Wednesday, August 22, 2018

Kemusnahan Kaum Nabi Lut Angkara Amalan LGBT


Kewujudan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membuktikan ada pihak tidak pernah mengambil iktibar daripada malapetaka hukuman Tuhan terhadap manusia songsang yang melampaui batas.

Kemusnahan Kaum Nabi Lut Angkara Amalan LGBT

Golongan manusia yang mengamalkan LGBT sebenarnya pernah wujud pada ribuan tahun lalu tetapi dimusnahkan Allah SWT lantaran kemaksiatan mereka. Kisah itu difirmankan Allah SWT dalam al-Quran:

(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Ketika saudara mereka - Nabi Lut, berkata kepada mereka, "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

"Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!"

Mereka menjawab, "Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!"

Nabi Lut berkata, "Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu". (Nabi Lut berdoa), "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu."

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya -semuanya kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu. Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).

Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran," (ayat 160 hingga 173, surah As-Syuara).

LGBT DIKUTUK SEMUA AGAMA

Cerita kemusnahan kaum Nabi Lut bukan mitos atau dongeng lantaran tertera dalam kitab suci Islam, Kristian dan Yahudi.

Keyakinan bahawa golongan songsang yang dihancurkan itu benar-benar wujud menyebabkan penyelidik cuba mencari lokasi mereka dimusnahkan pada ribuan tahun lalu dengan harapan dapat menjumpai kesan tinggalan arkeologi natijah petaka dahsyat itu.

Antara petunjuk digunakan dalam usaha itu ialah jenis bala diutuskan Allah kepada kaum terbabit seperti firman Allah dalam ayat ke-82, surah Hud, "Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu."

Menerusi ayat itu, penyelidik mengandaikan bala menimpa kaum Nabi Lut yang hidup di bandar Sodom dan Gomorrah berupa gempa dahsyat serentak letusan gunung berapi sehingga menghasilkan `hujan batu dari tanah yang dibakar'.

Penyelidik Barat menganggarkan Nabi Lut hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim iaitu kira-kira 3,800 tahun lalu dan sekitar tempoh itulah bencana berlaku.

Seterusnya, lokasi yang pernah dilanda gempa dan letusan gunung berapi sekitar 3,800 tahun lalu dicari dan satu daripada lokasi itu diyakini terletak di Laut Mati, yang berada di sempadan Jordan dan Israel.

Dalam buku Kaum-kaum Yang Pupus hasil tulisan Harun Yahya, dinyatakan timbunan lava dan basalt di tepi Laut Mati menjadi bukti letusan gunung berapi dan gempa bumi pernah berlaku di situ.

Laut Mati terletak tepat di atas zon gempa bumi aktif, manakala bahagian atas Lembah Jordan pula terdapat kawah gunung berapi yang sudah pupus.

Kajian mendapati malapetaka yang menghancurkan kaum Nabi Lut berlaku akibat rekahan panjang pada garisan gelinciran bumi yang mencapai sejauh 190 kilometer.

Penyelidik Jerman, Werner Keller, pernah menulis, "Bersama asas rekahan yang besar ini yang betul-betul melingkari kawasan Lurah Siddim yang meliputi Sodom dan Gomorrah - pada suatu hari telah terbenam dengan dalamnya. Kemusnahannya disebabkan gempa bumi hebat dan kemungkinan besar dituruti letupan, petir, pelepasan gas asli dan kebakaran besar. Penenggelaman itu telah melepaskan kuasa gunung berapi yang selama itu tidak aktif di dalam bumi sepanjang rekahan berkenaan."

Keller percaya tinggalan kota purba kaum Nabi Lut terletak di dasar Laut Mati selepas struktur tanah lokasi itu mula dinaiki air tasik akibat bencana berkenaan.

Buku Kaum-kaum Yang Pupus juga menerangkan sebahagian kota itu berjaya ditemui di tepi Laut Mati dan kesan peninggalan berkenaan jelas menunjukkan kaum Nabi Lut sudah mencapai tahap kehidupan tinggi sebelum dimusnahkan.

Akan tetapi, usaha lanjutan mencari kesan malapetaka hukuman Tuhan terhadap penduduk kota itu berdepan kesukaran lantaran tasik itu meliputi kawasan luas sehingga 41,650 kilometer persegi dengan kedalaman sehingga 300 meter.

Malah, kandungan garam tinggi dalam Laut Mati menyebabkan aktiviti menyelam sukar dilakukan, malah manusia yang tidak tahu berenang juga akan terapung di tasik itu.

Bagaimanapun, hukuman Tuhan terhadap manusia yang mengamalkan hubungan songsang itu tidak dapat dinafikan.

Malangnya, selepas ribuan tahun kaum Nabi Lut dihancurkan, ternyata masih ada pihak yang tidak mengambil pengajaran akibat tragedi itu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon