Thursday, May 08, 2014

Pistol Penceroboh Lahad Datu Tertera Tulisan 'Made In Israel'

Pistol Penceroboh Lahad Datu Tertera Tulisan 'Made In Israel'

Sepucuk pistol yang tertera tulisan ‘Made In Israel’ ialah antara senjata yang dirampas di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 7 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu dalam perbicaraan kelmarin.

'Made In Israel' Bul M5 gun
Gambar hiasan.

Asisten Superintendan Mursalim Mohd Salleh berkata beliau merampas pistol Bul M5 selepas berlaku pertempuran kecil antara pasukan keselamatan dan kira-kira 30 hingga 35 penceroboh yang bersenjata semasa operasi “cut-off” pada 6 hingga 7 Mac tahun lalu.

Ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya Datuk Abdul Wahab Mohamed untuk menerangkan secara khusus mengenai pistol itu, saksi ke-27 pihak pendakwa itu berkata ia diperbuat daripada perak dengan pemegang berwarna hitam dan pada pemegangnya terdapat tulisan kecil huruf M dengan nombor 5 dalam tulisan.

Ia juga mengandungi magazin berwarna perak tanpa peluru, kata beliau.

“Ada tulisan ‘Made in Israel’ (pada pistol),” beliau memberitahu mahkamah.

Pistol Bul M5 itu dikenal pasti oleh Mursalim di mahkamah bersama tiga lagi pistol – revolver, pistol jenis Armscor bersama magazin tanpa peluru dan pistol jenis Gold Cup National Match bersama magazin dengan lima butir peluru dan sebutir lagi peluru dalam ruang peluru pistol.

Komander platun Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berkata beliau merampas 12 magazin di lokasi pertempuran kecil – lapan magazin bagi peluru 7.62mm, satu magazin peluru 9mm, satu magazin bagi peluru semi-automatik dan dua magazin bagi peluru jenis 303 yang digunakan bagi raifal Garand.

Saksi itu berkata beliau juga merampas 186 peluru pelbagai saiz dan jenama.

Tiga puluh orang iaitu 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi orang yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok (hari ini). -BERNAMA

Friday, February 07, 2014

Percubaan Kali Kedua Ceroboh Sabah Berjaya Digagalkan!

Percubaan Kali Kedua Ceroboh Sabah Berjaya Digagalkan!

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pasukan keselamatan Malaysia berjaya menggagalkan percubaan kedua kumpulan bersenjata untuk memasuki Sabah dalam tempoh dua bulan.

Khalid Abu Bakar

Khalid yang mendedahkan perkara itu pada Khamis berkata, kumpulan-kumpulan itu merancang untuk memasuki timur Sabah atas sebab-sebab jenayah.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan secara lanjut dengan menjelaskan bahawa ia disebabkan oleh faktor keselamatan.

Khalid berkata, percubaan kedua berlaku pada akhir Januari tahun ini.

Pada 10 Januari lalu, Khalid memberitahu para pemberita bahawa terdapat satu pencerobohan lain ke Sabah yang dilakukan oleh pihak asing namun digagalkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

(Baca: Malaysia Cipta Pesawat Pengintip SMART-V)

Beliau berkata, cubaan yang dilakukan adalah kira-kira dua minggu sebelum itu (merujuk pada minggu terakhir Disember 2013).

“Terdapat satu percubaan oleh pihak luar untuk memasuki Sabah tetapi kami berjaya menggagalkannya menerusi kerjasama dengan agensi-agensi lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ” katanya kepada media ketika itu.

Kedua-dua cubaan menceroboh yang digagalkan itu berlaku kira-kira setahun selepas serangan kumpulan bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tandou di Felda Sahabat di Lahad Datu yang bermula pada 11 Februari 2013.

Sumber: Mynewshub

Monday, December 23, 2013

IMBASAN 2013: Insiden Lahad Datu Catat Sejarah Hitam Negara

IMBASAN 2013: Insiden Lahad Datu Catat Sejarah Hitam Negara

Tanggal 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air gugur mempertahankannya.

Lahad Datu

Pada tarikh itu bumi Lahad Datu dan Semporna, Sabah, bermandi darah apabila senjata api kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memuntahkan peluru menembusi tubuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka memburu pengganas yang mendakwa daripada kesultanan Sulu.

Kumpulan itu dikenal pasti pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa dia waris sah kesultanan Sulu, menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Feb bagi merampas kembali wilayah mereka di pantai timur Sabah tersebut.

Pencerobohan kumpulan pengganas itu turut mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebanyak 68 anggota militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara.

Dua hari selepas kira-kira 120 pengganas itu mendarat di Kampung Tanduo, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi menangani isu berkenaan.

Toleransi Malaysia jelas terbukti kerana tetap berunding dan “berlembut” dengan kumpulan itu yang enggan berganjak sekalipun tempoh mereka diminta meninggalkan Malaysia berakhir pada 26 Feb.

Tiga hari kemudian pada hari Jumaat, bumi Kampung Tanduo dibasahi darah apabila tercetus pertempuran antara pasukan polis dan pengganas yang mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69, Insp Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

Pertempuran itu juga meragut nyawa 12 pengganas.

Keesokannya, enam lagi anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna. Kejadian pukul 8 malam itu turut membunuh enam anggota pengganas.

Tersentak dengan keganasan yang dipamer oleh kumpulan militan itu, Perdana Menteri mahu gerakan ofensif besar-besaran dilancar, dan pada 5 Mac pasukan keselamatan negara menggempur kubu mereka dengan serangan udara dan darat menerusi Ops Daulat.

Lahad Datu

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia sedar ramai penduduk Sabah ialah etnik Suluk dan pada 7 Mac Najib tiba di negeri itu dan bertemu dengan pemimpin komuniti berkenaan bagi menyatakan kerajaan tidak sangsi akan kesetiaan mereka kepada negara.

Dalam sidang media sempena lawatannya itu Najib juga mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Ini disusuli dengan penubuhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan kepada ESSCOM.

Op Daulat turut menyaksikan penangkapan beberapa individu yang didapati bersekongkol dengan kumpulan pengganas terbabit selain anggota militan itu sendiri yang keluar daripada persembunyian selepas digempur.

Pada 21 Mac, lapan rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman mati serta penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Sehingga tarikh itu juga 443 orang dilapor ditahan kerana memasuki zon merah kawasan Op Daulat dan pelbagai kesalahan manakala 173 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Lahad Datu

Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka.

Insp Zulkifli dinaikkan pangkat kepada ASP dan Sabaruddin kepada Sarjan. Enam lagi ialah Supt Ibrahim Lebar (ACP), ASP Michael Anak Padel (DSP), Sarjan Abdul Aziz Sarikon (Sarjan Mejar), Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran (Koperal), Sarjan Baharin Hamit (Sarjan Mejar) dan Koperal Salam Tugiran (Sarjan).

Dua anggota ATM yang terkorban iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Perdana Menteri menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.

BACA INI JUGA:

Sumber: bernama

Saturday, July 27, 2013

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam mengulangi penegasannya bahawa surat yang mendakwa ada gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu ke Sabah bulan depan adalah tidak benar.


Sehubungan itu beliau meminta rakyat di Sabah agar tidak bimbang kerana pada masa yang sama pasukan keselamatan tetap mempertingkatkan kawalan.

"Elakkan menyebarkan khabar angin hingga boleh menakutkan penduduk negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata polis masih menyiasat mengenai surat itu yang dikatakan dihantar oleh pengganas dari selatan Filipina.

Surat bertarikh 3 Julai itu yang ditandatangani oleh ‘Komando Militan’ bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.

Dalam pada itu Hamza turut meminta orang ramai, khususnya pemimpin masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas kepada pihak keselamatan. -Bernama

Wednesday, June 26, 2013

Pengkhianat Polis Mengaku Amerika Syarikat Sokong Pencerobohan Lahad Datu

Pengkhianat Polis Mengaku Amerika Syarikat Sokong Pencerobohan Lahad Datu

Mahkamah Tinggi di sini Selasa diberitahu suara dalam dua perbualan telefon yang dipintas dikenal pasti sebagai suara anggota polis yang sedang dibicarakan bagi kesalahan berkaitan pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah.


Saksi kedua yang dilindungi itu berkata beliau mengecam suara Detektif Korporal Hassan Ali Basari dalam komunikasi yang dipintas sebelum ini di mana tertuduh memperkenalkan identiti dirinya.

Hassan dari Semporna dituduh dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Saksi berkenaan berkata pada 2 Mac tahun ini, Hassan dihubungi seorang lelaki Sabah pukul 7.37 malam untuk bertanyakan jika satu peperangan sudah berlaku dan Hassan mengiyakannya.

Saksi berkata menurut perbualan telefon yang diterjemahkannya itu, lelaki Sabah tersebut memaklumkan dia ada menghubungi Filipina dan mengatakan lebih 400 orang akan memasuki Sabah dari Bongao, Filipina.

Dalam perbualan telefon yang dipintas pada 3 Mac tahun ini, Hassan sekali lagi dihubungi lelaki Sabah terbabit pada pukul 9.28 pagi untuk memberitahu maklumat yang diperolehnya melalui internet mengatakan jumlah penceroboh mencecah angka ribu dan memerlukan sokongan kewangan yang banyak.

Menurut saksi itu, Hassan memaklumkan lelaki Sabah berkenaan, Amerika Syarikat menyokong pencerobohan itu, termasuk bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis Sabah Zulkifli Abd Aziz memberitahu mahkamah maklumat dalam pintasan komunikasi antara tertuduh dengan lelaki Sabah tersebut penting untuk keselamatan negara.

Ketika Zulkifli memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, beliau berkata Hassan turut terlibat dalam risikan ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu.

Katanya, tertuduh dipilih dalam tugas risikan ancaman pengganas Sulu kerana kebolehannya berbahasa Bajau dan Suluk dan mempunyai ramai kenalan dari kalangan suku kaum tersebut di Lahad Datu.

Beliau juga menafikan pernah menerima maklumat mengenai ancaman pengganas Sulu atau kegiatan keganasan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh tertuduh.

Menurutnya, maklumat mengenai sebarang ancaman terhadap keselamatan negara yang diperoleh anggota polis Cawangan Khas di peringkat daerah perlu segera dilaporkan kepada ketua Cawangan Khas daerah.

Tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, manakala Datuk Nordin Hassan mengetuai pihak pendakwaan.

Turut hadir isteri dan dua anak tertuduh.

-Bernama

Tuesday, June 11, 2013

Filipina Bakal Serahkan Jamalul Kiram III Kepada Malaysia

Filipina Bakal Serahkan Jamalul Kiram III Kepada Malaysia

Kesultanan Sulu semalam mendedahkan rancangan Istana Malacanang agar Jamalul Kiram III, keluarganya di bandar raya Taguig dan penyokong diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.


Mereka juga bakal berdepan pertuduhan cuba menawan Lahad Datu di Sabah oleh kira-kira 200 anggota Pasukan Keselamatan Diraja kesultanan itu (RSF) Mac lalu.

Bercakap kepada wartawan di kediaman Jamalul Kiram III, jurucakap kesultanan itu, Abraham Idjirani berkata, dia menerima maklumat daripada sumber “yang boleh dipercayai” dalam Malacanang bahawa Presiden Filipina, Benigno Aquino berhasrat untuk menyerahkan Jamalul, keluarga dan penyokongnya kepada Malaysia walaupun tiada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara itu.

“Kami mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Malacanang mahu menyerahkan Kiram dan penyokongnya di Taguig kepada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, anak perempuan Jamalul, Jacel menambah bahawa tindakan Malacanang itu dibuat ekoran penemuan mengejutkan daripada siasatan dilakukan Biro Penyiasatan Nasional (NBI) mengenai pendaratan RSF di Sabah.

“NBI pada mulanya berkata, mereka ke Sabah atas inisiatif sendiri. Kemudian NBI menyarankan agar dakwaan difailkan terhadap Jamalul kerana berkonspirasi agar penyokongnya ke Malaysia,” katanya. Jacel turut menyuarakan kemusykilan bagaimana dia, bapanya, saudara-mara, dan penyokong mereka hendak diekstradisi ke Malaysia berdasarkan penemuan NBI yang menyatakan keluarga dan penyokongnya berkonspirasi mencetuskan peperangan dengan Malaysia.

“Jika kamu mahu diekstradisi ke Malaysia kamu perlu melakukan jenayah di negara itu. Tetapi kami membuat tuntutan secara sah dari segi sejarah,” katanya.

-Philippine Star

Saturday, April 27, 2013

Tentera Filipina Nafi Bunuh 35 Tentera Sulu

Tentera Filipina Nafi Bunuh 35 Tentera Sulu

Tentera Filipina semalam mempertikai laporan akhbar bahawa pasukan pengawal pantai dan tentera lautnya membunuh 35 lelaki bersenjata bagi menghentikan mereka daripada memasuki negeri Sabah di Malaysia.

Gambar hiasan

Akhbar The Star di Malaysia yang memetik kenyataan Menteri Pertahanan negara itu, Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata dalam satu sidang akhbar di Pulau Penang semalam, bahawa pasukan tentera Filipina menembak kumpulan lelaki bersenjata dari selatan wilayah Sulu sebelum mereka dapat memasuki perairan Malaysia selepas kumpulan lelaki berkenaan enggan berpatah balik.

Komander tentera laut Filipina, Kapten Renato Yonque berkata, kawasan sempadan dengan Malaysia ‘sangat senyap’ dan berkata, “kami tiada maklumat mengenai kenyataan berkenaan”.

Ahmad Zahid dan pembantunya tidak dapat menjawab panggilan telefon bimbit mereka ketika dihubungi.

Sejak Mac lalu, tentera Malaysia bertempur dengan askar pengikut Jamalul Kiram III yang menuntut hak ke atas Sabah.

-AP

Friday, April 26, 2013

Tian Chua Nafi Fitnah Umno Isu Lahad Datu

Tian Chua Nafi Fitnah Umno Isu Lahad Datu

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chiang atau Tian Chua menafikan beliau mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Umno berhubung pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah.


Tian Chua menerusi pernyataan pembelaan yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata kenyataannya itu adalah komen yang wajar dan terlindung di bawah 'keistimewaan bersyarat' sebagai ahli Parlimen dan demi kepentingan awam.

Hakim Rosilah Yop yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 13 Mei untuk pengurusan kes.

Pada 11 April lalu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap Tian Chua dan dua yang lain berhubung artikel yang diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com. berkaitan insiden pencerobohan tersebut.

Selain Tian Chua, Ab Rauf turut menamakan Editor KeadilanDaily.com Fazallah Pit dan penulis artikel itu Aisha Geoffrey sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf mendakwa Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel "Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno" yang telah dilaporkan dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lepas ketika ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf secara bertulis oleh defendan untuk diterbitkan dalam semua akhbar, faedah, kos dan lain-lain perintah selanjutnya yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

-Bernama

Thursday, April 25, 2013

Gempar! 35 Pengganas Suluk Mati Di Tembak

Gempar! 35 Pengganas Suluk Mati Di Tembak

Kira-kira 35 askar militan Sulu yang cuba memasuki Sabah ditembak mati oleh tentera laut Filipina dan pengawal pantai pada Rabu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, kesemua mereka ditembak sebelum dapat memasuki perairan Malaysia selepas enggan berpatah balik.

Zahid berkata, menurut laporan perisikan, kumpulan tersebut cuba memasuki Sabah untuk mencetuskan huru-hara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Jika mereka sudah memasuki perairan kita, kita akan mengusir mereka keluar. Kita akan mempertahankan negara ini,” katanya pada sidang media di sini Khamis.

–mStar

Saturday, April 20, 2013

Menteri Pertahanan Sulu Bakal Berdepan Hukuman Mati

Menteri Pertahanan Sulu Bakal Berdepan Hukuman Mati

Adik kepada Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah, atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.


Datu Amirbahar, bakal berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia yang dianggap sebagai Menteri Pertahanan Kerajaan Kesultanan Sulu juga didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Datu Amirbahar, 49, dari Jolo, Selatan Filipina didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kg Tanduo, Lahad Datu, antara 9 Mac dan 23 Mac lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 23 Mac lepas ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Suluk di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan, dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dan DPP Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Prosedur Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau dan 14 Mei ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan dakwaan terhadap Datu Amirbahar, 20 warga Filipina didakwa setakat ini manakala seorang koperal polis warga tempatan juga didakwa di Mahkamah Majistret berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini.

Kesemua warga Filipina itu didakwa berhubung pelbagai kesalahan antaranya melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

Seorang anggota polis pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.

Kesemua kes itu juga dipindahkan di Mahkamah Tinggi Tawau.

–BERNAMA

Friday, April 12, 2013

Empat Lagi Pengganas Suluk Didakwa

Empat Lagi Pengganas Suluk Didakwa

Empat lagi lelaki warga Filipina pada Khamis didakwa di Mahkamah Majistret Semporna dan Lahad Datu atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.


Di Mahkamah Majistret Semporna yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, tiga lelaki didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Wednesday, April 10, 2013

Mayat Busuk Dan Berulat Tiga Kubur Mayat Pengganas Suluk

Mayat Busuk Dan Berulat Tiga Kubur Mayat Pengganas Suluk

Bau busuk dan keadaan mayat yang berulat dengan isi daging yang sudah terlerai menjadi cabaran utama sepasukan unit forensik ketika menggali tiga kubur mengandungi mayat pengganas dipercayai ditanam rakan mereka selepas bertempur dengan pasukan keselamatan ketika Op Daulat di Kampung Tanduo, awal bulan lalu.


Sumber berkata, selepas hampir lima jam menggali, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu akhirnya berjaya mengeluarkan semua 15 mayat berulat termasuk satu mayat dipercayai pengganas wanita sebelum dihantar ke Hospital Besar Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, difahamkan, kerja menggali ‘pusara’ pengganas itu bermula seawal jam 1 tengah hari semalam diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mammah dan dibantu penduduk tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kerja menggali semua kubur itu terhenti hampir satu jam akibat hujan lebat.

Mayat dibungkus sebelum dihantar untuk bedah siasat.

”Kerja mengeluarkan mayat kemudian disambung semula kira-kira jam 3.30 petang sebaik hujan mulai renyai dan semua mayat berjaya dikeluarkan sekitar jam 7 malam,” katanya.

-Hmetro

Dalang Penceroboh Lahad Datu Terus Di Buru

Dalang Penceroboh Lahad Datu Terus Di Buru

Polis masih mengumpul bukti bagi membolehkan dalang insiden pencerobohan kumpulan militan di Kampung Tanduo,Lahad Datu dan Semporna sejak Februari lepas dibawa ke muka pengadilan.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata siasatan menjurus kepada penyelesaian kes itu berpandu kepada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh di mahkamah.

"Kami tidak kata orang ini (individu ditahan) terlibat sebagai perancang atau pembunuh kes menembak mati pasukan keselamatan pada 2 Mac, kami ada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh...," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apabila ditanya mengenai kemungkinan dalang yang disyaki adalah daripada kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik dalam laporan akhbar tempatan hari ini sebagai berkata pihak ketiga yang mendalangi tindakan pencerobohan pengganas Jamalul Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan beberapa lokasi lain di Sabah telah dikenal pasti, namun masih memerlukan bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Mengenai 32 individu yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam, Hamza berkata kesemuanya adalah lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun.

"Kami tangkap kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen dan bersenjata api yang menyalahi undang-undang negara ini," katanya.

Hamza berkata tiada pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah serta tiada laporan mengatakan pengganas bersenjata memasuki negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata pasukan keselamatan masih mengesan tiga lagi mayat militan Sulu yang ditembak mati pada pertempuran 1 Mac lepas.

-Bernama

Friday, April 05, 2013

Kenapa Kubur Mayat Pengganas Suluk Bertebaran Di Seluruh Sabah?

Kenapa Kubur Mayat Pengganas Suluk Bertebaran Di Seluruh Sabah?

Difahamkan bahawa mayat-mayat Pengganas Suluk telah dibawa ke beberapa daerah diseluruh Sabah untuk siasatan polis. Bagaimanapun sesuatu yang tidak difahami ialah, kenapa mayat-mayat itu dikebumikan disitu dan bukan di Lahad Datu atau dibuang saja ke laut?

Adakah kerana mereka ini memang dilahirkan disini?

Adakah ini untuk menakut-nakutkan penduduk ditempat tersebut?

Kubur pengganas Sulu di daerah Pitas

Kubur pengganas Sulu di daerah Ranau

Kubur pengganas Sulu di daerah Keningau

Kenapa?

[Sumber]

Edited by SP

Wednesday, April 03, 2013

Azzimuddie Kiram Kini Di Buru Unit Risikan

Azzimuddie Kiram Kini Di Buru Unit Risikan

Pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan saki-baki puak pengganas Sulu yang dianggarkan kurang daripada 10 orang sudah keluar dari kawasan operasi penggeledahan dan pembersihan.


Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, usaha untuk menjejaki kumpulan musuh itu kini giat dijalankan dengan menggunakan taktik risikan.

"Kita akan mendapatkan maklumat daripada orang ramai selain menggunakan kepakaran risikan pasukan kita untuk menjejaki saki-baki musuh yang ada," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

-Kosmo

Jamalul Kiram Nafi Bayar Pengganas Ceroboh Lahad Datu

Jamalul Kiram Nafi Bayar Pengganas Ceroboh Lahad Datu

Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III menafikan dia membayar upah kepada askar-askar pasukan Keselamatan Diraja untuk memasuki Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu, lapor akhbar dalam talian Philstar semalam.


Jurucakapnya, Abraham Idjirani berkata, Jamalul Kiram tidak mampu untuk membayar mereka dan para pengikutnya itu.

Idjirani turut berkata, Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman telah mengaku tidak menyalurkan dana kepada Jamalul Kiram.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Ridhwan mengaku menyalurkan sumbangan kepada Muedzul Lail Tan Kiram yang didakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang sah.

“Muhammad Ridhwan mengaku tidak kenal Jamalul Kiram dan adiknya, Azzimuddie Kiram. Itu bermakna wujud konspirasi di Malaysia. Mereka (Malaysia) menggunakan yayasan amal untuk mencabar kesahihan Kesultanan Sulu,” kata Idjirani.

Menurutnya, Muhammad Ridhwan merupakan individu yang membiayai istiadat pertabalan Muedzul sebagai Sultan Sulu pada Disember lalu.

Idjirani menegaskan bahawa walaupun Muedzul yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram, dia sebenarnya berada pada kedudukan ke-14 sebagai pengganti Sultan Sulu.

Dia menyatakan, Malaysia kini terlibat dalam kempen memberikan maklumat yang palsu.

Idjirani turut menyelar Malaysia kerana mendakwa lapan orang lelaki yang dilaporkan telah ditangkap sebagai para penyokong Tentera Kesultanan Sulu.

Katanya, daripada lapan nama itu hanya seorang sahaja merupakan anggota tentera Kesultanan Sulu.

Para pengikut Jamalul Kiram memasuki Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu bagi menuntut tanah yang didakwa milik nenek moyang mereka.

Sementara itu, menurut portal berita, ABS-CBNnews.com kelmarin, Jamalul Kiram menemui Ketua Persidangan Biskop Katolik Filipina, Jose Palma dengan harapan tuntutannya ke atas Sabah akan mendapat perhatian Pope Francis I yang merupakan Ketua Gereja Roman Katolik.

Jamalul Kiram menemui Palma hampir sejam di pejabatnya di sini.

Palma berjanji untuk membawa kes itu ke Majlis Vatican di Vatican.

-Agensi

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Kelantangan bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menyuarakan bantahan serta kritikan terhadap Malaysia berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini.


Ramai pihak mempersoalkan campur tangan Misuari dalam konflik di Sabah dan kenyataannya menyokong ketua penggans Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu menceroboh Sabah.

Kenyataan-kenyataannya itu jelas menggambarkan satu tindakan daripada seorang pemimpin yang gagal, kecewa dan dipinggirkan, bukan sahaja oleh masyarakat antarabangsa tetapi juga oleh kerajaan Filipina dan juga oleh bangsanya sendiri - BangsaMoro.

Kenyataan-kenyataannya juga jelas menunjukkan perasaan cemburunya terhadap kejayaan seterunya dalam Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diketuai Murad Ebrahim mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina, baru-baru ini.

Tindakan pengasas MNLF itu jelas sekadar mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan BangsaMoro, serta cuba menebus kegagalannya membawa kemajuan di Mindanao, ketika menjadi gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di selatan Filipina selepas mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996.

Perjuangan Misuari bersama MNLF mula dipertikaikan apabila beliau secara rasmi menggugurkan tuntutan kemerdekaan Mindanao dalam Perjanjian Tripoli I pada 1976, sekali gus menunjukkan kegagalannya memperjuangkan nasib Bangsamoro di selatan Filipina.

MNLF di bawah pimpinannya mula mengalami perpecahan pertama pada 1976 apabila satu kumpulan dalam MNLF diketuai Hashim Salamat menubuhkan MILF dan perpecahan MNLF kali kedua berlaku pada 1991, apabila Khadaffy Janjalani pula menubuhkan kumpulan Abu Sayyaf.

Namun dengan sokongan Arab Saudi dan Libya, Misuari bijak mengambil kesempatan untuk menaikkan semula reputasinya apabila beliau sebagai pengerusi MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Fidel Ramos pada 1990-an.

Justifikasi perdamaian itu membolehkan Misuari dilantik sebagai Gabenor ARMM dari 1996 hingga 2002.

Sepanjang tempoh enam tahun bertugas sebagai Gabenor ARMM ketiga, pentadbiran Misuari diselubungi pelbagai kontroversi termasuk isu rasuah, nepotisme dan salah tadbir.

Malah dana yang disalurkan kerajaan Filipina tidak digunakan untuk pembangunan di Mindanao, meski pun banyak projek dalam kertas kerja ARMM telah diluluskan.

Ada laporan menyebut, banyak pelaburan daripada Malaysia juga lesap tanpa dikesan.

Bagi menyembunyikan kegagalannya memerintah ARMM, Misuari kembali melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Filipina di Jolo, Sulu pada November 2001, selepas kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo melucutkan jawatannya sebagai Gabenor ARMM.

Misuari menghadapi tamparan hebat kali ini, apabila kerajaan Arab Saudi dan Libya dengan tegas menyatakan pendirian tidak mahu lagi membantu Misuari kerana menyifatkan konflik yang berlaku antara MNLF dan Filipina ketika itu merupakan isu dalaman negara terbabit.

Dendam Misuari terhadap Malaysia dikatakan bermula apabila kerajaan Malaysia menangkapnya dan menyerahkannya kepada kerajaan Filipina untuk dibicarakan atas kesalahan melakukan keganasan selepas beliau melancarkan pemberontakan dan melarikan diri dari negara itu.

Pasukan keselamatan Malaysia menangkap Misuari di perairan Sabah kerana memasuki negara ini secara haram.

Beliau cuba menggunakan nama beberapa anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengiktiraf MNLF sebagai badan pemerhati OIC, untuk memburukkan nama Malaysia kerana tidak memperjuangkan nasib umat Islam di Mindanao.

Namun taktik meraih simpatinya itu menemui kegagalan selepas duta negara-negara terbabit menafikan dakwaan Misuari.

Sejak itu, Misuari dilihat bersungguh-sungguh menuntut Sabah sebagai hak Kesultanan Sulu dan mencemburui kejayaan MILF dan kerajaan Filipina yang baru-baru ini, menandatangani rangka pelan damai, hasil usaha sama kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaik-baik sahaja perjanjian MILF- Manila ditandatangani, Misuari dengan lantang mengeluarkan kenyataan provokasi yang menyatakan perjanjian tersebut hanya akan mencetuskan lagi perang yang lebih besar.

Sikap itu jelas menunjukkan kekecewaan Misuari apabila beliau tidak dapat mencapai kejayaan seperti yang diperoleh pemimpin MILF untuk mewujudkan wilayah autonomi Islam yang lebih baik daripada pimpinannya sebelum ini.

Tidak hairanlah jika Misuari terus membabitkan dirinya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu kerana ingin membalas dendam terhadap Malaysia yang menjayakan rundingan damai antara MILF dan Filipina.

Jika Misuari benar-benar ikhlas untuk mewujudkan wilayah Islam yang berdaulat, kenapa beliau tidak menyokong perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang ketika ini telah mencapai satu tahap yang lebih baik untuk merealisasikan impian BangsaMoro.

Sebaliknya, Misuari dilihat cuba mencari jalan untuk menggagalkan usaha damai tersebut dan menjadikan isu tuntutan Sabah sebagai batu loncatan untuk menaikkan semula reputasinya sebagai pemimpin MNLF yang disegani.

-Utusan

Tuesday, April 02, 2013

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tujuh warga selatan Filipina pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.


Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan. Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

(Baca: Gambar Anggota Polis Yang Menjadi Musuh Dalam Selimut)

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah.

Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh.

-BERNAMA

Lokasi Pengganas di Lahad Datu Disahkan Bersih

Lokasi Pengganas di Lahad Datu Disahkan Bersih

Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.

"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.

"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 pada Isnin.

Beliau berkata tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya. Beliau berkata walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.

"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.

Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".

Dalam pada itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung.

-BERNAMA

Monday, April 01, 2013

Datuk Seri Mengaku Biayai Pengganas Sulu

Datuk Seri Mengaku Biayai Pengganas Sulu

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.


Ridzwan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Beliau, yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada pukul 11.05 pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

“Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram,” katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas.

-BERNAMA