Friday, June 10, 2022

Adakah Festival Bon Odori Perayaan Agama?


Festival Bon Odori dianggap sebagai antara festival paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada bulan Julai setiap tahun, yang mana di Malaysia acara tahunan Bon Odori dianjurkan di Pulau Pinang, Sabah dan Selangor.

Festival Bon Odori

Menurut laman web rasmi Kelab Jepun Kuala Lumpur (JCKL), ia bermula sebagai acara kecil-kecilan pada tahun 1977 buat ekspatriat Jepun di Malaysia untuk menyemai budaya Jepun di kalangan anak-anak mereka.

Sesetengah upacara atau ritual Bon, seperti menyalakan api besar di penghujung Bon untuk dijadikan panduan untuk pemergian roh mereka yang meninggal dunia, tidak dilakukan di Malaysia. Sekurang-kurangnya tidak pesta itu.

Sebaliknya, tarikan utama di festival itu ialah tarian yang diiringi muzik di sekitar Yagura dan gerai-gerai sekitar yang menjual makanan Jepun.

Ia menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai kepelbagaian seni Jepun, tarian, makanan dan minuman.

Ia juga adalah peluang bagi masyarakat Jepun di Malaysia untuk diperkenalkan dengan budaya Malaysia melalui persembahan tarian anjuran Tourism Selangor, kata JCKL dalam satu kenyataan.

Pada tahun-tahun sebelumnya, ramai hadirin turut berpakaian Jepun untuk majlis itu dengan memakai yukata, pakaian kapas ringan untuk majlis kasual seperti Bon Odori.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun dengan tumpuan kepada tarian Obon.

Festival yang diadakan di Selangor, sering dilihat sebagai yang terbesar di luar Jepun, dianjurkan oleh antaranya Kelab Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, serta mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

Aktiviti daripada festival tersebut yang sering dinantikan-nantikan adalah tarian mengelilingi pentas diiringi muzik. Pada masa yang sama, terdapat gerai-gerai yang menjual makanan Jepun ketika festival itu berlangsung.

Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia lebih menjurus kepada acara kebudayaan dan komersial berbanding acara keagamaan, juga simbolik hubungan rapat antara Malaysia dan Jepun

Hubungan diplomatik yang kukuh bukan saja mewujudkan perkongsian ilmu dalam teknologi tetapi juga menggalakkan pertukaran budaya untuk kedua-dua negara.

Sepanjang tahun, Bon Odori dikomersial dan diraikan melalui pusat komersial atau komuniti untuk masyarakat bukan Jepun. Bon Odori telah disambut selama lebih 30 tahun di Malaysia, kerana di sini juga mempunyai ramai peminat Manga dan anime melalui pengaruh Jepun.

Tarikh Sambutan

Perayaan Bon telah dirayakan di Jepun selama lebih dari 500 tahun secara tradisional termasuk tarian, yang dikenali sebagai Bon Odori. Tarikh penyambutan perayaan ini berbeza-beza.

Perayaan Bon berlangsung selama tiga hari, walau bagaimanapun tarikh permulaannya berbeza-beza mengikut wilayah di Jepun.

Apabila kalendar lunar ditukar kepada kalendar Gregori pada permulaan era Meiji, ia telah mewujudkan tiga tarikh perayaan Obon yang berlainan hari.

Pertama Shichigatsu Bon (Bon pada bulan Julai) didasarkan pada kalendar solar dan disambut sekitar 15 Julai di timur Jepun (rantau Kantō seperti Tokyo, Yokohama dan rantau Tōhoku), bertepatan dengan Chūgen.

Hachigatsu Bon (Bon pada bulan Ogos), berdasarkan kalendar lunar, disambut sekitar 15 Ogos dan merupakan masa yang paling sering dirayakan.

Kyū Bon (Old Bon) dirayakan pada hari ke-15 bulan ketujuh kalendar lunar dan begitu berbeza setiap tahun. Kyū Bon dirayakan di kawasan-kawasan seperti bahagian utara rantau Kantō, wilayah Chūgoku, Shikoku dan Wilayah Okinawa.

ADAKAH IA PERAYAAN AGAMA?

Perkataan Odori dalam bahasa Jepun bermaksud tarian traditional Jepun, manakala Bon pula adalah nama kepada Perayaan Hantu Lapar iaitu satu amalan dalam agama Buddha.

Falsafah dan sejarah di sebalik perayaan Bon ini adalah berasaskan kepada kepercayaan agama yang wujud di dalam agama Buddha.

Di Jepun, walaupun unsur keagamaan perayaan (terutama untuk tarian) semakin pudar, sebaliknya Bon Odori menjadi karnival musim panas.

Pada asalnya, merupakan upacara berehat untuk roh nenek moyang mereka, tarian Bon kemudiannya mula berkembang dan bertukar menjadi satu bentuk hiburan dan perayaan.

Sejarah

Di sisi sejarah Bon Odori ini, kebanyakan orang mengetahui tentang kisah perayaan ini melalui tukang cerita profesional, yang menceritakan sebuah kisah bertajuk The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions.

Kisahnya tentang seorang pengikut Siddhratha Gautama Buddha, bernama Mu-Lien (Sanskrit: Maudgalyayana) yang mempunyai kebolehan untuk melihat alam ghaib, serta misinya untuk mencari kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Kisah ini juga tertulis di dalam Ullambana Sutra (juga dikenali Yulanpen Sutra yang dipercayai ditulis antara 266-313 Masihi).

Ketika Maudgalyayana sedang bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka akibat daripada balasan amalan buruk ibunya semasa hidup.

Ibunya menjadi hantu lapar yang memiliki leher yang sempit tetapi perut yang besar, menyebabkan ia sukar untuk menelan makanan manakala perut yang besar menyebabkan perut selalu kosong dan dalam keadaan lapar.

Ini adalah balasan kepada ibunya kerana tidak membelanjakan wang peninggalan suaminya dengan memberikan makanan kepada orang ramai sepertimana diwasiatkan oleh suaminya itu.

Hal ini membuatkan Maudgalyayana berasa sedih, terseksa dan bertekad untuk menyelamatkan ibunya. Dia telah mengurangkan seksaan ibunya itu dengan meminta tunjuk ajar daripada Buddha cara untuk memberi makan kepada ibunya itu.

Buddha mengarahkan untuk meletakkan makanan di atas pinggan yang bersih dan membaca mantra tertentu sebanyak tujuh kali dan memetik jari untuk memanggil roh yang telah meninggal lalu meletakkan makanan itu di atas lantai yang bersih.

Perbuatan Maudgalyāyana ini telah dapat menyelamatkan ibunya dan ibunya menjadi anjing yang dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan.

Dia lalu meminta bantuan Buddha lagi sekali untuk menghidupkan kembali ibunya menjadi manusia. Buddha pun menetapkan suatu hari (iaitu hari ke-14 bulan ke-7 tahun lunar) di mana Maudgalyāyana perlu memberi makan kepada 500 bhikkhu (para sami), sehingga akhirnya ibunya telah dapat dihidupkan kembali dalam bentuk manusia.

Lalu peristiwa ini mula dikenang dan diamalkan oleh penganut Buddha. Ia dikenali sebagai Ullambana.

Ketika agama Buddha mula masuk ke Jepun sekitar abad ke 4 Masihi, Ullambana ini mula dikenali sebagai Bon, hari bagi meraikan roh nenek moyang.

Bon Odori Tarian Menghiburkan Hantu

Pentas Bon Odori

Tarian di dalam perayaan Bon Odori adalah salah satu cara untuk menghiburkan roh atau hantu nenek moyang.

Situasinya hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh orang cina iaitu melakukan hiburan opera dan juga mengadakan konsert sempena Perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival).

Cuma di Jepun ia disertakan dengan tarian bagi menghiburkan hantu-hantu nenek moyang.

Bon Odori memiliki cara tarian khusus, biasanya melibatkan orang ramai yang berbaris dalam lingkaran sekitar perancah kayu seperti pentas yang tinggi dan dibuat khas dipanggil sebagai Yagura.

Sesetengah tarian Bon Odori bergerak mengelilingi mengikut arah jam. Pentas Yagura itu dianggap sebagai kiblat semasa tarian itu diadakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon