatangani oleh seseorang yang terkenal atau jika ia mempunyai warisan sejarah.

Kami kongsikan senarai 5 bola paling mahal di dunia dengan sesetengah daripada bola ini sememangnya bola sebenar yang boleh digunakan dalam permainan bola sepak profesional sementara ada segelintir daripadanya mempunyai nilai tinggi kerana ciri unik padanya.

Namun, dengan harganya yang tidak masuk akal dan bahan binaannya itu, kita tahu bahawa bola ini dibuat sebagai koleksi semata-mata dan bukannya dibuat untuk perlawanan sebenar.

1. Bola Berlian Shimansky
Harga: $2,500,000

Bola Berlian Shimansky

Bola yang diperbuat dari berlian 3,500 karat ini, menjadikan ia bola bola paling mahal di dunia.

Bola bertatahkan berlian ini mempunyai 6,620 berlian putih dan 2,640 berlian hitam dipisahkan ke dalam tompok bola yang sesuai. Ia mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Bola ini direka untuk Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan. Pereka barang kemas Yair Shimansky mencipta bola ini untuk meraikan kejohanan itu.

Replika bola ini yang diperbuat dari kristal pula telah dilelong di mana hasil lelongan didermakan ke badan kebajikan.

2. Bola Berlian milik Benzema
Harga: $250,000

Bola Berlian Benzema

Bola kedua termahal dunia ialah bola bertatahkan berlian, bernilai suku juta dolar yang dibeli oleh pemain bola sepak Perancis, Karim Benzema.

Menurut tukang emas Dave Bling dan pasukannya, Benzema menghubungi mereka dengan permintaan untuk mencipta bola 1,250 karat.

3. Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998
Harga: $3,500-$5,500

Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998

Salah satu bola termahal ialah bola keluaran Louis Vuitton Edisi Terhad yang dibuat untuk Piala Dunia Perancis pada tahun 1998.

Bola itu diperbuat daripada kulit, dalam corak monogram Louis Vuitton "LV" dan Louis Vuitton/Paris/Made in France dicap pada bahagian bawah bola.

Bola LV berwarna coklat sebagai warna utamanya ini mempunyau beberapa corak butiran persegi emas.

Apabila jenama ini mengumumkan pengeluaran bola mahal ini, peminat terkejut dengan tanda harga, seolah-olah anda membayar untuk nama jenama dengan populariti besar di dunia moden.

Tengok jenama LV sahaja pun kita boleh agak bola ini dijual kerana jenamanya dan untuk dijadikan sebagai koleksi semata-mata.

4. Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona
Harga: $2,300

Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona

Satu lagi bola yang ditandatangani ialah Bola Nike Barcelona 2021/2022 dengan pelbagai tandatangan.

Bola itu ditandatangani tangan oleh pemain FC Barcelona Adama Traore, Dani Alves, Ferran Torres, Jordi Alba Ramos, Nico Gonzales, Ronald Araujo dan Xavi Hernandez, sekadar memberikan beberapa nama.

Bola tandatangan berbilang pemain Barcelona ini dijual di laman web Sports Memorabilia dengan harga $2,300 dalam keadaan sangat baik.

Bola ini telah dilesenkan secara rasmi, dengan reka bentuk 12 panel yang licin dan belon getah di dalamnya untuk membantu tekanan udara apabila bola ditendang atau dibaling.

Bola keluaran Nike ini boleh digunakan untuk permainan sebenar, walau bagaimanapun kerana harganya yang begitu mahal, ia sememangnya barang koleksi untuk peminat Barcelona.

5. Bola Liga Juara-Juara Eropah Ditandatangani Lionel Messi
Harga: $1,900

Bola Liga Juara-Juara Lionel Messi

Bola yang ditandatangani ini telah meningkatkan nilainya kerana Lionel Messi dan tandatangan tulisan tangannya di sisi.

Bola sepak ini telah ditandatangani semasa Liga Juara-Juara UEFA 2021, di mana Lionel Messi bermain untuk Paris Saint-Germain.

Pasukan Messi tidak bermain di perlawanan akhir, tetapi memandangkan Messi digelar "Maradona baharu" kerana kejayaannya, tandatangannya itu dianggap lebih bernilai daripada pemain lain.

Musim 2021/2022 pasukannya dianggap mengecewakan kerana mereka tewas pada Pusingan ke-16 kejohanan Juara UEFA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, November 23, 2022

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Piala Dunia dikenali sebagai kejohanan yang berlangsung setiap 4 tahun sekali, dengan hak penganjuran sebagai tuan rumah berpindah-pindah di antara benua. Namun, kenapa Piala Dunia berlangsung setiap 4 tahun?

Kenapa FIFA Setiap 4 Tahun

Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia, temasya Sukan Olimpik moden sudah jauh lebih awal pada tahun 1896. Salah satu acara yang cuba dipertandingkan dalam temasya Olimpik adalah bola sepak.

Kisahnya, dalam era tersebut disebabkan kekangan logistik dan fasiliti yang boleh diguna pakai, perlawanan bola sepak biasanya terhad dianjurkan dalam kejohanan tempatan, dikendalikan oleh persatuan bola sepak peringkat daerah atau negeri.

Jarang masyarakat ketika itu dapat menyaksikan perlawanan di antara negara berlangsung kecuali bagi negara-negara berjiran; seperti perlawanan di antara England dengan Scotland yang berlangsung pada tahun 1872.

Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, menjadi perlawanan pertama dalam sejarah masyarakat dunia menampilkan dua pasukan yang mewakili dua negara berentap atas padang.

Sambutan penyokong serta masyarakat antarabangsa yang mahu melihat pasukan-pasukan negara berentap antara satu sama lain, membolehkan bola sepak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik 1900 di Paris, Perancis sebagai acara persembahan.

Penubuhan FIFA

Bagi memperkemas perkembangan sukan agar berkembang ke satu hala tuju yang konkrit, usaha menubuhkan sebuah badan khusus bagi menyelia sukan bola sepak dijalankan.

Beberapa negara Eropah mula berbincang sesama mereka bagi menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau perjalanan dan susun atur sukan itu pada tahun 1904, dengan penyertaan negara seperti Perancis, Belgium, Denmark, Belanda, Sweden dan Switzerland.

Sepanyol pula ketika itu tiada wakil negara, diwakili pentadbir kelab Madrid Football Club (kini Real Madrid).

Mereka bersepakat mewujudkan kerjasama menubuhkan Fédération internationale de Football Association, diolah menggunakan bahasa Perancis dengan singkatannya FIFA, oleh kerana Perancis menawarkan diri menjadi tuan rumah persidangan kali pertama.

Itulah sebabnya nama FIFA secara rasmi terus ditulis dalam bahasa Perancis sehingga sekarang. Mesti ramai tak perasan nama penuh FIFA sebenarnya bukan dalam bahasa Inggeris kan?

Berikutan kejayaan penubuhan sebuah badan khusus mentadbir perjalanan sukan bola sepak, FIFA mula diberikan peluang memainkan peranan menyokong penganjuran acara bola sepak bermula dalam beberapa kejohanan lain pada tahun 1906 dan sukan Olimpik bermula dengan temasya 1908.

Bergantung Kehendak Sukan Olimpik

Bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, Jawatankuasa Olimpik dan FIFA memulakan hubungan pertama secara rasmi dengan penganjuran acara bola sepak Olimpik 1908 di London.

Bagaimanapun kebanyakan perlawanan berkesudahan dengan keputusan yang agak berat sebelah, berikutan kualiti pemain yang tidak seimbang antara negara yang menghantar pasukan.

Punca utamanya adalah disebabkan syarat ketat Olimpik memerlukan semua peserta atau pemain yang bertanding dalam temasya, haruslah bergelar seorang atlet amatur.

Syarat ini menjadi kekangan utama untuk negara-negara yang pada ketika itu sudah mula membentuk skuad bola sepak sendiri, dibarisi pemain-pemain berstatus profesional.

Situasi pemain amatur ini kekal dalam beberapa siri kejohanan Olimpik, menyebabkan FIFA mula merasakan kemajuan sukan bola sepak tidak boleh berlaku selagi mana mereka masih menuruti syarat penganjuran Olimpik.

Status amatur yang wajib diikuti dikhuatiri FIFA, hanya mengakibatkan banyak pasukan gagal menyediakan pasukan yang benar-benar mantap beraksi.

Faktor inilah yang menjadi punca kenapa kepimpinan tertinggi FIFA mengorak langkah mahu mewujudkan satu kejohanan berbeza di bawah payung sendiri.

Temasya Olimpik 1928 di Belanda menyaksikan bola sepak menjadi acara paling popular dengan menyaksikan Uruguay menewaskan Argentina untuk memenangi pingat emas.

Menyedari itulah detik terbaik untuk mereka berpecah dari Olimpik, FIFA memulakan pelan kejohanan bola sepak antara negara dengan sasaran kejohanan pertama akan dimulakan dalam tahun 1930.

Berpecah Dari Olimpik

Bagi memastikan peminat sukan bola sepak tidak terkeliru dengan kewujudan satu kejohanan bola sepak baru, FIFA mengumumkan bola sepak tidak akan dipertandingkan dalam tahun 1932.

Hanya satu kejohanan, iaitu kejohanan Piala Dunia 1930 diambil kira sebagai kejohanan bola sepak rasmi yang disahkan FIFA.

Walaupun sudah berpisah, FIFA tetap menghormati jasa baik Olimpik yang sudah memberikan mereka platform pendedahan dan tapak mula.

Demi memastikan penjadualan kedua-dua buah kejohanan tidak terganggu, FIFA bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia setiap 4 tahun sekali sama seperti Olimpik, dengan penganjurannya berlangsung dalam tahun ke 2 selepas setiap kali Olimpik berlangsung.

Penganjuran Piala Dunia 1930 bertempat di Uruguay, menyaksikan tuan rumah mengulangi pencapaian mereka di Olimpik 1928 dengan membenam Argentina 4-2, melayakkan Uruguay bergelar pemenang pertama Piala Dunia.

Kejohanan yang disertai 13 buah negara majoritinya oleh pasukan dari benua Amerika Selatan disebabkan oleh kesukaran pasukan dari Eropah untuk hadir, tetap diterima baik membuktikan Piala Dunia boleh berkembang lebih besar.

Penganjuran dalam zaman moden

Ura-ura cadangan untuk menukarkan kejohanan sukan bola sepak Piala Dunia kepada kejohanan 2 tahun sekali, masih dalam proses perbincangan pihak terlibat.

Cadangan ini didasari berdasarkan kadar keuntungan yang lebih kerap boleh dijana, berikutan kekerapan penganjuran yang meningkat seandainya cadangan ini dapat dilaksanakan.

Namun, jika dinilai dalam aspek sekarang, 4 tahun jarak di antara setiap kejohanan Piala Dunia sebenarnya harus dilihat wajar dikekalkan.

Ini kerana skop penganjuran perlu ditanggung negara tuan rumah bagi mempersiapkan fasiliti yang diperlukan, jauh lebih besar berbanding Piala Dunia edisi terdahulu.

Seandainya dinilai pada aspek pemain dan pasukan, dalam zaman sekarang pun sudah wujud kejohanan bersifat dalam benua seperti Piala Asia, Piala Eropah dan Piala Negara-Negara Afrika yang mengisi kalendar kejohanan, dianjur berselang 2 tahun dengan tarikh Piala Dunia.

Adakah pertukaran penganjuran Piala Dunia ke 2 tahun sekali lebih baik atau hanya akan mengakibatkan lambakan kejohanan sehingga Piala Dunia hilang prestijnya?

Ada kemungkinan situasi sebegitu akan berlaku, tetapi kita yakin potensi penganjuran yang membawa kepada janaan untung komersial sudah menjadi satu kepentingan yang tidak lagi dapat dihiraukan.

Bila agaknya Piala Dunia akan berlangsung 2 tahun sekali?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau beberapa parti yang tidak mempunyai kelebihan majoriti di Parlimen.

Di bawah kerajaan ini, polisi atau undang-undang hanya boleh diluluskan selepas mendapat sokongan bilangan ahli parlimen mencukupi sekaligus menggalakkan penglibatan parti-parti dalam parlimen.

Kerajaan minoriti Malaysia

Bagaimanapun, ia tidak stabil berbanding kerajaan majoriti, kerana sekiranya ahli-ahli parlimen yang menentang tidak bersetuju dengan polisi yang hendak diluluskan, mereka boleh menolak atau mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan berkenaan.

Justeru, untuk mengelak perkara sebegitu berlaku, kerajaan minoriti harus membentuk perjanjian keyakinan dan bekalan dengan parti-parti tertentu atau ahli parlimen bebas.

Perjanjian ini ialah parti-parti tertentu atau bebas bersedia menyokong kerajaan minoriti dengan undi kepercayaan atau menyokong usul belanjawan kerajaan sama ada dengan mengundi sokong atau memilih berkecuali.

Namun, parti-parti ini masih mempunyai hak mengundi usul-usul yang memihak kepada mereka atau berdasarkan hati nurani mereka dalam usul perundangan.

Aturan sebegini bukan perkara baru dalam soal kerajaan minoriti. Misalnya pada tahun 2017, selepas Parti Konservatif UK gagal membentuk majoriti, mereka membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP).

Tetapi, mampukah kerajaan minoriti yang dicadangkan itu berlaku di Malaysia?

Kerajaan minoriti memerlukan ihsan dari pihak lawan untuk meluluskan undang-undang atau polisi yang cuba dilaksanakan, sekaligus menjadikan kerajaan tersebut kerajaan yang lemah.

Ini berlaku kepada kerajaan Parti Buruh UK pada tahun 1977. Perdana Menteri ketika itu, James Callaghan berhadapan usul undi tidak percaya dari parti-parti pembangkang.

James Callaghan baru saja menjawat jawatan berkenaan selama setahun menggantikan Harold Wilson.

Untuk mengelak situasi undi tidak percaya berlaku kepada mereka, James Callaghan mengadakan perjanjian dengan Parti Liberal Demokrat yang diketuai David Steel.

Sebagai tukaran kepada sokongan dalam usul undi tidak percaya, beberapa cadangan parti berkenaan akan diterima oleh Parti Buruh.

Namun, perjanjian tersebut ditamatkan pada September 1978 dengan Parti Buruh mengumumkan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim luruh 1978 dan akibatnya, kerajaan James Callaghan ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya pada Mac 1979.

Ini memaksa beliau mengadakan pilihan raya beberapa bulan selepas itu dan pada Mei 1979, Parti Konservatif yang diketuai Margaret Thatcher menduduki No 10 Downing Street.

Situasi sama turut melanda India pada tahun 1996 hingga 1998. Pada tahun itu, 13 parti kecil membentuk satu perikatan politik yang dipanggil Barisan Bersatu (UF/BB).

Pada pilihan raya umum 1996, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya meraih kelebihan majoriti.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu 161 kerusi dari 543 kerusi dan dijemput membentuk kerajaan. Hasilnya, Atal Bihari Vajpayee dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Atal Bihari Vajpayee gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan kerajaannya tumbang 13 hari kemudian.

Selepas itu, Parti Kongres yang mempunyai 140 kerusi dijemput melakukan perkara sama tetapi menolak berbuat demikian.

Ini yang membawa kepada pembentukan kerajaan BB yang disokong Parti Kongres dan Parti Komunis India-Marxist (PKI-M) dengan H.

D. Deve Gowda dilantik sebagai Perdana Menteri, bagaimanapun beliau hanya bertahan setahun (1 Jun 1996 – 21 April 1997) apabila Kongres menarik balik sokongan atas alasan tiada komunikasi antara BB dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Parti Kongres beralah apabila BB melantik I. K. Gujral sebagai Perdana Menteri baru.

Malangnya, I K. Gujral hanya bertahan selama setahun (21 April 1997 – 19 Mac 1998) sebelum kerajaannya tumbang gara-gara pelbagai kontroversi berlaku ketika itu yang mendorong Parti Kongres menarik diri.

Justeru, sekiranya idea kerajaan minoriti diteruskan juga, permusuhan dan perbalahan membabitkan drama politik negara takkan berakhir.

Ia akan terus dimainkan sehingga ke satu tahap dimana negara akan berada dalam keadaan pegun kerana dasar dan polisi tak boleh dibuat.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin hari semakin teruk, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat.

Justeru, perlunya sebuah kerajaan yang memiliki mandat semula daripada rakyat untuk memperbaiki keadaan.

Bayangkan, dengan kerajaan sebelum ini pun ekonomi negara sudah tunggang-langgang, memperjudikan nasib dengan menyokong kerajaan minoriti yang juga menunggu masa untuk rebah adalah sangat membebankan.

Kalau anda sendiri seorang pelabur, adakah anda akan masuk melabur di Malaysia?

Itu baru masalah ekonomi, belum lagi masalah-masalah lain seperti masalah sosial dan hubungan antara kaum.

Sama-samalah kita menyuarakan dengan tegas mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, November 22, 2022

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU, bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Politik jijik

Ia berikutan kerajaan sementara bukan sebuah kerajaan sebenar dan hanya berfungsi untuk jangka masa pilihan raya dijalankan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Meskipun perlembagaan tidak secara spesifik menawarkan formula yang tuntas dalam keadaan hung parliament, namun wujud alternatif selain kerajaan yang didirikan atas keadaan simple majority (majoriti mudah).

Jika menurut amalan negara Komanwel, Yang di-Pertuan Agong akan melantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi dan kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya.

Perdana Menteri baharu itu juga mempunyai pilihan untuk memasuki Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), seperti yang berlaku pada awal pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Tanpa penubuhan sebuah kerajaan baharu, bajet juga tidak dapat dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen dengan anggapan individu itu boleh mendapat sokongan yang banyak tanpa bukti kerusi parti yang dimenangi pada PRU.

Penggunaan surat sumpah berkanun (SD) juga boleh bertindan (duplicate), selain ia walaupun diterima pakai tetapi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana bukti paling utama dalam pilihan raya umum datangnya daripada rakyat melalui peti undi.

Rakyat telah memilih parti dan parti itu yang akan menamakan calon Perdana Menteri.

Undi popular juga boleh digunakan dalam pemilihan Perdana Menteri, seperti dalam demokrasi lain di dunia, walaupun ia bukan amalan biasa dikalangan negara Komanwel, namun penggunaan undi popular boleh diambil kira untuk memilih calon Perdana Menteri

Mungkin ada yang akan bertanya: Adakah kerajaan minoriti itu akan dilihat stabil?

Tiada undi tak percaya

Dengan adanya undang-undang antilompat parti, keadaan akan boleh menjadi stabil meskipun ia hanya berstatus kerajaan minoriti.

Mungkin juga ada yang bertanya: Macam mana sekiranya ada undi tidak percaya dikemukakan?

Fenomena undi tidak percaya boleh diatasi melalui sebuah mekanisme yang dipanggil CSA (Confidence-Supply Agreement) atau dikenali juga sebagai perjanjian keyakinan dan pembekalan.

Ia boleh dimeterai di antara kerajaan dengan gabungan politik atau dengan parti-parti tertentu.

Secara mudahnya, melalui perjanjian tersebut sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

Sebagai balasan atau imbalan pula, pihak yang memetarai CSA dengan kerajaan minoriti itu tidak akan dibenarkan untuk melakukan perkara tertentu, seperti tidak boleh bertindak mengemukakan undi tidak percaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, November 17, 2022

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Sekitar 1970-an, industri perbankan adalah sebuah pasaran yang membosankan. Orang datang bank untuk menyimpan duit, yang dibelanjakan bank demi keuntungan. Dan hasil keuntungan ini, bank mampu memberi pinjaman berfaedah (loan with interest).

Kelicikan Sistem Riba

Jadi, konsep bank adalah untung membuat untung – produk yang mencipta produk baru. Masuk 1990-an, bank meluaskan rantaian ini. Produk mencipta produk baru yang mencipta produk lebih baru. Rantaian bertambah; bank melebarkan untung. Puncanya adalah pemacuan ekonomi yang sangat baik.

Antara 1980 sampai 2000, Amerika Syarikat berada di puncak dari segi kewangan dan global. Kekayaan mereka memang luar biasa, tidak tercabar mana-mana musuh.

Tetapi sekitar dekad inilah timbul satu musuh baharu, iaitu diri mereka sendiri. Dan seluruh dunia bergegar apabila industri perbankan mula memandang enteng pada tanggungjawab mereka.

Umumnya jutaan orang meminjam daripada bank untuk membeli rumah. Jadi mereka perlu membayar dengan faedah. Katakanlah pinjam AS$50,000 dan bayar balik AS$270 setiap bulan selama 30 tahun. Cukup 30 tahun, jumlah bayaran adalah AS$97,200. Jadi bank mendapat untung sebanyak AS$47,200.

Itu seorang. Kalau sejuta peminjam, sudah AS$47.2 bilion. Katakanlah bank ada 2,000 peminjam (AS$94.4 juta). Semua pinjaman ini disumbat dalam satu kolam, menjadi alat bernama Mortgage-Backed Security (MBS) (Erturk & Gabor, 2016).

Konsepnya mudah: tiada individu atau syarikat yang tidak akan membayar pinjaman rumah. Jadi, jaminan untung bank menjadi alat untuk membuat untung.

Mereka menjualnya dalam bentuk bon pada agensi kerajaan atau bank pelaburan yang kemudian meminjamkannya kepada pelabur-pelabur lain.

Dan pada tahun 2002, bank-bank Amerika Syarikat rata-ratanya menstrukturkan alat MBS menjadi sejenis kek.

Bon besar membuat kek yang dipotong pula untuk hidangan pelabur. Konsepnya masih sama: menjana pendapatan melalui faedah semata-mata.

Tetapi macam biasa, kalangan pelabur pun ada kasta. Kek takkan dipotong secara saksama. Sesiapa yang bayar lebih, dapat potongan lebih besar.

Jadi, jika ada pembeli rumah tidak dapat membayar balik pinjaman, pelabur yang pegang potongan paling kecil akan kena dulu. Soalan sama masih menyantuni mereka: pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dan santunan ini menjadi punca mereka bertambah tamak. Mereka meringankan kemudahan untuk buat pinjaman. Sampai ke tahap pengutip buah dengan pendapatan AS$14,000 setahun tanpa kemampuan bercakap bahasa Inggeris tiba-tiba layak meminjam untuk membeli rumah berharga AS$724,000.

Kadar faedah ditetapkan pada masa itu sangat rendah (tetapi boleh diapung setiap tahun) dan masuk tahun 2006, mimpi ngeri mula melanda apabila kadar faedah menunjukkan trend kenaikan (kerana individu mampu meminjam untuk membeli rumah).

Tidak cukup dengan itu, mereka membuat sistem pertaruhan pada potongan kek tersebut. Sepotong kek katakanlah melibatkan pelaburan AS$1 juta. Dua orang belakang membuat pertaruhan: "Saya bertaruh dia akan dapat duit itu."

Katakanlah untung pertaruhan ini adalah AS$2 juta. Kemudian dua orang di belakang dua orang ini membuat pertaruhan baru, "Saya bertaruh orang depan kita akan dapat AS$2 juta itu."

Dan dua orang belakangnya sambung lagi dalam sebuah rantaian yang bergantung pada potongan kek tadi. Maka begitulah rantaiannya sampai ke orang belakang yang entahnya tidak tahu pun apa yang sedang dipertaruhkan. AS$1 juta sekarang boleh jadi AS$200 bilion.

Sekarang, apa jadi kalau potongan kek tidak mendapat AS$1 juta? Tetapi mana mungkin tidak dapat, sebab pelaburan potongan kek ini bergantung pada pinjaman rumah. Dan pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dua tahun kemudian, dua perkara berlaku: Individu sudah tidak mampu membeli rumah dan peminjam sedia ada tidak mampu membayar balik, kerana kadar faedah melambungkan bayaran bulanan mereka hingga ke tahap tidak mampu dibayar.

Akhirnya apa yang terjadi? Dari bawah, sistem kewangan yang mereka bina mulai runtuh, membαhαm semua pelabur, menyebabkan krisis kewangan begitu kronik, teruk dan jijik.

Dan percayalah, inilah punca ramai semakin hilang kepercayaan pada industri perbankan.

Sekarang sudah ada alternatif seperti matawang kripto yang mampu menyimpan duit dalam sistem blok rantai kerana katanya lebih selamat berbanding bank (David, 2022).

Pengguna hanya perlu memastikan kesahihan sebuah kripto, seperti Bitcoin, Ethereum dan Uniswap misalnya. Dan satu-satunya bαhαyα kripto sah adalah turun naik nilainya. Kena berlaku adil – ini perkara biasa, kerana nilai emas pun ada naik turun.

Namun, fenomena emas dan matawang kripto lebih mudah difahami, berbanding alasan diberi pihak perbankan setiap kali masalah berbangkit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, September 09, 2022

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Banduan sakit - termasuk sakit perut - di dalam penjara bukan sesuatu yang luar biasa. Sakit perut yang berulang dan masalah ulser bukan pelik kerana kehidupan di sebalik tembok konkrit dan jeriji besi tidak sama dengan kehidupan di luar.

Pencuri suci
Gambar hiasan.

Di dunia bebas, seseorang boleh bergerak ke mana-mana dan makan apa saja. Malah, dia boleh disanjung dan dipuja juga.

Di dalam tembok yang mengurung itu, seseorang banduan diajar supaya berfikir dan membentuk sahsiah lebih baik. Di dalam sana juga ada peraturan yang dinamakan disiplin dalam penjara.

Seseorang tahanan tidak bebas keluar masuk ke ruang makan atau bebas mendapat hidangan apa sahaja pada bila-bila masa.

Jika di luar penjara, seseorang itu bebas berhibur seperti mendengar lagu Madah Berhelah berkali-kali tanpa sekatan, tetapi di dalam, mengidamkan mocha istimewa pun belum tentu dapat.

Cuma, di dalam kurungan itu tidaklah lagi seseorang boleh diganggu oleh arahan atau leteran sesiapa, termasuk isteri sendiri.

Penjara bukan untuk memenjarakan minda seseorang, tapi untuk membugar keinsafan. Penjaralah yang melahirkan ramai tokoh besar dunia dalam pelbagai sektor. Penjara juga ruang untuk mendidik seseorang supaya berjiwa besar.

Nabi bukan pencuri

Justeru tidak aneh apabila ada orang yang membandingkan seorang banduan dengan mendiang Nelson Mandela, serta bersandar kepada ibrah teraniayanya Nabi Yusuf a.s.

"Mungkin ini adalah cara Allah SWT untuk mengangkat darjat dengan lebih tinggi," kata seorang anak lelaki kepada seorang banduan.

"Itulah yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas tuduhan palsu."

Dia juga berkata, "Apabila bebas Nabi Yusuf diangkat sebagai menteri berkuasa lagi bijaksana di Mesir. Nelson Mandela yang menentang dasar aparteid - apabila bebas - diangkat sebagai presiden Afrika Selatan yang berjaya menyatupadukan orang kulit putih dan bangsa Afrika."

Ramai yang sinis dengan hujah itu. Membandingkan seorang pencuri dengan Nabi Yusuf adalah tidak masuk akal.

Nabi Allah itu dipenjara kerana perjuangan menegakkan agama Allah. Nabi tidak mencuri dan nabi bukan mat sakau.

Nelson Mandela pula melupakan keselesaan hidup semata-mata mahu membentuk Afrika Selatan yang makmur dan saksama. Nelson Mandela tidak menubuh syarikat untuk mengaut duit negara.

Isteri Mandela tidak ada beg Bijan atau berlayar dengan kapal mewah ke kawasan peranginan dunia.

Nelson Mandela menanggung risiko menghabiskan lebih suku abad daripada hidupnya di dalam penjara yang terletak di Pulau Robben, Cape Town, yang kemudian dipindahkan ke Penjara Pollsmoor, Afrika Selatan.

Nelson Mandela bukan pencuri. Dia adalah pejuang kemerdekaan di negaranya.

Pada 7 November 1962, Nelson Mandela dijatuhi hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meninggalkan negara secara haram dan menghasut kelompok pekerja untuk memberontak terhadap kerajaan kulit putih.

Sebelum dipindahkan ke Pulau Robben, selama tujuh bulan pertama dia menjalani hukuman di penjara Pretoria.

Di dalam penjara Pulau Robben yang berukuran tidak lebih dari lima meter itu, Nelson Mandela tidur beralaskan tikar tipis, kekurangan makanan dan turut mengalami penyeksaan.

Dia dilarang membaca akhbar dan buku kerana bimbang mendapat akses kepada maklumat di luar. Nelson Mandela tidak mengadu sakit perut, gastrik atau ulser dalam perut.

Rumah akal

Bertahan selama 27 tahun dalam kurungan adalah penyeksaan yang luar biasa. Jasad terkurung, namun roh dan semangatnya berterbangan melintasi garis sempadan geopolitik.

Nelson Mandela menggunakan pengetahuan hukumnya untuk mengkritik masalah penindasan, pelecehan dan kekerasan terhadap bangsa kulit hitam.

Ketika Nelson Mandela menghembus nafas terakhirnya pada 5 Disember 2013, namanya terus hidup merentasi segala benua dan lautan. Ia berterbangan dengan penuh harum, bukannya bersama kejian dan cacian.

Tentunya Nelson Mandela dikenang kerana kebaikan dan kesungguhannya menentang penindasan dan tidak terpalit dengan jenayah mencekau wang bernilai berbilion ringgit.

Di rantau sini, ada Pramoedya Ananta Toer, juga rekod peribadi yang baik ketika dalam tahanan. Katakan apa sahaja tentang beliau - pengganas, tali barut komunis dan anti-Islam, dia adalah susuk kemanusiaan yang tegas dan dipancarkan melalui novelnya.

"Penjara adalah rumah akal," kata Pramoedya.

Pada 13 Oktober 1965, rumahnya di Utan Kayu, Jakarta Timur, dilempari batu oleh segerombolan pemuda. Pintu rumahnya hancur.

Dia yang sibuk menulis saat itu, meneriaki mereka. Kakinya terluka kena lemparan batu. Ketika hendak melawan, tentera datang mencegah.

"Mari Pak, kita amankan!"

Pramoedya tidak tahu apa yang terjadi. Dia hanya membawa beberapa naskhah buku, kotak fail, mesin taip dan manuskrip yang harus diselesaikan.

"Saya kira diamankan dari gerombolan pemuda ini. Enggak tahu ditahan selama 14 tahun," kata Pramoedya seperti dikutip dari buku Pram Melawan (2011).

Seluruh barangnya disita. Yang paling membuat Pram sedih, banyak naskhah karangannya dibakar. Badannya digebuk sampai hampir tidak sedarkan diri. Pembantaian yang dialami saat itu merosak deria pendengarannya.

Telinga kirinya luka parah hingga kadang-kadang mengeluarkan darah sampai dia tua.

Pram dipindah-pindahkan dari tahanan tentera ke Cipinang, Tangerang, Nusa Kambangan, hingga tahanan di Pulau Buru. Penangkapan itu menjadi titik penting dalam hidupnya.

Ia membentuk Pram menjadi sosok yang keras, penuh kemarahan dan bergelora dengan hasrat melawan. Semua itu tertuang dalam tulisannya.

Lebih daripada 50 karyanya berhasil diterbitkan dan diterjemahkan ke 41 bahasa. Sejumlah penghargaan antarabangsa diterimanya, termasuk Anugerah Magsaysay.

Hari ini, karya-karya Pram masih laris dibeli, dicari dan terus dicetak ulang.

Penjara juga menciptakan karya besar daripada dua orang ini: Buya Hamka (1908 - 1981) dan William Addis (1734 - 1808).

Dalam jeriji penjara, Hamka menyelesaikan kitab Tafsir al-Azhar sebanyak 30 juzuk, manakala di penjara London, Addis mendapat inspirasi mencipta berus gigi yang kemudian membuatnya kaya-raya.

Hamka ditangkap pada awal Ramadhan 1964 oleh rejim Sukarno atas tuduhan berkomplot merencanakan pembunuhan presiden. Tuduhan itu tidak masuk akal kerana Hamka tidak lagi berpolitik kerana parti Masyumi sudah dibubarkan Sukarno pada 1960.

Sukarno bahkan sebenarnya bimbang kritikan Hamka terhadap penindasan demokrasi akan menyebabkan massa memberontak.

Di penjara Sukabumi, Hamka diseksa hingga sakit. Setelah dirawat di Hospital, dia menjalani tahanan di Rumah Tahanan Tentera Jakarta.

Di situlah Hamka banyak menggunakan waktunya menyiapkan Tafsir Al-Azhar dan ia muncuyl sebagai karya besar. Itulah tafsir Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap analisisnya.

Tafsir Al-Azhar mendapat penghargaan dari Universiti Al-Azhar Mesir. Universiti Kebangsaan Malaysia pula menganugerahkan gelar doktor kehormatan kepada Hamka, selain dia juga mendapat gelaran profesor dari Universiti Moestopo, Jakarta.

Addis sentiasa berterima kasih kepada penjara kerana membentuknya menjadi kreatif. Dia dimasukkan ke penjara pada 1770 kerana dituduh menjadi dalang rusuhan.

Dalam penjara dia membuat berus gigi berbulu kerana cara menggosok gigi gaya Eropah yang menggunakan kayu berhujung kain ketika itu tidak praktikal. Sisa makanan di celah gigi susah dibersihkan.

Setelah keluar dari penjara, Addis mengeluarkan berus gigi 'model baru' yang diguna pakai sebelum diubah suai sehingga kini. Inovasi itu menjadikan Addis jutawan bertaraf dunia.

Ramai tokoh besar dipenjara di Malaysia kerana pelbagai tuduhan yang sukar diterima.

Pak Sako, Ahmad Boestaman, Said Zahari, Kasim Ahmad, A Samad Ismail, Abdullah Majid adalah antara nama yang menerima takdir tidak pernah diramalkan.

Mereka menjadikan penjara sebagai sempadan untuk mendewasakan jiwa.

Penjara bukan kurungan akal. Penjara bukan untuk memanjakan diri dengan sakit perut, ulser dan gastrik. Penjara untuk mendidik jiwa merdeka.

Apa pun pertuduhan, realiti penjara cukup melelahkan bagi seseorang yang sentiasa mengharapkan pengampunan segera.

Justeru bossku, can I advise you something?

BACA INI JUGA:
sumber: (1)