Tuesday, September 10, 2013

Kami Akan Membantu Syria Jika Diserang! - Vladimir Putin

Kami Akan Membantu Syria Jika Diserang! - Vladimir Putin

Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Moscow akan berpihak kepada Syria jika Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara sekutunya itu.


Beliau berjanji untuk 'membantu' Presiden Bashar al-Assad, jika AS melancarkan kempen tersebut, sekali gus menunjukkan bahawa kedua-dua pemimpin itu gagal mengurangkan perbezaan pendirian antara mereka berhubung isu Syria pada Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburgh, minggu ini.

Putin berkata, dunia menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria dan Rusia akan menyebelahi negara sekutunya itu.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Kami akan membantu Syria, kami akan melakukannya dan ketika ini pun kami telahpun membantu negara itu dengan menghantar senjata," katanya yang dipetik oleh The Telegraph.

Presiden Barack Obama berkata, 19 negara dalam G20 menyokong AS mengambil tindakan ketenteraan dengan 11 daripadanya telah menandatangani kenyataan menggesa 'tindak balas keras oleh antarabangsa' ke atas penggunaan senjata kimia di Damsyik.

Namun, Putin menafikannya dan menyatakan Perdana Menteri Britain, David Cameron mungkin telah menandatangani kenyataan tersebut, tetapi Parlimen negara itu menentang campur tangan tentera.

Katanya, hanya AS, Turki, Kanada, Arab Saudi dan Perancis yang menyokong campur tangan tentera dengan China, India, Indonesia, Argentina, Brazil, Afrika Selatan serta Itali menentangnya.

Rusia adalah pembekal senjata terbesar kepada Syria dan sejak beberapa minggu lalu, Moscow turut menghantar tiga kapal perang ke timur Mediterranean, dengan kapal keempat yang membawa 'kargo khas' kini dilaporkan dalam perjalanan ke kawasan berhampiran perairan Damsyik.

Serah kawalan gudang senjata kimia

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menggesa rejim Syria supaya menyerahkan kawalan gudang senjata kimia mereka kepada penyeliaan antarabangsa sebagai salah satu cara bagi mengelakkan daripada ancaman tindakan ketenteraan.

Lavrov berkata, pelan itu akan membantu mengelakkan serangan ketenteraan yang sedang dipertimbangkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Syria, Walid al-Muallem di Moscow.

Tambah Lavrov, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Muallem dan berharap mendapat jawapan yang cepat dan positif dari Syria.

Nafi dalangi serangan kimia

Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau mendalangi serangan kimia ke atas rakyatnya dalam satu kejadian serangan dekat Damsyik bulan lalu.

Assad membuat pengakuan itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen CBS, semalam.

CBS melalui program berita, Face the Nation melaporkan, Assad turut menyatakan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Barat tidak kukuh bagi menunjukkan berlakunya serangan kimia itu.

''Tiada bukti menunjukkan saya menggunakan senjata kimia ke atas rakyat saya sendiri,'' katanya dalam temubual di Damsyik, Syria.

Temubual penuh tersebut akan disiarkan melalui jaringan CBS dan rancangan temubual PBS, Charlie Rose, hari ini.

Rose berkata, beliau bertemu dengan Assad di Damsyik.

Petikan laporan Face the Nation merupakan ringkasan temubual tersebut dan tidak mengandungi sebarang audio atau video Assad.

(Baca: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!)

Sementara itu di London, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menolak dakwaan Assad yang menyatakan tiada bukti beliau menggunakan senjata kimia berkenaan.

''Bukti yang ada sudah jelas,'' kata Kerry kepada wartawan.

Beliau berkata, kawalan ke atas senjata kimia di Syria terletak di bawah kawalan Assad, abangnya, Maher dan seorang jeneral tentera.

''Senjata kimia di Syria dikawal dengan ketat oleh kerajaan pimpinan Assad. Tiga orang yang mengawal pergerakan dan penggunaan senjata kimia dan mereka adalah Assad, Maher dan seorang jeneral,'' katanya.

Menyalahi undang-undang

Serangan ketenteraan terhadap Syria yang bakal diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) adalah 'menyalahi undang-undang' berdasarkan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javed Zarif di sini hari ini.

"Negara bertamadun 65 tahun lalu telah membuat pilihan dengan menolak piagam PBB untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

"Mengapa mereka yang menyokong serangan tersebut memanggil diri mereka sebagai negara bertamadun dan terus mendesak semua pilihan yang ada," kata Zarif dalam satu sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Iraq, Hoshyar Zebari. -AFP/Reuters

-Sentiasapanas.com

Sunday, September 08, 2013

Pejuang Syria Berjaya Mencipta Peluru Berpandu Buatan Tangan!

Pejuang Syria Berjaya Mencipta Peluru Berpandu Buatan Tangan!

Mujahidin Syria mencipta roket peluru berpandu yang akan dilancarkan melalui lori. Mereka mencipta roket peluru berpandu yang agak besar itu dengan menggunakan air tangan mereka sendiri berserta peralatan yang mereka sedia ada.

Mujahidin Syria

Para Mujahidin tersebut tidak memerlukan senjata buatan Amerika, mahupun barat ataupun negara-negara yang maju untuk membantu mereka. Mereka hanya memerlukan pertolongan dan petunjuk daripada Allah S.W.T buat mereka.

Roket peluru berpandu buatan tangan ini mereka beri nama, "Arrow 3 Missile" dalam bahasa inggeris, manakala dalam bahasa melayu pula, cuba tafsirkan sendiri...

Masyarakat Muslim Syria sangat kreatif apabila mereka berdaya saing untuk berjuang kerana Allah S.W.T dan untuk tanah air mereka.

Namun begitu, rejim Assad telah menghentikan pembelajaran ilmu pengetahuan dan Sains untuk rakyat Syria berkembang maju selama 50 tahun, kerana keluarga Firaun Assad menginginkan rakyat Syria menjadi orang suruhan mereka.

Manakala Basyar Assad pula menginginkan rakyat Syria menyembah mereka dengan menjadikan rakyatnya sebagai hamba abdi.

Berikut adalah klip video mengenai demonstrasi roket peluru berpandu buatan tangan mujahidin Syria buat pertama kali dalam sejarah dunia:



Berikut adalah klip video mengenai Mujahidin FSA dari Liwa' Al-Islam meletupkan kereta kebal rejim Assad pada Ma'rakah Al-Khudhu' Lillahi 'Azza wa Jalla yang bermaksud peperangan yang hanya tunduk kepada Allah 'Azza wa Jalla.

Mereka berjuang hanyalah semata-mata kerana Allah S.W.T untuk beroleh kemenangan yang hakiki.



Alhamdulillah, Mujahidin FSA dari batalion Syuhada Ruknuddin dan batalion Ghouta timur mendapatkan ghanimah (harta rampasan perang) berupa sebuah gudang dipenuhi bekalan peluru senjata setelah mereka berjaya memenangi peperangan terhadap pasukan rejim Assad dengan berkat perjuangan mereka semata-mata kerana Allah S.W.T untuk beroleh kemenangan yang hakiki. Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong dan Perancang. Hasbunallahu wani'mal wakiil.

Adakah Amerika atau kuasa Barat yang membantu mereka? Tidak sama sekali! Mereka hanya dibantu dengan berkat doa umat Islam seluruh dunia, berkat kesabaran mereka dan tawakkal mereka terhadap Allah S.W.T, maka Allah bukakan bagi mereka pintu-pintu pertolongan dan kemudahan yang mereka tidak menyangka akan boleh dapat.

Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong. Hasbunallah hiwani'mal wakiil. Berikut adalah klip video berkenaan:



Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Mayat Pejuang Syria Yang Masih Segar!

sumber: nukeufo89

Friday, September 06, 2013

Negara Arab Menawarkan Untuk Membiayai Kos Ketenteraan Serang Syria!

Negara Arab Menawarkan Untuk Membiayai Kos Ketenteraan Serang Syria!

Negara Arab menawarkan untuk membiayai sepenuhnya kempen ketenteraan menyerang Syria bagi menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dengan syarat usaha itu diketuai tentera Amerika Syarikat.

Aktivis anti perang membawa sepanduk menyindir Presiden Amerika, Barack Obama 
di depan kedutaan Amerika di Kiev ketika membantah rancangan menyerang Syria.

“Mengenai tawaran negara Arab untuk membiayai (kempen ketenteraan), jawapannya adalah ya. Mereka bersedia. Tawaran sudah dibuat,” kata Setiausaha Negara Amerika, John Kerry.

Ditanya oleh ahli Dewan Perwakilan parti Republikan, Ileana Ros-Lehtinen, mengenai sejauh mana pembiayaan itu, Kerry berkata, bantuan kewangan itu ditawarkan sepenuhnya untuk serangan besar-besaran.

“Malah, ada yang berkata, jika Amerika sedia bertindak sepenuhnya seperti di tempat lain sebelum ini, mereka akan menanggung semua kos,” kata Kerry.

Ada penganalisis memberitahu media, kempen 90 hari membabitkan penggunaan senjata ringan kepada pemberontak, pelancaran peluru berpandu dan pesawat kawalan jauh dari kapal perang di Laut Mediterranean selain penerbangan jet tempur dari Turki memerlukan belanja AS$5 hingga AS$21 bilion (RM17.5 hingga RM73.5 bilion).

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

Cadangan buat masa ini oleh pentadbiran Presiden Barack Obama melancarkan serangan terhad mendapat sokongan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Sepuluh anggotanya memberi sokongan dan tujuh menentang meluluskan resolusi serangan.

Obama juga dijangka tidak menghadapi masalah mendapat sokongan Senat minggu depan kerana kelebihan anggota Demokrat di dewan itu.

Sabtu lalu, Obama mengumumkan akan meminta kebenaran 433 anggota Kongres bagi melancarkan kekerasan terhadap Syria atas penggunaan senjata kimia.

Sebelum ini, Presiden Amerika itu dilihat akan mengumpulkan sokongan antarabangsa bagi tujuan itu apabila menghadiri sidang G20 di Saint Petersburg, Russia, mulai semalam.

Pegawai Rumah Putih berkata, Obama akan mengadakan mesyuarat di luar sidang itu dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, penyokong utama serangan terhadap Syria, selain pemimpin China dan Jepun.

Sementara itu, Russia memberi amaran bahawa serangan Amerika ke atas lokasi loji atom Syria akan membawa bencana nuklear di rantau itu.

Moscow juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat analisis risiko senario berkenaan.

Amaran itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Russia, Alexander Lukashevich, di Vienna.

Jurucakap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Gill Tudor, berkata agensi itu sedia menimbang langkah itu jika menerima permohonan rasmi Moscow. -Agensi

Panas! AS Rangka Draf Untuk Persediaan Menyerang Syria!

Panas! AS Rangka Draf Untuk Persediaan Menyerang Syria!

Wakil-wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) menyokong pelan Presiden Barack Obama untuk melancarkan serangan tentera ke atas Syria.

Krisis Syria
Gambar fail.

Perkembangan itu berlaku selepas Setiausaha AS, John Kerry merayu para pemimpin negara itu agar tidak hanya duduk di kerusi dan melihat sahaja serangan kimia yang berlaku di pinggir bandar raya Damsyik pada bulan lalu.

Wakil-wakil rakyat daripada Parti Demokrat dan Republikan kini merangka draf untuk AS melancarkan serangan ke atas Syria.

(Baca: Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!)

Mereka menetapkan tarikh akhir 90 hari untuk AS berbuat demikian.

Namun, Senat menolak penghantaran askar AS ke bumi Syria.

Dua kaji selidik baru-baru ini mendapati, rakyat AS menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Konflik di negara Asia Barat itu yang memasuki tahun ketiga telah meragut lebih 110,000 nyawa.

Perkembangan dramatik itu berlaku ketika agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa lebih dua juta orang telah menjadi pelarian ekoran perang di Syria.

Obama sebelum ini menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan ke atas Syria sehingga mendapat kelulusan Kongres pada sesi pengundian, 9 September ini.

"Ini bukan masa untuk kita duduk di kerusi malas. Ini bukan masa untuk kita sekadar menonton pembunuhan beramai-ramaiitu. Negara kita dan sanubari kita tidak boleh berdiam diri," kata Kerry kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Selepas wakil-wakil rakyat Britain mengundi untuk tidak terlibat dalam tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Syria, Ba- shar Al-Assad, Washington kini mencari sekutu lain untuk membina perikatan antarabangsa bagi tujuan itu.

Perancis sebelum ini menyokong rancangan AS menyerang Syria.

Negara Eropah itu dijadual mengadakan perdebatan tergempar di Parlimen semalam berhubung krisis Syria tetapi Perdana Menteri, Jean-Marc Ayrault menolak sebarang pengundian.

Presiden Perancis, Francois Hollande boleh mengarahkan tindakan ketenteraan tanpa kelulu- san Parlimen tetapi sebahagian wakil rakyat menggesa supaya isu tersebut diundi di Parlimen

Pada masa yang sama, Paris turut menggesa negara-negara Kesatuan Eropah supaya bersatu dan menyokong tindakan menghukum rejim Bashar.

"Eropah perlu bersatu dalam isu ini," kata Hollande dalam satu sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Joachim Gauck.

"Apabila pembunuhan beramai- ramai menggunakan senjata kimia berlaku, apabila wujud bukti dan apabila pihak yang bersalah dikenal pasti seterusnya perlu ada tindak balas," tambahnya.

Sementara itu, pihak penentang Syria menyatakan, ia bimbang tentera Bashar akan melancarkan serangan senjata kimia baharu.

Ia berikutan pihaknya melihat tiga konvoi kenderaan yang dipercayai membawa senjata pembunuh besar-besaran itu baru-baru ini.

Obama memberitahu, serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu yang melibatkan gas sarin itu menjadi ancaman terhadap AS dan sekutu-sekutunya.

"Bashar dan Syria perlu bertanggung jawab," kata Obama.

Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula memberi amaran serangan tentera oleh Barat akan memburukkan lagi krisis di rantau berkenaan. -AFP

Thursday, September 05, 2013

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Amerika Syarikat (AS) tidak akan melakukan serangan ke atas Syria kerana tindakan itu disifatkan boleh memakan diri.


Dr. Mahathir berkata, ketegasan kerajaan pimpinan Barack Obama kononnya mahu menyerang Syria hanya bertujuan mengelak negara itu menanggung malu atas kenyataan sebelum ini.

Menurut beliau, AS sebelum ini mengugut akan menyerang Syria sekiranya negara itu menggunakan senjata pemusnah dan perkara tersebut sudah terbukti selepas beribu-ribu rakyat negara berkenaan dikatakan terbunuh kerana serangan senjata kimia baru-baru ini.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Jadi negara itu mahu mencari jalan keluar dengan menyatakan mahu bertanya kepada Kongres. Kongres AS mungkin membantah, rakyat AS sendiri tidak menyokong pembabitan negara mereka di Syria.

"Obama mahu lari sebab rakannya, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyebut mahu menyerang Syria, tetapi Parlimen negaranya tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, serangan AS ke atas Iraq dan Afghanistan sebelum ini memberi pengajaran perang jangka pendek adalah mustahil.

Menurut beliau, AS ketika menyerang Iraq mendakwa mampu menjalankan misi itu dalam tempoh hanya tiga bulan namun berlanjutan hingga lebih 10 tahun.

"Tetapi kini mereka mahu menyerang Syria pula. Apa sebenarnya yang mahu dilakukan di Syria? Mereka mendakwa mahu berperang secara terhad, tetapi bagaimana mahu mengehadkan perang?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menasihatkan rakyat menyelaraskan cara hidup berikutan kenaikan harga minyak.

"Sekarang naik 20 sen, mula-mula rasa pedih tetapi buatlah sedikit penyelarasan. Minyak di Britain dijual dengan harga RM7 seliter," katanya.

Ditanya cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan, beliau berkata, dialog seperti itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. -Utusan

Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!

Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!

Syria menegaskan negara itu tidak gentar berdepan dengan kemungkinan serangan tentera Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS) berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia meskipun berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Perang Dunia Ketiga

Dalam temu bual eksklusif AFP dengan Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Muqdad, beliau berkata negara itu sudah mengambil langkah sepatutnya untuk mempertahankan negara itu daripada serangan luar.

Beliau juga menegaskan bahawa Russia tidak akan menyokong tindakan Barat untuk menyerang Syria meskipun Presiden Vladimir Putin mengesyorkan agar Barat mempertimbangkan tindakan itu dengan sebaik-baiknya.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

“Amerika sedang menggerakkan tenteranya dan Damsyik juga melakukan perkara sama dan sekutu kita juga menawarkan bantuan yang diperlukan," katanya.

“Iran, Russia, Afrika Selatan dan beberapa negara Arab sudah menolak sebarang tindakan untuk menyerang Syria dan mereka bersedia untuk berdepan dengan peperangan yang akan disytiharkan Amerika dan sekutunya termasuk Perancis," katanya.

“Kerajaan Syria tidak akan mengubah sebarang kedudukan walaupun berlakunya Perang Dunia Ketiga. Tiada satupun rakyat Syria sangup mengorbankan kemerdekaan negara mereka," katanya.

Ketika ini, Presiden AS, Barack Obama sedang bertungkus-lumus untuk menyakinkan ahli Kongres bagi menyerang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Obama Akhirnya Dibenarkan Serang Syria

Krisis Syria

Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya diberi lampu hijau untuk memulakan tindakan ketenteraan ke atas rejim Bashar al-Assad di Syria.

Sebuah panel Dewan Senat AS memberi kebenaran selepas undi membenarkan 10 manakala tujuh undi menolak.

Undian penuh Senat dijangka dilakukan pada minggu depan.

Resolusi itu nanti akan membenarkan Obama menyerang Syria, tetapi dengan syarat serangan itu tidak boleh melebihi 90 hari dan tidak melibatkan sebarang anggota untuk peperangan di darat.

Undian ini menjadikan ia kali pertama berlaku di kalangan ahli politik AS selepas kali terakhir undian sebegitu diberikan pada Oktober 2002 memberi kebenaran kepada Presiden George W Bush untuk menyerang Iraq.

Memetik laporan Metro UK, Obama dalam satu sidang media di Stockholm, Sweden berkata kuasa barat mesti komited dengan apa yang diperkatakan mereka.

“Bukan kredibiliti saya yang dipertaruhkan di sini tetapi, kredibiliti masyarakat antarabangsa yang dipertaruhkan,” katanya.

“Kredibiliti AS dan Kongresnya juga dipertaruhkan kerana selama ini, Amerika yang memperjuangkan dengan kata-kata tentang isu-isu antarabangsa begini adalah penting.

Serangan AS itu nanti bakal menelan belanja yang besar kepada Obama.

Setiusaha Pertahanan AS Chuck Hagel berkata pihaknya telah melihat kos-kos belanja berbeza untuk tindakan ini dan ia mungkin berjumlah berpuluh juta Dollar Amerika. -mStar/Mynewshub

Proton Saga BLM Dijadikan Bom Kereta Di Syria!

Proton Saga BLM Dijadikan Bom Kereta Di Syria!

Seperti yang diketahui perang di Syria masih lagi berlaku.

Proton Saga BLM jadi bom kereta di Syria

Namun, penulis ingin berkongsikan video di bawah ini yang memaparkan kenderaan buatan Malaysia, Proton Saga BLM telah digunakan sebagai alat peledak bom.

Mereka telah mencipta dan mengubah suai bahan-bahan letupan di dalam rangka kereta tersebut selain menguji alat kawalan jauh yang dibuat mereka.

Proton Saga yang digunakan kelihatan sangat uzur kerana ketiadaan lampu belakang, nombor plat serta warnanya pun sudah pudar.

Kenderaan itu kemudiannya dipandu ke tempat sasaran sebelum diletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh tersebut.



Penulis hanya mampu berharap agar peperangan di sana segera berakhir dan akhirnya kemenangan akan berpihak kepada pihak yang benar.

BACA INI JUGA: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!

Sumber: Mynewshub

Tuesday, September 03, 2013

 Perang AS, Syria Demi Israel

Perang AS, Syria Demi Israel

Penduduk di kawasan Ghouta, pinggir Damsyik, mendakwa Putera Arab Saudi, Bandar Sultan Al Saud adalah dalang utama membekalkan senjata kimia kepada al-Qaeda sebelum insiden serangan roket bergas.


Menerusi laporan veteran antarabangsa AP, berdasarkan temu bual bersama sekumpulan doktor, penduduk, FSA dan ahli keluarga mangsa di Ghouta, kumpulan militan pernah menerima bekalan senjata kimia menerusi ketua perisik Arab Saudi iaitu Putera Bandar.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

Laporan itu menyebut, seorang bapa kepada ahli militan mengaku anak lelakinya bersama 12 rakan yang lain telah dibunuh di dalam terowong yang digunakan sebagai gudang menyimpan senjata yang dibekalkan pemimpin militan Arab Saudi, Abu Ayesha.

"Struktur senjata itu kelihatan seperti mesin tiub dan mempunyai balang gas yang besar," katanya.

Sementara itu, anggota FSA pula berkata, mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai kewujudan senjata kimia itu, malahan tidak tahu cara menggunakannya.

Satu lagi militan menuduh militan Takfiri yang bercabang dengan al-Qaeda dan Barisan al-Nusra mengetahui perkara sebenar membabitkan isu serangan itu.

Wartawan itu juga memaklumkan, kumpulan doktor yang ditemu bualnya turut mempersoalkan identiti dalang pembekal senjata kimia di Damsyik.

Malah, lebih mengejutkan apabila puluhan anggota militan mengaku bahawa mereka telah dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi di mana Putera Bandar sebagai pengantaranya.

Bagaimanapun, agensi Independent pernah melaporkan, jabatan risikan Putera Bandar pernah menuduh kerajaan Syria sebagai dalang menggunakan gas sarin dalam usaha menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dalam Februari lalu.

The Wall Street Journal pula melaporkan, ketua perisik Arab yang digelar oleh Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) sebagai sekutu diplomatik veteran Washington dan negara Arab, mampu menjadi pengantara menghantar sumber kewangan dan senjata secara rahsia.

Komander Pasukan Keselamatan Sukarela Basij di Iran, mendedahkan tindakan melulu AS untuk menyerang Syria adalah sebagai salah satu usaha Washington memanjang tempoh dasar melindungi rejim Israel.

"Benar atau tidak, secara kasarnya AS memang mahu menentang pengganas atau mencari dalang si pengebom kimia itu, tetapi jika dilihat dari maksud tersirat, misi mereka adalah untuk mempertahankan rejim Zionis," kata Brigedier Jeneral Mohammad Reza Naqdi, di Tehran, kelmarin.

Menurut Naqdi, AS juga pernah mengetuai peperangan di Afghanistan yang dimulakan pada 2001 atas alasan untuk menghapuskan kuasa Taliban dan mampu menggugat negara Barat.

Naqdi turut mengutuk pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003 dengan dakwaan negara itu memiliki senjata pemusnah terbesar di bawah kuasa rejim Iraq, Saddam Hussein.

"Tetapi, sehingga kini mereka masih belum menjumpai mana-mana senjata pemusnah yang didakwa mampu menggugat negara mereka," kata Naqdi.

Lebih sejuta rakyat di negara-negara Arab dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan peperangan yang diketuai AS. -SinarOnline