Wednesday, May 13, 2020

Adakah Sah Bayar Zakat Tanpa Akad Ijab Dan Qabul?


Zakat merupakan ibadah wajib dan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan pada tahun ke-2 hijrah, sepertimana hadis daripada Ibnu Umar r.a. yang maksudnya: "Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah iaitu satu gantang tamar atau satu gantang sya'ir pada bulan Ramadhan ke atas setiap orang Islam, sama ada yang bebas atau hamba lelaki atau perempuan." Hadis Muslim: (984)

Sah bayar zakat online

Para Fuqaha' menjelaskan, bahawa zakat merupakan sedekah yang wajib. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang maksudnya: "Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, 103)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha' berpendapat, yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat: Tafsir al-Wasit li Zuhaili: 1/913)

Begitu juga yang terdapat di dalam al-Mausu'’ah al-Fiqhiyyah menyatakan bahawa sedekah yang difardhukan di sisi syara' ke atas harta iaitu zakat harta. Sedekah yang diwajibkan ke atas anggota badan iaitu zakat fitrah. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaituyyah, 26/325)

Syarat Wajib dan Sah Zakat

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa syarat-syarat mengeluarkan zakat terdapat syarat wajib dan sah.

Oleh itu, diwajibkan ke atas seorang muslim yang merdeka, baligh, berakal, pemilikan harta yang cukup bilangannya (Nisab) dan cukup tempohnya (Haulnya) serta sah pemberian zakat dengan sekadar berniat bagi tertunai kewajipannya. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796)

Berniat merupakan penentuan sesuatu perkara itu sebagai ibadah dan ia membezakannya di antara ibadah-ibadah yang lain seperti zakat dan kafarah.

Ini sepertimana hadis daripada Saidina Umar al-Khattab r.a. Sabda Nabi SAW yang maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap perkara akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya." Hadis Riwayat Muslim (1907)

Mengikut pandangan Mazhab Imam Syafi'e, wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata seperti contoh, "Ini Zakat harta" walaupun tanpa berniat fardhu, ini kerana membayar zakat merupakan suatu kewajipan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

Imam Nawawi berpendapat sedekah sama hukumnya dengan hadiah, dan ia tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul. Cukup sekadar penyerahan dan penerimaan barang dan pendapat ini merupakan pendapat yang sahih di dalam mazhab Imam Syafi’e serta telah di naqalkan oleh fuqaha’ mazhab muta’akhirin. (Lihat: Raudah al-Thalibin,5/365-366)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan keterangan yang diberikan, pembayaran zakat sah sekiranya tidak disertakan akad ijab dan qabul.

Dan ini kerana syarat sah pemberian zakat adalah berniat dan mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta penyerahan dan penerimaan barang.

Namun, tidak menjadi sebarang masalah sekiranya melakukan akad ijab dan qabul bagi memastikan tujuan dan matlamat pemberian zakat itu tercapai. Justeru pemberian zakat memerlukan keredhaan dan keikhlasan demi mendapat keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Baiyyinah, 5)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon