Thursday, April 07, 2022

Tiada Dalil Menyatakan Roh Akan Pulang Ketika Bulan Ramadhan


Prinsip mengutamakan dalil adalah "tulang belakang atau nyawa" agama yang wajib dijaga. Jika tulang ini patah atau bengkok, kesucian Islam akan tercemar dengan garapan manusia yang kuat berkhayal atau dipengaruhi anasir agama asing.

Roh pulang ketika Ramadhan

Disiplin "DALIL, NASS, HUJAH DAN FAKTA" adalah perjuangan para ulama semenjak zaman sahabat sehingga kiamat.

Malangnya, antara anasir agama asing yang sangat popular di kalangan orang Islam adalah kepercayan pulangnya roh orang yang sudah meninggal pada waktu tertentu seperti malam Jumaat dan bulan Ramadhan.

Tidak kurang juga kepercayaan "hantu" yang didakwa berasal dari roh si mati yang tidak selesai urusannya, lalu dia pulang ke dunia bagi menyelesaikan dendam atau keadilan buat dirinya yang terbantut.

Kepercayaan ini jelas bercanggah dengan keadilan mahkamah Allah di akhirat kelak. Orang mati mahu segera mendapat keadian tanpa perlu menunggu balasan akhirat!

Menjelang Ramadhan, tazkirah media sosial tentang "KEPULANGAN ROH PADA BULAN RAMADHAN" mulai dikongsi ramai tanpa fikir.

Tazkirah ini juga tidak disokong oleh nas atau dalil yang sahih. Ia disebar bagai ombak besar yang merempuh semua disiplin Islam.

Akibatnya, masyarakat awam yang tidak mengenal disiplin agama sekali lagi dirosakkan mindanya dengan cerita karut serta khurafat percutian roh pada bulan Ramadhan.

Sesetengah orang pula bermatian mempertahankan kepercayaan ini walau tanpa dalil. Semoga Allah memberikan mereka hidayah.

Roh manusia yang sudah mati "TIDAK BOLEH SAMA SEKALI" pulang ke dunia. Mereka tidak pulang pada malam Jumaat, tidak juga pada bulan Ramadhan atau pulang menuntut bela sebagai hantu.

Kepercayaan roh balik ke dunia bukan dari ajaran Islam. Ia adalah pengaruh agama asing.

Di sini saya berikan beberapa dalil, nas dan hujah bagi meruntuh dan meranapkan terus kepercayaan ini.

Biar kepercayaan karut warisan turun temurun ini hancur lebur dan mati tanpa kubur. Ini hujahnya.

1. Perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "ROH ITU DARI PERKARA URUSAN TUHANKU; DAN KAMU TIDAK DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA." (al-Isra' [17:85])

Sebarang bicara mengenai yang ghaib seperti roh wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan Hadith yang Sahih.

Fahamilah disiplin ilmu Islam melalui Firman Allah SWT ini yang maksudnya:

"Katakanlah lagi: “TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)." (al-Naml [27:65])

2. Allah menegaskan manusia yang mati akan terkurung dalam alam barzakh sehingga kiamat

Barzakh bermaksud "DINDING PEMISAH YANG MENGHALANG ROH SI MATI DARI KEMBALI KE DUNIA." (Tafsir al-Jalalayn)

Firman Allah yang maksudnya: "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, dia berkata: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja ucapkan, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding pemisah yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (al-mu'minun [23:99-100])

3. Nikmat yang diperolehi oleh roh orang beriman di alam barzakh jauh lebih besar dan lebih hebat. Apa perlunya mereka pulang ke dunia untuk melihat nikmat dunia yang sungguh biasa?

Jika dikata pulangnya mereka kerana mahu mengutip pahala hasil sedekah orang masjid atau anak cucu, maka kuasa Allah mengatasi segalanya. Kuasa-Nya merentas alam.

Doa yang dipanjatkan oleh keluarga roh si mati boleh terus disalurkan ke alam barzakh tanpa perlu mereka pulang ke dunia.

4. "ALLAH SENDIRI MENEGASKAN" roh si mati tidak boleh pulang ke dunia sebagaimana kisah kesedihan seorang sahabat bernama Jabir bin Abdullah r.a. yang kematian bapanya dalam perang Uhud

Bagi memujuknya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Mahukah aku khabarkan kepadamu berita gembira tentang ayahmu?" Aku (Jabir menjawab): "Ya! Wahai Rasulullah." Rasulullah SAW menyambung: "Allah tidak berbicara dengan sesiapapun secara terus melainkan di sebalik tabir. (Pun begitu) Allah menghidupkan ayahmu (di alam barzakh) lalu berbicara dengannya secara terus (berdepan tanpa perantara) seraya berkata: "Wahai hambaku! Pintalah (apa sahaja), pasti akan Aku tunaikan!" Ayahmu menjawab: "Wahai Tuhanku, hidupkan aku sekali lagi agar aku dapat mati (syahid) kerana (agama)Mu buat kali kedua." Allah menjawab: "(ITU TIDAK MUNGKIN BERLAKU KERANA) TELAH TETAP DARI (KEPUTUSANKU) bahawa sesungguhnya mereka (yang mati) tidak akan kembali lagi ke dunia." Rasulullah menyambung: "Berikutan itu Allah menurunkan ayat ini: "Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali 'Imran [3:169]) (Sunan al-Tirmidhi)

Situasi yang sama boleh difahami dari kisah lelaki soleh (bernama Habib al-Najjar) yang mati dibunuh dalam kisah surah Yasin.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui - "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan." (Yasin[36:26-27])

Beliau yang mati syahid ingin kembali ke dunia untuk menasihati kaumnya agar beriman kepada Allah, tetapi hasratnya dihalang.

Ini sebabnya beliau menggunakan lafaz "alangkah baiknya" kerana ia adalah harapan yang tidak mampu dicapai.

Walau berjela hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) diutarakan bagi menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil yang TIADA DISIPLIN ILMU ISLAM akan menyanggah dengan ayat "SERIBU GUNA" mereka iaitu: "IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MEMBEBASKAN ROH YANG BERIMAN PADA BULAN RAMADHAN ATAU MALAM JUMAAT UNTUK PULANG KE DUNIA."

Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya:

"Malam tadi saya didatangi Jibril a.s. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-'Alaq. Sejurus selepas itu saya DILANTIK SEBAGAI NABI akhir ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD SAW.

"Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah "SERIBU GUNA" saya: "IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD."

Inilah antara contoh "DISIPLIN CACA MARBA" dalam agama yang digunapakai oleh sesetengah orang jahil.

Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan Sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah.

Antara Sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.

Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi "agama secukup rasa" yang bergantung kepada penganutnya.

Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya.

Jika ini disiplin memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: catatantauhidsunnah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon