Monday, November 05, 2018

Misteri Kehilangan Istana Kota Lukut


Raja terakhir memerintah sebagai wakil kepada Sultan Selangor di Lukut adalah Raja Bot atau nama sebenarnya Raja Muhammad Saleh, anak kepada Raja Jumaat yang dilahirkan di Lukut pada Disember 1847.

Istana Lukut
RAJA BOT (duduk tengah) bergambar bersama ahli keluarganya sekitar 1912, kira-kira 32 tahun selepas penyerahan Lukut kepada Sungei Ujong.

Ketika pemerintahan Raja Jumaat, kestabilan politik dan ekonomi di Kota Lukut adalah sangat baik, malah beliau bijak menjalinkan hubungan dengan Melaka yang ketika itu diperintah oleh Belanda.

Namun, kewibawaan kepimpinannya tidak diwarisi apabila kejatuhan Kota Lukut bermula apabila pewarisnya, Raja Bot mengambil alih wilayah itu dan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tuntutan kawasan oleh Sungei Ujong.

Selain itu, aktiviti perlombongan mula berkurangan apabila kadar pengeluaran bijih timah semakin merosot, di tambah pula dengan masalah pergaduhan antara kaum dan pertelingkahan pemimpin dalaman.

Akhirnya, Lukut diserahkan kepada Sungei Ujong (Negeri Sembilan) dalam satu perjanjian yang ditandatangani di Singapura.

Dalam catatan di Muzium Lukut, Raja Bot dikatakan mengambil alih pemerintahan pada 1865, kemudian beliau dilantik menjadi Penghulu Sungai Buloh pada 1887.

Misterinya adalah persoalan kehilangan istana di Kota Lukut berdasarkan jarak masa sekarang dengan pemerintahan Raja Bot.

Sehingga hari ini, pihak muzium Kota Lukut sendiri masih tertanya-tanya ke mana hilangnya istana Kota Lukut, sedangkan jarak masa dengan sekarang tidak sampai beratus tahun.

Mengikut kajian, Kota Lukut ditemui berdasarkan struktur binaan di atas bukit Gajah Mati yang dibina seperti sebuah kubu perang.

Yang dijumpai dalam eskavasi pada 1940 hanyalah tapak tiang dan serpihan seperti peralatan dalam rumah.

Pelik, sedangkan bangunan yang lebih lama dibina Belanda dan British masih wujud hingga ke hari ini, tetapi istana Kota Lukut telah ghaib!

Lukut simpan peristiwa berdarah

Sementara itu, bercerita tentang sejarah kemasyhuran Kesultanan Selangor, pasti sebahagian besar daripada kisah tersebut menyentuh kehebatan Lukut suatu ketika dahulu.

Menyingkap sejarah awal Lukut yang bermula awal kurun ke-19, daerah tersebut dibuka oleh kerabat diraja Selangor, Raja Busu.

Sebelum diletakkan di bawah daerah Port Dickson selepas nama Sungei Ujong ditukar kepada Negeri Sembilan, Lukut dibuka kerana potensi hasil buminya yang menjadi tumpuan ramai pelombong bijih timah.

Dalam catatan jurnal Sejarah Lukut tulisan Zulkapli Othman dan Mohd Khalid Yasin, Lukut dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah Selangor.

Sewaktu pemerintahan Raja Busu, Lukut telah menyaksikan sebuah peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila istananya dibakar akibat rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.

Kota Lukut adalah tempat pentadbiran berbeza dengan Lukut, namun kedua-duanya terletak dalam wilayah sama.

Wilayah yang sama tetapi sejarahnya berbeza, Lukut dibuka oleh Raja Busu, manakala Kota Lukut pula diasaskan Raja Jumaat Raja Jaafar.

Sebagai pembuka wilayah Lukut, Raja Busu telah membawa masuk ramai pelombong Cina tetapi, beliau telah membuat pelombong Cina marah kerana menaikkan cukai.

Mungkin kerana kerancakan industri perlombongan, beliau terdorong untuk menaikkan cukai sebanyak 10 peratus, namun keputusan tersebut telah menyebabkan kemarahan mereka.

Selepas itu, keadaan menjadi lebih buruk apabila kemarahan pelombong membuak-buak sehingga sanggup membuat kacau dan membakar istana Raja Busu.

Kisah ini boleh dikatakan seperti rusuhan kaum apabila lebih kurang 300 hingga 400 pelombong berarak ke istana Raja Busu, namun beliau tidak mahu berjumpa dengan mereka, malah menyatakan tidak takut mati.

Berang dengan tindakan Raja Busu, mereka telah membakar istananya dan dalam peristiwa itu, Raja Busu bersama keluarga telah dibunuh.

Makam Raja Busu dan keluarganya terletak berdekatan Kampung Kuala Lukut di Chuah, Negeri Sembilan.

Pengikut setia yang berang selepas mendengar peristiwa tersebut telah bertindak membalas dendam terhadap pelombong sehingga mereka melarikan diri ke Melaka.

Beberapa tahun selepas peristwa tersebut, Raja Jumaat yang juga menantu kepada Sultan Selangor ketiga iaitu Sultan Muhammad telah membuka Kota Lukut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi serta politik di sana.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan | utusan2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon