Rabu, Ogos 01, 2018

Malaysia Akui Kehilangan MH370 Campur Tangan Pihak Ketiga?!


Pasukan Penyiasat tidak menolak kemungkinan campur tangan pihak ketiga (third party intervention) antara punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014.

Kehilangan MH370 Mungkin Ada Campur Tangan Pihak Ketiga!
Gambar hiasan.

Kata Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon, Pasukan Penyiasat telah meneliti semua laporan dan dakwaan di semua platform berita dan juga media sosial.

"Apabila anda menyiasat MH370, ia merupakan antara kerja paling sukar di dunia.

"Apa yang kami telah buat ialah membaca semua jenis laporan, semua jenis dakwaan, berita dan gosip di media sosial, dan kami letak semuanya di atas meja.

"Dalam hampir 60 dakwaan dan gosip yang diterima dan diteliti, kami buang satu per satu dan tengok apa yang tinggal.

"Kini, tinggal hanya tujuh kemungkinan. Tetapi saya harus berhati-hati kerana saya tidak mahu menolak sebarang kemungkinan," katanya kepada media selepas selepas membentangkan laporan terakhir siasatan MH370 di Bangunan Kementerian Pengangkutan.

Laporan itu, antara lain, menyatakan penemuan sepanjang siasatan, termasuk aspek keadaan pesawat berkenaan, keadaan kru termasuk juruterbang sewaktu penerbangan, komunikasi dua hala antara pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur dan Ho Chi Minh, serta cadangan-cadangan untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Antara penemuan yang dinyatakan ialah, sewaktu pesawat Boeing B777-200ER itu melencong dari laluan asal, ia berada di bawah kawalan manual dan sengaja dihalakan menuju ke Lautan India.

"Kami telah menjalankan tujuh simulasi penerbangan, tiga di bawah kelajuan tinggi dan empat lagi di bawah kelajuan rendah dan kami mendapati lencongan berkenaan dibuat di bawah kawalan manual, bukan autopilot ," jelas Soo Chon.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat kesimpulan yang kesihatan juruterbang pesawat, Kapten Zaharie Ahmad Shah ataupun pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, berada di tahap kurang baik, atau mempunyai tujuan berlainan sewaktu kapal terbang itu dilencongkan.

"Kami telah membuat pemeriksaan terhadap Zaharie, kami dapati beliau tidak mempunyai masalah dengan rakan-rakan atau keluarga, tiada sifat-sifat kemurungan, tiada penyalahgunaan alkohol atau dadah.

"Kami juga dapati tiada tekanan atau tanda kebimbangan dalam komunikasi antara beliau dengan pusat kawalan udara di Kuala Lumpur atau Ho Chi Minh.

"Kami dapati Kapten Zaharie seorang juruterbang yang kompeten, rekod penerbangan hampir sempurna, serta mempunyai kebolehan untuk menguruskan tekanan sewaktu bekerja," jelasnya.

Bagi Fariq juga, kata Soo Chon, tiada sebarang asas untuk beliau melencongkan pesawat berkenaan, tetapi dakwaan yang mengatakan terdapat isyarat dari telefon bimbit beliau sukar ditentukan memandangkan ianya terlalu lemah.

Tetapi katanya, kekurangan komunikasi radio antara MH370 dan pusat kawalan sebelum ia dilencongkan adalah berkemungkinan besar sistem komunikasi pesawat berkenaan telah ditutup secara manual, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Soo Chon berkata, pihak beliau juga dapati Pusat Kawalan Udara Ho Chi Minh gagal untuk memaklumkan Pusat Kawalan Udara Beijing apabila pesawat itu tidak melakukan sebarang komunikasi lanjut.

Jelasnya lagi, petugas di pusat kawalan berkenaan tidak menjalankan pelbagai fasa kecemasan yang sudah tergaris dalam panduan, sekali gus memberi impak yang besar kepada operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Soo Chon menegaskan laporan setebal 449 muka surat yang diedarkan kepada awam bukan bermakna siasatan sudah berakhir.

"Bagaimana kami boleh menganggapnya laporan terakhir, itu akan jadi tekaan tanpa asas kerana rangka MH370 tidak ditemui, mangsa juga tidak ditemui," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Mh 370 terbenam di kawasan Lautan Hindi, berdekatan Pulau Chistmas. Masalah yang BESAR DISINI, nak naikkan bangkai tu macam mana? ianya terbenam di kedalaman di antara 4,500 - 5,000 meter. Hampir separuh dari ketinggian Gunung Everest yang tingginya 8848 meter!
Kapal selam pun boleh sampai pada kedalaman 1,000 meter je.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon