Khamis, Januari 04, 2018

Misteri Asal-usul Tarian Ulek Mayang


Tarian Ulek Mayang merupakan tarian yang mengandungi unsur pemujaan, tarian keasyikan keagamaan pra Islam yang diiringi oleh nyanyian dan muzik di Terengganu, berasal dari sebuah pulau berdekatan tidak dikenali di mana orkestra Melayu, mengandungi gendang, gong, biola dan accordion dan sebagainya digunakan.

Misteri Asal-usul Tarian Ulek Mayang

Ulit atau Ulek merujuk kepada berdondang atau mengulit-ngulit yang membawa makna menyeru-nyeru dengan nama memujuk-mujuk supaya kembali semula dan datang semula merujuk kepada makhluk halus.

Biasanya persembahan Ulek Mayang ini berlangsung pada waktu malam apabila tiba musim puja pantai. Selain itu, Ulek Mayang turut ditarikan oleh 10 hingga 15 orang penari.

Namun begitu, pada zaman sekarang Ulek Mayang dijadikan sebagai seni persembahan Melayu yang boleh dianggap seni teater muzika kerana di dalamnya terdapat pelbagai seni persembahan seperti pantun yang dilagukan, tarian mengikut lagu dan irama, serta dilakonkan oleh watak-watak tujuh orang puteri, watak pawang atau bomoh dan pesakit.

Segala unsur-unsur mantera di dalam lirik lagu Ulek Mayang juga turut diubah setelah kedatangan Islam.

Asal-usul legenda Ulek Mayang

Legenda Ulek Mayang atau Ugam Mayang (Pahang) dipercayai telah wujud pada zaman pemerintahan Sultan Umar lagi.

Kewujudan tarian Main Puteri dan persembahan Mak Yong di kelantan begitu popular pada tahun-tahun 1870-an iaitu sezaman dengan permulaan perkembangan drama bangsawan di Tanah Melayu.

Pada zaman tersebut, Ulek Mayang amat popular sebagai upacara rawatan penyakit kepada masyarakat Terengganu dewasa itu.

Disamping itu, tarian Ulek Mayang juga dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa.

Sejarah Ulek Mayang bermula pada zaman dahulu, apabila sekumpulan nelayan keluar ke laut menangkap ikan dengan berperahu.

Tiba-tiba, mereka telah dilanda ribut yang amat dahsyat di tengah lautan sehingga jong yang dinaiki mereka telah dipukul ombak ganas.

Kesemua nelayan terhumban di dalam laut yang bergelora sambil terkapai-kapai menyelamatkan diri. Akhirnya mereka kepenatan dan beralah dengan takdir apabila gagal menyelamatkan diri dari kekuatan ombak laut yang tidak dapat dikawal lagi.

Seterusnya, ribut menjadi reda dan kembali kepada sedia kala. Tubuh para nelayan tersebut telah dihanyutkan ke pantai. Seorang demi seorang nelayan terjaga dan berasa beruntung kerana terselamat.

Akan tetapi, salah seorang daripada nelayan tersebut tidak sedarkan diri. Mereka menyangka bahawa nelayan tersebut telah mati namun, ternyata tubuhnya masih bernyawa apabila diperiksa.

Rakan-rakannya berasa sedih dan mengesyaki bahawa nyawa nelayan yang tidak sedarkan diri itu berada di alam lain walaupun jasadnya ada bersama mereka.

Zaman tersebut lebih juga dikenali sebagai zaman animisme dimana bomoh digunakan untuk menyembuhkan penyakit seseorang.

Oleh itu, nelayan-nelayan tersebut memanggil bomoh untuk menyedarkan kembali nelayan tersebut.

Bomoh tersebut mengubatinya dengan bacaan mantera dan apabila diseru, bomoh tersebut mendapati nelayan itu telah dipukau oleh semangat laut.

Rupa-rupanya seorang Puteri Bunian cuba menguji kesemua nelayan tetapi hanya seorang yang tertarik. Dipercayai nelayan itu terperangkap dan merayau-rayau di alam bunian.

Bomoh tersebut cuba membawa semangat nelayan kembali ke dunia nyata namun, Puteri itu telah menyeru seorang kakaknya untuk membantu.

Di tengah-tengah pertarungan itu, dua lagi kakaknya muncul untuk menjampi. Kemudian muncul lagi dua orang puteri sehingga menjadi enam orang kesemuanya.

Pertarungan antara bomoh dan puteri-puteri tersebut menjadi semakin sengit hingga menggegarkan bumi dan menggolakkan laut.

Apabila pertarungan menjadi semakin sengit, muncul Puteri ke-7, iaitu puteri yang sulung. Puteri ini memiliki rupa yang lebih rupawan, lebih kuat dan bijaksana.

Setelah itu, bomoh telah merayu kepada Puteri ke-7 agar dipulangkan semula semangat nelayan tersebut.

Menyedari kenakalan adik-beradiknya, Puteri sulung memerintahkan pertarungan itu dihentikan.

Dalam pertempuran tersebut, puteri sulung berkata, “Aku tahu asal-usulmu. Biarkan yang laut pulang ke laut dan yang darat pulang ke darat.”

Jiwa nelayan telah dipulangkan dan nelayan kembali sedar. Bomoh dan rakan-rakan nelayan berasa terhutang budi kepada sang puteri, lalu mereka mempersembahkan nasi berwarna kepada sang puteri sebagai tanda penghargaan atau berterima kasih.

Upacara ini kekal diamalkan sehinggalah kedatangan Islam, untuk menunjukkan rasa terhutang budi kepada semangat-semangat laut.

Walaupun asal-usul bermulanya tarian Ulek Mayang terdapat dalam pelbagai versi namun, susunan peristiwanya agak serupa iaitu tentang sekumpulan nelayan yang telah mengalami kecelakaan di laut dan salah seorang daripada mereka tidak sedarkan diri.

Tarian Ulek Mayang dilakukan untuk memuja semangat Puteri yang merujuk kepada tujuh semangat yang bersal dari laut.

Semangat puteri ini sudah wujud di kalangan masyarakat Terengganu sebelum kedatangan Islam lagi dan ia berakar umbi dari kepercayaan animisme atau khurafat masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Tujuh Semangat Puteri dikenali sebagai Puteri Satu, Puteri Dua, Puteri Tiga, Puteri Empat, Puteri Lima, Puteri Enam dan Puteri Tujuh.

Terdapat beberapa sumber menyatakan upacara Ulik Mayang dimainkan sewaktu musim puja pantai sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak mengganggu nelayan dan upacara mengubati pesakit dengan menggunakan semangat yang dipuja.

Namun begitu, upacara Ulek Mayang telah diubah kepada nyanyian setelah kedatangan Islam dan hanya ditarikan sebagai hiburan tanpa memasukkan unsur-unsur khurafat seperti mantera dan jampi.

Antara kampung yang masih giat memperkembangkan kesenian ini ialah Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Upacara Ulek Mayang

Upacara Ulek Mayang dipercayai mengandungi mantera yang digunakan untuk memujuk roh atau semangat.

Perkataan “mantera” berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu “mantra” atau “manir” yang merujuk kepada ucapan kudus dam kitab-kitab Veda, serta mengandungi unsur mistik dan jampi serapah.

Mantera menjadi amalan yang merangkumi seluruh hidup masyarakat hindu, untuk tujuan kebaikan (T.plattes dalam Harun Daud:2004).

Harun Daud pula berpendapat bahawa, “Mantera ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk puisi atau prosa berirama yang mengandungi unsur magis dan diamalkan oleh orang tertentu, terutamanya bomoh, dengan tujuan kebaikan dan sebaliknya.” (Harun Daud, 2004:xxi).

Kewujudan mantera dalam bentuk puisi dapat dilihat pada kebanyakan mantera seperti yang terdapat dalam lagu Ulek Mayang.

Oleh itu, (Harun Daud:2004) telah menyatakan lima perkara penting dalam keberkesanan mantera iaitu pertama, kepercayaan dan keyakinan diri seseorang pengamal, kedua adalah kesucian diri, ketiga adalah perlakuan diri, keempat pula adalah suasana tempat, masa dan peristiwa dan yang kelima adalah penggunaan peralatan atau benda seperti pengeras, benda pembantu ritual, makanan, pantang larang dan kekuatan isi mantera. Kesemua ciri-ciri ini dapat dilihat dengan jelas dalam seni persembahan Ulek mayang.

Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang yang merupakan bahan utama dalam tarian Ulek Mayang.

Mayang tersebut akan dibangkitkan dengan semangat dan dibangunkan dengan semah asal usul.

Semah bermaksud sajian berupa makanan, binatang dan sebagainya yang disediakan untuk makhluk halus.

Untuk menyembuhkan penyakit, pawang akan menggunakan mayang pinang yang masih lagi dalam seludangnya. Mayang pinang tersebut tidak boleh digunakan untuk kegunaan ritual setelah seludangnya pecah.

Seterusnya, pawang akan menggunakan sebiji guri tembaga atau batil yang berisi air, sebatang lilin yang diperbuat dari sarang dan madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga yang kebiasaannya bunga cempaka, melati dan melor.

Seterusnya, lilin dinyalakan dan kemudiannya diletakkan dalam batil atau guri tembaga yang berisi air. Apabila sampai waktunya, pawang akan membakar kemenyan dalam dupa yang siap dengan bara api dan seterusnya melihat arah asap yang sekaligus memberi petunjuk bahawa arah itulah nanti penyakit akan dibuang dan dari arah yang berlawanan pula “Puteri Tujuh Beradik” dipanggil bagi menyempurnakan proses pengubatan.

Sewaktu upacara persembahan diadakan, ianya akan diiringi oleh seloka dan pantun oleh rakan-rakan pesakit yang lainnya.

Persembahan ini dilakukan beramai-ramai terutamanya pada waktu malam bulan purnama di tepi pantai dengan membuat bulatan dan pawang yang memegang mayang pinang akan duduk di tengah-tengah bulatan tersebut.

Pada peringkat awal, tidak ada alat muzik yang mengiringi persembahan ini. Biasanya, para pemain terdiri dari mereka yang berusia antara lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Setiap peralatan yang digunakan akan diasap dengan kemenyan satu persatu telebih dahulu bermula dengan seludang mayang dan diikuti dengan bunga dan peralatan yang lain.

Setelah itu bomoh akan menutup kepala dengan kain batik lepas dan dililit “semutar” dan separuh badannya ditutupi dengan kain putih yang menggunakan benang kapas dan duduk bersila sambil mengulek atau mengugam.

Mengugam atau mengulek membawa maksud menyanyi dan melihat waktu yang baik untuk memohon pertolongan dan caranya ialah menyanyi dan menari.

Pada waktu bomoh memulakan nyanyian, pukulan rebana mula mengiringi nyanyian pawang dengan tingkah laku tertentu yang mulanya perlahan kemudian kepada nada yang lebih sederhana dan tinggi.

Dalam upacara ini, irama rebana tidak boleh tersalah kerana ini akan mengurangkan konsentrasi bomoh serta tidak akan membawa turun ”Puteri Tujuh” ke alam maya dan semangat.

Lukah, Serkap

Dalam upacara yang dianggap permainan inilah seorang bomoh atau pawang akan memulakan persembahan dengan membaca mentera memuja sejambak mayang pinang atau lukah atau kukur kelapa atau sebuah serkap dan benda-benda itu akan bergerak perlahan-lahan dan menari-nari dengan sesiapa sahaja yang memegang mayang tersebut atau dengan objek-objek lain.

Maksudnya, jika mayang dijadikan objek utama dalam persembahan ini, maka orang yang memegangnya akan ikut bergerak mengikut gerakan mayang yang dipegangnya. Begitu juga dengan lukah atau kukur kelapa, bubu atau serkap.

Terdapat beberapa daerah di Pahang terutamanya di Hulu Tembeling dan Temerloh, lukah atau serkap diberikan pakaian seperti manusia. Jika bomoh itu tinggi ilmunya, lukah atau serkap itu seakan bergerak-gerak tanpa dipegang.

Malah, yang lebih menarik lagi jika kukur kelapa digunakan, kukur itu akan bergerak sendiri.

Menurut kepercayaan, jika kukur kelapa tersebut diletakkan dengan pasangan yang tidak sejenis, maka gerakannya akan menjadi lebih halus dan “romantis” dan jika diletakkan pasangan sejenis, maka ianya ”berperang”.

Dalam tradisi masyarakat di daerah ini, kukur biasa diberikan jantina iaitu kukur jantan dibuat ”sawat” atau alat kemaluan, manakala kukur betina di bawahnya tidak terdapat apa-apa ukiran.

Gerakan “tari” atau “perang” kukur jika menggunakan kukur atau gerakan mayang yang menari-nari dengan pawang itu merupakan kemuncak kepada persembahan ini.

Pada peringkat terakhir, bomoh akan memecahkan mayang kelapa dengan menghempaskannya ke pasir atau menghempaskan sedulang mayang tadi ke telapak tangannya.

Pada saat inilah sedulang mayang tersebut digerak-gerakkan untuk memanggil-manggil tujuh orang puteri seorang demi seorang.

Puteri Satu adalah puteri tertua dan sulung yang harus dipanggil dengan tertib dan hormat sehinggalah Puteri tujuh yang terakhir iaitu puteri bongsu dan merupakan puteri yang paling cantik dan paling sakti.

Dipanggil untuk mengulek dan melihat si pesakit jika bertujuan untuk pengubatan dan akan merahmati persembahan Ulek Mayang jika ianya untuk persembahan hiburan.

Upacara membawa turun tujuh puteri ini dibantu oleh “peduan” (Panduan) yang berfungsi sebagai “Tok Minduk”.

Tok Minduk atau Peduan bermaksud “guru tua” atau guru segala guru dalam pengamalan ilmu seni tersebut.

Kedatangan setiap puteri disambut dengan taburan tujuh biji bertih jantan dan biasanya setiap orang puteri akan memberi salam dan salam ini hanya dapat didengari oleh Pawang atau Peduan sahaja.

Antara dialognya adalah seperti berikut:
Puteri Tujuh: Assalamualaikum!
Peduan: Waalaikumussalam!
Puteri Tujuh: Apa hajat dipanggil hamba turun ni?
Peduan: Nak minta tengok si Fatimah (jika pesakit itu perempuan dan kalau pesakit itu lelaki diberikan nama Ali). Minta tolong tengok dan sembuhkan penyakit (jika untuk persembahan hiburan, minta tenangkan keadaan dan berikan semangat yang baik).
Puteri Tujuh: Ambo (hamba) tak reti (tak pandai), tapi cuba-cuba buat cuba-cuba tengok.
Ketika peduan berbual dengan Puteri ketujuh, penepuk gendang perlu menghentikan rebananya dan jika rebab digunakan sebagai menggantikan rebana, pemain rebab akan menghentikan gesekan rebabnya.

Hal ini kerana untuk mengelakkan penonton “tergerak angin” atau terasuk kerana jika hal ini berlaku, suasana pada ketika itu akan menjadi rumit, iaitu yang diubati tidak sembuh dan yang tidak sakit mendapat penyakit.

Penggunaan mantera dan pantun dalam Ulek Mayang

Mantera dan pantun digunakan serentak dalam persembahan Ulek Mayang sebagai alat berkomunikasi dengan Puteri 7 yang diseru.

Seperti yang difahami umum bahawa pantun adalah seni pengucapan Melayu yang paling indah dan popular dalam masyarakatnya.

Hampir seluruh wilayah-wilayah adat yang termasuk 19 wilayah suku besar Melayu seperti Acheh, Gayo-Alas, Batak-Nias, Minangkabau-Mentawai, Jambi-Engganao, Melayu-Melaka-Medan-Riau-Pontianak, Dayak-Raya, Bangka-Belitung, Sunda, Jawa-Tengah,Jawa-Timor-Madura, Bali-Lombok, Sulawesi-Selatan-Makasar, Teroja, Gorontolo, Flores-Timor, Minahasa-Sanghi-Talaud, Maluku-Utara (Ternate), Malaku Selatan (Ambon), Papua (Jakob Sumardjo:2002), daerah ini mempunyai tradisi pantun masing-masing.

Penggunaan pantun dalam persembahan Ulek Mayang, dapat dilihat kepada fungsi magisnya iaitu sewaktu upacara “memanggil” ketujuh-tujuh Puteri Tujuh turun menyertai acara atau upacara menurun bagi mengubati penyakit.

Puteri Tujuh merupakan lambang daripada mitos masyarakat dan ianya juga sebagai watak-watak yang sentiasa hadir dalam kebanyakan cerita-cerita lisan tempatan, watak atau peristiwa yang ada hubungan legenda dan sejarah tempatan atau pandangan dunia semesta masyarakat Melayu secara umumnya.

Pantun yang digunakan dalam persembahan Ulek Mayang tidak banyak bezanya antara rangkap pertama sehingga ketujuh.
Puteri satu berbaju serong
Puteri satu bersanggul sendeng
Puteri satu bersubang gading
Puteri satu berselendang kuning
Berdasarkan petikan pantun di atas, dasar pembentukan sebuah pantun mestilah dua baris pertama sebagai pembayang dan dua baris berikut adalah maksud yang tidak akan kita temui.

Ini kerana keempat-empat baris merupakan kesinambungan pemerihalan tentang puteri yakni berbaju serong di baris pertama, bersanggul sendeng dibaris kedua, bersubang gading dibaris ketiga dan berselendang kuning di baris keempat dan begitulah hingga puteri ketujuh.

Pantun di atas dinyanyikan pada peringkat menghidupkan mayang. Apabila mayang telah hidup dan ”puteri tujuh” telah turun dan teresap sama ada kepada pesakit, suasana akan menjadi rancak maka pelbagai jenis pantun akan dinyanyikan namun lebih memfokuskan kepada ”puteri” yang dikaitkan dengan semangat suatu bentuk aforisme, iaitu menghaluskan ungkapan sebagai lambang atau kias kepada tujuh jenis semangat yang terdapat di dalam diri pesakit dan juga di alam ghaib termasuk, hantu, jin, penunggu, roh dan sebagainya.

Dalam persembahan Ulek Mayang, struktur persembahan yang diungkap dalam pantun amat berkaitan dengan mentaliti persekitaran hidup mereka.

Pantun-pantun yang diungkap menyebut tujuh alamat bidadari atau puteri yang diundang dalam upacara dalam tubuh dukun atau bomoh.

Dengan ini memberikan kekuatan magis dan berpadu dengan segala rahsia kekuatan hal yang dikisahkannya. Pengkisahan ini amat berhubungan dengan mentaliti masyarakat pendokongnya.

Dia amat memahami perilaku masyarakat yang dia juga hidup bersama. Dari pemahaman inilah setiap pengucapan dukun, bomoh atau pawang dapat memenuhi psikologi khalayak dan dia dianggap orang pandai dan sebagai pengantara antara alam fizikal dan alam batin juga alam ghaib.

Dengan mantera atau jampi serapah yang diawali terdahulunya, suatu bentuk pengucapan antara dia dan “puteri” memberikan nilai mistik dan sakral:
Tujuhkan beradik
Tujuh sebiring
Tujuh segenap
Mengikutlah dari bari
Amboilah kan tujuh
Semangat tujuh
Selangkat tujuh
Tunjanglah kan tujuh
Anggota tujuh
Sifatkan tujuh
Maknuyah tujuh
Ai..turunlah kan tujuh
Belahkan sifat
(Aripin Said: 1997)
Dalam tradisi mantera Melayu terdapat tujuh jenis angin (dilambangkan tujuh puteri) iaitu Angin Dewa tujuh (tambahan dari penulis, Dewa tujuh terdiri Dewa sakti,dewa Muda, Dewa Kecil, Dewa Indera, Dewa Bisnu, Dewa Syahmalik dan Dewa Kesukma Daru ataupun Dewa Semar Daru, iaitu Angin dalam persembahan Main Puteri atau tokoh-tokoh dalam cerita Mak Yong), Angin Bidan ketujuh, Angin Hala Ketujuh, Angin Mambang Ketujuh, Angin Raja Bongsu, Angin Hulubalang atau Pendekar dan Angin Bersenang Pesakit (Hashim Awang:2007).

Pelbagai jenis mantera sama ada dalam bentuk pantun atau mantera biasanya bertujuan yang pertamanya untuk memanggil semangat dan yang keduanya untuk memanggil angin.

Bagi keempat-empat kelompok mentaliti masyarakat Melayu seperti yang diungkapkan di atas, konsep semangat dan angin adalah sama sahaja.

Konsep semangat tujuh ini juga hampir sama dalam mantera masyarakat Jawa. Tujuh bidadari itu adalah Tohok (tuak), Sulasih (air), kuranta (sayur mayur), tunjung biru (laut/garam), Wilotomo(daging/buah), supraba (padi) dan gagar mayang (minuman keras) (Jakob Sumardjo:2002) yang mengambil lambang-lambang dipersekitaran kehidupan mereka.

Ini sesuai dengan konsep perlambangan yang diambil dari alam keseluruhan, yakni gunung, laut, bukit bukau dan lambang-lambang dari flora dan fauna serta anatomi tubuh badan manusia itu sendiri.

Pada kebiasaanya, mantera (juga mantera dalam bentuk pantun) digunakan bagi memulihkan semangat pesakit yang telah dirasuk atau diserang hantu laut (puteri berselendang kuning) manakala hantu gunung (belantara) disebut puteri berselendang hijau:
Bismillah al-Rahman al-Rahim
Syeikh minat raja di kapal
Penjajah pengganti
Kecil besar, tua muda
Jantan betina, riuh rendah
Buta rengek, riuh pikuk
Jangan dikosek
Balik anak cucuku
Orang di hutan kita minta jauhkan diri
Orang di laut kita minta jauhkan diri
Orang di darat kita minta jauhkan diri
Orang di laut ada di darat
Diminta balik ke laut
(Hashim Awang:2007)
Dalam mantera Ulek Mayang, semangat pesakit dipanggil balik serta dipulihkan dengan istilah yang disebut angin bersenang pesakit, dengan ungkapan lemah lembut hantu laut (juga hantu hutan, gunung, belantara) yang merasuk atau mengusai pesakit, diminta kembali ke tempat asal diminta balik ke laut.

Kerasukan hantu ini dipercayai telah masuk ke dalam timun betek timun belulang (ke dalam diri) pesakit sehingga pesakit tidak sedarkan diri, meracau, berkelakuan aneh dan kadangkala tidak sedarkan diri.

Perkara ini terjadi mungkin kerana pesakit secara tidak sengaja telah memasuki ”wilayah” tempat tinggal penunggu laut atau gunung atau tidak menghormati pantang larang, misalnya kencing dalam laut.

Pesakit boleh dipulih dengan menghantar pulang hantu atau penunggu yang menumpang dalam dirinya.

Setelah segala-galanya dapat dikembalikan pulih seperti sediakala akan ada upacara lain iaitu mengirimkan ancak atau sesaji ke laut tanda terima kasih pesakit kepada semangat atau hantu laut.

Ulek Mayang Selepas Kedatangan Islam

Setelah kedatangan Islam, persembahan Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera.

Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit (Suzan Ahmad:2009).

Setiap olahan termasuk gerak tari dan susunan muzik dilakukan selaras dengan perkembangan zaman dan penerimaan masyarakat ketika ini.

Permainan Ulek Mayang dimainkan sekadar untuk hiburan, di mana ia melambangkan suatu pemujaan yang mendalam terhadap Puteri Tujuh Beradik.

Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.

Doa dan 'bangkitan' dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa sebarang kemalangan.

Lagu Ulek Mayang
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat
Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam
Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala
Nota: Puteri 2 maksudnya 2 orang puteri turun. Puteri 4 turunnya lagi 2 menjadikan 4 dan seterusnya hingga 1 puteri akhir turun menjadikan puteri 7.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Asal-usul Tarian Mak Yong

sumber: ceriteradimensi

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon