Friday, April 03, 2026

Amerika Kehilangan Penghormatan Dunia!

Amerika Kehilangan Penghormatan Dunia!

Amerika Telah Kalah – Ringkas dan Mudah! Hentikan dakwaan tidak masuk akal bahawa Amerika akan melancarkan serangan darat ke atas Iran. Amerika kini tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian.

Amerika Kehilangan Penghormatan Dunia

Hakikatnya, Amerika telah tewas, jelas dan nyata. Malah, Amerika juga tidak mampu membuka semula Selat Hormuz. Donald Trump sendiri menyedari perkara ini dan mahu menamatkan perang secepat mungkin serta membawa pulang tenteranya kerana sokongan terhadapnya semakin merosot.

Amerika hanya mempunyai sekitar 17,000 tentera di medan perang dan sebahagian besar daripada mereka bukanlah pasukan tempur, sebaliknya kakitangan sokongan.

Ketika Amerika menyerang Iraq pada tahun 1991 melalui Operasi Desert Storm, mereka mengumpulkan lebih daripada 500,000 tentera gabungan, yang mengambil masa 6 bulan untuk disiapkan.

Kini, adakah masuk akal untuk menyerang Iran—sebuah negara yang empat kali lebih besar daripada Iraq, dengan hanya 17,000 anggota?

Ini merupakan kekalahan ketenteraan terbesar dalam sejarah Amerika dan ia berlaku ketika mereka sedang menyambut ulang tahun ke-250 kemerdekaan dan penubuhannya sebagai sebuah negara.

Amerika Hilang Penghormatan Dunia!

Tiada apa yang lebih mematikan bagi sebuah kuasa global selain kehilangan rasa hormat dan prestij. Itulah yang sedang dihadapi oleh Amerika selepas ia memutuskan untuk menamatkan kempen ketenteraan yang membawa bencana di Iran tanpa berjaya membuka semula Selat Hormuz.

Serta-merta, kita melihat sekutu NATO seperti Sepanyol, Itali dan Perancis enggan membenarkan pangkalan serta ruang udara mereka digunakan oleh Amerika untuk menyerang Iran.

Eropah kini telah sedar sepenuhnya bahawa Amerika adalah rakan yang tidak boleh dipercayai dan tidak mampu menjamin keselamatan benua itu.

Pakar telah lama berhujah bahawa Eropah perlu mempertahankan dirinya tanpa bergantung kepada Amerika dan gabungan kekuatan NATO Eropah sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk menandingi Rusia.

Malah, pakar sendiri tidak pasti adakah tentera Rusia yang dianggap hebat itu mampu mengatasi Poland, apatah lagi gabungan NATO.

Eropah juga mampu menyokong Ukraine dalam perang menentang Rusia selama mana pun diperlukan. Tidak seinci pun tanah Ukraine harus diserahkan kepada penceroboh.

Cukuplah dengan cadangan Amerika yang tidak masuk akal untuk menyerahkan Donetsk demi mencapai keamanan.

Bagi Asia pula, Taiwan kini perlu menilai semula keadaannya. Prestasi ketenteraan Amerika di Iran amat mengecewakan.

Sebelum ini, selepas Strategi Keselamatan Nasional Trump diterbitkan pada November 2025, ramai yakin Amerika akan membantu Taiwan jika diserang China. Namun kini, tidak lagi pasti.

Jika sebuah kuasa dunia boleh begitu sahaja berundur dari medan perang tanpa menguasai semula laluan tenaga paling penting dunia, ia jelas menunjukkan ketidakbolehpercayaan negara tersebut.

Jepun kelihatan sebagai rakan ketenteraan yang jauh lebih boleh diharapkan bagi Taiwan.

Di Timur Tengah, tidak dapat dinafikan bahawa Iran berpotensi menjadi kuasa nuklear dalam masa terdekat selepas memalukan Amerika dalam perang ini.

Bersama Turki, mereka akan menjadi kuasa serantau selepas berjaya menyingkirkan Amerika dari Timur Tengah.

Negara seperti UAE yang secara terburu-buru menyertai perang di pihak Amerika akan menanggung akibat yang besar.

Iran tidak perlu pun mengambil tindakan ketenteraan terhadap UAE, cukup sekadar memberi ancaman berterusan dan bandar seperti Dubai serta Abu Dhabi boleh menjadi bandar kosong.

Selepas pengalaman ini, adakah jutawan dan bilionair masih akan kekal di UAE apabila ancaman sebegitu wujud? Mungkin tidak.

Mereka akan terus keluar dan memindahkan kekayaan mereka ke Thailand, Singapura dan Hong Kong. UAE akan menjadi kosong dari dalam, malah mungkin tidak mampu bertahan sebagai sebuah negara.

Kesimpulan

Pengajaran daripada perang Iran ini ialah tiada negara yang boleh bergantung sepenuhnya kepada Amerika sebagai payung keselamatan.

Jika anda sebuah negara kecil di kawasan yang dikuasai kuasa besar, adalah satu kesilapan untuk memprovokasi mereka hanya kerana anda membayar wang "perlindungan" kepada Amerika.

Anda sebenarnya lebih selamat dengan hidup dalam harmoni dan aman bersama jiran-jiran.

Selepas perang ini, struktur keselamatan baharu akan muncul tanpa penglibatan Amerika.

Sudah tiba masanya dunia membiarkan Amerika menumpukan kepada Hemisfera Barat. Biarlah mereka menjadi kuasa dominan bagi negara seperti Venezuela dan Cuba.

Mungkin itulah juga yang diinginkan oleh Donald Trump dan Amerika.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 02, 2026

SBDJ Siri 266: Guru Jadi Harimau

SBDJ Siri 266: Guru Jadi Harimau

Perhatian ditumpukan kembali ke arah datuk. Dia maju ke depan sambil membuka bunga silat, kemudian berhenti seketika. Buka langkah silat sekali lagi dan terus berhenti, menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskan nafas secara perlahan-lahan sambil duduk dalam tiga peringkat.

SBDJ Siri 266 Guru Jadi Harimau

Peringkat pertama, merendahkan badan dengan sepasang tangan di atas sepasang tempurung lutut, seperti orang melakukan rukuk (macam orang sembahyang). Peringkat kedua, bertukar macam orang bertinggung dan peringkat ketiga terus duduk bersila lalu melakukan tafakur dengan sepasang mata yang pejam.

Selesai melakukan tafakur datuk terus melompat macam ada sesuatu yang mencucuk punggungnya. Dia terus berdiri sambil sepasang tangan memeluk dada, sepasang bibir terus bergerak.

Bila bibir berhenti bergerak kelopak mata terbuka luas, datuk menerkam ke arah serumpun rumput liar. Dengan senafas, rumpun rumput liar berakar seribu direntap dari bumi.

Akar rumput yang masih dilekati tanah itu diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya dan dipusingnya berkali-kali.

Kerana pergerakan tangannya cukup pantas, rumput yang dipusing atas kepalanya, kelihatan seperti putaran kipas helikopter. Tanah yang melekat di hujung akar rumput bercerai, berterbangan dan berserakan.

Sebahagian tanah yang berterbangan itu hampir saja mahu singgah di muka ayah dan ibu Shafie. Kalau mereka tidak mengelak, pasti ada tanah yang masuk ke mata.

Saya dan Shafie segera menutup mata dengan telapak tangan agar serpihan tanah tidak kena mata dan muka.

"Allahhu akbar."

Lantang sekali suara datuk, telapak tangan yang menutup mata segera dijatuhkan. Saya dan Tajuddin berpandangan penuh dengan tanda-tanya yang diiringi dengan rasa hairan.

Pak Habib tenang saja, begitu juga dengan Shafie. Cuma yang nampak cemas sedikit, ayah dan ibunya.

"Hilang," cetus saya dalam hati.

Rumpun rumput berakar seribu yang dikenali dengan nama rumput kuku kucing biang, sudah tiada ditangan datuk.

"Ahhh pelik sekali," bisik batin saya.

Helai-helai rumput kuku kucing biang melayang-layang bebas di udara. Semuanya menjunam menuju ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie yang masih bergolek-golek atas rumput sawah terbiar.

Helai-helai rumput kuku kucing biang itu bergerak pantas bagaikan anak panah terlepas dari busarnya. Semuanya menuju ke arah dua lelaki yang sedang bergolek, berhempas pulas melawan sakit.

Bila hujung rumput yang berterbangan menikam tubuh mereka, terdengar jeritan yang kuat dan panjang, bukan lahir dari mulut dua lelaki tetapi, dari sebatang pokok yang tegak gagah di tempat sepadan.

DUDUK

Bila suara sorakan dan jeritan hilang, dua lelaki pengikut setia Shafie terus duduk. Toleh kiri, toleh kanan, renung ke langit dan renung ke bumi.

Perkara itu dilakukan berkali-kali, kemudian termenung dan termanggu-manggu macam ayam mabuk tahi.

"Eh ganjil," terpancut dari mulut saya.

"Tengok dan lihat saja, jaga mulut kamu," datuk memberi amaran.

Saya gigit bibir.

Hanya sepasang mata menyorot ke arah dua lelaki yang sedang merangkak menuju ke arah perdu pokok besar yang terpacak gagah menjadi sempadan antara kawasan sawah dengan kawasan tanah kampung.

Saya pasti benar, dari arah pokok besar itulah sebentar tadi datangnya suara orang menjerit panjang.

Sebaik saja sampai di perdu pokok besar, mereka terus duduk mencangkung. Tangan kanan masing-masing memeluk kepala lutut kanan, sementara tangan kiri dijatuhkan lurus ke tanah. Jari jemari kiri mereka mencakar tanah.

Sepasang mata mereka, merenung layu ke arah datuk dan Pak Habib, membayangkan ada sesuatu yang mereka harapkan. Dan Pak Habib yang banyak mengerti tentang bahasa gerak tubuh dan mata, segera menepuk bahu datuk.

"Mereka mengharapkan bantuan untuk kebebasan diri dari sesuatu belenggu yang menyeksakan," bisik Pak Habib.

Datuk mengangguk lemah.

"Uruskan," tambah Pak Habib.

Macam tadi juga, datuk terus mengangguk.

"Memerlukan bantuan saya?"

Datuk gelengkan kepala.

Pak habib senyum senang hati.

Datuk segera memberitahu ayah dan ibu Shafie, minta bersabar sebentar. Biar dia uruskan dua lelaki pengikut Shafie dengan sempurna.

Bila semuanya selesai, perjalanan akan diteruskan. Tiada bantahan dari pasangan suami isteri tersebut. Shafie menggerakkan sepasang kelopak matanya, merestui permintaan datuk.

Setelah membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran datuk segera menuju ke arah pokok besar dengan diiringi oleh Pak Habib.

Saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat masing-masing untuk mengawasi gerak-geri Shafie. Manalah tahu, kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Dalam jarak beberapa kaki mendekati perdu pokok besar, terdengar suara ngauman harimau. Langkah Pak Habib dan datuk terhenti seketika.

Saya terasa seram, bulu roma terus tegak berdiri, muka Tajuddin nampak pucat. Shafie bersama kedua-dua orang tuanya nampak resah.

Sebaik saja suara ngauman berhenti, datuk dan Pak Habib terus memulakan langkah, ngauman harimau datang lagi. Tetapi, kali ini Pak Habib dan datuk mempersetankannya.

Semakin rancak bunyi ngauman harimau, semakin bersemangat mereka melangkah.

Dalam keadaan samar-samar, saya melihat ada bebayang harimau belang sebesar kerbau, tercegat di depan kedua-dua lelaki pengikut setia Shafie, bagaikan menghalang datuk dan Pak Habib, mendekati dua lelaki tersebut.

Datuk nekad untuk meneruskannya.

"Jangan sahabat, ini merbahaya," tahan Pak Habib.

"Kalau tidak ditentang, kerja kita jadi sia-sia."

"Merbahaya sahabat."

"Sesungguhnya, tiada makhluk yang boleh melawan kekuasaan dan kekuatan Allah."

"Kalau tu kata sahabat, silakan."

"Tolong saya, bila keadaan terdesak."

"InsyaAllah," itu janji Pak Habib.

JATUH

Datuk pun melangkah, tiba-tiba dia terjatuh dan terlambung ke belakang macam ada sesuatu yang menolaknya.

Bebayang harimau kelihatan mengangkat kedua-dua belah kakinya sambil membuka mulut selebar mungkin, bersedia untuk menerkam dan membaham datuk yang terlentang di tanah.

Sebelum harimau besar melompat ke arahnya, datuk menggolekkan tubuhnya ke arah kanan dan terus bangun.

Datuk tahu, harimau yang ditentangnya, bukan harimau sebenar tetapi, harimau jelmaan. Datuk mengambil inisiatif menentang cara kebatinan.

Setelah memilih tempat bertahan yang sempurna dan kukuh. Datuk berdiri tegak dengan sepasang kaki terbuka lebar. Sepasang lengan diletakkan ke dada.

Wajahnya nampak garang dengan sepasang mata bersama renungan tajam diarahkan ke arah bebayang harimau besar. Rambut yang menutup sebahagian cuping telinga nampak bergerak.

Baju dan seluar datuk juga turut bergerak seperti dirempah angin, keadaan datuk ketika itu seperti ditepi pantai, menahan angin yang datang dari laut.

Datuk tumbang, tetapi berhasil bangun kembali. Tiga kali tumbang, tiga kali bangun, setelah itu datuk kelihatan stabil. Berdiri penuh yakin.

Episod selanjutnya, menyaksikan harimau sebesar kerbau tercampak ke kiri dan ke kanan. Sukar untuk berdiri. Sepasang kaki belakangnya bagaikan patah.

Dua lelaki pengikut setia Shafie, terkaku diperdu pokok besar, bagaikan patung.

"Allahhu akbar."

Suara datuk lantang sekali. Dia melompat tinggi sambil menumbuk dan menendang angin ke arah harimau besar. Terdengar suara ngauman harimau yang lemah dan mengerang.

Bebayang harimau besar tercampak dan terperosok di pangkal pokok besar. Dua lelaki yang berada di situ terpelanting agak jauh ke sebelah kanan datuk. Terkapai-kapai di situ.

Manakala harimau besar yang terperosok, nampak mengecil dan akhirnya hilang. Cuma ada kesan debu-debu halus di mana harimau itu terperosok

BERTAFAKUR

Setelah bertafakur seketika, datuk segera mengembalikan tubuhnya, hati dan perasaan ke alam nyata. Dia melangkah ke arah Pak Habib lalu bersalaman dan berpelukan.

"Saya nak selesaikan masalah dua manusia sesat," beritahu datuk pada Pak Habib.

"Silakan."

"Macam tadi juga, saya minta bantuan, kalau saya tersepit."

"Pergilah, saya bersama awak."

"Terima kasih."

Datuk pun melangkah ke arah dua lelaki. Berdiri sambil bercekak pinggang di depan mereka. Kedua-dua lelaki itu takut menikus. Mereka menggeletar semacam.

"Apa lagi yang kamu mahu," tanya Datuk.

"Kami tak mahu apa-apa," jawab mereka serentak.

"Pulanglah ke tempat kamu, bertaubat. Kembalilah kepada ajaran Allah, jangan menuntut ilmu syaitan, jangan minta perlindungan dari syaitan. Mintalah, sesuatu kepada Allah," nasihat datuk.

Kedua-dua lelaki itu anggukkan kepala.

Sebelum beredar, salah seorang daripada lelaki itu memberitahu datuk, kerana masalah dan kesempitan hidup dia jadi pengikut agama baru yang pada hematnya, tidak lari dari agama Islam.

Katanya, dengan bantuan tangan ghaib, dia hidup senang, berbanding dengan dulu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang dia termasuk dalam golongan orang mewah di kampungnya.

"Saya yang membawa dan memperdaya Shafie menjadi pengikut mahaguru," tutur lelaki itu pada datuk dalam nada suara yang bersahaja.

"Kerana saya berjaya menarik orang luar menjadi pengikut kumpulan kami, mahaguru secara diam-diam melantik saya menjadi orang kanan kumpulan," sambung lelaki itu lagi.

Manakala kawan yang berada di sisinya membatu seribu bahasa.

"Di mana mahaguru kamu, aku nak jumpa dengan dia," kata datuk.

"Sudah mati untuk kali kedua, dia tidak mungkin hidup lagi," balas lelaki tersebut.

Datuk jadi bingung dan merasakan dirinya dipermain-mainkan.

"Jangan bergurau dengan aku," Amaran dari Datuk.

"Dia tidak bergurau tuan," kawannya mencelah.

Dan lelaki yang berdialog dengan datuk sebentar tadi anggukkan kepala. Mengangkat tangan kanannya, bagaikan minta izin pada datuk agar mengizinkan dia meneruskan penjelasan yang terputus.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 266/284

BACA: SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 31, 2026

Berakhirnya Era Kekuatan Tentera Laut Amerika Syarikat? Realiti Yang Ramai Tak Sangka

Berakhirnya Era Kekuatan Tentera Laut Amerika Syarikat? Realiti Yang Ramai Tak Sangka

Dalam sejarah moden, tiada kuasa laut yang lebih digeruni selain Tentera Laut Amerika Syarikat. Selama puluhan tahun, kapal induk mereka menjadi simbol dominasi global — muncul di mana sahaja apabila konflik berlaku, seolah-olah "polis dunia" di lautan.

Berakhirnya Era Kekuatan Tentera Laut Amerika Syarikat

Namun kini, satu persoalan besar mula timbul, adakah era kekuatan Tentera Laut Amerika Syarikat sedang menuju ke penghujungnya?

USS Abraham Lincoln

USS Abraham Lincoln adalah salah satu senjata paling berkuasa yang pernah dibina. Amerika membinanya untuk "berlabuh" di mana sahaja mereka mahu dan mencabar sesiapa yang berani membantah dan kali ini Iran bangun membantah!

USS Abraham Lincoln memulakan perang ini dengan berada hanya 350 kilometer dari pantai Iran. Cukup dekat seolah-olah boleh "menghidu" tempat itu.

Kemudian sesuatu berlaku. Tiada siapa yang benar-benar sepakat tentang apa yang terjadi.

Donald Trump mendakwa 101 peluru berpandu telah dilancarkan dan semuanya berjaya dipintas. Iran pula berkata mereka berjaya mengenainya. CENTCOM pula mengatakan tiada apa yang menghampiri.

Semua pihak menipu tentang sesuatu dan kini kapal itu berada 1,100 kilometer jauhnya, bersembunyi di sebalik banjaran gunung pesisir Oman seperti seseorang yang bersembunyi di belakang sofa.

Jarak itu lebih penting daripada sebarang kenyataan media. Kapal pengangkut pesawat pada jarak 350 kilometer sangat menggerunkan.

Jet-jetnya boleh sampai ke Tehran dalam beberapa minit. Serangan boleh dilaksanakan sebelum sesiapa sempat membuat panggilan telefon.

Tetapi pada jarak 1,100 kilometer, situasinya berubah sepenuhnya. Misi lebih panjang. Lebih banyak pesawat pengisi minyak diperlukan. Risiko meningkat. Lebih banyak perkara boleh gagal dalam perjalanan pergi dan balik.

AS tidak akan mengalihkan simbol kuasa negara seberat 90,000 tan, tiga kali lebih jauh dari medan perang hanya kerana bilik dobi terbakar.

USS Gerald R. Ford

Di sinilah masuknya USS Gerald R. Ford. Kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia itu terbakar di Laut Merah pada 12 Mac.

Kebakaran bermula di fasiliti dobi bahagian belakang, mencetuskan tindak balas kecemasan besar, memusnahkan lebih 100 katil dan terpaksa memindahkan para kelasi ke seluruh kapal.

Tentera Laut terpaksa menghantar bekalan tilam melalui udara dari kapal lain yang masih berada di Virginia.

Mereka juga mengumpulkan hampir 2,000 pakaian sukan untuk diagihkan kepada kru kerana kebanyakan sistem dobi tidak lagi berfungsi.

Kemudian USS Gerald R. Ford meninggalkan zon perang sepenuhnya dan belayar ke Crete, Greece, untuk pembaikan.

Namun, kebakaran itu sebenarnya lebih "melegakan" berbanding masalah lain. Sistem kumbahan vakum bernilai $13 bilion yang dipinjam daripada kapal pelancong sering gagal sepanjang penugasan.

Daripada hampir 650 tandas di atas kapal, kebanyakannya tidak berfungsi sepanjang waktu. Kelasi terpaksa beratur sehingga 45 minit.

Pasukan penyelenggaraan bekerja sehingga 19 jam sehari untuk mengatasi masalah tersebut. Pelbagai benda ditemui tersumbat dalam paip, daripada t-shirt hingga tali sepanjang empat kaki.

Kapal perang paling berkuasa di dunia, tetapi tandas rosak.

Jadi inilah gambaran keseluruhannya.

USS Abraham Lincoln, yang dipaksa berundur sejauh 750 kilometer ke selatan akibat sesuatu yang nampaknya dilancarkan oleh Iran, kini melancarkan pesawat dari jarak jauh di sebalik banjaran gunung Oman.

Gerald R. Ford, kapal yang dihantar untuk menggantikannya sebagai barisan hadapan, terbakar dan belayar ke Greece.

Dan di limbungan kapal di Virginia, USS George H.W. Bush sedang bersiap untuk menyertai perang yang telah "memalukan" dua kapal pertama yang dihantar.

Inilah bahagian yang Pentagon tidak mahu bincangkan dalam sidang media.

Peluru berpandu hypersonic, apabila dilancarkan dalam jumlah besar, mampu melakukan sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil: membuat kapal pengangkut pesawat Amerika berfikir dua kali tentang kedudukan mereka.

Jika USS Abraham Lincoln benar-benar terkena serangan walaupun sekali, implikasinya jauh melangkaui satu kapal dan satu peperangan. Ia memberi kesan kepada setiap pengiraan strategik yang telah dilakukan oleh musuh Amerika selama tiga dekad.

Amerika Syarikat membina keseluruhan dasar luar pasca-Perang Dingin mereka berdasarkan keupayaan untuk meletakkan kumpulan kapal pengangkut pesawat di luar pantai anda dan "menjelaskan dengan sopan" bahawa perbincangan telah tamat.

Era itu mungkin belum berakhir, tetapi buat pertama kali dalam sejarah, Iran telah menjadikannya sangat rumit untuk dihadapi.

Dan USS Abraham Lincoln, yang kini berada 1,100 kilometer dari kawasan konflik yang sepatutnya dikuasainya, adalah bukti paling jelas bahawa sesuatu telah berubah.

Tiada siapa membina kapal sebesar itu hanya untuk bersembunyi di sebalik gunung di Oman dan tiada siapa menghantar kapal kedua ke Greece semata-mata untuk membaiki tandas yang rosak.

SEJARAH KUASA GLOBAL AMERIKA SYARIKAT

1. Dominasi Yang Pernah Tidak Tercabar

Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menguasai hampir keseluruhan lautan dunia.

Mereka memiliki lebih 10 kapal induk aktif (terbanyak di dunia), rangkaian pangkalan tentera global serta armada kapal pemusnah dan kapal selam berteknologi tinggi.

Kehadiran mereka di Laut China Selatan, Teluk Parsi dan Laut Mediterranean sering menjadi penentu kuasa geopolitik.

Ringkasnya, siapa kuasai laut, dia kuasai dunia.

2. Ancaman Baru: China & Iran Bangkit Tanpa Bunyi

Namun landskap global kini berubah.

China Silent Giant Yang Kini Mengamuk

China bukan lagi sekadar kuasa ekonomi. Mereka kini membina kapal perang pada kadar terpantas di dunia, membangunkan peluru berpandu anti-kapal induk (carrier killer) dan memperluaskan pengaruh di Laut China Selatan.

Lebih membimbangkan, strategi China bukan sekadar menyerang — tetapi menghalang akses (A2/AD) yang boleh "menutup" kawasan laut kepada Amerika.

Iran, Kuasa Asimetri Yang Sukar Dijangka

Iran pula tidak memerlukan kapal besar untuk mencabar Amerika.

Sebaliknya, mereka menggunakan bot laju bersenjata, dron laut dan peluru berpandu jarak jauh.

Strategi ini menjadikan kawasan seperti Selat Hormuz sangat berisiko untuk kapal besar Amerika.

3. Kapal Induk: Dari Simbol Kekuatan Jadi Sasaran?

Dulu, kapal induk adalah "raja laut".

Kini? Ia mungkin menjadi sasaran paling mudah.

Dengan kemajuan teknologi, peluru berpandu hipersonik, sistem pengesanan satelit dan dron serangan, sebuah kapal induk bernilai berbilion dolar boleh menjadi sasaran utama dalam beberapa minit sahaja.

Persoalannya, adakah kapal induk masih relevan dalam peperangan moden?

4. Kos Yang Terlalu Tinggi, Risiko Terlalu Besar

Amerika Syarikat membelanjakan ratusan bilion dolar setiap tahun untuk pertahanan.

Namun, kos penyelenggaraan kapal induk sangat tinggi, risiko kehilangan aset semakin besar dan perang moden lebih fokus kepada teknologi murah (drone, AI, cyber).

Ironinya, musuh Amerika kini boleh menggunakan senjata lebih murah untuk menghancurkan aset mahal.

5. Perang Masa Depan: Bukan Lagi Di Laut?

Trend peperangan kini berubah, Cyber warfare (serangan digital), Drone swarm (serangan beramai-ramai tanpa manusia) dan AI battlefield.

Ini bermaksud, dominasi laut mungkin tidak lagi menentukan kemenangan.

6. Amerika Masih Kuat, Tapi Tidak Lagi Kebal

Perlu diakui, Amerika Syarikat masih memiliki tentera laut paling kuat di dunia.

Namun perbezaannya sekarang, mereka boleh dicabar, mereka boleh diserang dan mereka tidak lagi "untouchable".

Ini perubahan besar dalam sejarah ketenteraan global.

Kesimpulan: Pengakhiran Era atau Permulaan Fasa Baru?

Adakah ini benar-benar pengakhiran era kekuatan Tentera Laut Amerika?

Jawapannya mungkin dan tidak sepenuhnya, tetapi jelas sesuatu sedang berubah.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Hasil Perang Di Iran Yang Tidak Dijangka

Hasil Perang Di Iran Yang Tidak Dijangka

Konflik di rantau Teluk semakin memuncak dan mengejutkan dunia dengan perkembangan yang tidak dijangka. Apa yang pada awalnya dilihat sebagai satu lagi ketegangan geopolitik biasa, kini berpotensi mencetuskan perubahan besar dalam kes imbangan kuasa global.

Hasil Perang Di Iran Yang Tidak Dijangka

Apa yang kita lihat di media hanyalah sebahagian kecil daripada realiti sebenar. Di sebalik letupan peluru berpandu, serangan dron dan kenyataan rasmi, muncul satu persoalan besar:

Adakah perang di Iran ini benar-benar untuk menang atau sekadar satu "permainan besar" kuasa dunia?

Artikel ini akan membawa anda menyelami teori-teori yang semakin diperkatakan — bukan sekadar fakta di permukaan, tetapi kemungkinan agenda tersembunyi yang menggerakkan konflik ini.

1. Teori "Perang Yang Dirancang Awal"

Ramai penganalisis bebas percaya bahawa konflik ini bukan berlaku secara spontan, tetapi sudah dirancang bertahun-tahun.

Antara hujah yang sering dibangkitkan, ketegangan Iran–Israel sudah lama dipanaskan secara berperingkat, serangan berlaku dengan koordinasi yang terlalu "sempurna" dan respons balas kedua-dua pihak kelihatan seolah-olah sudah dijangka.

Teori ini mencadangkan, Perang ini adalah skrip — bukan reaksi.

2. "Regime Change" Atau Sekadar Ilusi?

Secara rasmi, objektif perang adalah untuk melemahkan Iran.

Namun peliknya, walaupun pemimpin kanan dibunuh, struktur kerajaan Iran tetap bertahan, malah muncul pemimpin yang lebih keras.

Ini mencetuskan teori, adakah "regime change" hanyalah naratif untuk menghalalkan perang?

Atau lebih ekstrem lagi, adakah pihak tertentu sebenarnya mahu Iran menjadi lebih radikal untuk dijadikan alasan konflik berpanjangan?

3. Perang Tanpa Penamat: Siapa Yang Untung?

Jika diperhatikan, perang ini tidak ada kemenangan jelas, tidak tamat walaupun kerugian besar dan terus memanjang dari hari ke hari.

Dalam dunia konspirasi, ini dikenali sebagai "Perpetual War Model" (Perang Berterusan).

Kenapa perang perlu berterusan?

Kerana ada pihak yang mendapat keuntungan besar: Industri senjata meningkat, ekonomi perang berkembang dan kuasa besar mengekalkan pengaruh.

Dalam erti kata lain, perang bukan kegagalan — tetapi "bisnes".

4. Selat Hormuz: Kunci Sebenar Konflik?

Satu lagi teori besar: Perang ini sebenarnya bukan tentang ideologi — tetapi tentang minyak.

Selat Hormuz adalah laluan penting dunia. Sebahagian besar minyak global melalui kawasan ini dan jika ditutup, ekonomi dunia boleh lumpuh.

Teori menyatakan; Ketegangan sengaja dicipta untuk mengawal laluan ini, harga minyak boleh dimanipulasi dan negara tertentu boleh menguasai bekalan tenaga dunia.

Kesimpulannya, Siapa kawal minyak, dia kawal dunia.

5. Teknologi AI: Perang Yang Dikawal Mesin?

Antara perkara paling mengejutkan dalam konflik ini ialah penggunaan teknologi. Sistem AI mengenal pasti sasaran manusia, serangan dibuat berdasarkan data, bukan keputusan emosi dan operasi ketenteraan menjadi lebih "automatik".

Ini mencetuskan teori, adakah manusia masih mengawal perang atau mesin sudah mengambil alih?

Lebih ekstrem lagi, adakah perang ini menjadi "ujian lapangan" untuk teknologi AI ketenteraan?

6. Iran Tidak Dikalahkan – Satu "Kebetulan" Atau Strategi?

Walaupun diserang bertubi-tubi, Iran masih mampu menyerang balas, infrastruktur tidak lumpuh sepenuhnya dan sistem ketenteraan masih berfungsi.

Ini menimbulkan persoalan, kenapa Iran tidak dihancurkan sepenuhnya jika itu matlamatnya?

Teori konspirasi menyatakan, Iran "dibiarkan hidup" untuk terus menjadi musuh. Musuh diperlukan untuk mengekalkan konflik, kerana tanpa musuh, tiada alasan untuk perang.

Dalam kata lain, musuh adalah aset!

7. Tiada Perang Nuklear – Kebetulan Atau Perjanjian Senyap?

Walaupun ketegangan memuncak, senjata nuklear tidak digunakan.

Teori yang muncul: Ada "garisan merah" yang tidak boleh dilanggar. Kuasa besar mungkin mempunyai perjanjian tidak rasmi dan semua pihak tahu had yang tidak boleh dilepasi.

Ini membawa kepada teori menarik. Perang ini dikawal — bukan bebas.

8. Media: Naratif Yang Dikawal?

Apa yang kita lihat di berita mungkin tidak sepenuhnya benar.

Teori menyatakan, media hanya menyiarkan naratif tertentu. Maklumat disaring untuk mengawal persepsi. Rakyat dunia "dibentuk" untuk menyokong pihak tertentu.

Ini membawa kepada persoalan besar: Adakah kita melihat realiti atau hanya cerita yang dibenarkan?

Kesimpulan: Perang Atau Permainan Kuasa?

Jika semua teori ini digabungkan, satu gambaran besar muncul: Perang ini mungkin tidak bertujuan untuk menang. Ia mungkin direka untuk berterusan. Ia mungkin sebahagian daripada strategi global jangka panjang.

Hasil paling mengejutkan: Perang ini mungkin bukan kegagalan tetapi kejayaan bagi pihak tertentu.

Penutup

Perang ini mengajar satu perkara yang menakutkan: Kadang-kadang, yang mati di medan perang hanyalah bidak, sedangkan pemain sebenar tidak pernah kelihatan.

Namun, Israel dan Amerika Syarikat yang memulakan perang ini dengan harapan mencetuskan perubahan rejim di Iran, tetapi ia tetap bertukar menjadi bencana bagi mereka.

Ironinya, perang ini mungkin akhirnya membawa kepada perubahan rejim di Israel dan Amerika Syarikat sendiri!

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah

SBDJ Siri 265: Suara Kuda Di Tengah Sawah

Setelah melepasi beberapa kampung, kebanyakan rumah penduduknya beratap rumbia. Berdinding papan, ada juga berdinding buluh atau tepas. Sesuatu yang saya kira ganjil, kebanyakan penduduk kampung terbabit buat tidak kisah dengan rombongan kami yang membelah lalu kampung mereka.

SBDJ Siri 265 Suara Kuda Di Tengah Sawah

Bila terserempak secara berdepan, mereka sekadar memberi salam saja. Kemudian berlalu senang.

"Mereka sudah biasa melihat orang berjalan dalam kumpulan yang ramai. Laluan ini laluan orang mencari harta karun dan kumpulan tabligh. Mereka juga pernah dengar tentang Shafie," ayah Shafie memberi penjelasan.

"Bagi mereka kisah Shafie perkara biasa. Ada lagi orang yang lebih teruk dari itu," tambah ayah Shafie dalam rentak nada yang bersahaja.

"Oh, begitu," balas datuk.

Rombongan kami akhirnya, terpaksa merentasi kawasan tanah sawah terbiar. Baru lima langkah memijak tanah sawah, terdengar bunyi rengekan kuda yang datang dari arah belakang.

"Jangan hiraukan suara itu," Pak Habib mengingatkan kami semua.

"Jangan ada di antara kamu menoleh ke belakang," datuk pula memberikan ingatan.

Tiada komen dan pertanyaan ysang diajukan kepada datuk atau Pak Habib oleh pasangan suami isteri.

"Jauh ke lagi?"

Saya ajukan pertanyaan pada emak Shafie tanpa merenung wajahnya. Tiada jawapan yang diperolehi. Kalau boleh saya mahu perjalanan di berhentikan sebentar. Saya terasa letih sekali. Tetapi pada siapakah permintaan itu harus saya ajukan?

"Jauh lagi ke?"

Untuk kali kedua, saya kemukakan pertanyaan pada emak Shafie. Sudah ditetapkan dalam hati, kalau jawapannya masih jauh, saya beranikan diri minta Pak Habib berhenti sebentar dalam tempoh waktu antara lima hingga sepuluh minit.

"Tak berapa jauh lagi," tanpa diduga, emak Shafie memberikan jawapan.

"Ada setengah batu lagi," soal saya.

"Tak sampai, suku batu pun tak sampai."

Saya gembira dengan jawapan itu.

KUDA LIAR

Perjalanan diteruskan. Suara rengekan kuda liar masih kedengaran tetapi tidak sekuat tadi. Hanya terdengar sayup-sayup dan akhirnya lenyap.

Semua terasa aman kembali dan berharap suara rengekan kuda itu tidak akan kedengaran lagi.

Di saat ghairah melangkah dan mahu sampai segera ke tempat yang dituju. Kami dikejutkan kembali dengan suara rengekan kuda liar.

Kalau tadi suara itu datang dari arah belakang beberapa detik berikutnya bertukar kesebelah kanan. Dan seterusnya beralih arah pula di depan kami.

"Kita berhenti dulu," Pak Habib mengeluarkan arahan.

Pergerakan kaki semua ahli rombongan terkaku sebentar. Saya dongak pula ke langit, melihat awan petang bergerak lemah. Datuk segera mencabut serumpun rumput liar, lalu dibalingnya kedepan, kearah bunyi rengekan kuda.

"Ini petua dan ikhtiar," pendek datuk berkata.

"Tidak salah," sahut Pak Habib yang baru selesai membaca potongan ayat-ayat Quran untuk menghalau makhluk halus.

Shafie yang berada diantara saya dan Tajuddin menguap panjang, keletihan tergambar di wajahnya. Dua pengikut setia yang mengekori dari belakang kelihatan tenang.

Suara rengekan kuda yang keras mula beransur lemah dan hilang. Datuk dan Pak Habib saling berpandangan. Beberapa ekor burung helang terbang rendah untuk mencari mangsa. Kalau ada tikus keluar atau ular keluar dari lubang pasti disambar.

"Bagaimana, boleh kita teruskan," datuk bertanya.

"Boleh," jawap Pak Habib.

"Kita bergerak sekarang," lantang suara datuk memberi arahan.

Perjalanan yang terhenti diteruskan semula. Kedudukan anggota rombongan tidak berubah, tetap seperti tadi cuma pengawasan terhadap Shafie diperketatkan. Itu pesan Pak Habib dan datuk kepada kami berdua.

PELUH

Kini anggota rombongan sudah berada di tengah-tengah kawasan sawah. Peluh terus mengalir di tubuh di tengah terik matahari petang. Hembusan angin tidak banyak membantu mengurangkan bahang panas yang menggigit kulit.

"Yaaahhooooooo..."

Dua pengikut Shafie yang berada di belakang menjerit dengan sekuat hati. Semua anggota rombongan terperanjat besar. Hayunan langkah mati seketika. Semuanya, berpandangan sama sendiri. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Dua pengikut setia Shafie, sudah melanggar pesan Pak Habib. Bagaikan dipaksa sesuatu, saya dan Tajuddin merenung ke belakang. Dua lelaki yang menjerit tidak kelihatan. Hilang entah kemana.

"Kenapa menoleh ke belakang," nada datuk keras sekali.

"Renung ke depan semula," Pak Habib merayu.

Belumpun sempat kami melaksanakan arahannya, kulit muka terasa panas macam berada di sisi api yang cukup marak. Pandangan berpinar-pinar.

Saya tidak dapat mengawal tubuh yang mahu rebah ke bumi. Tetapi, suara Pak Habib masih terdengar sayup-sayup menyuruh datuk memeluk tubuh saya agar jangan rebah ke tanah.

Setelah itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Bila kelopak mata dibuka kelihatan Tajuddin berada dalam pangkuan Pak Habib. Sementara pasangan suami isteri dan Shafie duduk bertinggung sambil termenung panjang.

Setelah datuk memulihkan saya seperti sediakala dan Pak Habib memulihkan Tajuddin, barulah pasangan suami isteri dan Shafie berdiri.

"Kalau kamu berdua tidak menoleh ke belakang, perkara macam ini tidak terjadi. Hal-hal macam ini boleh melambatkan urusan kita," datuk seperti merungut tetapi Pak Habib menasihatkan datuk supaya melupakan tersebut, jangan diperpanjangan-panjangkan. Saranan Pak Habid diterima oleh datuk.

"Lupakan yang lalu, mari kita bergerak," tekanan nada suara Pak Habib lembut.

Datuk sambut dengan senyum. Ahli rombongan segera bergerak. Kedudukan dan tugas anggota tidak berubah, tetap macam tadi.

Semoga perjalanan ini tidak berhadapan dengan halangan. Semuanya diharapkan berjalan lancar dan segera sampai ke rumah orang tua Shafie. Itu doa hati kecil saya.

Malahan, mungkin doa dan harapan anggota rombonan yang lain seperti itu juga, fikir saya.

"Yaahhhooooo..."

Terdengar jeritan di belakang.

"Jangan ada diantara kamu menoleh ke belakang."

Serentak datuk dan Pak Habib mengingatkan kami semua. Tiada bantahan, siapa pun tak berani melawan ingatan yang diberikan. Semuanya akur dan kaki kian rancak melangkah memijak permukaan bumi.

Suara jeritan dan sorakan semakin menjadi-jadi. Seolah-olah mempersendakan kami semua.

Atas permintaan datuk langkah dipercepatkan lagi. Suara-suara yang tidak diminta itu terus dipersetankan dan akhirnya, sorakan dan jeritan terus mengecil dan hilang.

NORMAL

Suasana dalam perjalanan kembali normal. Hembusan bayu menghantar kemesraan. Sekawan pipit tuli terbang rendah lalu bertenggek di dahan bagakan merestui perjalanan kami ke rumah Shafie.

"Diharapkan tak ada gangguan lagi?"

Ayah hafie meluahkan harapan. Pak Habib dan datuk membalas dengan anggukan.

"Saya pun harap macam tu," ibu Shafie bersuara.

"Betullah tu, baik kita cepatkan langkah."

Tidak semena-mena, Shafie yang tadi membisu macam tunggul buruk terus mencelah. Sikapnya sungguh mengejutkan saya, mungkin juga orang lain.

Apakah perasaannya sudah terlepas dari gangguan makhluk halus, saya bertanya dalam hati.

Kerana sudah jemu melihat pepokok dan rerumput liar di kiri kanan alam, pandangan segera saya alihkan kedada langit, melihat gumpalan awan yang menipis, bergerak tenang arah ke timur. Burung-burung terus berterbangan di angkasa.

"Buuummmmm..."

Ledakan kuat yang tidak dapat dipastikan dari arah mana datangnya membuat semua anggota rombongan terkejut, ada yang terjatuh, tetapi segera bangun.

Bila bunyi ledakan berakhir kelihatan dua pengikut setia Shafie terkapar dalam jarak beberapa kaki di depan datuk dan Pak Habib.

Kedua-duanya dicampak oleh sesuatu dari tempat tinggi. Tiada seorang pun yang nampak dan tahu arah mana kedua dua insan itu muncul. Siapa yang mencampakkannya juga tidak diketahui.

GOLEK

Kini kedua-dua insan itu berglek-golek atas rumput sawah terbiar. Mereka seperti mengalami rasa sakit yang amat sangat. Mungkin kerana simpati dan kasihan, ayah Shafie menerpa ke arah kedua-dua insan itu untuk menolong.

"Jangan, itu perangkap," tahan Pak Habib.

Bahu kanan ayah Shafie segera dipegang dengan erat sekali. Ayah Shafie cuba membantah dengan menepis pergelangan tangan Pak Habib.

Tetapi, Pak Habib bertindak bijak, terlepas bahu kanan, bahu kiri dicengkam dengan cengkaman harimau, bergerak sedikit sakitnya hingga ke tulang belakang. Ayah Shafie mengalah dalam diam, malah terus membongkok menahan sakit.

"Kesian mereka."

Ibu Shafie bagaikan merayu sambil menatap wajah datuk dan Pak Habib.

"Kalau dibantu ertinya, kita membunuh diri sendiri," tingkah Pak Habib tenang.

"Jadi apa yang mesti kita buat?" Tanya ibu Shafie.

Dengan tenang Pak Habib melepaskan cengkaman harimau di bahu ayah Shafie. Orang tua itu menggeliat ke kiri, ke kanan sambil menumbuk angin dua tiga kali hingga rasa sengal dan sakit di bahunya hilang.

"Jadi apa yang harus kita buat, dua laknat ini mahu melambatkan perjalanan kita sampai ke rumah," ayah Shafie mula naik angin, gigi atas dengan bawah dilagakannya berkali-kali.

Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie yang bergolek di rumput, sesekali menelentang muka ke langit sambil menangkat sepasang kaki masing-masing ke langit.

"Biar saya selesaikan."

Datuk terus bergerak ke depan melepasi pasangan suami isteri. Perbuatan datuk membuat Pak Habib merasa cemas.

Shafie hanya melihat penuh minat dengan apa yang berlaku disekitarnya. Ekor matanya menjeling tajam ke arah datuk. Dia kelihatan kurang yakin dengan apa yang datuk perlihatkan.

"Humm...." Shafie bagaikan mengeluh kecil.

"Tamar."

Saya segera menoleh ke arah Tajuddin. Sepasang mata kami berlaga seketika yang membuahkan senyum.

"Apa yang datuk kamu nak buat Tamar," sambungnya.

"Hei, budak berdua, cuba belajar diam, kurangkan bercakap dan jangan banyak soal," Pak Habib melepaskan rasa kurang senangnya kepada kami.

Tajuddin dan saya berpandangan. Hairan, cakap macam itu pun tak boleh.

Apakah perkara saya lakukan dengan Tajuddin merupakan satu pantang larang dalam saat-saat begini.

Semuanya itu, bergolak dalam batin saya tanpa menemui sebuah jawapan yang konkrit.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 265/284

BACA: SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, March 30, 2026

Ke Mana Halatuju Selepas SPM? Panduan Lengkap Untuk Masa Depan Anda

Ke Mana Halatuju Selepas SPM? Panduan Lengkap Untuk Masa Depan Anda

Setiap tahun, ribuan pelajar di Malaysia melangkah keluar dari dewan peperiksaan dengan satu persoalan besar di fikiran, "Lepas SPM nak buat apa?"

Soalan ini nampak ringkas, tetapi hakikatnya ia membawa beban keputusan besar yang boleh menentukan masa depan seseorang. Ada yang sudah ada hala tuju jelas, tetapi ramai juga yang masih keliru, tertekan, malah takut membuat pilihan yang salah.

Ke Mana Halatuju Selepas SPM

Hakikatnya, tiada satu jalan yang "betul" untuk semua orang. Setiap individu mempunyai minat, kebolehan dan situasi hidup yang berbeza.

Artikel ini akan membantu anda memahami pilihan-pilihan yang ada, kelebihan dan kekurangannya, serta bagaimana membuat keputusan yang tepat untuk diri sendiri.

Kenapa Pilihan Selepas SPM Sangat Penting?

Selepas SPM, anda berada di titik perubahan hidup. Ini adalah masa di mana anda mula membina asas kepada kerjaya dan masa depan.

Antara sebab kenapa keputusan ini penting:
  • Menentukan arah pendidikan anda
  • Memberi kesan kepada peluang pekerjaan
  • Membentuk kemahiran dan pengalaman hidup
  • Mempengaruhi kewangan masa depan

Namun, penting untuk diingat: pilihan ini bukan muktamad. Anda masih boleh berubah arah di masa hadapan.

Pilihan Utama Selepas SPM

1. Sambung Belajar ke Tingkatan 6 (STPM)

Tingkatan 6 merupakan salah satu laluan paling "klasik" selepas SPM.

Kelebihan:
  • Kos rendah (di sekolah kerajaan)
  • Diiktiraf antarabangsa
  • Peluang masuk universiti awam

Kekurangan:
  • Silibus agak mencabar
  • Tempoh agak panjang (1.5–2 tahun)
  • Kurang fleksibel berbanding laluan lain

Sesuai untuk:
  • Pelajar yang suka akademik
  • Disiplin tinggi dan fokus jangka panjang

2. Program Matrikulasi

Program ini ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan biasanya berlangsung selama 1 tahun.

Kelebihan:
  • Tempoh lebih singkat
  • Laluan cepat ke universiti
  • Suasana kampus awal

Kekurangan:
  • Persaingan sengit
  • Tempat terhad
  • Fokus kepada bidang tertentu sahaja

Sesuai untuk:
  • Pelajar yang mahu cepat masuk universiti
  • Sasaran bidang sains atau akaun

3. Diploma di Kolej atau Universiti

Diploma adalah pilihan popular kerana lebih praktikal.

Kelebihan:
  • Lebih hands-on
  • Fokus kepada kemahiran kerja
  • Boleh terus bekerja selepas tamat

Kekurangan:
  • Kos lebih tinggi (terutamanya swasta)
  • Laluan ke ijazah mungkin ambil masa tambahan

Sesuai untuk:
  • Pelajar yang suka pembelajaran praktikal
  • Mahu cepat masuk dunia kerja

4. TVET (Pendidikan Teknikal & Vokasional)

TVET semakin mendapat perhatian kerana permintaan tinggi dalam industri.

Bidang contoh:
  • Elektrik
  • Automotif
  • Welding
  • Teknologi mekanikal

Kelebihan:
  • Kemahiran tinggi, mudah dapat kerja
  • Permintaan industri stabil
  • Gaji kompetitif untuk skilled worker

Kekurangan:
  • Masih dipandang rendah oleh sesetengah masyarakat
  • Kurang pendedahan akademik

Sesuai untuk:
  • Pelajar yang minat kerja tangan
  • Tidak minat teori semata-mata

5. Terus Bekerja

Ada juga yang memilih untuk terus bekerja selepas SPM.

Kelebihan:
  • Dapat pengalaman awal
  • Menjana pendapatan segera
  • Belajar dunia sebenar

Kekurangan:
  • Peluang kenaikan pangkat terhad tanpa kelayakan
  • Gaji permulaan rendah
  • Risiko stagnasi kerjaya

Sesuai untuk:
  • Mereka yang perlu bantu keluarga
  • Mahu kumpul pengalaman dahulu

6. Jadi Usahawan / Berniaga

Ramai anak muda kini memilih jalan bisnes, terutama online.

Contoh:
  • Dropship
  • Affiliate marketing
  • TikTok shop
  • Freelancing

Kelebihan:
  • Tiada had pendapatan
  • Kebebasan masa
  • Boleh mula dengan modal kecil

Kekurangan:
  • Risiko tinggi
  • Tiada jaminan stabil
  • Perlukan disiplin kuat

Sesuai untuk:
  • Individu kreatif
  • Berani ambil risiko

CABARAN BESAR SELEPAS SPM

1. Tekanan Dari Keluarga

Ramai pelajar menghadapi tekanan seperti:
  • "Kena masuk universiti" 
  • "Ambil kursus yang ada masa depan" 
  • "Jangan pilih jalan susah" 

Realiti:
  • Kadang-kadang impian keluarga tidak sama dengan minat kita.

2. Ikut Kawan

Kesilapan biasa: "Kawan aku masuk matrik, aku pun ikut."

Ini boleh membawa kepada:
  • Salah jurusan
  • Hilang motivasi
  • Drop out

3. Tak Kenal Diri Sendiri

Ramai pelajar:
  • Tak tahu minat sebenar
  • Tak tahu kekuatan diri
  • Tak pernah explore pilihan

CARA PILIH HALATUJU YANG BETUL

1. Kenali Minat Anda

Tanya diri:
  • Apa yang saya suka buat?
  • Subjek apa paling minat?
  • Aktiviti apa buat saya lupa masa?

2. Kenal Kekuatan Diri

Contoh:
  • Pandai kira → akaun, engineering
  • Kreatif → design, media
  • Petah bercakap → komunikasi, marketing

3. Kaji Peluang Kerjaya

Jangan hanya ikut minat — lihat juga:
  • Permintaan kerja
  • Gaji purata
  • Prospek masa depan

4. Jangan Takut Salah Pilih

Ramai berjaya hari ini:
  • Tukar bidang
  • Tukar kerjaya
  • Mulakan semula

Kesilapan bukan kegagalan, tapi pembelajaran.

Trend Masa Depan: Kerjaya Yang Akan Naik

Antara bidang yang semakin berkembang:
  • Teknologi (AI, Data, Cybersecurity)
  • Digital Marketing
  • E-commerce
  • Content Creator
  • Renewable Energy
  • TVET (skilled workers)

Realiti Yang Ramai Tak Cerita
  • Degree bukan jaminan kaya
  • Ramai berjaya tanpa ijazah
  • Kemahiran lebih penting dari sijil semata-mata
  • Networking sangat penting

TIPS SURVIVAL LEPAS SPM
  • Jangan bandingkan diri dengan orang lain
  • Sentiasa upgrade diri (skill, ilmu)
  • Cari mentor atau role model
  • Gunakan internet untuk belajar
  • Jangan buang masa terlalu lama tanpa hala tuju

Kisah Inspirasi (Ringkas)

Ramai individu berjaya bermula dari jalan yang berbeza:
  • Ada yang gagal SPM → jadi usahawan berjaya
  • Ada yang tukar 3 kali kursus → akhirnya jumpa minat sebenar
  • Ada yang mula kerja biasa → naik jadi pengurus

Point penting: jalan berbeza, destinasi boleh sama.

Kesimpulan

Selepas SPM, anda tidak perlu ada semua jawapan.

Apa yang penting ialah:
  • Anda mula bergerak
  • Anda belajar dari pengalaman
  • Anda berani mencuba

Ingat: "Hidup bukan perlumbaan siapa paling cepat, tapi siapa yang tidak berhenti berjalan."

Setiap pilihan ada risiko dan peluang. Yang penting, pilih jalan yang sesuai dengan diri anda — bukan semata-mata ikut orang lain.

FAQ (Soalan Lazim)

1. Mana lebih baik, matrik atau diploma?

Bergantung kepada matlamat — matrik untuk laluan cepat ke universiti, diploma untuk kemahiran praktikal.

2. Kalau tak sambung belajar, adakah masa depan gelap?

Tidak. Tetapi anda perlu lebih usaha dalam membina kemahiran dan pengalaman.

3. Boleh tukar bidang selepas pilih?

Ya, sangat boleh. Ramai orang berjaya melalui perubahan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 20, 2026

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson a.s. (dalam tradisi Islam dikenali sebagai Shamshun atau Sam'un) adalah antara cerita paling terkenal tentang kekuatan luar biasa yang diberikan oleh Allah, adalah seorang pejuang dari Bani Israel yang hidup di zaman penindasan oleh bangsa Filistin.

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson atau Sam'un Al-Ghazi merupakan kisah-kisah Israiliyat, sudah diceritakan secara turun temurun dalam masyarakat Arab.

Diceritakan dalam kitab Muqasyafatul Qulub karya imam Al Ghazali, pada suatu malam di bulan Ramadan, Nabi Muhammad SAW sedang berkumpul dengan para sahabat.

Tiba-tiba seorang sahabat melihat Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu bertanya, "Apa yang membuatmu tersenyum wahai Rasulullah?"

Rasulullah menjawab, "Diperlihatkan kepadaku hari akhir ketika semua manusia dikumpulkan di padang mahsyar. Semua Nabi dan Rasul berkumpul bersama umatnya masing-masing kemudian masuk ke surga. Ada salah seorang nabi dengan membawa pedang, tidak memiliki pengikut satupun, masuk ke dalam surga. Dia adalah Sam'un."

Sam'un alias Samson alias Simson dalam bahasa ibrani merupakan salah seorang Nabi dalam ajaran agama Islam yang dikenal dengan nama Sam'un Ghozi Alaihi Salam.

Beliau adalah orang yang memiliki kekuatan luar biasa dan tak terkalahkan. Allah Swt memberikan mukjizat kepada Nabi Sam'un yang mampu melembutkan besi, memutuskan rantai yang besar serta merobohkan istana.

Nabi Sam'un berasal dari Palestin tepatnya Ghaza atau Gaza. Beliau diutus berdakwah untuk kaum Bani Israil di tanah Romawi. Nabi Sam'un memiliki sebuah senjata mirip pedang yang terbuat dari rahang unta bernama Liha Jamal.

Konon ceritanya, hanya dengan pedang tersebut, Nabi Sam'un telah membunuh ribuan kaum kafir. Ketika Nabi Sam'un haus, pedang itu dapat mengeluarkan air. Dan ketika beliau lapar, pedang itu akan menumbuhkan daging.

Pada masa itu paganisme tumbuh begitu subur di kalangan Bani Israil. Semua orang menjadi penyembah berhala dan hanya mementingkan harta benda. Maka diutuslah Nabi Sam'un untuk menyampaikan risalah Allah Swt dengan penuh ketakwaan.

Dalam berdakwah, beliau selalu menyebut 'Laa ilaaha ilallah' ertinya Tiada Tuhan Selain Allah. Namun kerana begitu sesatnya mereka, hingga Nabi Sam'un tidak memiliki seorang pengikut pun.

Namun, itu tak menjadi masalah baginya. Dengan kecekalan dan kekuatan yang dimiliki, Nabi Sam'un terus menentang pemerintah pada waktu itu bernama Raja Israil.

Nabi Sam'un Ghozi selalu memenangi pertempuran melawan kaum kafir dan tidak pernah kalah. Kaum kafir sampai ketakutan dibuatnya. Hingga akhirnya Raja Israil memikirkan cara-cara licik untuk mengalahkan Nabi Sam'un.

Sang Raja mengadakan sayembara kepada siapa saja yang berhasil mengikat dan membawa Nabi Sam'un ke istana, maka akan diberikan imbalan emas dan permata yang sangat banyak.

Raja kemudian mempunyai idea untuk menawarkan hadiah kepada isteri Nabi Sam'un.

Raja bertanya, "Wahai isteri Sam'un, adakah kamu mencintai suamimu?"

Sang isteri menjawab, "Tentu saja raja."

Kemudian Raja bertanya lagi, "Kamu tahukan bahawa suamimu membuat kita semuanya ketakutan."

Sang isteri berkata, "Tentu saya juga tahu itu Raja."

Raja lantas memberikan tawaran lumayan kepada isteri Nabi Sam'un, "Mahukah kamu menaklukkan suamimu dan membawanya ke istana? Atas kejayaanmu kelak akan diberikan imbalan berupa emas dan permata yang berlimpah."

Tergiur akan penawaran sang Raja, maka isteri Nabi Sam'un pun menyanggupinya dan berkata, "Baik Raja, saya bersedia."

Kemudian oleh Raja diberikanlah tali untuk mengikat tubuh Nabi Sam'un.

Percubaan di hari pertama, sang isteri menunggu Nabi Sam'un yang sedang solat, namun kerana terlalu lama akhirnya sang isteri mengantuk hingga tertidur.

Hari berikutnya ketika Nabi Sam'un sedang tertidur, sang isteri kemudian mengikat badannya. Nabi Sam'un lantas terbangun dan bertanya, "Wahai isteriku, adakah engkau yang mengikat tubuhku?"

Sang isteri menjawab, "Aku hanya mencuba seberapa kuatkah dirimu."

Kemudian tanpa kesukaran tali itu diputuskan oleh Nabi Sam'un dan terlepas dari tubuhnya.

Percubaan ketiga pun menemui kegagalan yang sama. Kerana selalu gagal, akhirnya sang isteri menggunakan strategi rayuan.

Dia bertanya kepada Nabi Sam'un, "Wahai suamiku, apakah gerangan yang mampu mengalahkanmu?"

Kerana cinta dan sayangnya Nabi Sam'un kepada sang isteri, beliau kemudian lantas menjawab, "Ikatlah tubuhku dengan rambut-rambutku, maka itulah yang sebenarnya membuatku lemah."

Nabi Sam'un memiliki rambut yang sangat panjang hingga menyentuh tanah. Maka keesokan harinya sang isteri pun mengikat tubuh Nabi Sam'un dengan potongan rambutnya sendiri.

Setelah lemah tak berdaya, sang isteri mengkhabarkan kepada Raja Israil kemudian dibawalah tubuh Nabi Sam'un ke istana.

Disana beliau diseksa dan akan dibunuh secara perlahan. Kedua mata dibutakan, telinga, kaki dan tangannya pun dipotong.

Atas kejadian itu Allah Swt memerintahkan malaikat Jibril turun dan menemui Nabi Sam'un lalu bertanya, "Apa yang engkau inginkan wahai nabiullah."

Nabi Sam'un menjawab, "Saya minta ampun atas kesalahan yang seharusnya tidak saya beritahukan kepada siapapun termasuk istri saya. Dan saya meminta agar kekuatan saya dikembalikan hingga mampu menggerakkan tiang istana ini."

Seketika itu juga kekuatan Nabi Sam'un dikembalikan oleh Allah Swt, hingga beliau dapat menghancurkan tiang dan merobohkan istana.

Reruntuhan istana menjatuhi masyarakat, sang Raja Israil dan bahkan isterinya sendiri, hanya Nabi Sam'un saja yang hidup.

Kemudian dikembalikan kedua kaki, tangan, telinga dan mata beliau.

Nabi Sam'un kemudian bersumpah bahawa dia akan melawan kebatilan dan beribadah selama 1000 bulan tanpa henti.

Dalam cerita nabi-nabi, Nabi Sam'un telah melaksanakan ibadah puasa di siang hari dan salat malam selama lebih kurang 1000 bulan tanpa terputus.

Setelah mendengar kisah Nabi Sam'un Al Ghaszi a.s., banyak sahabat Nabi Muhammad SAW yang terharu dan menitiskan air mata.

Lalu bertanyalah sahabat kepada Rasul, "Wahai Rasulullah betapa besar ganjaran yang diterima Nabi Sam'un Al Ghozi a.s., beliau membenteras kebatilan selama seribu bulan. Malamya beliau beribadah dan siangnya berpuasa serta berjihad. Sedangkan kami yang lemah ini tidak mampu melakukan ibadah itu."

Nabi Muhammad SAW kemudian terdiam sejenak. Disaat itulah turun wahyu dari Allah Swt surat Al Qadr ayat 1-5.

Rasulullah kemudian bersabda, "Burulah malam lailatulqadar ini, kalian hanya mengamalkan satu malam dan mendapatkan malam lailatulqadar itu, maka kamu akan mendapatkan lebih baik daripada beribadah seribu bulan seperti Nabi Sam'un Al Ghozi AS."

Tidak ada yang tahu bila malam lailatulqadar itu hadir. Malam dimana cahaya syurga menerangi bumi. Malam dimana Tuhan menyeka air mata dan dosa-dosa manusia.

Beberapa pendapat ulama menganjurkan kepada kita untuk memperbanyak ibadah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan untuk mendapatkan malam lailatulqadar.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil

SBDJ Siri 264: Di Tengah Kampung Terpencil

Dan senyum kesyukuran serta kepuasan terpamer di kelopak bibir pasangan suami isteri.

"Shafie, ulang sekali lagi," minta Pak Habib.

Shafie segera melaksanakannya. Malah dia meyebut makna dua kalima syahadat dalam bahasa ibunda.

SBDJ Siri 264 Di Tengah Kampung Terpencil

Tanpa mahu membuang masa, serentak Pak Habib dan datuk menerkam dan memeluk Shafie. Kelopak mata kedua-duanya terus digenangi air jernih. Sebaik saja datuk dan Pak Habib berhenti memeluk Shafie, segera digantikan oleh ibu dan ayah Shafie pula, mereka menangis kegembiraan.

"Alhamdulillah, usaha kita dikabulkan oleh Allah," suara datuk tersangkut-sangkut penuh terharu.

Seterusnya mereka berkongsi tenaga memapah Shafie menuju ke tepi surau. Shafie disuruh duduk disitu. Pasangan suami isteri, saya dan Tajuddin hanya mengekoori dari belakang.

"Awak berdua tunggu dan layan dia dengan baik, ceritakan padanya kisah-kisah kecilnya dulu. Kemudian dengar jawapan darinya," Datuk mengeluarkan arahan pada pasangan suami isteri.

"Buat apa tanya hal-hal lama padanya," si isteri seperti membantah cadangan datuk. Pak Habib hanya tersenyum sinis.

"Nak uji apa?" sanggah si isteri.

"Untuk menguji ingatannya, kalau dia boleh mengingat kisah-kisah masa kecilnya dulu, mudahlah kita menguruskannya. Kalau tak inagt atau lupa terus, sulitlah sikit," datuk menjelaskan.

"Kalau itu tujuannya, baik sekali," balas si isteri.

KOLAH

Datuk dan Pak Habib bergerak melangkah ke arah kolah surau. Pasangan suami isteri berpandangan. Hati cuba menghalang Pak Habib dan datuk meneruskan perjalanan.

"Kami mahu sembahyang syukur," bisik datuk ke telinga si suami.

"Oh, maafkan saya," balasnya dengan rasa terkejut.

Dengan segera Pak Habib menyatakan pada si suami, dia tidak perlu merasa cemas atau takut. Selagi Shafie tidak pulih seratus peratus, mereka tidak akan meninggalkan kawasan surau.

"Lagi sekali saya minta maaf, saya cepat sangat buruk sangka."

"Tak mengapa, kita makhluk lemah dengan sifat buruk sangka, irihati dan cemburu, agak susah nak dihapuskan dari hati kita," Pak Habib bagaikan memujuk si suami.

Ketika si suami menyatakan keinginannya untuk turut serta melakukan sembahyang sunat syukur, Pak Habib dan datuk tidak pula menghalangnya tetapi memberikan pandangan, ada baiknya dia dan isteri mengawasi Shafie dan mengajaknya bercakap-cakap supaya Shafie dapat mengingati zaman lampau yang secara tidak langsung, Safie akan dapat mengenali dirinya sendiri.

"Memang cakap itu ada benarnya. Adi biarlah kami dampingi dia," itulah janji dan pengakuan yang diluahkan oleh si suami pada datk dan Pak Habib.

Itulah juga pengakuan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh Pak Habib dan Datuk.

Sebagai tanda terima kasih Pak Habib menghadiakan senyuman. Datuk pula menjatuhkan telapak tangannya keatas bahu si suami dengan penuh mesra.

TANYA

Beberapa detik kemudian Pak habib bersama datuk melangkah tenang menuju ke kolah untuk mengambil air sembahyang. Langkah seterusnya menuju ke perut surau.

Manakala si suami terus mengabungkan diri dengan si isteri. Apa yang di suruh oleh datuk, mereka lakukan dengan rela hati.

"Banyak perkara yang kami tanyakan kepadanya."

Itulah yang disampaikan oleh si suami kepada Pak Habib dan datuk sebaik sahaja mere keluar dari surau dan berdiri di samping pasangan suami isteri.

Saya dan Tajuddin yang berada di situ tidak memberikan sebarang komentar.

Kalau diminta, kami bersedia memberikan pandangan. Sebabnya, kami tahu apa yang berlaku masa ketiadaan datuk dan Pak Habib.

Terlalu banyak yang ditanyakan oleh pasangan suami isteri pada Shafie. Terlalu panjang pula jawapan yang diberikan oleh Shafie.

Malah, ada ketikanya Shafie naik angin, memaki hamun ayah ibu kerana ada soalan yang diajukan tidak disenangi.

Sungguh beruntung kemarahan itu tidak berlanjutan. Si ibu berhasil melembutkan hati Shafie dan terus menangis minta maaf. Ada masanya kami berhadapan dengan insiden yang melucukan. Kami terhibur dengan telatah mereka.

"Hasilnya bagaimana?" secara berbisik datuk bertanya pada si suami.

Tiada jawapan yang diperolehi oleh datuk, kecuali senyum tawar.

"Minta maaf, saya tahu hasilnya, tidak mengembirakan," celah Pak Habib.

"Betul telahan tuan," jawab si isteri.

"Tak mengapa," pujuk datuk.

"Kita bawa saja dia balik ke rumah."

Cadangan Pak Habib tidak mendapat sebarang bantahan. Semua setuju. Bagi mengukuhkan lagi cadangannya itu, Pak Habib menyebut, bila sampai di rumah kelak, rawatan yang lebih berkesan dan teratur dapat dilakukan.

"Tetapi, ada masalah sedikit," Tajuddin bersuara.

"Apa masalahnya," sanggah Pak Habib keras.

"Bagaimana dengan dia orang tu," balas Tajuddin sambil menjuihkan bibirnya ke arah dua lelaki yang duduk mencangkung menghadapi dinding surau, macam orang bodoh.

"Jangan hiraukan mereka, biarkan di situ sampai mati. Mereka yang bertanggungjawab merosakkan akidah anak saya," tiba-tiba saja s isteri bersuara garang.

Sebagai melepaskan rasa geram dan marah dia terus menghentakkan tumit kaki kanannya ke bumi.

Kemudian dia mengeluh kesakitan, tanah yang dihentaknya keras. Saya hampir mahu ketawa. Mujurlah dapat mengawal perasaan.

"Jangan begitu, kalau dia orang mahu ikut apa salahnya. Barangkali kita boleh dapat rahsia dari mereka, boleh membantu kita menyelesaikan masalah Shafie," si suami menyanggah pendapat si si isteri.

Saya dan Tajuddin sependapat dengan sang suami.

"Hissssss..." si isteri mendengus.

Datuk dan Pak Habib berpandangan. Mereka berbalas senyuman sedangkan sang suami terus merenung ke arah dua Ielaki yang masih mencangkung. Merenung dinding surau.

Pak Habib minta pasangan suami isteri itu melupakan tentang dua lelaki pengikut setia Shafie.

Mereka berdua tidak penting, malah tidak tercatat dalam agenda Pak Habib dan datuk. Agenda utama mereka ialah menyelamatkan Shafie.

"Jangan buang masa memikirkan mereka," kata Pak Habib.

"Iya," tingkah Tajuddin.

"Kita harus mencari jalan mudah dan terselamat, tanpa sebarang gangguan untuk membawa Shafie sampai ke rumah orang tuanya," itu komen datuk.

Bagi memudahkan perjalanan ke rumah orang tua Shafie yang letaknya agak jauh dari surau, satu perbincangan kilat diadakan. Ayah Shafie menyarankan supaya menggunakan basikal tetapi dibantah oleh ibu Shafie.

"Tak payah gunakan basikal, bukannya jauh kira-kira tiga batu dari sini. Lagi pun dengan berjalan kaki mudah mengawal Shafiee," kata ibu Shafie.

"Saya fikir elok kita gunakan kereta, pakai tiga buah kereta saya, bersama dengan pemandunya, lagi cepat sampai," kata Pak Habib. Buat seketika tiada bantahan dari sesiapa. Seolah-olah semuanya setuju dengan cadangan Pak Habib.

"Terima Kasih tuan, saya fikir jalan kaki lebih cepat. Saya lalui jalan pintas supaya cepat sampai ke rumah saya.

"Lalu kawasan kampung terpencil, orang tak ramai. Kita lalu kawasan sawah. Kalau berkereta atau berbasikal orang sekeliling rumah jadi terkejut, macam-macam cerita timbul.

"Setakat ini saja nama keluarga kami jadi buah mulut orang," kata ibu Shafie. Semua yang ada di situ terdiam.

SETUJU

Persetujuan sebulat suara tercapai. Hasrat ibu Shafie ditunaikan. Bagaimana cara bergerak mahu dimulakan diserahkan bulat-bulat atas bahu Pak Habib.

Alasan yang diberikan kerana Pak Habib orang tempatan yang dihormati, bila Pak Habib jadi ketua, tidak ada orang tempatan yang mempertikaikannya. Atas alasan itulah Pak Habib menerimanya dengan senang hati.

Atas permintaan Pak Habib, Shafie harus berada di tengah-tengah kumpulan bila bergerak nanti.

Saya disuruh berada disebelah kanan Shafie. Manakala Tajuddin di sebelah kiri. Di hadapan Shafie ayahnya sebagai kepala jalan. Di belakang Shafie ialah ibu kandungnya yang disuruh oleh Pak Habib membaca surah An-Nas sepanjang perjalanan.

Pak Habib pula mengambil tempat di sebelah saya. Datuk pula di sebelah Tajuddin. Tujuan Pak Habib berbuat demikian, supaya mudah mengawasi Shafie. Jika dia mahu mengamuk, mudah pula menangkap dan merebahkannya ke bumi.

Secara terbuka datuk memberitahu, saya dan Tajuddin boleh bertindak tanpa perlu meminta izin darinya atau Pak Habib.

Secara tidak langsung, datuk mencabar kami berdua. Tadi kami memprotesnya kerana menahan kami bertindak, sekarang tugas itu terus diletakkan atas bahu kami.

Pengumuman itu membuat saya cemas. Jantung berdegup kencang. Setelah membaca al-fatihah sebanyak tujuh kali berturut-turut yang diiringi dengan selawat, saya rasakan degup jantung beransur kurang dan akhimya kembali tenang.

DINDING

Dua lelaki pengikut setia Shafie masih lagi mencangkung merenung dinding surau. Mereka bagaikan tidak tergugat dengan suasana sekitar.

Setelah mempastikan semua arahannya dipatuhi dengan sempurna, Pak Habib terus mengarahkan kami supaya bersiap sedia.

"Kita melangkah sekarang," kata Pak Habib.

Saat langkah pertama dimulakan, dua lelaki yang duduk mencangkung mengadap dinding surau segera berdiri. Kemudian, mereka terus mengekori rombongan kami dalam jarak jauh.

Perbuatan kedua-dua lelaki itu meresahkan perasaan ibu Shafie. Kerana tidak dapat mengawal perasaan marahnya. Dia terus memaki hamun dua lelaki sesuka hati. Tindak tanduk ibu Shafie, ternyata lidak disenangi oleh Pak Habib dan datuk.

"Jangan begitu, sabar dan kawal perasaan," si suami cuba menenangkan perasaan si isteri.

Tetapi, si isteri terus juga merungut. Saya dan Tajuddin kurang senang dengan suasana begitu.

Setakat ini, Shafie tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang membimbangkan. Dia kelihatan tenang dan sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan ayahnya yang mengepalai perjalanan.

Dua orang pengikut Shafie yang tadi berada dalam jarak yang jauh, kelihatan mempercepatkan langkah. Berusaha mendekatkan jarak agar tidak terpisah jauh dari kami.

"Hati-hati dengan mereka," Pak Habib mengingatkan dan melarang saya dengan Tajuddin menoleh ke belakang.

Rupa-rupanya, Pak Habib tahu apa yang berlaku, walaupun dia tidak toleh kiri, tidak toleh kanan, tidak renung ke belakang.

Si isteri yang membebel bagaikan kehabisan suara. Tidak bercakap, membisu semacam. Si suaminya masih seperti tadi melangkah dengan tenang dan hati-hati.

Cuma yang agak ganjil sedikit ialah Shafie. Ada ketikanya dia senyum sendirian, mengomel sendirian tidak jelas apa yang diperkatakannya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 264/284

BACA: SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, March 19, 2026

Samson Option: Pelan Rahsia 'ENDGAME' Israel

Samson Option: Pelan Rahsia 'ENDGAME' Israel

Bayangkan satu situasi ini: Sebuah negara kecil dikepung musuh, sistem pertahanannya runtuh dan pada saat terakhir sebelum jatuh mereka tekan satu butang. Bukan sekadar serangan balas, tetapi pelan untuk mengheret seluruh dunia ke dalam kehancuran bersama.

Samson Option Pelan Rahsia 'ENDGAME' Israel

Inilah yang didakwa sebagai Samson Option. Ia bukan sekadar teori ketenteraan biasa. Ia digelar oleh sesetengah pihak sebagai "Pelan hari kiamat Israel".

Namun, adakah ia benar-benar wujud atau sekadar propaganda psikologi untuk menakutkan musuh? Mari kita bongkar satu persatu.

Asal Nama "Samson" — Petanda Awal Yang Menyeramkan

Nama ini bukan dipilih secara rawak, ia datang daripada kisah purba seorang lelaki bernama Samson (Nabi Samson dalam Islam) yang dalam keadaan terdesak, meruntuhkan sebuah kuil — membunuh dirinya dan semua musuh di dalamnya.

Maksud simbolik sangat jelas. Jika aku jatuh, semua akan jatuh bersama dan itulah inti sebenar Samson Option.

Kisah Ringkas Nabi Samson Dalam Islam

Nabi Syam'un Al-Ghazi atau Nabi Samson merupakan seorang nabi dari kalangan Bani Israil keturunan Nabi Yaakub a.s.

Kisah Syam'un a.s. tidak diceritakan dalam al-Quran tapi ada dalam kitab Muqasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali dan Qishashul Anbiya (kisah-kisah nabi).

Syam'un a.s. dikurniakan mukjizat kekuatan yang sangat luar biasa sehinggakan mampu meruntuhkan tembok dan melembutkan besi.

Syam'un a.s. sangat dibenci orang-orang kafir pada masa itu termasuklah Raja Bani Israil sehinggakan mereka mahu menghapuskan baginda.

Raja Bani Israil sebenarnya sangat takut kepada Syam'un a.s., dan sanggup menawarkan harta berupa wang, permata dan emas untuk sesiapa sahaja yang mampu membawa Syam'un a.s. kepadanya dalam keadaan lemah.

Ibarat gunting dalam selimut, isteri Syam'un a.s. sanggup menerima tawaran orang-orang kafir dan mengkhianati cinta suaminya.

Syam'un a.s. yang mempercayai isterinya itu pernah memberitahu yang rambutnya sendiri adalah kelemahanya. Menariknya, rambut Syam'un a.s. sangatlah panjang sehinggakan masa berdiri pun rambutnya mencecah tanah.

Dipendekkan cerita, isteri Syam'un a.s. pun memotong rambut suaminya lalu mengikat baginda dengan rambutnya sendiri.

Syam'un a.s. yang sudah diikat itupun tak mampu melepaskan diri dari ikatan itu lalu dibawa ke istana Raja Bani Israil dalam keadaan yang lemah, lalu diseksa.

Syam'un a.s. dikerat bibir dan telinganya manakala matanya dibutakan oleh orang-orang kafir ini.

Kemudian, datanglah Malaikat Jibril kepada Nabi Syam'un a.s. bertanyakan permintaannya.

Syam'un a.s. berdoa meminta kepada Allah SWT: "Saya ingin memohon ampun atas kesalahan yang seharusnya tidak saya beritahukan kepada siapapun termasuk isteri saya dan minta agar kekuatannku dikembalikan hingga saya dapat menggerakkan tiang istana ini."

Maka, Allah SWT kabulkan doa Syam'un a.s. dan dikembalikan kekuatan sehinggakan tiang istana yang Syam'un a.s. diikat hancur lalu meruntuhkan istana Raja Bani Israil tu.

Kesemua masyarakat dalam istana itu habis mati dalam runtuhan kecuali baginda. Wallahu a'lam.

Rahsia Nuklear Israel: Apa Yang Tidak Diceritakan Secara Rasmi

Israel terkenal dengan satu polisi pelik. Tidak mengaku tapi juga tidak menafikan memiliki senjata nuklear.

Namun, di belakang tabir ramai pakar percaya Israel sebenarnya mempunyai 80 hingga 200 kepala peledak nuklear, peluru berpandu jarak jauh, kapal selam nuklear (second-strike capability) dan jet pejuang dengan kemampuan nuklear.

Lokasi paling sering disebut? Dimona Nuclear Facility. Sebuah kemudahan yang sering dikaitkan dengan program nuklear rahsia Israel sejak 1960-an.

Samson Option: Pelan "Butang Terakhir"

Samson Option bukan strategi biasa. Ia bukan tentang menang. Ia tentang satu perkara sahaja; Pastikan tiada siapa menang!

Scenario Yang Ditakuti

Jika Israel menghadapi serangan gabungan negara besar, kekalahan total dalam perang atau serangan nuklear ke atas wilayahnya, maka Samson Option mungkin diaktifkan.

Apa Yang Akan Berlaku Jika Ia Diaktifkan?

Inilah bahagian paling menakutkan.

Fasa 1: Serangan Nuklear Besar-Besaran

Bandar utama musuh disasarkan, pangkalan tentera dimusnahkan, infrastruktur lumpuh sepenuhnya.

Fasa 2: Serangan Berantai

Negara yang terlibat atau menyokong musuh turut diserang. Kemungkinan melibatkan kuasa besar.

Fasa 3: Reaksi Dunia

Serangan balas nuklear, perang global tercetus dan di sinilah segalanya berubah.

Teori Paling "Gelap" Tentang Samson Option

Di sinilah konspirasi mula menjadi liar.

Ada yang mendakwa:

1. Senarai Sasaran Global Sudah Siap

Bukan sekadar Timur Tengah tetapi juga Eropah, Asia dan Rusia. Kononnya, sasaran ini telah ditetapkan lebih awal.

2. Sistem "Dead Man's Switch"

Teori ini mengatakan, jika kepimpinan Israel dimusnahkan, sistem automatik akan melancarkan nuklear tanpa arahan manusia. Seolah-olah satu "bom balas dendam" global.

3. Kapal Selam Nuklear Sentiasa Bersedia

Israel didakwa mempunyai kapal selam di laut yang tidak dapat dikesan dan sentiasa bersedia melancarkan serangan.

Ini bermakna walaupun Israel "hilang dari peta", serangan balas tetap akan berlaku.

Kenapa Dunia Sangat Takut Dengan Samson Option?

Kerana ia melangkaui logik biasa.

Dalam doktrin nuklear biasa seperti MAD (Mutually Assured Destruction), tujuannya adalah untuk menghalang perang, tetapi Samson Option? Ia adalah ancaman terakhir apabila pencegahan gagal.

Amerika Syarikat: Sekutu Atau Pengawal?

Satu persoalan besar, jika Samson Option diaktifkan — Apa akan dilakukan oleh Amerika Syarikat?

Kemungkinan menyekat Israel? Menyokong secara diam? Atau turut terlibat dalam konflik global? Tiada siapa tahu.

Dan itulah yang menjadikannya lebih menakutkan.

Jika Samson Option Jadi Realiti, Apa Akan Terjadi?

Mari kita bayangkan senario paling buruk:

1. Bandar Besar Dunia Hancur

New York, Moscow, Tehran, Beijing. Semua berpotensi menjadi sasaran balas.

2. Nuclear Winter

Debu radioaktif akan menutup cahaya matahari, menjatuhkan suhu global dan menghancurkan pertanian. Dunia akan memasuki fasa zaman gelap moden.

3. Kematian Berskala Besar

Jutaan, mungkin berbilion manusia. Sistem kesihatan runtuh. Bekalan makanan terputus.

Adakah Ini Semua Sekadar Teori Konspirasi?

Jawapan jujur, tiada siapa boleh sahkan sepenuhnya.

Tetapi, Israel memang dipercayai mempunyai nuklear. Doktrin pertahanannya sangat agresif dan sejarah konflik mereka sangat kompleks.

Jadi, Samson Option mungkin bukan sekadar cerita kosong.

Ia mungkin senjata psikologi atau pelan sebenar yang hanya menunggu masa.

Realiti Yang Ramai Tidak Sedar

Dalam dunia moden, satu butang boleh mengubah sejarah. Satu keputusan boleh memusnahkan tamadun dan Samson Option adalah simbol kepada realiti ini.

Kesimpulan: Pelan Yang Dunia Harap Tidak Pernah Digunakan

Samson Option bukan sekadar strategi ketenteraan. Ia adalah simbol ketakutan, senjata psikologi dan mungkin pelan sebenar mempercepatkan ketibaan hari kiamat.

Persoalan terakhir, jika satu hari nanti Israel benar-benar terdesak, adakah mereka sanggup menarik dunia jatuh bersama?

Tiada siapa tahu dan mungkin kita sendiri tidak pernah mahu tahu pengakhirannya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat

SBDJ Siri 263: Suaranya Tersekat

Larangan itu membuat saya da Tajuddin terkilan. Kenapa mesti dilarang, fikir saya dalam hati. Shafie sudah melampau, tidak hormat dengan orang tua. Dia harus diajar dengan secukupnya. Hentak dadanya dengan penumbuk, biar dia jatuh tergolek-golek di bumi. Dengan itu saja baru dia sedar diri. Manusia biadap, batin saya terus bergelora.

Siri Bercakap Dengan Jin 263, Suaranya Tersekat

"Kau orang berdua tak puas hati Tamar?"

Datuk bagaikan dapat membaca apa yang berombak dalam dada. Tiada jawapan balas yang diberikan. Saya cuma senyum tersipu-sipu. Pertanyaan yang sama datuk halakan pada Tajuddin. Tajuddin termenung sebentar sebelum menganggukkan kepala.

"Saya memang tak puas hati, kenapa kami dihalang."

Tidak saya duga, Tajuddin begitu berani berterus terang. Ada rasa cemas dalam diri. Bimbang kalau datuk naik angin. Syukur, datuk tidak naik angin dia nampak tenang.

"Bukan apa-apa Tamar, Tajuddin."

Nada suara datuk rendah sekali. Sesekali dia mengurut-urut batang lehernya. Pak Habib yang jatuh terlentang sudah pun bangun.

Ketika dia mahu berdiri, Shafie terus menerkam dan melepaskan satu tendangan lagi. Pak Habib tersungkur untuk kali kedua. Datuk tidak pula bertindak melindungi Pak Habib. Perbuatan datuk membuat kami berdua kian marah.

"Ini urusan kami, jadi biarlah kami uruskan. Kamu berdua janganlah masuk campur," sambung datuk.

"Tapi, Pak Habib terus diserang orang gila itu," Tajuddin memprotes. Saya sukong protes tersebut dengan menganggukkan kepala.

"Kamu berdua memang biadab," pekik datuk lantang.

"Sudah aku katakan, ini urusan kami, kamu berdua jangan masuk campur."

Selesai saja datuk mengakhiri kata-kata, dia terus menerpa ke arah Shafie dari sebelah kiri. Sepasang kaki Shafie ditangkap dan ditarik ke arahnya.

Shafie menjerit lalu jatuh tersembam di bumi. Ketika datuk berhasil duduk atas belakang Shafie. Hati Pak Habib berdebar, dia merasakan datuk sudah tidak mampu mengawal perasaan marahnya.

Dengan pantas datuk menyauk leher Shafie dengan lengan kiri dan menarik ke belakang membuat muka anak muda itu mendongak ke langit.

Sementara tangan kanan datuk terus mengilas tangan kanan Shafie ke belakang.

Shafie kelihatan terkapar dan sukar melepaskan nafas. Suaranya, bagaikan tidak keluar dari kerongkong.

"Jangan, nanti patah lehernya."

NYARING

Suara Pak Habib bergema nyaring, ketika dilihatnya datuk mahu merengkuh leher Shafie lebih jauh ke belakang. Gema suara itu membuat datuk terhenti melakukannya.

Tengkuk dan tangan Shafie segera dilepaskan, tetapi ketika itu Shafie sudah tidak bermaya lagi. Nampak amat lemah sekali. Datuk yang menyedari perbuatannya itu agak keterlaluan, segera menyesalinya.

"Saya hilang sabar."

"Tak mengapa, kita manusia tidak lepas dari kelemahan dan kekurangan."

"Subhanallah."

Suara datuk lemah. Muka Pak Habib ditatapnya. Mereka berbalas senyum.

LEMAH

Bagaikan diatur, kedua-duanya segera mendekati Shafie yang lemah dan keletihan. Rawatan memulihkan tenaga segera datuk lakukan dengan mengurut dan menyentuh bahagian sendi tertentu.

Walaupun begitu, kedua-duanya sentiasa berwaspada, malah bersedia menghadapi sebarang kejadian di luar dugaan dari Shafie.

Beberapa minit berikutnya, muka Shafie yang pucat lesi kembali merah. Boleh menggerakkan sebahagian dari tubuhnya. Tetapi masih belum mampu berdiri.

Dalam kepala datuk dan Pak Habib sudah tersusun rencana yang bakal dilakukan, andainya Shafie dapat berdiri dan melakukan serangan mengejut pada mereka.

Ayah dan ibu Shafie menghampiri datuk dan Pak Habib.

"Izinkan kami berdua membantu," Ungkap si isteri.

Datuk dan Pak Habib segera berpandangan, kehairanan.

"Mahu membantu," Pak Habib minta kepastian.

"Iya," angguk si suami.

"Caranya?" tanya datuk ragu-ragu. Ada renungan memperkecilkan hasrat pasangan suami isteri tersebut.

"Dengan berdoa pada Allah. Saya pernah diberitahu oleh seorang ustaz, doa ibu bapa kepada anaknya lebih mustajab. Kami berharap doa kami berdua dikabulkan oleh Allah," jelas si suami.

"Kamu bercakap perkara yang benar, silakan," Pak Habib memberi laluan. Tiada bantahan dari datuk.

Saya dan Tajuddin berpandangan. Sesungguhnya kami berdua berdebar menanti kemampuan dan tindakan selanjut dari pasangan suami isteri.

Dengan langkah dan rajah penuh keyakinan, pasangan suami isteri itu mendekati Shafie dan terus duduk bersimpuh di sisinya.

Mereka menadah tangan ke langit. Mereka pun berdoa penuh dengan khusyuk dan tawaduk. Mereka menganggap tiada orang lain di sekitar mereka. Hanya mereka berdua saja yang berada di situ.

Semua gerak-geri dan tindak tanduk pasangan suami isteri tidak terlepas dari kuasa mata saya dan Tajuddin.

Pak Habib dan datuk kelihatan serius sekali. Seolah-olah memberikan restu dan bersedia turut berdoa, jika dipelawa.

"Allah yang Maha Besar, Maha Pemurah dan Penyayang pada-Mu kami bermohon. Ampunilah dosa anak kami Shafie. Kembalikan keimanan dalam kalbunya, agar dia menjadi seorang Islam sejati.

"Padamu kami bermohon, sempurnakanlah keimanannya dan turunkan Hidayah padanya.

"Bersihkan hati anak kami Shafie dari pengaruh jahat. Ya Allah, Engkau perkenanlah permintaan hambamu yang hina..." pasangan suami isteri itu menangis terisak-isak.

Perasaan saya dihempap keharuan yang amat sangat.

BERDOA

Sebaik saja pasangan snami isteri itu selesai berdoa, terdengar suara azan mewarnai keadaan sekitar.

Saya dan Tajuddin tercari-cari dari mana suara datang. Rupa-rupanya suara tersebut adalah suara Pak Habib. Dia melaungkan azan dari satu tempat tinggi.

Saya tidak sedar ketika mana Pak Habib bergerak, ke arah tanah yang agak tinggi.

Selesai azan Pak Habib mendekati kami. Dia menyuruh Tajuddin ambil air kolah surau satu baldi. Dengan berlari-lari anak Tajuddin menyempurnakan permintaan datuk.

Setelah air satu baldi dibacakan fatihah tujuh kali lalu dicurahkan ke tubuh Shafie, mulai dari kepala hingga ke hujung kaki.

Setiap curahan mesti berakhir di kepala lutut kiri dan kanan. Kemudian dimulakan kembali dari kepala hingga ke hujung kaki dan berakhir di kepala lutut.

Setengah jam masa berlalu, hasil kerja yang dilakukan oleh Pak Habib, tidak menampakkan hasil. Tiada perubahan pada diri Shafie masih macam tadi. Ayah dan ibunya terus berdoa.

"Allah..."

Semua yang berada di situ tumpukan perhatian pada Shafie yang mula bergerak perlahan-lahan hingga berjaya menelentangkan tubuhnya merenung langit biru.

"Saya nak balik mak."

Shafie merenung wajah ibunya. Kemudian beralih merenung muka ayahnya. Segaris senyum bermain dikelopak bibir Shafie yang pucat.

"Ayah sihat," tanyanya.

"Sihat," pendek si ayah memberikan jawapan, bersama senyum keriangan.

Beberapa helai daun kering melayang-layang di udara dibawa angin, sebelum jatuh berhampiran dua lelaki pengikui setia Shafie.

"Shafie anakku, mengucap dua kalimah syahadat," lembut sekali nada suara si ibu mengajukan permintaan.

Sejenak Shafie termenung, macam ada sesuatu yang berlegar-legar dalam tempurung kepalanya.

Sepasang kelopak bibir Shafie bergerak tetapi, tiada suara yang terkeluar. Kelihatan amat payah sekali bagi Shafie untuk melafazkan dua kalimah syahadat.

"Emak."

Suara Shafie tersekat. Dia gelengkan kepala. Perasaan ibu dan ayahnya terus diresap kehampaan yang panjang. Seketika terdengar keluhan dari si ayah.

Harapan dan cita-citanya untuk melihat Shafie jadi ulama besar terus berkecai. Tidak akan menjadi kenyataan sampai bila-bila pun.

Melihat pada situasi Pak Habib yakin agak lambat menemui titik akhir. Dia segera mendekati ayah Shafie dan terus membisikkan sesuatu.

Orang tua (ayah Shafie) yang kelihatan lemah dan kecewa itu terus anggukkan kepala. Malah memberi ruang pada Habib untuk duduk di sisi Shafie.

"Saya mulakan," kata Pak Habib.

"Silakan," jawab ayah dan ibu Shafie serentak.

Pak Habib pun membongkokkan badan, mendekatkati kelopak bibir ke telinga Shafie lalu membisikkan sesuatu.

Saya yakin, Pak Habib membisikkan potongan-potongan ayat pilihan dari al- Quran. Tiada sebarang tindak balas dan Shafie, setelah mendengar bisikan tersebut.

Pak Habib tidak berputus asa dan terus mengulangi perbuatan yang sama sebanyak tujuh kali berturut-turut. Usaha Pak Habib membuahkan hasil.

Shafie terus duduk bersila di hadapan ayah dan ibu. Sepasang anak matanya yang bercahaya garang tertumpu ke wajah Pak Habib.

Antara Pak Habib dan Shafie ada adegan pertarungan melalui kelopak mata. Kelopak bibir Pak Habib nampak bergetar, ada sesuatu yang dibacanya.

MENGEJUT

Sungguh mengejutkan, malah semua ada di situ bagaikan tidak yakin kata.

"Assalamualaikum," terpancut keluar dari mulut Shafie yang ditujukan pada Pak Habib.

Dengan pantas Pak Habib membalas salam sambil menghulurkan tangan. Shafie menyambut huluran tangan Pak Habib. Mereka berjabat tangan penuh kemesraan.

"Emak, saya nak balik," kata Shafie.

"Boleh, tapi..."

"Tapi, apa emak," potong Shafie.

"Kena minta izin dengan orang yang kamu salam tadi," Tutur ibunya dengan tenang, penuh keyakinan. Lagi sekali Shafie renung muka Pak Habib.

"Saya nak balik ke rumah emak saya, tuan."

"Sudah tentu boleh kerana itu adalah rumah kamu dengan syarat..." Pak Habib tidak menamatkan kata-katanya. Mulut Shafie terlopong, sepasang biji matanva bagaikan mahu tersembul.

"Ikut saya mengucap dua kalimah syahadat secara betul, ikhlas dalam hati," sambung Pak Habib.

Dengan serta merta si ibu memberikan isyarat mata pada Shafie, agar mematuhi saranan Pak Habib. Tiada tindak balas positif dari Shafie.

Si ibu mengulangi perbuatan yang sama pada Shafie. Kali ini reaksi yang diberikan amat menyenangkan hati si ibu serta si ayah.

"Boleh, saya ikut cakap tuan," itu kata pemutus dari Shafie. Pak Habib tersenyum dan mengucapkan terima kasih pada Shafie dan kedua orang tuanya.

Dengan pantas Pak Habib memanggil datuk, saya dan Tajuddin agar segera menghampirinya.

Secara tidak langsung, kami bertiga dikehendaki berada di sisi Shafie dan kedua orang tuanya. Permintaan Pak Habib segera kami kabulkan.

Dengan disaksikan oleh kedua-dua orang tuanya, saya, datuk serta Tajuddin, Pak Habib pun melafazkan dua kalimah syahadat dengan terang dan lancar.

Kemudian turut dilafazkan oleh Shafie dengan nada suara yang lancar dan terang sekali.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 263/284

BACA: SBDJ Siri 262: Tumbuk Bumi Kaki Lembik
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com