Friday, October 11, 2019

Etnik Uyghur: Asal-usul, Identiti Dan Sejarah


Isu dan persoalan berkaitan masyarakat Uyghur di China hampir setiap hari dikongsikan oleh pelbagai pihak dan media, berkenaan seksaan serta tekanan yang berlaku ke atas mereka. Ada juga yang berkata bahawa semua itu hanyalah mitos dan rekaan pihak barat, yang berusaha mahu memburukkan kerajaan China.

Etnik Uyghur

Artikel ini bukanlah untuk membincangkan berkenaan isu tersebut, tetapi untuk menjelaskan serba sedikit berkenaan asal-usul, salasilah dan identiti masyarakat Uyghur yang kini diberikan perhatian dunia.

Selepas membaca artikel ini, sekurang-kurangnya anda akan lebih jelas mengapa mereka boleh berada dalam situasi yang melanda mereka ketika ini.

Siapa masyarakat Uyghur?

Istilah 'Uyghur' membawa makna penyatuan atau kerjasama. Diambil daripada perkataan Turki dan cara menyebut perkataan 'Uyghur' adalah 'OY-Ghur'.

Sejarah orang Uyghur sebenarnya sangat panjang, dengan rekod pertama Uyghur dicatatkan buat kali pertama 17,000 tahun dahulu dengan kewujudan Empayar Uyghur di kawasan daerah Mu.

Masyarakat Uyghur melalui empat fasa besar dalam sejarah mereka dengan semua catatan boleh dibahagikan kepada zaman atau era tersebut;

Zaman pra empayar yang berlaku sekitar 300BC hingga tahun 630, zaman empayar yang berlangsung bermula tahun 630 hingga 840, zaman Idiqut atau Qocho yang bermakna 'zaman kekayaan agung' sekitar tahun 840 hingga 1200 dan yang terakhir adalah zaman Mongol bermula tahun 1209 hingga 1600.

Era kegemilangan orang Uyghur boleh dikatakan berakhir semasa penjajahan orang Mongol.

Selepas terkuburnya populariti Jalan Sutera (Silk Road) di China yang dijadikan laluan perdagangan utama ketika itu, masyarakat Uyghur mula hilang pengaruh terhadap ekonomi dan pemerintahan zaman tersebut.

Penjajahan oleh Dinasti Qing

Selepas kejatuhan tamadun awal mereka, orang Uyghur berjaya membentuk sebuah negara bernama Turkistan Timur, sebuah negara merdeka yang berkembang naik, namun kedatangan Dinasti Qing menjajah mereka seterusnya melumpuhkan negara tersebut. Ini berlaku pada tahun 1876.

Penentangan masyarakat setempat selama 8 tahun gagal menghalang kawasan mereka daripada diambil alih dan wilayah itu diisytiharkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada wilayah Empayar Manchu pada 18 November 1884, dinamakan semula sebagai 'Xinjiang' yang bermakna 'Wilayah Baru' atau 'New Frontier.'

Kejayaan Parti Nasionalis China menjatuhkan Empayar Manchu pada tahun 1911 menyebabkan wilayah tersebut betukar tangan, jatuh ke tangan kerajaan China.

Selepas lebih 20 tahun, pemberontakan orang Uyghur dimulakan kembali pada tahun 1933 menerusi penubuhan Republik Islam Turkistan Timur, melalui revolusi yang berlaku dengan bantuan tentera Russia.

Pada tahun 1944, orang Uyghur sekali lagi berjaya merampas kembali wilayah asal mereka di kawasan Ghulja membawa kepada penubuhan kerajaan republik, bebas daripada kawalan kerajaan China.

Perjuangan memerdekakan Turkestan Timur

Kerajaan China tidak berdiam diri melihat saja pemberontakan yang berlaku. Mereka mengambil keputusan menceroboh dan menjajah Xinjiang - merampas semula kuasa daripada kerajaan campuran masyarakat Uyghur yang dibentuk sejak tahun 1946.

Walaupun diberikan autonomi oleh kerajaan China dalam memastikan pemberontakan lebih besar tidak berlaku, sehingga kini masyarakat yang mendiami Xinjiang tetap mahu menubuhkan negara mereka sendiri.

Impian mereka mahu menubuhkan kembali Turkistan Timur atau 'Uyghurstan,' meliputi seluruh kawasan Xinjiang dengan perancangan mahu menjadikan Urumqi sebagai ibu negara mereka.

Nama 'Xinjiang' yang digunakan sebagai nama wilayah tempat mereka tinggal juga dibantah, berikutan elemen budaya Cina yang ada pada nama tersebut tidak mencerminkan identiti sebenar masyarakat mereka.

Makna penuh perkataan Xinjiang yang sebenarnya bermaksud 'sebuah wilayah yang dipulangkan pada negara asalnya' - dikatakan menghina masyarakat asal wilayah tersebut.

Wilayah Xinjiang ketika ini merupakan wilayah yang diberikan autonomi terbesar di China menempatkan masyarakat berbilang kaum seperti orang Uyghur, Han, Kazakhs, Tibet, Kyrgyz, Mongol dan juga Rusia.

Budaya orang Uyghur

Dalam sejarahnya yang panjang, orang Uyghur telah melalui pelbagai perubahan khasnya daripada segi agama.

Pada awalnya mereka menganut kepercayaan seperti ajaran Shaman, Maniche, Kristian, Buddha dan akhirnya secara majoriti menerima ajaran dan cara hidup Islam.

Kerajaan Uyghur secara rasminya menamakan Islam sebagai agama rasmi sejak tahun 960 semasa pemerintahan Sultan Sutuq Bughra Khan.

Berikutan perubahan itu, masyarakat Uyghur mula mengamalkan sistem tulisan Arab bagi menulis bahasa mereka.

Bagaimanapun, perubahan menyeluruh masyarakat Uyghur memeluk Islam mengambil masa beratus tahun lamanya - dengan hanya pada tahun 1450 orang Uyghur secara majoritinya memeluk Islam.

Di bawah pemerintahan kerajaan China sekarang, dikatakan bantahan mula timbul berikutan kedatangan orang Han ke dalam wilayah itu, yang setakat ini mewakili 40 peratus jumlah penduduk Xinjiang.

Perkara itu dilihat seperti cuba melemahkan pengaruh penduduk asal ke atas tanah mereka sendiri.

Projek-projek pembinaan yang dilakukan juga mengubah sistem sosial masyarakat Uyghur, dengan orang-orang Han mendominasi ekonomi; memegang jawatan-jawatan penting dalam industri sehingga mengakibatkan orang Uyghur tidak mendapat tempat dalam mencorak wilayah mereka sendiri.

Aktviti agama Islam juga mula dikawal pihak berkuasa walaupun mereka mempunyai autonomi. Pembinaan masjid dan sekolah agama perlu mendapat kebenaran khas kerajaan China.

Pada tahun 2014, kerajaan tempatan Xinjiang mengumumkan larangan kepada mana-mana penjawat awam Muslim daripada berpuasa semasa bulan Ramadan.

Tekanan demi tekanan yang dihadapi memaksa kumpulan pemisah yang dinamakan sebagai Gerakan Islam Turkistan Timur mengambil langkah lebih agresif menentang kerajaan China.

Kerajaan China pula nampaknya seakan-akan tidak lagi mampu bersabar dengan ancaman yang dibawa bangsa yang satu masa dahulu - berupaya menubuhkan sebuah empayar besar dan disegani dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon