Sunday, May 21, 2017

Misteri Penemuan Mumia Tollund Man

Misteri Penemuan Mumia Tollund Man

Banyak penemuan mumia ditemui dalam keadaan masih kekal terpelihara jasadnya dan yang menarik, kebanyakan penemuan misteri ini berusia lebih seribu tahun lantas membingungkan ramai pengkaji dan saintis moden.

Tollund Man

Antara penemuan paling menarik adalah mumia Tollund Man di sebuah kawasan berpaya di Bjældskovda, 10 kilometer daripada Silkeborg, Denmark.

Mumia Tollund Man pertama kali ditemui oleh dua orang adik beradik, Viggo dan Emil Højgaard pada 6 Mei 1950.

Pada mulanya, mereka beranggapan ia adalah mayat mangsa pembunuhan yang mungkin berlaku beberapa hari sebelum itu memandangkan betapa sempurnanya fizikal mumia tersebut.

Sebenarnya, penemuan mumia Tollund Man berlaku secara tidak sengaja kerana adik beradik Højgaard dan keluarganya menggali di sekitar paya tersebut bagi mendapatkan tanah gambut untuk dijadikan bahan bakar.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat di negara-negara Eropah menjadikan tanah gambut di kawasan berpaya sebagai sumber bahan bakar menggantikan kayu api.

Sebelum penemuan mumia Tollund Man, beberapa tahun sebelum itu telah berlaku penemuan mumia di kawasan tersebut iaitu pada tahun 1927.

Namun, penemuan tersebut tidak mendapat perhatian dan dibiarkan terkambus di dasar paya tersebut. Tiada kajian saintis dilakukan terhadap mumia tersebut.

Penemuan seterusnya pada tahun 1938 iaitu penemuan mumia wanita di dasar paya gambut tersebut.

Kali ini, mumia ini berjaya mendapat perhatian ramai kerana kesempurnaan jasadnya. Mumia misteri ini dinamakan Elling Woman.

Jasad diangkut

Mumia Tollund Man telah diangkut dan dipindahkan secara berhati-hati setelah bersemadi di paya tersebut lebih daripada 2,000 tahun.

Bagi mengekalkan keasliannya, jasad Tollund Man tidak disentuh oleh mana-mana individu dan diangkut dengan menggunakan kotak kayu yang dibina terlebih dahulu menggelilingi Tollund Man.

Mereka yang terlibat dalam proses pemindahan rumit ini adalah adik-beradik Højgaard, kakitangan Muzium Silkeborg dan dua orang anggota polis.

Anggaran berat kotak kayu itu adalah setengah tan dan mereka menggunakan sebuah kereta kuda untuk membawanya ke stesen kereta api di Moselund sebelum dibawa ke Muzium Kebangsaan Denmark di Copenhagen.

Mendapat liputan media

Tollund Man media

Akhbar-akhbar tempatan teruja untuk membuat liputan tentang penemuan mumia Tollund Man dengan sebahagian akhbar menggelarnya sebagai lelaki dengan panggilan “lelaki itu dari Moselund, Bogville“, sedangkan akhbar lain berpendapat ia adalah seorang wanita.

Walau bagaimanapun, nama Tollund Man telah digunakan secara rasmi untuk mumia misteri ini atas cadangan ahli arkeologi P. V Glob.

Cadangan nama itu adalah bersandarkan kepada kampung halaman dua adik beradik Højgaard yang berasal dari Tollund.

Ciri-Ciri Tollund Man

Tollund Man dianggarkan memiliki ketinggian 1.61 meter atau 5 kaki 3 inci. Ketinggian ini dianggap rendah berbanding purata ketinggian masyarakat Eropah ketika itu. Umurnya pula dianggarkan 40-an berdasarkan pemeriksaan giginya.

Pemeriksaan X-ray menunjukkan beberapa organ utama Tollund Man terawet dengan sempurna secara semulajadi. Otak, jantung, limpa dan paru-paru Tollund Man berada dalam keadaan cukup sempurna.

Tollund Man ditemui bersemadi pada kedalaman 2 meter atau 6.6 kaki dan 50 meter daripada tanah lapang di sekitar paya.

Ramai saintis berpendapat bahawa jenazah Tollund Man pada mulanya dikebumikan pada kedalaman kurang daripada 1 meter.

Namun, setelah beribu-ribu tahun berlalu, timbunan tanah gambut dan lumut menyebabkan kedalamannya mencecah 2 meter.

Jasad Tollund Man ditemui dalam keadaan meringkuk ke sebelah kiri sepertimana janin di dalam rahim ibu.

Tollund memakai topi kulit yang diperbuat daripada kulit biri-biri dan diikat dengan tali ke dagunya.

Tollund Man ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan terdapat tali pinggang di bahagian pinggangnya. Rambutnya pendek dan kelihatan janggut serta kumis nipis yang dianggarkan berukuran 1 mm panjang.

Cap Jari

Tollund Man terawet dengan cukup baik selama 2,000 tahun. Tidak seperti mumia di Mesir yang terawet secara buatan manusia, mumia Tollund Man terawet secara semulajadi. Kesan daripada pengawetan semulajadi ini, Tollund Man masih lagi mempunyai cap jari.

Pada 1978, National Police Force telah mengambil cap jarinya dan ini menjadikan Tollund Man sebagai manusia yang memiliki cap jari tertua di dunia.

Berusia 2,000 tahun

Di bawah badan Tollund Man ditemui lapisan nipis lumut. Saintis sedar bahawa lapisan lumut sudah sedia wujud di paya lumut di Denmark sejak awal zaman Besi kira-kira 2,000 tahun yang lampau. Ini bermakna Tollund Man telah bersemadi lebih kurang 2,000 tahun yang lampau.

Teknologi pentarikhan Karbon-14 telah menyokong hipotesis awal ini. Hasil pentarikhan Karbon-14 menunjukkan Tollund Man telah meninggal dunia lebih kurang 375 hingga 210 Sebelum Masihi.

Makanan Terakhir

Perut dan usus Tollund Man telah diselidik dan diperiksa bagi mendapatkan maklumat tentang diet serta pemakanan beliau 2,000 tahun yang lampau.

Para saintis berjaya membuat kesimpulan bahawa lelaki ini telah memakan bubur sayuran dan bijian sebelum sempat dinyahtinjakan.

Selain itu, terdapat juga biji barli, biji rami, knotweed (sejenis bijian daripada tumbuhan di Eropah), Bristlegrass dan biji Kekwa di dalam ususnya.

Saintis gagal menemui sebarang makanan berasaskan daging dalam tubuh lelaki meskipun rata-rata masyarakat pada zaman tersebut menjadikan daging sebagai diet utama mereka.

Saintis tidak menolak bahawa Tollund Man tidak menyentuh makanan dalam 24 jam terakhir sebelum kematiannya.

Sebab Kematian

Tollund Man Body

Satu perkara yang memeranjatkan melingkari misteri mumia Tollund Man adalah penemuan tali yang terikat kemas di lehernya.

Tali yang diperbuat daripada kulit haiwan yang dianyam dipercayai digunakan untuk membunuh lelaki Tollund Man.

Saintis tidak menolak dakwaan bahawa terdapat tanda-tanda kekasaran terhadap jasad Tollund Man.

Kematian disebabkan oleh Upacara Korban

Di tengah-tengah masyarakat Eropah yang berpegang kepada ajaran Animisme, upacara pengorbanan manusia adalah cukup sinonim.

Upacara seperti ini turut berlaku di banyak tempat di dunia sebelum kedatangan agama monotheism yang melarang sekeras-kerasnya upacara kuno ini.

Bersandarkan kepada tali gantung yang menjerut leher lelaki tersebut, saintis berpendapat bahawa Tollund Man kemungkinan besar telah dijadikan korban untuk dewa-dewa yang disembah oleh mereka.

Walau bagaimanapun, ramai penyelidik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Tollund Man dibunuh untuk upacara korban manusia.

Jasad Tollund Man tidak memiliki ciri-ciri sepertimana mangsa upacara korban kerana kebiasaanya jasad manusia yang dikorban memiliki kesan trauma di bahagian tempurung kepala dan paling tidak kesan hirisan pisau di leher.

Penafian ini diambil kira melalui tulang-tulang manusia yang ditemui di sekitar benua Eropah dan Amerika Selatan yang memiliki kesan trauma yang agresif.

Kematian disebabkan oleh Tali Gantung

Semasa pemeriksaan semula pada tahun 2002, saintis forensik telah mendapati Tollund Man mungkin telah menjadi mangsa pembunuhan di tali gantung.

Walaupun saintis mendapati bahawa tulang vertebra tidak mengalami kerosakan sepertimana yang lazim berlaku kepada kematian di tali gantung, tetapi kesan pembengkakan lidah yang ketara menyokong idea ini.

Pembengkakan pada organ lidah secara normalnya dikenalpasti sebagai kesan kepada penggunaan tali yang menjerut leher mangsa. Mangsa pembunuhan dengan mencekik leher juga menyebabkan pembengkakan ketara pada organ lidah.

Teori mengatakan mangsa dibunuh dengan tali gantung atau dijerut lebih diterima umum berbanding mengatakan mangsa dibunuh untuk upacara pengorbanan manusia.

Siapa Tollund Man?

Persoalan tentang identiti sebenar Tollund Man sangat rumit untuk dirungkai. Ia menyebabkan timbulnya pelbagai teori berkenaan identiti sebenar Tollund Man.

Tollund Man seorang penjenayah

Saintis tidak pernah menafikan bahawa ada kemungkinan Tollund Man adalah seorang penjenayah yang telah dihukum gantung sehingga mati. Individu yang digelar Tollund Man mungkin telah melakukan kesalahan besar dan dihukum gantung oleh masyarakat setempat.

Namun, teori yang mengatakan Tollund Man adalah seorang penjenayah telah ditentang oleh beberapa pihak.

Mereka mengatakan sekiranya Tollund Man adalah seorang penjenayah, tidak mungkin mereka akan memperlakukan jenazah Tollund Man dengan baik.

Tollund Man telah disemadikan dengan baik, mata dan mulut ditutup dengan rapat. Jika Tollund Man seorang penjenayah, tidak mungkin jenazah Tollund Man dikebumi sedemikian rupa.

Malah, masyarakat pada masa itu akan membiarkan mangsa mereput di tali gantung atau membiarkan mangsa dimakan binatang buas.

Tollund Man seorang pendakwah?

Teori ini lebih mencabar institusi keagamaan di Eropah. Tollund Man berkemungkinan besar telah menyebarkan risalah keagamaan di sana.

Disebabkan masyarakat Eropah cukup kuat pegangan dengan ajaran jahiliyyah, mereka bertindak menangkap Tollund Man dan kemudian menyeksanya dengan hukuman gantung.

Adakah Tollund Man seorang Rasul?

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Nabi dan Rasul memiliki keistimewaan di mana jasad mereka tidak akan sekali-kali dimamah oleh tanah.

Jasad mereka kekal terpelihara sehingga datangnya Hari Kebangkitan kelak. Apa yang berlaku kepada Tollund Man amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW.

Jasad Tollund Man terawet dengan baik secara semulajadi tanpa ada campur tangan manusia. Ia berlaku atas kehendak Allah swt.

Saintis menyatakan dalam kajian mereka bahawa Tollund Man terawet kerana kekurangan oksigen dan tanah yang cukup berasid.

Tanah gambut sememangnya terkenal sebagai tanah yang berasid namun, tanah gambut juga terkenal sebagai tanah yang lembap dan berair. Bukankah kelembapan adalah agen utama pereputan? Inilah yang dinamakan kehendak Allah SWT. Tiada apa yang mustahil bagi-Nya.

Tollund Man ditentang, diseksa dan dibunuh?

Di dalam al-Quran juga, Allah swt telah berfirman, "Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." (Surah Al-Mu’min ayat 83)

Penjelasan Allah SWT di dalam surah tersebut amat selari dengan apa yang berlaku kepada Tollund Man.

Sebagai seorang pendakwah yang bertanggungjawab menyebarkan risalah tauhid, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah kaumnya.

Tidak mudah bagi seorang Rasul menyebarkan sesuatu yang bertentangan dengan pegangan kaum mereka melainkan beliau sendiri akan ditangkap dan diseksa.

Insiden seperti ini telah Allah SWT ulang tayangkan kepada kita hanya semata-mata untuk kita berfikir dan mengkaji.

Utusan Allah

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Rasul dan Nabi telah diutuskan kepada umat manusia di setiap tamadun sejak daripada Adam a.s. adalah masing-masing berjumlah 313 dan 240,000 orang.

Melihat kepada jumlah tersebut, adalah tidak mustahil untuk menolak Tollund Man adalah utusan Allah SWT untuk kaumnya di Eropah 2,000 tahun yang lampau.

Ciri-ciri Istimewa Tollund Man

Tollund Man Face

Selain daripada jasadnya yang terpelihara, beberapa ciri Tollund Man merapatkan dirinya sebagai seorang yang boleh dianggap utusan Allah SWT.

Daripada raut wajah Tollund Man, kita boleh mengenali bahawa Tollund Man semasa hayatnya adalah seorang yang dihormati dan dipercayai oleh masyarakat.

Garis pada dahi menunjukkan beliau seorang yang alim. Mata beliau ditutup dengan kemas namun tidak menunjukkan beliau cukup terseksa dengan kematiannya. Bibirnya juga mengukir sedikit senyuman yang mana ia adalah ciri-ciri paling utama menunjukkan keimanan seseorang individu. Rambut beliau juga tidak panjang manakala janggut dan misai juga menunjukkan beliau memiliki ciri-ciri seseorang yang sangat tertib.

Wajah dan senyuman Tollund Man tidak memungkinkan beliau seorang yang layak digelar seorang penjenayah melainkan beliau adalah seorang yang mempunyai jiwa dan rohani yang cukup besar.

Seperkara lagi yang memyelubungi misteri Tollund Man adalah cara pengebumiannya. Tollund Man dikebumi dengan baik di dalam tanah, mirip kepada tradisi ajaran tauhid dan monoteisme yang mengebumikan jenazah ke dalam tanah.

Namun, adat masyarakat Eropah 2,000 tahun yang lampau adalah bertentangan dengan kaedah tradisi penganut ajaran tauhid.

Mereka akan membakar mayat sebelum abunya ditempatkan di sebuah ‘kubur’. Kubur tersebut masih lagi boleh dilihat di Silkeborg.

Mumia Guanajuato

Sebagai perbandingan, beberapa mumia seperti Mumia Chauchilla dilihat agak menyeramkan. Mulut dan matanya terbuka luas seakan-akan menahan sesuatu kesakitan yang luar biasa. Begitu juga dengan mumia Firaun Ramses II.

Perbandingan ini menunjukkan ada sesuatu yang istimewa terdapat pada mumia Tollund Man berbanding mumia-mumia yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Misteri Kewujudan Nefertiti Permaisuri Agung Firaun

sumber: takusahrisau | wikipedia