Friday, July 19, 2019

Pakar Mampu 'Mengetahui' Tahap Kesihatan Anda Melalui Penggunaan Perkataan Di Status Facebook


Peranan Facebook nampaknya bukan lagi sekadar untuk bersosial bersama rakan, kerana siapa sangka kini ia boleh dijadikan medium oleh pakar kesihatan untuk menjalankan kaji selidik tentang tahap kesihatan seseorang.

Kesihatan melalui Facebook

Menerusi kajian dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Pennsylvania dan Universiti Stony Brook, mereka mengkaji lebih 20 juta perkataan yang digunakan oleh 999 responden menerusi sejarah catatan (posting) di laman sosial itu bagi mengetahui penyakit dihidapi mereka.

Kesemua responden itu juga turut membuat pautan data rekod perubatan elektronik dengan Facebook masing-masing namun informasi mengenainya tidak dapat diakses secara terbuka oleh kenalan mereka.

Menerusi Facebook, pengkaji boleh mengetahui sama ada anda mempunyai masalah mental atau pun tidak.

Para pengkaji membina tiga model untuk menganalisa sama ada posting yang dibuat mampu memberi maklumat mengenai masalah kesihatan yang dialami mereka menerusi 21 kategori penyakit.

Salah satu model itu menganalisa penggunaan bahasa digunakan pemilik profil menerusi status yang ditulis, manakala yang lain bagi mengasingkan demografi serta umur dan jantina mereka.

Hasilnya yang diterbitkan menerusi jurnal Plos One menunjukkan semua 21 masalah kesihatan yang disenaraikan boleh dijangka hanya menggunakan Facebook.

Malah, data Facebook adalah lebih baik dalam menganalisis 10 jenis penyakit mengikut informasi demografi seperti darah tinggi, diabetes termasuk kesihatan mental.

Penggunaan perkataan oleh pengguna di status juga sudah cukup untuk menggambarkan masalah kesihatan tertentu seperti contoh apabila kerap menggunakan perkataan 'minum' dan 'botol' - ia adalah tanda jelas seseorang itu mempunyai masalah alkohol.

Facebook bukan sahaja medium untuk bersosial tetapi tempat 'permainan' penyelidik.

Bagi yang sering menggunakan perkataan bersifat keagamaan seperti 'tuhan' dan 'doa' ia menunjukkan mereka mempunyai masalah diabetes.

Penggunaan perkataan kasar seperti 'bodoh' atau ayat mencarut yang lain di laman sosial, memberi gambaran bahawa pemilik profil itu seorang penagih dadah atau mempunyai masalah mental.

Bagaimanapun, menurut Dr Andrew Schwartz, kajian itu masih di peringkat awal namun kaitan di antara penggunaan bahasa dan penyakit tertentu sangat berkait rapat.

Dari sudut positif, kajian ini diharap dapat membantu sesiapa sahaja yang mungkin tidak menyedari mereka sedang berdepan dengan masalah atau penyakit berbahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon