Khamis, April 04, 2019

#Hari Pertama Perbicaraan SRC Najib Razak


Loading...

Pendengaran jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dijadual bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 2 petang 3 April 2019, yang mana Najib berdepan perbicaraan untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana RM42 juta SRC.

Najib Razak SRC

SRC ialah bekas anak syarikat syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB. Ahli politik 65 tahun itu sebelum itu turut menjadi menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC. Beliau turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM42 juta.

Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Perbicaraan dijadual berlangsung dengan Peguan Negara Tommy Thomas menyampaikan kenyataan pembukaan.

Najib diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam jenayah terkemuka Muhammad Shafee Abdullah.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB;
  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

1.25pm

Luar mahkamah – Sekumpulan penyokong Najib sudah berkumpul di luar mahkamah.

1.45pm

Luar mahkamah: Peguam negara masuk ke bilik mahkamah nombor tiga.

Tommy Thomas mengetuai pasukan 12 pendakwa raya.

Mereka ialah Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusof, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril dan Muhammad Izzat Fauzan.

Di sebelah Najib, terdapat peguam baru dalam pasukan itu, iaitu bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden.

Mohd Yusof pernah menjadi peguam Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes Liwat II.

Anggota lain pasukan pembelaan ialah: Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, dan Zahria Elena Redza.

Petugas media juga telah bersedia.

1.55pm

Ditemanani anaknya Ashman dan beberapa pembantu, Najib melangkah masuk ke dalam mahkamah.

Beliau berpakaian rasmi dengan dasi dan tali leher gelap dan kelihatan tenang.

2.00pm

Penyokong kuat Najib, Lokman Noor turut hadir memberi sokongan pada Najib,

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu memberitahu pemberita bahawa pertuduhan terhadap Najib sebagai “pertuduhan terpilih”.

2.07pm

Najib memasuki kandang tertuduh.

Tommy Thomas dan Muhammad Shafee Abdullah masing-masing telah mengambil tempat.

2.10pm

Prosiding bermula dengan peguam negara memperkenalkan barisan pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Beliau memberitahu hakim bahawa pihak pendakwaan sudah bersedia dengan kenyataan pembukaan mereka.

Bagaimanapun, pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mereka telah memfailkan sijil perakuan segera pagi ini dan memohon mahkamah mempertimbang untuk menangguhkan pendengaran.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan mencabar kesahan pertuduhan terhadap Najib.

Yusof Zainal Abiden akan membentangkan kenapa tindakan itu perlu dibuat sebelum perbicaraan berlangsung.

Thomas berkata pihaknya tiada bantahan.

Sementara itu, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown turut hadir mengikuti perbicaraan.

Beliau berharap menjadi antara orang pertama melihat bagaimanapun pihak pendakwaan membawa kes itu.

2.30pm

Sekumpulan wanita Melayu berbaju merah biru yang berkumpul di kompleks mahkamah melaungkan perkataan “Bossku” berkali-kali.

Memperkenalkan diri mereka sebagai “orang Pekan”, mereka percaya Najib tidak bersalah dan “tahu dia (Najib) orang macam mana”.

2.50pm

Thomas berhujah, pasukan pembelaan mempunyai masa cukup untuk mencabar pertuduhan terhadap Najib.

Katanya tiada sebab untuk usul supaya pertuduhan dibuat di saat-saat akhir.

Thomas menyifatkan tindakan pembelaan membawa perkara itu sekarang sebagai “menghina kebijaksanaan”:

“Mereka ada berbulan-bulan untuk buat perkara ini,” katanya.

Peguam pembelaan Harvinderjit Singh dan Yusof kemudian berhujah kenapa perbicaraan patut ditangguhkan.

Hakim memutuskan akan akan menetapkan satu tarikh lain untuk mendengar permohonan pasukan pembelaan pagi tadi.

Nazlan mengarahkan perbicaraan bermula.

3.15pm

Dalam ucapan pembukaannya, Thomas memperincikan insiden yang Najib didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ia melibatkan transaksi melibatkan akaun Ambank beliau dan pemindahan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).

Thomas juga berkata mereka juga akan membuktikan bahawa pada Disember 2014, kad kredit telah dicaj AS$130,625 untuk perbelanjaan kedai fesyen eksklusif Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat (AS).

Katanya cek peribadi juga dikeluarkan untuk, antaranya, kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya di Kuala Lumpur dan Pekan Pahang, serta cek untuk parti-parti komponen BN.

3.24pm

Pihak pendakwaan memanggil saksi pertama, Muhamad Akmaludin Abdullah. Individu 35 tahun itu bertugas sebagai penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mohd Akmaludin memberitahu dia menerima permohonan SPRM untuk menyemak rekod tiga buah syarikat, iaitu SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Dia mendedahkan butiran syarikat berkenaan kepada mahkamah.

4.20pm

Clare Rewcastle-Brown meninggalkan kawasan mahkamah dan memberitahu media dia akan terus memantau perbicaraan ini dari jauh dan akan datang ke mahkamah untuk pendengaran.

Jelas Clare, dia dapat masuk ke bilik tayangan video untuk menyaksikan perbicaraan berkenaan dan mendapati ia menarik.

"Gembira apabila melihat perbicaraan itu akhirnya diteruskan dan saya tahu ada ramai orang yang sangat gelisah akan terjejas dengan perkembangan ini, yang tertanya jika perbicaraan ini akan diteruskan.

"Sekarang kita melihat ia diteruskan. Kita sedia melihat keadilan dilakukan dengan perbicaraan yang wajar," kata Clare.

Clare juga memaklumkan bahawa dia akan terus menumpukan usahanya berhubung isu penjarahan hutan yang kini berlaku di Borneo.

Selepas Clare meninggalkan mahkamah, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai "Sofian Putra" memimpin sekumpulan kecil penyokong Najib melaungkan slogan "Allahuakbar Takbir" dan "Tolak Media Asing".

Mereka kemudian dihentikan oleh beberapa anggota polis yang meminta mereka tidak berbuat bising di mahkamah.

Ketika dihampiri, Sofian Putra memberitahu pemberita bahawa dia berpendapat media asing tidak dialu-alukan kerana menyebabkan "orang Melayu bergaduh dengan orang Melayu", selain mendakwa media asing sebagai "penipu".

4.44pm

Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh memulakan soal balas ke atas saksi pertama pendakwaan selepas timbalan pendakwa raya Manoj Kurup selesai menyerahkan dokumen kepada mahkamah dan meminta Akmaludin mengesahkan rekod asal SSM yang diserahkan.

Harvinder memulakan soal balas dengan bertanya Akmaludin untuk mendapatkan senarai dokumen dalam rekod SSM berkaitan SRC dan syarikat bernama Yayasan Rakyat 1Malaysia.

"Untuk syarikat ini, saya perlukan carian syarikat dan semua maklumat berhubung semua pengarah pernah dilantik sejak ia diperbadankan sehingga hari ini," katanya.

Harvinderjit kemudian menyoal Akmaludin berhubung pengetahuannya tentang penyerahan dokumen syarikat kepada SSM.

5.36pm

Hari pertama perbicaraan Najib menutup tirai. Hakim Nazlan menetapkan 15 April hingga 10 Mei untuk perbicaraan disambung semula. Jelas hakim, keutamaan perlu diberikan kerana mengambil kira minat orang ramai berhubung kes ini.

SRC INTERNATIONAL MEMPUNYAI MODAL TERBITAN RM1 JUTA - Pendaftar SSM

Peguam Perbicaraan SRC

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa syarikat SRC International Sdn Bhd yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 7 Jan 2011, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 juta.

Penolong Pendaftar SSM Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata syarikat persendirian yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 928868-V turut melantik beberapa individu termasuk Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yassin sebagai pengarah SRC International.

"Bagaimanapun, Che Abdullah@Rashidi Che Omar dilantik sebagai pengarah pada 22 Ogos 2011," katanya semasa membacakan penyataan saksinya.

Muhamad Akmaludin, yang bertugas di Unit Pengurusan Akaun Pengguna Bahagian Pemasaran dan Pembangunan SSM turut memaklumkan pada 7 Jan 2011, SRC mempunyai dua unit saham, masing-masing dipegang oleh Nik Faisal dan Vincent Beng Huat Koh yang mana setiap unit saham itu bernilai 100 sen.

"Semakan terhadap pemegang syer juga mendapati semua 1 juta syer dipegang oleh Menteri Kewangan (diperbadankan). Malah, maklumat gadaian juga menunjukkan terdapat tiga gadaian dengan jumlah cagaran tidak dinyatakan," katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, saksi itu turut mengesahkan beberapa dokumen asal berhubung pendaftaran syarikat SRC dengan SSM.

Beliau juga mengesahkan dokumen pendaftaran syarikat lain yang akan dirujuk pada perbicaraan kes itu antaranya syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Terdahulu semasa membacakan penyataan saksinya, Muhamad Akmaludin berkata modal terbitan SRC adalah RM1 bilion, bagaimanapun beliau telah membetulkan jumlah itu kepada RM1 juta.

Ditanya Manoj, bagaimana beliau memperoleh jumlah RM1 juta, saksi itu berkata ianya berdasarkan salah satu borang syarikat yang menyatakan nilai sebenar modal itu adalah RM1 juta.

Manoj: Adakah jumlah RM1 bilion itu betul?
Muhamad Akmaludin: Tidak

Manoj: Apa jumlah sebenar?
Muhamad Akmaludin: RM1 juta

Semasa pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib berhubung bidang tugasnya, saksi itu memaklumkan tugasnya adalah membekalkan dokumen berkenaan syarikat kepada agensi kerajaan dan orang awam.

Harvinderjit: Berapa lama kamu bekerja di SSM?
Muhamad Akmaluddin: Saya mula berkerja di SSM pada 2007.

Harvinderjit: Adakah kamu tahu tentang pemfailan atau penyerahan dokumen kepada SSM?
Muhamad Akmaludin: Sekadar tahu.

Harvinderjit juga turut meminta saksi berkenaan supaya membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan buxtir-butir semua pengarah yang pernah memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat itu dan Muhamad Akmalaudin menjawab,"boleh".

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu sebelum mahkamah menetapkan tarikhnya, Thomas mencadangkan supaya perbicaraan disambung pada 15 April atau pada mana-mana tarikh bebas di mana mahkamah memiliki ruang masa bagi tujuan itu.

Muhammad Shafee kemudiannya membacakan jadualnya yang ketat pada bulan April dan memaklumkan bahawa beliau ada beberapa kes di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang tidak boleh ditangguhkan.

“Diari saya ditulis dengan dakwat hitam dan merah, tapi banyak dalam dakwat merah yang bermakna kes-kes ini tidak boleh ditangguh,” katanya, yang mencetuskan gelak ketawa orang ramai dalam mahkamah.

Beliau berkata Peguam Negara tidak seharusnya meminta mahkamah menetapkan satu tarikh yang dia sendiri (Thomas) boleh hadiri, tetapi ia tidak dapat dihadiri oleh pasukan pembelaan.

“Peguam Negara seharusnya lebih tahu, kerana sebelum dia menjadi Peguam Negara, dia juga adalah peguam biasa,” kata Muhammad Shafee.

Thomas kemudiannya bangun dan berkata “Ya, saya adalah pengamal undang-undang yang tidak pernah meminta sebarang penangguhan.”

Najib guna dana SRC International untuk belanja di Hawaii, ubah suai rumah - Peguam Negara

Pihak pendakwa raya akan cuba membuktikan bahawa sebahagian daripada sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah digunakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan peribadi, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Sewaktu membacakan ucapan pembukaan pendakwaan di bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah 3 hari ini, Thomas berkata, bukti pendakwaan akan menunjukkan Najib telah mengeluarkan sejumlah 15 cek dari akaun peribadi beliau bernilai RM10,776,514.00.

Selain itu, turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah USD130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, di Pekan, Pahang.

Selain itu, beberapa cek juga didakwa dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu untuk parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional.

“Beban pendakwaan kini terletak di atas pasukan pendakwaraya untuk membuktikan, melampaui keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh Mohd Najib bin Haji Abd Razak adalah bersalah terhadap setiap tuduhan ke atasnya dalam perbicaraan ini,” kata Thomas sewaktu menutup ucapannya.

Bekas pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Kesemua tuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dan Najib mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan untuk kesemua tuduhan.

Saksi pendakwa raya yang pertama dipanggil ialah penolong pendaftar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaluddin Abdullah, 35.

Selepas mengangkat sumpah, Muhamad Akmaluddin membacakan semula keterangan saksi di mana beliau mengaku telah diminta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa rekod tiga syarikat melalui pangkalan data SSM - SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Muhamad Akmaluddin berkata, SRC International merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB dengan modal permulaan RM1 juta, Gandingan Mentari pula subsidiari SRC International dengan modal permulaan RM1,000, manakala Ihsan Perdana merupakan menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk Yayasan 1MDB dengan modal permulaan RM2.

Terdahulu, Thomas berkata pasukan pendakwaan akan cuba membuktikan dana RM42 juta dari SRC International telah melalui kedua-dua anak syarikat ini sebelum dipindahkan ke akaun peribadi milik Najib.

Beliau juga berkata, Najib ketika itu telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selain Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB serta penasihat Emeritus SRC International untuk melakukan perbuatan itu.

Hari pertama perbicaraan Najib tamat, akan disambung pada 15 April 2019.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon