Monday, April 22, 2019

Apa Itu Projek Bandar Malaysia?


Bandar Malaysia ialah nama bagi sebuah projek hartanah dengan kerjasama antara Malaysia-China yang terletak di kawasan yang lebih dikenali dengan nama Lapangan Terbang Sungai Besi, yang sepatutnya dibangunkan oleh 1MDB namun tidak pernah dimulakan.

Projek Bandar Malaysia diteruskan

Tarikan utama projek tersebut adalah pembinaan hub pengangkutan berintegrasi yang sepatutnya menjadi salah satu stesen yang terletak di paling utara Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dimansuhkan buat masa ini.

Antara rancangan lain untuk projek berkeluasan 486 ekar itu termasuklah pembinaan fasiliti perniagaan, pelancongan dan unit kediaman.

Apa peranan 1MDB dalam projek tersebut?

1MDB, sebuah syarikat yang sepenuhnya dimiliki oleh Kementerian Kewangan, membeli tanah untuk projek tersebut daripada kerajaan pusat pada 2011.

Harga pembelian tanah tersebut ialah RM1.7 bilion (RM74 per meter persegi) dan dalam perjanjian, 1MDB bertanggungjawab menempatkan semula pangkalan udara Sungai Besi ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Susulan perjanjian tersebut, 1MDB menjual 60 peratus kepentingannya dalam projek Bandar Malaysia kepada ICSB, sebuah syarikat usaha sama antara syarikat Malaysia, Iskandar Waterfront Holding (IWH) dengan China Railway Engineering Corporation (CREC) dari China.

ICSB memenangi bidaan tersebut melalui proses tender terbuka antarabangsa.

IWH pula merupakan syarikat usaha sama antara sebuah syarikat swasta Credence Resources Sdn Bhd (60 peratus) dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (40 peratus) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.

Kenapa projek itu tidak dimulakan?

ICSB tidak melangsaikan pembayaran untuk 60 peratus kepentingan yang dimilikinya. Ekoran itu, 1MDB, melalui anak syarikatnya TRX City pada masa itu, mendakwa perjanjian telah pun luput.

ICSB menyanggah dakwaan tersebut, bagaimanapun ICSB tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang. Deposit ICSB sebanyak RM741 juta dipulangkan kepada mereka.

Apa yang peliknya, TRX City Sdn Bhd mengumumkan bahawa perjanjian itu dibatalkan pada 3 Mei 2017, pada hari yang sama perdana menteri merangkap pengerusi lembaga penasihat 1MDB, Najib Razak dijadualkan melawat Bandar Malaysia.

Siapa bertanggungjawab dalam perjanjian tersebut?

Secara teknikal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy sepatutnya bertanggungjawab. Dia merupakan pengerusi Bandar Malaysia merangkap pengarah TRX City Sdn Bhd.

Selepas perjanjian dengan ICSB tidak berjaya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu Mohd Irwan Serigar Abdullah menjadi jurucakap utama untuk projek Bandar Malaysia.

Pada ketika itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat spekulasi bahawa Arul dan Irwan saling bersaing dalam menentukan siapa yang mampu mengatur perjanjian terbaik bagi projek Bandar Malaysia.

Irwan kemudiannya berjanji bahawa pelabur baru akan mengambil alih kepentingan ICSB.

Menurut Irwan, Putrajaya pada ketika itu sedang mengintai syarikat gergasi dalam senarai Fortune 500.

Dua minggu selepas perjanjian dengan ICSB gagal, Najib secara peribadi cuba melobi sebuah konglomerat dari China, Dalian Wanda, sebuah syarikat dalam senarai Fortune 500, untuk melabur dalam Bandar Malaysia.

Cubaan itu tidak berjaya dan projek Bandar Malaysia yang diberi jolokan ‘pemangkin ekonomi’ oleh pentadbiran Najib, terbengkalai dalam diam.

Kenapa ICSB bagus untuk projek ini sekarang?

Menurut Pejabat Perdana Menteri, ICSB komited untuk membuat bayaran pendahuluan RM500 juta selain RM741 juta bayaran deposit.

Bayaran itu akan dilangsaikan dalam masa 60 hari selepas kerajaan mengumumkan akan meneruskan semula projek tersebut.

Terdapat juga beberapa perubahan dalam projek tersebut, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pelan baru akan turut melibatkan ‘taman rakyat’, 10,000 rumah mampu milik (berbanding 5,000 sebelum ini), serta keutamaan terhadap penyertaan bumiputera dan pembekal tempatan.

Apa kata Najib sekarang apabila projek ini diteruskan semula?

Najib mendakwa perkembangan ini sebagai ‘pusingan U’ kerana PH sebelum ini membangkang projek tersebut, tetapi akhirnya menyambung semula apa yang dimulakan oleh pentadbirannya.

Dakwanya, semua pihak terlibat dalam projek tersebut kekal sama, begitu juga dengan terma perjanjiannya.

Bagaimanapun, dakwaan tentang ‘terma yang sama’ itu tidak dapat disahkan kerana setakat ini, tidak dapat dipastikan bahawa Putrajaya menggunakan pelan yang sama dengan pentadbiran Najib dahulu.

Benarkah PH membantah projek Bandar Malaysia?

Kritikan PH sebelum ini lebih banyak ditujukan kepada pentadbiran Najib kerana membenarkan 1MDB berhutang sehingga RM42 bilion.

Bagaimanapun, sebahagian perkara yang dibangkitkan dalam kempen PH terhadap Najib pada masa itu turut berkisar tentang penglibatan China dalam skandal 1MDB.

Seperti projek TRX, Bandar Malaysia terpalit dengan skandal 1MDB kerana ia bertujuan menjual tanah negara untuk menjana wang bagi membayar hutang 1MDB.

Sesetengah pemimpin PH mengkritik pentadbiran Najib kerana penglibatan CREC dalam projek Bandar Malaysia, tidak lama selepas anak syarikat 1MDB, Edra Global Energy dijual kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik China, iaitu China General Nuclear Power Corporation.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon