Wednesday, March 27, 2019

10 Kesalahan Yahoo Yang Menjadi Punca Kejatuhan Peneraju Internet Terawal Ini


Yahoo selaku ikon internet terawal mengumumkan penjualan perniagaan utamanya pada harga USD$4.8 bilion kepada Verizon pada tahun 2016 lepas dan sejak itu, portal web tersebut mempunyai pendapatan lebih tinggi dari Twitter dan LinkedIn.

Punca kegagalan Yahoo

Jumlah pelawatnya juga melebihi Amazon, Wikipedia dan eBay. Jadi, dimana silapnya empayar ini sehingga zaman kegemilangannya boleh berakhir begitu sahaja?

Inilah 10 kesalahan Yahoo yang menjadi punca kepada zaman kejatuhan enjin carian ini, dimana ia pernah menjadi kesayangan ramai suatu ketika dahulu.

1. Kehilangan Google

Pada tahun 2002, Yahoo berpeluang untuk memperoleh Google apabila Sergey Brin dan Larry Page mahu menjualnya dengan harga $1 bilion.

Namun, apabila ketua eksekutif Yahoo pada ketika itu, Terry Semel berfikir untuk menerima tawaran tersebut, harga jualannya telah dinaikkan kepada $3 bilion.

Menurut Paul Graham selaku pengasas Y Combinator dan bekas pekerja, Yahoo menolak 'tuah' yang boleh menjadi bahagian penting perniagaan mereka pada waktu itu.

2. Tidak mengembangkan Flickr

Sebelum adanya Facebook, Instagram dan Google Photo, Flickr sebenarnya telah wujud terlebih dahulu sebagai sebuah laman web perkongsian foto yang dibeli oleh Yahoo pada tahun 2005.

Pada masa itu, Flickr mempunyai perancangan untuk menjadikan laman web berkenaan sebagai sebuah rangkaian sosial tetapi, Yahoo melepaskan peluang keemasan ini dan menguruskan laman web mereka secara salah sehingga tidak mempunyai matlamat yang jelas.

Selain itu, Yahoo turut pernah melakukan kesilapan yang sama terhadap laman-laman web milik mereka seperti GeoCities, Delicious dan paling terbaru ialah Tumblr.

3. Tidak membeli Facebook

Pada tahun 2006, Yahoo bercadang untuk mengambil alih Facebook dengan tawaran harga $1 bliion. Mark Zuckerberg bagaimanapun menolak tawaran tersebut.

Menurut laporan, Facebook mungkin akan memaksa Mark Zuckerberg untuk menjual syarikat mereka kepada Yahoo, sekiranya tawaran itu dinaikkan kepada harga $1.1 bilion. Bagaimanapun, Terry Semel enggan melakukan perkara tersebut.

4. Menolak tawaran Microsoft

Pada tahun 2008, Yahoo sekali lagi mensia-siakan tawaran untuk diambil alih oleh syarikat gergasi, Microsoft dengan nilai $44.6 bilion.

Pengarah Microsoft pada ketika itu, Steve Ballmer berusaha keras untuk meyakinkan Yahoo untuk menjualnya kepada Microsoft namun, Yahoo memberikan alasan tawaran harga yang diberikan terlalu rendah.

Setahun selepas itu, Yahoo berputus asa untuk mencipta enjin carian sendiri dan menandatangani perjanjian bagi menggunakan Bing kepunyaan Microsoft.

5. Mempunyai barisan pengarah eksekutif yang teruk

Bagi melawan kemerosotan seperti dialami oleh Yahoo, kepimpinan yang kuat telah membantu syarikat-syarikat teknologi lain yang sedang bergolak. Antaranya seperti Apple (Steve Jobs), Microsoft (Satya Nadella) dan Google (Eric Schmidt).

Akan tetapi, Yahoo gagal melantik pengarah eksekutif yang boleh mengatasi masalah tersebut dengan baik.

Ramai orang menganggap Terry Semel sebagai salah seorang pengarah eksekutif teknologi yang paling teruk, manakala Carol Bartz yang bermulut cabul 'memenangi' segelintir rakannya. Scott Thompson pula meletak jawatan tatkala didakwa berbohong dengan resumenya.

6. Pengunduran Jerry Yang

Pengasas bersama Yahoo, Jerry Yang melangkah keluar dari syarikat itu pada tahun 2012 untuk mengejar minatnya yang lain. Perletakan jawatan itu merupakan suatu kehilangan besar buat Yahoo.

Ini kerana Jerry Yang merupakan penggerak hala tuju Yahoo dan mereka mempunyai kepimpinan serta wawasan yang jelas kerana merupakan pengasas awal.

7. Marissa Mayer salah buat percaturan

Ternyata jutaan dolar milik Yahoo, hasil daripada saham dalam syarikat gergasi, Alibaba belum tentu menjanjikan masa depan yang cerah.

Bekas prodigi Google, Marissa Mayer gagal mengemudi Yahoo selepas pelantikannya pada tahun 2012 maka, keuntungan Yahoo terus jatuh, biarpun setelah pelbagai usaha dilakukan seperti membeli laman web blog sosial Tumblr, mengupah wartawan yang berprofil tinggi dan mengubah budaya kerja pasukan mereka.

Marissa Mayer dipaksa untuk mengasingkan aset perniagaan utama syarikat tersebut dari sahamnya di Alibaba.

8. Membeli Tumblr

Salah satu kemuncak Marissa Mayer sebagai pengarah eksekutif Yahoo ialah semasa membeli Tumblr pada tahun 2013, dengan harga $1.1 bilion.

Pada waktu itu, Tumblr belum pun memperoleh keuntungan. Oleh itu, Marissa merancang untuk meletakkan iklan pada rangkaian sosial "microblogging" tersebut.

Malangnya, Yahoo dilaporkan melebih-lebihkan Tumblr sehingga membelanjakan ratusan juta dolar. Pertumbuhan pengguna dan pendapatan yang lebih perlahan dari jangkaan, serta masalah reka bentuk semula memburukkan lagi keadaan.

Sebagai akibatnya, Tumblr diserap ke dalam Yahoo dan mengelirukan lagi masa depan rangkaian tersebut.

9. Tidak mempunyai misi yang jelas

Salah satu daripada kelemahan Yahoo yang paling ketara sepanjang dua dekad lalu ialah kegagalan mereka untuk mencari misi sebenar syarikat itu.

Dalam tempoh 24 tahun, Yahoo telah memaparkan sebanyak 24 penerangan yang berbeza tentang syarikat mereka. Identiti Yahoo juga berubah-ubah dan samar-samar antara syarikat teknologi dan gergasi media.

10. Berkuburnya zaman portal web

Sebaik Google dan Facebook bangkit menjadi gergasi laman web 2.0, Yahoo sedang bergolak. Ia gagal menyatukan enjin pencariannya sendiri dan bergelut untuk memanfaatkan potensi sosial Flickr dan Tumblr.

Yahoo mula ketinggalan apabila zaman mengakses internet melalui portal web seperti AOL dan MSN berakhir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

1 comment

  1. Pengajaran utk dijadikan tauladan juga ni... mcm juga kisah nokia dlm bidang teknologi komunikasi juga kan. Thanks sharing SP.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon