Friday, October 18, 2019

Semakan Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)

Semakan Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)

Warganegara Malaysia dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak menyertai Program Subsidi Petrol (PSP) boleh menyemak status kelayakan masing-masing secara atas talian menerusi laman web rasmi Kpdnhep.

Kelayakan Subsidi Petrol

Data penerima subsidi minyak tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diberikan semasa memohon bantuan BSH dan 2.9 juta individu daripada golongan B40 layak menerima subsidi petrol.

Bagi penerima BSH yang baharu sahaja membeli kenderaan jenis yang dibenarkan untuk menerima subsidi tersebut juga harus mendaftar dengan JPJ dan menghantar permohonan mereka bagi melayakkan mendapat subsidi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi kementerian menerusi hotline 1800-886-800, emel kepada psp@kpdnhep.gov.my atau WhatsApp ke nombor 019-2786356.

Syarat Program Subsidi Petrol 2020:
  • Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di semenanjung sahaja.
  • Memilik kenderaan persendirian.
  • Mempunyai lesen memandu yang sah.
  • Had kenderaan adalah 2 buah kereta dan 2 buah motosikal.

Berikut adalah cara membuat semakan yang boleh dibuat bermula 15 Oktober 2019:

Program Subsidi Petrol (PSP)

Subsidi Petrol Layak

Di bawah Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar, terdapat dua kategori individu yang layak untuk menerima subsidi berkenaan.

Kategori pertama ialah penerima BSH (B40) yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Kategori kedua pula ialah bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH yang mana mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kenderaan yang layak untuk subsidi ini adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

Semoga nama anda tersenarai.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, September 11, 2019

Cara Claim Insuran Kemalangan Kereta Yang Betul

Cara Claim Insuran Kemalangan Kereta Yang Betul

Anda mungkin seorang pemandu yang sangat cermat dan beranggapan bahawa adalah remeh serta menyusahkan jika kemalangan terjadi, namun malang tidak berbau. Sediakan payung sebelum hujan, kerana tiada siapa pun yang dapat menjangkakan bila kemalangan akan berlaku.

Cara Claim Insuran

Hari ini saya nak berkongsi cerita tentang Cara Claim Insurans jika kenderaan terbabit kemalangan atau kehilangan.

Ramai orang tahu bagaimana untuk membeli INSURANS KENDERAAN tetapi tidak ramai yang tahu cara untuk membuat Claim INSURANS KENDERAAN dengan BETUL jika terbabit kemalangan atau kehilangan.

Terdapat 2 Jenis Polisi Insurans Takaful kereta:
  1. First Party – melindungi kehilangan dan kerosakan kereta, kecederaan dan kematian pihak anda serta pihak ke-3 iaitu kenderaan yang terlibat dengan anda ketika kemalangan.
  2. Third Party – seperti namanya, hanya pihak ke-3 iaitu kereta lain yang terlibat dengan kemalangan kereta anda.

Walau bagaimanapun, anda mempunyai hak untuk melindungi cermin depan, liabiliti penumpang serta bencana alam yang menimpa kenderaan anda, tetapi dengan tambahan wang ringgit. (bergantung pada syarikat insurans anda). Ini dinamakan rider tambahan.

Bergantung kepada bajet anda. Jika ada bajet lebih, boleh ambil rider yang bersesuaian dengan situasi anda.

Baiklah. Kita mulakan dengan situasi kemalangan.

Jika kemalangan menimpa anda, pertama sekali pastikan samada terdapat kecederaan pada diri anda serta penumpang dan kenderaan lain yang terlibat. Jika ada, segera hubungi ambulans bagi rawatan lanjut.

Elakkan bertengkar, anda bertenang dan bersabar. Ini adalah takdir. Jika anda marah sekalipun, kemalangan sudah terjadi.

Kita tidak dapat untuk mengelaknya. Apa yang boleh anda lakukan ialah pastikan butir butir maklumat berikut diperolehi bagi memudahkan proses tuntutan insurans:
  1. Nombor pendaftaran kenderaan.
  2. Butiran pemandu (nama, alamat, no telefon).
  3. Masa, tarikh dan tempat kemalangan.
  4. Nama pemegang polisi insurans serta nombor polisi (jika boleh) semua kenderaan yang terlibat.
  5. Butiran saksi atau orang yang tercedera (jika ada).

Selepas itu, anda perlu pandu atau tarik (towing) kenderaan anda ke balai polis cawangan trafik yang berhampiran dan buat laporan polis, jika mengikut undang-undang, mesti dilakukan dalam masa 24jam.

Pihak polis akan memeriksa kenderaan anda dan mengambil gambar kenderaan anda.

Kemudian, anda hantar kenderaan anda ke bengkel yang ditauliahkan untuk membaik pulih kenderaan anda.

Pihak syarikat insurans anda mempunyai senarai panel bengkel yang ditauliahkan dan anda dinasihatkan untuk menggunakan panel bengkel tersebut.

Selepas itu, anda boleh mengisi borang tuntuan insurans (claim form). Hantarkan ke pejabat utama syarikan insurans atau mana-mana cawangannya bersama dengan dokumen-dokumen berikut dalam masa 14 hari.

Cara Membuat Tuntutan Insurans yang BETUL!

1. Laporan polis asal.

2. Anggaran kasar jumlah baikpulih oleh panel bengkel.

3. Salinan:
  • Polisi insurans
  • Geran kenderaan
  • Cukai jalanRoad tax
  • Kad pengenalan dan lesen memandu pemilik kenderaan.
  • Kad pengenalan dan lesen memandu pemandu yang terlibat. (jika bukan pemilik)
  • Surat perjanjian sewa-beli (jika berkaitan)

Adjuster

Selepas semua dokumen diserahkan dan diproses, akan ada seorang 'adjuster' iaitu wakil syarikat insurans akan menganggar jumlah yang perlu untuk membaik pulih kenderaan anda.

Adjuster akan membuat laporan atas segala kerosakan serta gambar juga akan diambil.

Selepas itu anda boleh mengambil surat pelepasan atau pengesahan mengenai jumlah yang akan dibayar oleh syarikat insurans dan serahkan pada bengkel tersebut.

Selepas kenderaan anda siap, surat tadi yang menyatakan bahawa kenderaan anda telah siap dan memuaskan hati, anda boleh menandatangani surat pelepasan tersebut.

Ini merupakan langkah-langkah untuk menuntut insurans 'own damage' dimana anda menuntut dari syarikat nsuran anda sendiri dan hanya boleh dilakukan bagi "First Party".

Tetapi, NCD atau No Claims Discount anda akan terhapus.

NCD=Diskaun yang diberikan jika tiada tuntutan pada tahun pertama dan bertambah diskaun jika tiada juga pada tahun berikutnya.

Walau bagaimanapun, jika kemalangan tersebut bukan salah anda, anda boleh membuat No-Fault Own Damage Claim.

Disini anda boleh menuntut dari syarikat insurans anda dan bukan kenderaan yang bersalah.

Ini bagi mempercepatkan proses dan pada masa yang sama anda tidak kehilangan NCD anda:
  1. Surat pengesahan menyatakan No Fault Own Damage dengan butiran insurans pihak ketiga. Ini perlu dibuktikan juga oleh JPJ menyatakan yang sama.
  2. Siasatan polis, lakaran kemalangan dan salinan laporan polis pihak ke-3.

Jika kenderaan anda dicuri pula, anda boleh menuntut insurans bagi kecurian. Ini hanya boleh dilakukan oleh insurans jenis First Party atau Third Party yang memilih pilihan untuk melindungi kenderaan dari dicuri atau kebakaran. Dokumen yang diperlukan adalah sama seperti Own Damage.

Anda akan disoal siasat untuk mendapat kenyataan dari anda mengenai kecurian kenderaan anda. NCD akan terhapus juga jika anda membuat tuntutan kecurian.

Walau anda tidak membuat apa-apa tuntutan dari insuran anda sendiri atau tuntutan dari pihak ke-3, anda perlu memaklumkan pada syarikat insurans anda supaya melindungi anda dari sebarang kemungkinan yang buruk yang bakal merugikan anda dari kemalangan tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tmt

Wednesday, August 28, 2019

8 Panduan Dan Tips Penjagaan Skuter

8 Panduan Dan Tips Penjagaan Skuter

Skuter merupakan sejenis motosikal yang secara tradisionalnya mempunyai ciri-ciri seperti kerangka "boleh langkah" (step-through), roda yang saiznya tidak melebihi 16 inci, serta enjin yang terletak di bahagian belakang bawah penunggang.

Skuter Peugeot Kisbee 4T RS
Peugeot Kisbee 4T RS.

Walau bagaimanapun, terdapat juga reka bentuk skuter lebih moden yang turut menerapkan ciri-ciri bagi klasifikasi motosikal lain ke dalamnya.

Amalkan memeriksa dan meluangkan masa meneliti setiap bahagian skuter anda. Ikuti jadual penjagaan dicadangkan pengeluar skuter, menggunakan pelincir dan alat ganti tulen dan berkualiti.

1. Penukaran minyak hitam

Dilakukan mengikut jarak yang dicadangkan pengeluar iaitu 4,000-5,000 km atau mengikut kekerapan perjalanan.

Contoh, kalau motor jalan 1,000 km tapi sudah sebulan guna minyak hitam tu, maka bolehlah tukar.

Walaupun motor belum sebulan tapi dah jalan 2000 km maka patut tukar juga.

Minyak hitam yang di syorkan: Shell VSX (kalau tak jalan jauh), Shell SX (long distance). Sebab VSX cepat kering kalau nak long distance.

Jadi, elak guna minyak yang cair macam VSX atau sebagainya jika nak buat long journey.

Penggunaan Shell VSX untuk skuter pilihan yang baik kerana kualiti Shell VSX adalah yang terbaik bagi rangkaian minyak pelincir Shell Advance.

Pelincir semi-sintetik ini mempunyai tahap kestabilan oksida yang lebih baik pada suhu operasi enjin yang tinggi dan ini menjamin prestasi serta perlindungan bagi enjin pada cuaca panas dan perjalanan jauh.

2. Servis air filter

Lakukan servis mencakupi pemeriksaan dan cucian elemen penapis udara. Servis Karburetor setiap 10,000 km dan disyorkan mencuci karburetor untuk membuang air terkumpul akibat wap petrol dan membuang habuk.

3. Penggantian palam pencucuh

Perlu ditukar setiap 10,000 km untuk memastikan percikan api sentiasa berada dalam keadaan baik.

4. Periksa Brek

Lakukan juga pemeriksaan menyeluruh terhadap jentera anda seperti tahap kehausan pelapik brek dan brake shoe.

5. Air Bateri

Periksa air bateri selalu dan pastikan ia berada ditahap mencukupi seperti ditandakan pada bateri dan tukar setiap dua tahun untuk memaksimakan penggunaannya.

6. Periksa keadaan belting

Tukar belting dalam kira 1,700 km. Lebih kurang dalam 2-3 bulan sekali. Tanda belting macam nak putus, bunyi cam tikus dekat crankcase.

Cuba check belting dengan melipat tali belting. Tengok kalau ada crack walaupun sikit. Bagus tukar terus sebelum putus.

Roller weight mesti di cuci dan di greasing sekurang-kurangnya sebulan sekali.

7. Minyak gearbox

Tukar 1st kalau boleh masa 500 km pertama sebab ketika inilah banyak geseran antara gigi-gigi gear.

Selepas itu terpulang, tapi bagi aku setiap 2 kali tukar minyak engine, aku tukar sekali minyak gearbox atau setiap 5000 km tapi max 10,000 km. Pendapat aku ye.

8. Pemeriksaan berkala

Periksa motosikal anda untuk mengenal pasti kerosakan kerosakan kecil yang lain sebelum ia merebak menjadi kerosakan lebih besar.

Sayangi motosikal anda dan cuba ambil masa untuk membersihkannya sendiri kerana ia membantu anda mengenal pasti kerosakan. Sentiasa pastikan setiap bahagian bergerak lancar dan dalam keadaan baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: FSA

Friday, July 12, 2019

Bagaimana Cara Membuat Wasiat?

Bagaimana Cara Membuat Wasiat?

Wasiat bukan sahaja penting untuk orang Islam, tetapi kepada semua bangsa yang tertakluk kepada Akta Pembahagian Harta 1958 dan Akta Wasiat 1958, kerana jika ada wasiat, pembahagian harta akan menjadi lebih mudah dan memberi manfaat kepada waris untuk mengelakkan timbul masalah berbangkit di kemudian hari.

Cara Membuat Wasiat

Terdapat dua kategori harta yang boleh diwasiatkan iaitu harta boleh alih seperti kereta, wang simpanan dan saham dan harta tidak boleh alih seperti rumah dan tanah.

Wasiat juga membolehkan mereka yang bukan waris, menikmati sebahagian harta pusaka mengikut hukum dan undang-undang, berbanding hanya 'cakap mulut' yang tidak boleh dijadikan bukti.

Prosedur membuat dokumen wasiat atau hibah

Kenapa anda perlu membuat dokumen wasiat atau hibah. Ya, kerana sekarang ini, harta tidak dituntut dan telah dibekukan oleh kerajaan berjumlah hampir 70 bilion di Malaysia dan sejuta lebih geran tanah belum ditukar nama. Malang bukan?

Kenapa anda perlu merancang harta?

1. Supaya harta yang anda tinggalkan tidak menjadi beku Dan kita tidak mahu semua waris bergaduh kerananya dan ada waris yang makan harta batil.

2. Dan supaya harta yang anda cari setiap hari selama ini menjadi asbab waris anda bersatu, berkasih sayang dan pahala sentiasa mengalir setiap hari walaupun kita sudah di kubur dengan manfaat harta tersebut disedekahkan.

Antara faktor harta beku di Malaysia ialah:
  • Waris tak tahu urus pusaka.
  • Waris tiada masa nak urus pusaka.
  • Anggap pusaka tidak perlu disegerakan dan kalau nak urus cepat dianggap tamak.
  • Tiada muafakat waris.
  • Tiada duit untuk uruskan.

Bagaimana cara mudah untuk merancang harta anda dengan membuat dokumen?

Pertama: Ketahui faraid anda

Kenapa dalam dokumen kita wajib menyatakan faraid anda? Supaya anda dan waris tahu siapa waris mengikut hukum faraid.

Elakkan pengaduhan yang tak perlu dengan waris yang bukan waris faraid, kerana kematian yang tiba-tiba menyebabkan ada yang mengaku sebagai waris faraid sedangkan ikut syarak beliau bukan.

Jadi itu langkah pertama. Tahu waris faraid anda siapa.

Kedua: Lantik wasi

Buat wasiat pelantikan wasi yang boleh dibahagikan kepada dua:
  1. Syarikat Amanah.
  2. Individu.

Apa itu wasi?

Wasi dalam panggilan lain ialah pentadbir kerana selepas anda meninggal dunia, wasi inilah yang akan melakukan perancangan tuntutan harta pusaka.

Jika harta kita tidak lebih 2 juta, lebih sesuai melantik individu sahaja. Kalau lebih, barulah lantik syarikat Amanah seperti Amanah Raya Berhad, As Salihin Trustee, dan lain lain.

Kenapa melantik Wasi penting?

1. Memberi rasa tanggungjawab kepada waris untuk menguruskan harta pusaka arwah.

2. Bantuan kepakaran kepada Wasi

Wasi yang dilantik sewaktu hidup akan diberi surat yang kemudiannya boleh menghubungi syarikat.

Wakil syarikat akan datang ke rumah untuk memberi khutbah pusaka, mendapatkan persetujuan waris dan proses pusaka terus dibuat segera hanya dalam tempoh 1 ke 6 bulan.

Ketiga: Buat wasiat sedekah

Sangat digalakkan semua umat Islam membuat wasiat sedekah, kerana inilah yang akan menjadi saham akhirat kita nanti.

Buatlah wasiat sedekah 1/3 dari harta kita. Lebih baik buat wakaf terus. Lebih baik dan pahala berterusan sehingga ke hari Kebangkitan.

Keempat: Dokumenkan dengan bantuan pakar

Dokumenkan segala perancangan, wasiat, hasrat anda dengan bantuan pakar. Jangan buat pesanan mulut. Jangan buat sendiri.

Buatlah dokumen dengan mana-mana syarikat pengurusan pusaka.

Kelima: Dana pantas untuk waris

Bantu Wasi dan waris dari segi kewangan dengan sistem penamaan. Apabila kita meninggal, semua aset akan beku, termasuklah duit dalam akaun dan sebagainya.

Namun, ada beberapa instrumen yang tidak beku dan dalam masa 1 ke 2 minggu boleh ditransfer masuk ke akaun penama.

1. KWSP

Buatlah penama di KWSP. Apabila kita tiada, duit itu akan ditransfer ke penama dalam masa 2 minggu – 4 minggu. Waris boleh guna duit ini untuk kos pengurusan pusaka, bayar hutang arwah dan sebagainya.

Namun perlu diingat, penama bukan milik mutlak harta. Mereka hanya pemegang amanah sahaja dan boleh gunakan duit apa yang dibenarkan oleh syarak sahaja.

2. Penama Tabung Haji

Sama konsepnya seperti penama KWSP. Pastikan anda buat untuk memudahkan urusan waris anda nanti.

3. Penama di polisi Takaful

Takaful ada dua akad, satu akad hibah dan satu penama. Buatlah kedua duanya, kerana masing-masing ada fungsinya tersendiri.

Keenam: Dokumen Hibah

Jika faraid anda termasuk dalam golongan kritikal, buatlah dokumen hibah. Mudahkan urusan waris anda.

Hibah ialah pemberian, yang dibuat semasa hidup, diberikan sebagai tanda kasih sayang, pemberian daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang.

Jadi, cukuplah 6 langkah bagi memudahkan waris anda dengan membuat Dokumen Perwarisan Lengkap:
  1. Ketahui faraid dan rekodkan.
  2. Lantik wasi.
  3. Buat wasiat sedekah.
  4. Dokumen dengan bantuan pakar.
  5. Dana pantas untuk waris.
  6. Buat dokumen hibah (jika perlu).

Bagaimana proses ingin membuat perancangan harta ini?

Berjumpalah dengan perunding Shariah Estate Planners untuk membuat dokumen seperti di atas. Rancanglah secepat mungkin, kerana kita apabila kita dipanggil ilahi, tak lewat sesaat, tak cepat sesaat pun.

Kerana mereka berlesen yang membolehkan mereka mengakses kepada 5 syarikat:
  1. Amanah Raya Berhad.
  2. Pacific Trustee Berhad.
  3. As Salihin Trustee.
  4. MyPusaka.info
  5. Majlis Agama Islam Selangor.

Mereka boleh membantu membuat perbandingan plan mana paling baik dan membuat plan tailor made mengikut kehendak anda.

Jadikan harta anda dapat menghasilkan pelaburan pahala yang berkekalan apabila anda tiada nanti. Moga semua amal kita diterima oleh Allah SWT dan dimasukkan ke syurga. Amin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fatihinabshar


Monday, July 01, 2019

Rayuan BSH Bermula 1 Julai Sehingga 15 Ogos 2019

Rayuan BSH Bermula 1 Julai Sehingga 15 Ogos 2019

Kementerian Kewangan akan mula membuka tempoh rayuan bagi Program Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019, yang mana tempoh rayuan itu akan dibuka bermula 1 Julai sehingga 15 Ogos 2019, yang akan memberi ruang kepada mereka yang tidak layak sebelum ini mengemukakan rayuan.

Rayuan BSH

Mereka yang mahu merayu perlu membawa bersama dokumen berkaitan untuk proses pengesahan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Permohonan rayuan jugabboleh dibuat secara atas talian di portal BSH, bsh.hasil.gov.my atau hadir ke mana-mana cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Kategori Tidak Layak BSH

Berikut senarai penuh 12 kategori tidak layak memohon Bantuan Sara Hidup tahun ini.
  1. Pendapatan melebihi RM4,000 sebulan
  2. Menetap di luar negara
  3. Bujang berumur 59 tahun ke bawah
  4. Pasangan bukan warganegara / ibu bapa tunggal / janda / duda yang tidak mempunyai anak
  5. Gagal mengemukakan dokumen sokongan semasa membuat permohonan
  6. Memiliki dua atau lebih perniagaan milikan tunggal
  7. Memilik Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
  8. Pemegang saham / pengarah syarikat
  9. Memiliki kenderaan dalam negara melebihi 2,000cc
  10. Memiliki kenderaan luar negara melebihi 1,400cc
  11. Memiliki motosikal melebihi 500cc
  12. Transaksi milikan hartanah melebihi RM500,000

BSH akan melakukan proses verifikasi melalui agensi-agensi seperti JPJ, JPN, SSM untuk urusan pengesahan butiran maklumat.

Sekiranya didapati anda memberikan maklumat palsu, permohonan anda boleh ditolak serta merta. Jadi sila jujur ketika mengisi borang permohonan BSH nanti.

Dan untuk makluman juga, BSH hanya untuk tiga golongan berikut sahaja:
  1. Kategori 1: Isi rumah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah (Jumlah bantuan RM1,000 + RM120/anak)
  2. Kategori 2: Isi rumah berpendapatan RM2,001 hingga RM3,000 (Jumlah bantuan RM750 + RM120/anak)
  3. Kategori 3: Isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 (Jumlah bantuan RM500 + RM120/anak)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Thursday, June 27, 2019

Panduan Mendaftar mySalam Dan Cara Tuntutan Insuran Percuma B40

Panduan Mendaftar mySalam Dan Cara Tuntutan Insuran Percuma B40

Bagi merealisasikan Skim Perlindungan Nasional B40 MySalam ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2 bilion yang diharapkan dapat mengurangkan beban golongan B40 yang menghidap penyakit untuk membayar kos rawatan.

Daftar mySalam

Sama juga konsepnya seperti Bantuan Sara Hidup, kerajaan telah menyasarkan skim ini mampu memberi manfaat kepada 4.1 juta golongan B40 yang terdiri daripada individu berusia antara 18-55 tahun.

JENIS BANTUAN SKIM BANTUAN MySalam

1. Perlindungan Nasional B40

Bantuan yang diberikan dalam Skim Perlindungan Nasional B40 ini termasuklah:
  • Bayaran sehingga had maksimum RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh masa yang akan diumumkan.
  • Bayaran harian untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital.
  • Skim ini dianggarkan akan menawarkan perlindungan perubatan selama 5 tahun untuk kumpulan yang disasarkan.
  • Kumpulan sasaran tersebut adalah golongan isi rumah B40 yang merupakan individu berumur di antara 18 hingga 55 tahun melibatkan 3.68 juta individu.

Siapa Yang Layak Memohon Skim MySalam?

Penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 yang layak berumur di antara 18 hingga 55 dan pasangan mereka akan dimasukkan ke dalam mySalam.

Mereka yang layak untuk skim mySalam akan dimaklumkan melalui SMS bermula daripada 1 Mac 2019.

Jika anda layak untuk skim mySalam tetapi tidak menerima SMS tersebut, anda boleh e-mel di info@mysalam.com.my atau hubungi talian mySalam di 1-300-888-938 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Manfaat Yang Diterima oleh Penerima MySalam

Sebenarnya, melalui Skim Perlindungan Nasional B40 MySalam, golongan sasar bukan sahaja memperoleh insurans dan menerima rawatan untuk penyakit kronik secara percuma.

Malah, banyak lagi manfaat atau faedah lain yang bakal diterima oleh golongan sasar.

Berikut kami kongsikan kesemua manfaat yang bakal diterima oleh golongan sasar melalui Skim

Perlindungan Nasional B40 MySalam:
  • Mendapat rawatan untuk 36 jenis penyakit kritikal.
  • Golongan sasar akan menerima bayaran sehingga RM8000. Bayaran tersebut akan diagihkan mengikut kadar yang bakal diumumkan.
  • Menerima bayaran harian sebanyak RM50 sehari dan bersamaan RM700 sebulan.

Bagaimana untuk Membuat dan Menerima Tuntutan MySalam?

Penerima mySalam boleh melakukan tuntutan mereka menerusi portal mySalam dengan menyediakan dokumen-dokumen berkaitan yang telah diimbas (scan).

Sebagai alternatif, tuntutan juga boleh difailkan secara langsung di lokasi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Semua tuntutan yang dibuat hendaklah dikemukakan bersama-sama dokumen berkaitan dan disahkan oleh doktor dari hospital kerajaan.

Untuk menerima tuntutan tersebut, pengendali takaful yang mengambil bahagian akan memproses bayaran untuk tuntutan yang berjaya dengan mengkreditkan wang terus ke akaun penerima, seperti yang didaftarkan di bawah skim Bantuan Sara Hidup Rakyat.

Skim MySalam Patuh Syariah

Menurut pihak pengendali Skim ini iaitu Great Eastern Takaful Berhad, yang merupakan sebuah pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), skim ini adalah skim patuh Syariah, kerana produk yang diperkenalkan di bawah Skim ini adalah produk takaful dan diuruskan mengikut undang-undang Syariah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: drafiqrahim

Monday, June 24, 2019

Buat 'Duit Mudah' Dengan Menjual 16 Jenis Sampah Kitar Semula Kepada Alam Flora

Buat 'Duit Mudah' Dengan Menjual 16 Jenis Sampah Kitar Semula Kepada Alam Flora

Kalau dulu-dulu, kita selalu menjual surat khabar lama kepada lori atau motosikal 'uncle Cina' yang lalu-lalang di sekeliling taman perumahan, tapi zaman sekarang sudah canggih. Kita boleh terus walk-in ke Alam Flora untuk lakukan perkara yang sama.

Buat duit kitar semula

Syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora, telah berkongsi di Facebook mengenai inisiatif kitar semula bagi sisa buangan domestik.

Alam Flora menerima barangan kitar semula untuk ditukarkan kepada wang tunai menerusi 3R On Wheels dan Pusat pembelian barangan kitar semula berhampiran anda. Kitar semula dan nikmati pulangan insentif tunai.

HARGA SAMPAH ANDA

3R On Wheels dan Pusat pembelian barangan kitar semula menerima 16 jenis barangan kitar semula iaitu:
  1. Surat khabar (0.25/kg)
  2. Majalah (RM0.25/kg)
  3. Kertas hitam putih (RM0.33/kg)
  4. Kotak (RM0.27/kg)
  5. Kertas campur (RM0.18/kg)
  6. Aluminium (RM2.50/kg)
  7. Tin (RM0.25/kg)
  8. Plastik (RM0.40/kg)
  9. Tetrapak (RM0.20/kg)
  10. Sisa minyak masak (RM1.10/kg)
  11. CPU (RM5.50/kg)
  12. Monitor (RM4.50/kg)
  13. Notebook (RM3.50/kg)
  14. Server (RM15/kg)
  15. Pencetak (RM3/kg)
  16. Televisyen (RM4/kg)

Nota: Harga barangan kitar semula adalah mengikut pasaran semasa dan tidak tetap.

PUSAT PEMBELIAN

Pusat pembelian barangan kitar semula Alam Flora terletak di Putrajaya, Cyberjaya, dan Kuala Lumpur. Lihat senarai penuh Pusat pembelian barangan kitar semula di bawah:

Jalan Lorong Bunus 6, Kuala Lumpur
Lokasi rujukan: Berhadapan Plaza City One
Waktu operasi: Isnin, Rabu dan Sabtu (11.00am – 4.00pm)

BBC Presint 9, Putrajaya
Lokasi rujukan: Berdekatan stesen minyak Petronas Presint 9
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (setiap hari)

BBC Presint 8, Putrajaya
Lokasi rujukan: Dewan Serbaguna Presint 8
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (Sabtu dan Ahad)

BBC Presint 11, Putrajaya
Lokasi rujukan: Dewan Serbaguna Presint 11
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (Sabtu)

BBC Presint 14, Putrajaya
Lokasi rujukan: Depot bas Presint 14, berhadapan pusat komersial Presint 15
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (Ahad)

BBC Presint 16, Putrajaya
Lokasi rujukan: Kawasan pasar Presint 16
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (Sabtu)

BBC Presint 18, Putrajaya
Lokasi rujukan: 1 Malaysia Futsal
Waktu operasi: 8.30am - 5.30pm (Ahad)

Cyberjaya Recycling Centre
Lokasi rujukan: Park & Ride Cyberjaya
Waktu operasi: 9.30am - 4.30pm (Isnin, Rabu dan Jumaat)
(Tutup pada cuti umum).

Mobile Recycling Centres Presint 16
Lokasi rujukan: Apartment Presint 16
Waktu operasi: 9am - 12pm (Sabtu)

Presint 11A1/1
Lokasi rujukan: Kawasan perumahan
Waktu operasi: 2pm - 5pm (Sabtu)

Ikuti Alam Flora di Facebook dan Twitter untuk jadual 3R On Wheels.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says